My Dongsaeng. My Oppa. My Noona.

28 February 2012

akhirnya dia jumpa orang lebih sempurna





Dunia ini tak besar mana. Masih terngiang kata-kata itu di telinga. Itu yang terdetik bila terserempak dengan bekas kekasih bersama kekasih barunya. Berjalan bersama bergurau mesra pada satu senja. Dulu di hati ini dialah permasuri raja.




"Weh dulu dengan kau takde pun dia mesra macam tu." "Takkan kau langsung tak cemburu?" "Kau gila ke masa putus dengan dia dulu?" Soalan yang kawan aku tanya macam peluru. Aku biarkan persoalan itu. Dia lebih tahu. Dan aku langsung tidak cemburu.


Terima kasih awak sebab dulu sudi jadi kekasih saya. Walaupun bukan untuk selamanya. Walaupun hanya seketika. Awak bukan kesilapan tapi pengajaran buat saya sebenarnya. Mungkin awak ditakdirkan untuk mendapat lelaki yang lebih sempurna dan begitu juga saya.


Serta satu ucapan tahniah untuk dia. Kebahagiaan itu dia yang bina. Sungguh hebat kudrat wanita yang sangat gigih berusaha mencari cinta. Sebab itu perasaan cemburu langsung tidak terasa. Sebab aku percaya aku boleh cari kebahagiaan itu juga. Kebahagiaan yang mungkin lebih indah daripada sebelumnya.


ps : Kekasih lama mengajar saya menghargai kekasih saya yang berikutnya ;)




26 February 2012

dia palsu macam push up bra yang dia ada





Aku perkenalkan dulu. Dia perempuan Melayu. Dia kawan aku. Kami kenal dari muka buku. Pernah beberapa kali aku jadi tempat dia mengadu. Aku tolong sebab aku rasa dia sangat perlu. Tapi itu cerita dulu.


Dia kata aku antara orang paling dia percaya walaupun dia tahu aku gila-gila. Sebab itu semua benda dia cerita. Sampaikan soalan tentang coli yang dia pakai pun dia bagitahu bila aku tanya. Dia tetap bagitahu dia pakai push up bra walaupun dia tahu aku sengaja tanya.





Pernah sekali kami berdebat sebab sifat talam dua muka. Aku kata itu lumrah setiap manusia. Aku juga talam dua muka dengan sesetengah manusia. Namun dia tak suka. Dia bukan hipokrit katanya. Bermatian dia mahu menang bicara. Aku biarkan saja.


Kami berjumpa pada satu hari. Duduk semeja di sebuah kedai kopi. Sedang rancak berbual tiba-tiba masuk seorang lelaki. Duduknya tidak jauh dari kami. Dia kata lelaki itu antara lelaki yang paling dia benci. Dia harap dia tidak akan jumpa lelaki itu lagi.


Kata dia, lelaki itu bekas kekasih adik dia. Lelaki itu buaya dan adik dia setia. Aku senyum saja. Perkara biasa. Setiap kakak mesti pertahankan adiknya.


Lelaki itu berdiri dan lalu di sebelah kami. Dia menegur kawan aku tadi. Lelaki itu menghulur salam dan aku sambut dengan senang hati. Tingkah laku mereka berdua aku perhati. Lelaki itu tanpa rasa bersalah bertanya tentang adik perempuan kawan aku yang pernah dia sakiti dan dijawab dengan baik oleh kawan aku sebelum lelaki itu berlalu pergi. Aku ketawa geli hati.


Aku kata dia yang hipokrit sebenarnya. Dia pun talam dua muka. Di belakang lelaki tadi dia kata dia benci sebenci bencinya. Di depan pula dia berlakon seperti tidak ada apa-apa. Dia kelu tanpa kata. Dia kata dia terpaksa.


