My Dongsaeng. My Oppa. My Noona.

Showing posts with label GC Forever. Show all posts
Showing posts with label GC Forever. Show all posts

23 July 2016

selingkuh



Alkisahnya kita sama-sama suka. Keluar dari pagi sampai senja. Keluar sampai lewat pagi sama-sama. Dan kita sama-sama cinta. Bercuti berdua. Entah mana dosa dan pahala. Entah iblis apa dalam diri kita. 





Itu cerita lama. Sekarang berbeza. Kau dan aku masing-masing berpunya. Cuma dalam hati ini masih ada rasa. Dan aku dapat rasa kau juga sama. Masih ada sayang yang tersisa. Kenangan lama masih ada. Aku boleh nampak dari pertuturan dan lenggok gaya. Sayang kau pada aku tetap kekal walau jodoh tiada.


Dalam sembunyi kita jumpa curi-curi. Dalam sembunyi kita satukan hati. Dalam sembunyi kita menari. Dalam sembunyi bercium pipi. Dalam sembunyi kita bersatu kembali. Dalam sembunyi kita ulang memori. Dalam sembunyi kau terbaring di sisi. Dalam sembunyi kita tinggal pasangan sendiri.


Akhirnya kita pulang jumpa orang kita sayang. Kita hiburkan mereka untuk tutup salah yang berlubang. Mereka tetap anugerah yang akan kita julang. Mereka tetap orang yang kita takut hilang. Mereka tetap buat kita tenang. Walau sebenarnya di belakang, kita siram cinta dengan dosa berkubang. Kita curang.


Malam ini aku sendiri ditemani secawan kopi mengimbau tragedi. Terkenang nipisnya iman dalam diri. Semua ini bukan salah teknologi. Teknologi hanya perisa tambahan resipi. Teknologi dan sosial media hanya jalan tapi aku yang guna membuta tuli. Salahnya kita sendiri. Terlalu ikut kata hati. Terlalu ikut nafsu gila babi.


ps : Tak selamanya selingkuh itu indah ;)


 

04 September 2015

sakit sayang



Siapa yang dulu kata bila kita mula sayang kita akan rasa indah-indah saja? Rasa dalam perut ada rama-rama? Rasa berbunga-bunga? Rasa mandi tak basah tidur tak lena? Tipu belaka. Sekali dengan aku tertipu sama. Sebab rasa sayang itu bukanlah indah mana.



Sakitnya bila kita sayang tapi hanya mampu pandang saban hari.
Sakitnya bila kita sayang seseorang tapi hati dia sudah terisi.
Sakitnya bila kita sayang sepenuh hati tapi tak bisa memiliki.
Sakitnya tu di sini - Hati.


Sedikit terubat perasaan bila tengok dia ketawa. Memang itulah yang selalu aku minta. Sentiasa gembira dan semoga bahagia. Walaupun hati meronta nak jadi punca kebahagiaan dia, tapi kaki harus berpijak di bumi nyata dan akal kena terima Tuhan dah tentukan sebaik-baik perkara. Doa aku akan berakhir dengan permintaan yang sama - Semoga rasa sayang ini tidak kekal lama. Sebab aku juga ingin bahagia walau bukan dengan dia.


ps : Cinta tiba cinta pergi. Yang azali ku nanti ;)


21 May 2015

indah anganku




"Putus dengan Zaty. Tu yang aku paling kesal sampai hari ni."


Itu jawapan ikhlas yang aku bagi di depan 3 orang sahabat di sebuah cafe pada satu pagi. Aku sendiri tak sangka perasaan yang bersarang tiga tahun terluah juga dari hati.


"Eh kau serius ke?"


Sahabat di sebelah bertanya. Aku angguk tanpa pandang dia. Aku ketap bibir sendiri menahan rasa. Mata aku dari tadi terpaku pada bucu meja. Fikiran aku melayang jauh entah sampai mana.




"Aku nak beli makanan kejap lapar sangat dah ni."


