My Dongsaeng. My Oppa. My Noona.

05 February 2012

bukan mengharapkan cuma buat andaian






Senyuman terukir. Katanya kebahagiaannya semakin hampir. Kata-kata cinta semakin rancak keluar dari bibir. Katanya lagi inilah kehebatan takdir. Penantian dia akhirnya berakhir. Mahu sahaja tahi telinga ini cair bila mendengar dan keluar megalir seperti air.




Mata dijeling ke skrin telefon bernyala. Ada satu nama. Nama yang dikenali siapa tuannya. Perempuan yang kenal secara tidak sengaja. Perempuan yang curang dengan kekasihnya untuk bersama dengan lelaki lain yang kononnya lebih romantik dan memukau mata.


Pejam mata seketika. Ini rahsia mereka kata mereka. Entah apa hendak dirahsia. Lelaki itu buta. Perempuan itu gila. Kombinasi sempurna.


Lelaki itu dapat apa yang dia hajati. Lelaki itu akhirnya dapat perempuan yang dia kejar selama ini. Lelaki itu hari ini ibarat lelaki paling bahagia di atas muka bumi.


Tapi aku berani bertaruh tinggi. Aku berani kerat jari. Lelaki itu akan kecewa satu hari nanti. Perempuan itu curang dengan kekasihnya tadi. Bila tiba masanya nanti, perempuan itu akan curang pula dengan lelaki ini.


ps : Cinta itu buta dan juga boleh membutakan ;)




03 February 2012

aku perlu lagu seperti aku perlu udara





Bengang. Rasa nak sepak terajang. Nasib malang datang. Serba tidak kena dari malam sampai ke siang. Kalau ada sayap mahu sahaja terbang dan mendarat di bintang. Duduk di sana lagi senang.




Tetikus ditekan. Lagu mula kedengaran. Sekejap rancak sekejap perlahan.


Mata ditutup telinga dipasang rapi. Satu per satu perkataan diamati. Persetankan muzik rancak atau perlahan tadi. Fokus pada lirik yang ditulis secara terperinci.


Dari dulu lagu menenangkan aku. Cuma hari ini baru aku tahu. Muzik memberitahu bahawa tak salah untuk rasa takut, sendirian atau pilu.
Sebab kadang-kadang itu yang manusia perlu.



ps : Terima kasih lagu kerana selalu ada bersama saat semua orang tiada ;)




01 February 2012

mati sendirian bila hidup tanpa kenangan






Kenangan. Hanya ada tiga kenangan yang selalu hadir tanpa paksaan memberi seribu pengertian. Semuanya hadir secara kebetulan. Kenangan rambang yang mampu mengukir senyuman.




Gagak hitam sekawan. Haiwan yang darjatnya diangkat tinggi melepasi awan sampai ke bulan. Haiwan yang menjadi ikon sebuah kumpulan. Kumpulan yang selamanya dipertahankan. Kumpulan yang dianggotai tiga belas jejaka idaman. Walau jauh terpisah badan mereka tetap segar dalam ingatan.


Hujan. Ada yang kata itu cuma cuaca harian. Ada yang kata hujan menyusahkan. Tapi hujan itu mengulit kenangan. Dalam hujan pernah terjadi satu pertemuan. Dalam hujan telah berlaku satu perpisahan. Dalam hujan juga ciuman pertama telah diberikan. Setiap kali hujan hati akan teringat kepada perempuan istimewa yang pernah ditawan.


Perkara memalukan. Bila teringat bukan setakat senyum malah gelak sakan. Terjatuh, gurauan atau tersalah sebut satu perkataan. Bila diimbas pasti akan mengundang hilaian.


Setiap kali mengimbau kenangan di atas membuat bibir ini senyum sendirian. Rasa kurang siuman? Biarkan. Sesungguhnya senyuman itu melindungi seribu ketakutan. Dan sesungguhnya senyuman itu menutup seribu kesedihan.


ps : Cuma kawan sejati dapat membezakan senyuman ini palsu atau asli ;)




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...