Tapi aku tak kisah semua itu. Tak kira dia talam, pinggan mangkuk atau sudu, dia tetap kawan aku. Aku tetap terima walaupun dia palsu. Aku tetap maafkan dia walaupun dia hipokrit dengan aku. Memaafkan bukan sebab mahu. Tapi sebab aku masih perlukan dia dalam hidup aku.


ps : Tanya pasal coli tak jahat, sebab lelaki berfikir tentang seks setiap 7 saat ;)




24 February 2012

lelaki tua itu menghina di depan masjid





Salam diberi. Berakhir solat Jumaat hari ini. Saat kaki melangkah keluar dari masjid terdengar suara lelaki dalam nada tinggi. Mata liar mencari. Sah seorang lelaki agak berumur sedang memaki hamun sekumpulan remaja yang meletakkan motorsikal sesuka hati. Mungkin tindakan itu menyusahkan pakcik tadi, begitu kata hati.




Daripada marah, nada lelaki tua itu mencapai tahap menghina. Habis berkait dari perangai remaja kepada sikap ibu bapa. Langsung dia tidak malu walaupun diperhati banyak mata. Semua itu aku tinggalkan saja. Malas hendak menunggu penghujung cerita.


Petang tadi terjumpa jiran yang sedang membasuh kereta. Sengaja ditanya tentang kes di masjid supaya nampak seperti remaja yang cakna. Dia kata kes itu selesai begitu sahaja. Dia menggeleng kepala. Sesekali terdengar dia berleter tentang perangai lelaki itu yang sepatutnya matang selaras dengan usianya. Aku tersenyum sampai telinga.


Sepanjang perjalanan otak ligat berfikir tentang sikap manusia. Mungkin termasuk sikap aku juga. Sikap suka menghina dan mengutuk sesama kita. Aku pernah buat itu semua.


Bila marah menguasai diri maka akal tidak sempat berfikir seperti biasa. Bila dah terlepas kata maka menyesal pun tak guna. Sesungguhya menghina orang lain tidak menjadikan kita lebih mulia. Dan mengutuk orang juga tidak membuat kita lebih sempurna.


ps : Aku bermuhasabah diri untuk beberapa saat masa tulis entry ni ;)




20 February 2012

aku percaya duit itu memang ada kuasa





Dia nampak ceria. Aku tanya kenapa. Duit pinjaman sudah masuk katanya. Kemudian dia keluar bergembira. Biarlah dia itu duit dia.




Dia kembali. Penuh plastik di tangan kanan dan kiri. Banyak barang dibeli. Dia tunjuk satu persatu barang dari kepala sampai kaki. Ditambah jumlah baju yang sudah penuh almari. Seluar yang sudah banyak bertambah sehelai dua lagi.


Aku tersenyum. Tersenyum kagum.
Kerana duit, tikus dalam lubang boleh mengaum.



Aku ketawa. Geli hati dengan ragam manusia. Dia bukan yang pertama. Ramai sudah aku jumpa. Manusia yang guna duit yang bukan milik mereka, untuk beli barang yang mereka tidak perlu atau sudah ada, hanya untuk menunjuk kepada orang yang mereka tak suka.


ps : Pinjaman saya belum masuk lagi. Ada tak yang nak jadi sugar mummy? ;)




19 February 2012

hidup aku bukan game yang boleh dikawal





Semalam yang hiba. Akhirnya tunduk kepala. Rasa terhina secukupnya. Dan mereka ketawa. Walau kaki ini berdiri di dalam hati sedang melutut merayu secukupnya. Ego semakin hilang di mata. Hati mengingatkan jasad supaya jangan berputus asa.




Hari ini terbayang lagi hilai tawa mereka. Terasa lagi perit rasa disimbah asid kata nista di muka. Benar memang musuh ada di mana-mana. Sedikit semangat yang tinggal diusung dibawa merata.