Aku bangun dan melangkah pergi. Mahu mengalir air mata kalau cakap lama-lama pasal topik tadi. Dengar nama pun dah buat aku tertusuk naluri. Sedihnya pilunya sakitnya tu di sini - hati.


Lepas putus cinta dulu aku teruk dihentam. Perasaan dibaham, ditembak tohmahan kejam. Tapi aku juga bodoh kerana diam. Aku sepatutnya jelaskan tapi aku pendam.


Masa itu aku terlalu muda, sangat tak matang dalam cinta. Langsung tiada rangka untuk berkeluarga. Salah aku semuanya. Kerana aku manusia, dan manusia tiada yang sempurna.


"Bro, gua kat belakang lu."


Tegas sahabat di belakang bersuara. Aku berpaling ke arah mereka, mengangkat ibu jari tanda suka. Dia menggenggam tangan dan menepuk dadanya. Sahabat yang dulu saban hari suruh aku move on dari cinta lama. Sahabat yang tak boleh terima aku single lama-lama. Sahabat yang mahu tengok aku bahagia. Tapi akhirnya jadi sahabat yang bagi sokongan bila aku berkeras tunggu orang yang aku suka.


Peluang kedua kalau ada takkan aku tepis. Takkan ada lagi air mata menitis. Takkan ada lagi pedih mendesis. Kau, aku, kita buat sampai habis. Kerana rindu ini masih belum terhiris. Kerana sayang ini masih belum terguris. Kerana cinta ini masih belum terhakis. Ini antara cerita paling susah ditulis. Ada memori dalam setiap ayat dan baris. Ini bukan cerita puitis manis-manis. Ini cerita yang dari awal sudah nangis.


ps : Masihkah aku ada di hatimu saat ini... ;)


31 December 2014

selamat tinggal 2014




2014 tahun mula bekerja. Kerja biasa-biasa. Biasakan diri bangun pagi redah kesibukan manusia. Ambil tahu politik pejabat macam mana. Ambil tahu masalah-masalah luar yang orang lain bawa. Ambil tahu masalah budak-budak yang baru nak kenal dunia.



2014 tahun bercuti! Serius aku rindu Krabi. Duduk tepi pantai Ao Nang tengok terbenam matahari. Pulau yang memang hebat sekali. Sebenarnya dekat Malaysia pun ada semua ini. Cuma pemandangan jadi berbeza bila bertukar lokasi. Dan aku rindu Phuket sekali. Cuci mata dekat Bangla Road malam hari. Apa ada dekat situ tak boleh cerita dekat sini. Yang isteri tolong jaga suami.


2014 tahun aku konvo dekat TATIUC. Ya aku bergelar graduan tahun ini! Dapat bunga, coklat dan macam-macam lagi. Tamat sudah seksaan mahasiswa Degree Computer Network Security. Balik konvo demam dua hari.


2014 tahun yang boleh dibangga. Berjaya dapatkan kerja. Berjaya naik kapal terbang buat julung kalinya (25 tahun hidup baru merasa). Berjaya urus kewangan seadanya. Berjaya beli TV LED 42 inci dan PlayStation 4 walaupun cuma ada 2 game saja.


2014 tahun paling ramai orang tanya nak kahwin bila. Rilekslah semua. Aku tengah gigih simpan duit belanja. Benda lain semua dah ada. Baju pengantin aku dah tahu butik mana. Catering pun aku tahu nak ambil dengan siapa. Cuma bakal pengantin perempuan saja belum jumpa. Ayat ini mungkin kelakar tapi serius calon belum jumpa.


2014 tiada lagi. Pergi bersama memori. MH370 gagal dijejaki. MH17 pergi tak kembali. Soalan UPSR bocor buat pertama kali. Banjir yang menggila dan meninggi. Dan QZ8501 buat kami kembali meratapi. Pergilah 2014 pergi. Datanglah 2015 bawa semula senyuman pada kami.


ps : Years end. But memories last forever. Hello 2015 ;)



 

20 December 2014

romancinta




"Nak tackle awek ni senang je. Jaga hati dia, buat dia ketawa. Tu je."


Aku dengar saja dua orang kawan aku bercerita. Semangat betul kawan aku bagi nasihat dekat seorang lagi kawan aku yang bertanya. Sesekali aku menyampuk sepatah dua kata. Sesekali aku anggukkan kepala.


"Dan yang penting sekali, biar awek kau jauh di mata janji dekat di hati. Kalau kau dapat buat 3 benda ni, confirm awek kau tak lari."




Ini memang dah betul-betul berapi. Cara kawan aku cakap macam dia ada kelas dia tersendiri, macam ada ilmu jurus Naruto bimasakti. Padahal dia dah nak masuk 3 tahun cari awek tak jumpa-jumpa sampai hari ini.


Aku tak cakap apa dia cakap itu salah. Aku sendiri tahu nak tackle perempuan bukan mudah. Yang mudah biasanya perempuan 'murah'. Kau tayang kereta pun dia dah datang menyerah. Yang kami cakap sekarang ini perempuan yang payah, yang ada maruah.


Hebatnya rasa cinta, sebab dia bagi kau macam-macam rasa. Buat kau teruja, buat kau meminta-minta, buat kau mencuba, buat kau setia, buat kau bahagia, dan buat kau merana. Cinta, buat kau gila.


Hairan juga aku bila aku sendiri pernah buat apa yang kawan aku kata. Cuma bezanya aku buat dulu baru aku dengar ini semua. Kiranya tips ini memang digunapakai lelaki seluruh dunia. Agaknyalah aku rasa.


Aku pernah cuba buat seorang gadis selalu ketawa bila aku ada. Aku buat kelakar dengan macam-macam cara. Ayat ketawa akan selalu ada dalam setiap mesej yang dia terima. Bila jumpa, makin menjadi-jadi lawak yang aku reka. Aku nak dia sedar aku boleh buat dia bahagia. Aku nak dia ada rasa suka dekat aku macam aku sukakan dia.


Namun bukan semua yang dirancang akan menjadi...


Ingatkan bila aku buat dia ketawa, dia akan jatuh cinta. Tapi sebaliknya aku yang makin jatuh cinta bila dia ketawa.


Sampai sekarang aku masih buntu. Jika kamu tak percayakanku, belahkanlah dada dan kau intiplah di situ. Pasti akan jumpa kasih yang menyala meratap dirimu. Okay ini lirik lagu Mojo sebab sambil aku tulis entry aku dengar lagu.


ps : Ini idea dia, cerita dia, tentang dia, untuk dia ;)


28 November 2014

hadiah kahwin



Kisahnya begini. Aku pergi beli hadiah tadi. Minggu ini ada 3 orang kawan bakal jadi raja sehari. Salah seorangnya geng rapat sendiri. Jadi niatnya nak kenakan kawan ini. Jadi aku belilah jam loceng warna warni. Dua hadiah lain hadiah cliche yang selalu orang bagi.




Jadi bila sampai rumah bertungkus lumuslah membalut hadiah. Dah beli sepuluh helai kertas balut hadiah warna cerah. Tiga-tiga hadiah tadi dimasukkan ke dalam tiga kotak kasut sama saiz yang tersimpan lama dah. Lalu ketiga-tiga kotak tadi dibalut dengan penuh hemah. Okay siap sudah.


Tapi timbul satu masalah yang tak disangka. Aku tak ingat kotak mana yang ada jam loceng sebenarnya. Jam loceng yang aku dah 'set' untuk berbunyi pukul 3 pagi pada malam pertama. Dah lah berat tiga-tiga kotak tadi seakan sama. Kalau kocak pun tak rasa gegar sebab aku dah sumbat banyak kertas surat khabar sebab nak penuhkan ruang yang ada. Serius aku lupa.