Semakin banyak krisis yang ada menjadikan diri ini semakin kuat. Sekali rebah, sekali bertambah kudrat. Dalam tak sedar kalian sebenarnya yang buat aku hebat. Kalian adalah musuh yang liat. Pengkhianat.


"Ada orang suruh stop tulis blog. Akan dipertimbangkan." - @afifelnino


Maaf di atas tweet semalam. Tweet tentang perasaan yang dipendam. Blog ini tidak akan padam tidak akan diam. Blog ini hanya akan hilang selepas jenazah tuannya ditanam.


ps : Biarlah guruh kilat tidak berhenti pasti matahari akan keluar juga nanti ;)




14 February 2012

boleh ke saya nak jadi kawan awak semula





Dan akhirnya seorang lagi kawan mula renggang. Kemesraan yang pernah ada kian hilang. Pada awalnya semua elok dan tenang. Namun semua berubah bila timbul rasa sayang. Sempadan antara teman dan kekasih cuba direnang. Tapi malang ia terhalang.




Bukan salah dia sepenuhnya. Aku salah juga. Aku buka hati untuk bercinta. Aku terima dia seadanya. Aku kongsi suka dan duka. Aku memberi bahu untuk dia bersandar bila hiba. Semua dengan harapan rasa cinta akan tiba. Tapi tidak berjaya. Silap aku aku rasa.


Dia kawan yang hebat. Dia kawan yang memberi oksigen bila aku penat. Dia buat aku rasa sihat di saat aku sepatutnya tenat. Dia sumber inspirasi bila aku rasa aku tidak kuat.


Semua itu telah berlalu. Kalau aku minta maaf berjuta kali sekalipun tidak akan merubah apa-apa kerana semua telah berlaku. Cuma aku mampu berdoa semoga dia berbahagia tanpa aku. Semoga akan ada seorang lelaki yang mampu mengubat hati dia yang sayu. Tapi kenyataannya sangat berbeza antara dia dan aku. Sebab itu agak mustahil dua hati itu cuba bersatu.


ps : Saya rindu awak sebagai kawan macam dulu-dulu. Sungguh tak tipu ;)




10 February 2012

andai dapat diulang mimpi ngeri semalam





Kereta berhenti di tepi pantai pada suatu petang yang sunyi. Tidak ramai orang di kanan kiri. Kerusi kereta dibaringkan sedikit untuk merehatkan diri. Tangan menggenggam erat telefon Blackberry.


Deringan lagu rancak berbunyi. Mata pantas melihat skrin Blackberry. Tertera nama Baby. Dia mahu berjumpa sebab ada benda mahu diberi.




Kereta diberhentikan di sebuah kedai makan. Kaki dilangkah perlahan. Punggung dilabuhkan di kerusi berdekatan jalan. Datang seorang perempuan cantik berkurung moden yang mengikut bentuk badan. Dia meletakkan satu sampul surat di atas tisu putih yang belum digunakan.


Perlahan-lahan sampul dibuka. Ditarik keluar kertas tebal yang di dalamnya. Satu persatu ayat di kertas tersebut dibaca. Terbeliak mata. Aku mengangkat kepala. Mata kami bertentangan seketika.


'Walimatul Urus Undangan Raja Sehari' tertera di depan sekali. Tersergam indah gambar aku dan perempuan di depan aku ini. Terpampang nama aku dan bakal isteri. Tiba-tiba rasa pening melanda diri. Gelap pandangan sunyi sepi. Aku rebah menyembah bumi.


Aku terjaga dari mimpi. Mimpi yang aku minta selama ini menjadi mimpi ngeri. Aku ingat setiap satu yang terjadi. Tapi aku samar-samar rupa dan nama bakal isteri. Sungguh sayang sekali. Kalaulah mimpi seperti cerita yang dapat diulang berkali-kali.


ps : Jodoh ditentukan sewaktu kita berumur 4 bulan di dalam kandungan ibu ;)




05 February 2012

bukan mengharapkan cuma buat andaian






Senyuman terukir. Katanya kebahagiaannya semakin hampir. Kata-kata cinta semakin rancak keluar dari bibir. Katanya lagi inilah kehebatan takdir. Penantian dia akhirnya berakhir. Mahu sahaja tahi telinga ini cair bila mendengar dan keluar megalir seperti air.