Kalau hadiah itu memang sampai dekat orang yang aku tuju tak apa. Baguslah sebab memang dia kena. Tapi kalau terbagi dekat kawan yang tak rapat sangat macam mana? Kan dituduhnya aku tak ada sensitiviti walaupun dia memang tahu aku gila-gila. Kalau dia kata aku cemburu lagi hina aku rasa. Mesti dia perasan aku minat dekat isteri dia. Tapi kalau nak buka balik hadiah untuk periksa semula memang mustahil rasanya.


Jadi, di sini, aku susun sepuluh jari. Maaflah kalau malam esok tiba-tiba ada bunyi jam masa pengantin tengah lena tidur atau masa tengah 'bergusti'. Anggaplah itu persediaan untuk jaga bayi yang Insyaallah akan lahir nanti. Sesungguhnya segala kesulitan amatlah dikesali.


ps : Aku bagi hadiah sekali bendera Malaysia. Tanda anda sudah Merdeka ;)


10 September 2014

gembira



Gembira rasa bila dah siapkan semua kerja. Duit gaji pun dah masuk dengar-dengar cerita. Semua berjalan lancar dan sempurna. Rasa gembira yang tak terkata. Alhamdulillah sebab Dia permudahkan semuanya.


Sebab terlalu gembira, aku ajak kawan baik aku pergi makan malam dekat sebuah restoran ternama. Bukan kedai makan biasa-biasa. Mulanya dia terkejut juga tapi bila aku cakap aku tanggung semua dia terus setuju dan ketawa.




Dia tanya apa motif aku belanja. Aku balas tak ada apa. Aku kata cuma makan-makan biasa untuk hilangkan tekanan kerja. Aku tak nak tunjuk sangat perasaan gembira yang aku rasa.


Sambil menjamu selera, aku tanya kawan aku tentang masalah dia. Dah lama dia ada masalah keluarga. Masalah apa tak perlulah aku cerita. Cuma dia sebagai anak lelaki kena tanggung itu semua.


Jadi dia mulakan cerita. Dari awal hingga akhirnya. Dia dengan aku tak pernah berahsia. Dah banyak benda kami kongsi bersama.


Masalah dia tetap sama, katanya. Dugaan yang Tuhan bagi ini dia dah boleh terima. Dia dah boleh bahagikan masa antara keluarga dan kerja. Peranan sebagai anak lelaki pun dia dah boleh jaga. Walaupun hidup dia kacau bilau tapi dia gembira. Gembira sebab dia dapat hadapi itu semua.


Aku gembira bila dapat tahu kawan baik aku pun gembira juga. Walaupun mungkin ayat dia cuma untuk sedapkan hati saja. Tapi kalau betullah dia gembira, pasti kegembiraan dia lebih dari apa aku rasa. Aku gembira sebab hidup aku lancar dan sempurna, tapi dia lebih gembira sebab sesusah mana ujian menimpa, dia boleh hadapi semua. Sememangnya orang tabah paling layak untuk gembira.


ps : Keep smiling. And one day life will get tired of upsetting you ;)


20 June 2014

cinta pertama



"Kau tahu tak, rasa sakit pedih cinta pertama tu la yang paling sakit sebenarnya. Pedih dia kau rasa sampai bila-bila."


Kawan aku tiba-tiba bersuara. Kami lepak berdua. Duduk berdepan pula. Aku tatap muka dia. Dia tunduk sambil menyuap nasi goreng ayam bahagian paha.


Memanglah kau rasa cinta pertama kau sakit sebab kau baru pertama kali bercinta gila. Tapi aku sebut ayat ini dalam hati saja.




Bukan aku tak setuju apa dia kata. Aku setuju tapi tak sepenuhnya. Pedih cinta pertama bukan yang paling sakit kalau kau ada cinta kedua, ketiga, kedua puluh lima dan seterusnya. Sebab boleh jadi cinta yang nombor lain-lain itu lebih merobek jiwa.