Mata dijeling ke skrin telefon bernyala. Ada satu nama. Nama yang dikenali siapa tuannya. Perempuan yang kenal secara tidak sengaja. Perempuan yang curang dengan kekasihnya untuk bersama dengan lelaki lain yang kononnya lebih romantik dan memukau mata.


Pejam mata seketika. Ini rahsia mereka kata mereka. Entah apa hendak dirahsia. Lelaki itu buta. Perempuan itu gila. Kombinasi sempurna.


Lelaki itu dapat apa yang dia hajati. Lelaki itu akhirnya dapat perempuan yang dia kejar selama ini. Lelaki itu hari ini ibarat lelaki paling bahagia di atas muka bumi.


Tapi aku berani bertaruh tinggi. Aku berani kerat jari. Lelaki itu akan kecewa satu hari nanti. Perempuan itu curang dengan kekasihnya tadi. Bila tiba masanya nanti, perempuan itu akan curang pula dengan lelaki ini.


ps : Cinta itu buta dan juga boleh membutakan ;)




03 February 2012

aku perlu lagu seperti aku perlu udara





Bengang. Rasa nak sepak terajang. Nasib malang datang. Serba tidak kena dari malam sampai ke siang. Kalau ada sayap mahu sahaja terbang dan mendarat di bintang. Duduk di sana lagi senang.




Tetikus ditekan. Lagu mula kedengaran. Sekejap rancak sekejap perlahan.


Mata ditutup telinga dipasang rapi. Satu per satu perkataan diamati. Persetankan muzik rancak atau perlahan tadi. Fokus pada lirik yang ditulis secara terperinci.


Dari dulu lagu menenangkan aku. Cuma hari ini baru aku tahu. Muzik memberitahu bahawa tak salah untuk rasa takut, sendirian atau pilu.
Sebab kadang-kadang itu yang manusia perlu.



ps : Terima kasih lagu kerana selalu ada bersama saat semua orang tiada ;)




01 February 2012

mati sendirian bila hidup tanpa kenangan






Kenangan. Hanya ada tiga kenangan yang selalu hadir tanpa paksaan memberi seribu pengertian. Semuanya hadir secara kebetulan. Kenangan rambang yang mampu mengukir senyuman.




Gagak hitam sekawan. Haiwan yang darjatnya diangkat tinggi melepasi awan sampai ke bulan. Haiwan yang menjadi ikon sebuah kumpulan. Kumpulan yang selamanya dipertahankan. Kumpulan yang dianggotai tiga belas jejaka idaman. Walau jauh terpisah badan mereka tetap segar dalam ingatan.


Hujan. Ada yang kata itu cuma cuaca harian. Ada yang kata hujan menyusahkan. Tapi hujan itu mengulit kenangan. Dalam hujan pernah terjadi satu pertemuan. Dalam hujan telah berlaku satu perpisahan. Dalam hujan juga ciuman pertama telah diberikan. Setiap kali hujan hati akan teringat kepada perempuan istimewa yang pernah ditawan.


Perkara memalukan. Bila teringat bukan setakat senyum malah gelak sakan. Terjatuh, gurauan atau tersalah sebut satu perkataan. Bila diimbas pasti akan mengundang hilaian.


Setiap kali mengimbau kenangan di atas membuat bibir ini senyum sendirian. Rasa kurang siuman? Biarkan. Sesungguhnya senyuman itu melindungi seribu ketakutan. Dan sesungguhnya senyuman itu menutup seribu kesedihan.


ps : Cuma kawan sejati dapat membezakan senyuman ini palsu atau asli ;)




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...