Ada orang bila dia gagal cinta pertama, dia akan cuba baiki dalam cinta kedua. Tapi sayangnya gagal juga.


Kita ambil contoh kereta. Kau ada kereta. Lantaklah jenama apa. Tiba-tiba kereta kau rosak walaupun kau dah jaga. Kau pun tukar komponen yang rosak dengan komponen baru yang lebih mahal harganya, atau lebih berseri warnanya. Tak lama kemudian rosak juga. Mesti kau panas punya. Kau dah cuba baiki kelemahan tapi hasilnya sama.


Tapi tak semua orang macam aku cakapkan. Ada orang belajar dari kesilapan. Tak kiralah cinta atau kereta kalau kau pandai jaga mesti elok punya tak kira luaran atau dalaman.


Bagi aku cinta pertama mengajar kita banyak benda. Dekat situlah kita belajar menghargai manusia, kita belajar betapa indahnya dunia bila bahagia, kita belajar macam mana nak sorok marah atau cemburu yang kita rasa, kita belajar macam mana air mata kita jatuh walaupun orang yang sakiti kita langsung tak sentuh kita, kita belajar rasa sakit yang tak dapat diungkap dengan kata-kata, dan yang penting kita belajar mengubati hati yang terluka.


ps : Bercinta tak salah. Yang salah ialah bila kita bercinta dengan orang yang salah ;)


05 May 2014

pelakon




Dekat depan aku sekarang ada seorang pelakon hebat. Pelakon baru yang berbakat. Walaupun dah 20 minit duduk bertentang tapi dia tak pandang aku walau sesaat. Sibuk dan rancak betul dia melayan peminat. Pandai dia berlakon baik depan aku walaupun sebenarnya pengkhianat.


Dia pernah jaja kisah aku dekat kawan-kawan dia. Dan salah seorang kawan dia datang cerita dekat aku pula. Katanya skandal aku ramai gila. Merata-rata. Selalu check-in hotel bila ada masa. Aku ketawa. Pernah jumpa? Mana bukti dia? Ada gambar aku dengan skandal aku naik hotel sama-sama?




Sambil aku pandang dia sebab teringat cerita yang dia reka, dia terpandang aku juga. Mata bertemu mata. Dia angkat tangan dan aku senyum semula.


"Apih, Noni kirim salam. Dia suruh aku pesan."



Celaka. Aku tahu kau dapat awek yang aku minat tapi tak perlu nak sebut depan semua. Nasib baik kau jauh dekat sana. Kalau ikut hati aku dah tumbuk atas muka. Tapi zaman sekarang orang tak lawan pakai senjata. Orang guna lidah nak tengok siapa berkuasa.


"Takpe. Orang macam kau padan la dengan awek tetek kecik macam dia."


Nah kau rasa sendiri. Kau baling batu aku baling tahi. Terus muka dia macam tak puas hati. Padahal saiz tetek bukan benda yang aku cari. Kalau leper sekalipun tapi baik dan hormat orang tua aku tetap pilih buat bini. Aku saja nak buat dia benci.


Aku tak tahu macam mana orang boleh hidup berpura-pura. Dekat depan baik tapi dekat belakang tak habis-habis mengata. Muka lawa mulut puaka. Dia dengan duit syiling tak ada beza. Bukan sebab berharga tapi sebab ada dua muka. Tak apa. Kau berlakonlah selagi terdaya.


ps : 40 minit lepak semeja, dalam kepala, aku dah bunuh kau dengan macam-macam cara ;)


05 April 2014

kita



Hari ini
Kita jumpa lagi
Aku sendiri
Kau sendiri
Kita kaku berdiri


Kita berjumpa
Tak macam dulu kala
Tiada kata
Tiada suara
Semua sejarah saja


Kenyataannya
Kini kita bukan kita
Kita pura-pura bahagia
Kita cuba
Cuba anggap kita tak pernah ada


ps : Penat. Pedih. Sedih. Bergabung, meletup ;)


18 February 2014

yang satu




Akulah raja. Kamu semua bala tentera yang boleh aku musnahkan sekelip mata. Yang satu aku mahu cuma takhta. Kekayaan umpama berhala yang aku sembah tiap masa. Ya aku raja! Semua benda aku dah cuba. Cuma dadah dan arak aku tak sentuh sebab aku rasa benda itu sia-sia. Selain dari dua itu semua aku dah rasa. 



Duit haram mencecah ribuan aku simpan. Aku bagi pada orang yang memerlukan. Bila mereka tanya mana aku dapat aku rahsiakan. Biarkan mereka berteka-teki sendirian. Aku habiskan duit aku untuk kereta dan perempuan. Kawan baik aku sendiri kata taraf aku rendah setingkat saja dari syaitan. Dan aku terima itu sebagai satu pujian.


Perempuan amat murah semurah batu. Aku akan dapat mana-mana perempuan yang aku mahu. Jatuhnya perempuan dalam tangan aku tak akan habis sampai di situ. Mereka tempat aku lepaskan nafsu. Mereka jamban tumpangan aku. Bila aku puas aku buang macam tisu.


Satu hari aku terfikir satu perkara. Aku terfikir dosa pahala. Kalau diletak atas penimbang nescaya bezanya berlipat ganda. Timbangan dosa aku amat berat sampai mencecah meja. Tidak, bukan meja. Dosa aku sangatlah berat sampai memecahkan meja dan jatuh di atas tanah dan lalu bersepah merata. Begitulah banyaknya. Bukan aku memandai-mandai tapi ini semua dosa aku dan aku tahu banyak mana. Dan pahala aku pula berterbangan di udara. Ringan dan amat sedikit nilainya.


Aku mula sedar sejak dari itu. Aku tinggalkan zaman jahil aku. Dulu bagi aku solat lima waktu itu memenatkan tapi hari ini aku sangat menyesal kalau tertinggal satu waktu. Kalau dulu rasa syukur dan berdoa itu cuma aku buat bila perlu tapi hari ini kedua-dua itu tak akan terlepas dari mulut aku. Ya Allah bodohnya aku dulu. Bodohnya aku kerana bangga dengan dosa-dosa aku.


Aku minta maaf kepada semua perempuan yang pernah aku mainkan. Aku tak tahu macam mana nak tebus tapi aku harap kamu semua maafkan. Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik itu yang pernah ustaz cakapkan. Dan perempuan yang baik itulah yang selalu aku mohon dalam doa yang aku aminkan. Cuma layakkah aku untuk dapat perempuan yang baik bila terkenang zaman silam aku yang cuma hitam kegelapan. Ya Allah berikanlah perempuan yang baik untuk lelaki jahat ini supaya ada tangan membimbingnya ke syurga yang diimpikan.


Ini kisah benar yang tuan punya badan minta namanya dirahsiakan.
Semoga dia terus kekal dalam iman.


ps : Kalau dosa itu berbau, pasti tiada manusia mahu mendekatiku ;)


31 December 2013

selamat tinggal 2013



2013 melabuh tirai. 2014 sudah melambai. Terlalu banyak kenangan tahun ini untuk dihurai. Ada kegagalan yang menghentam sampai ke lantai, dan ada kejayaan yang dicapai. 


Apa yang paling diingati ialah tahun ini aku berjaya tamatkan pelajaran. Dengan izin Tuhan, segenggam ijazah bakal dalam tangan. Sekarang aku cuma tunggu hari konvokesyen yang dijadualkan tahun depan. Syukur Alhamdulillah atas rezeki dan kemudahan yang Dia berikan.


Kejayaan entry blog ini terpilih masuk dalam Harian Metro juga satu pencapaian yang tak dijangka sama sekali. Terima kasih saudara saudari. Ada sedikit kekeliruan bila aku post berita blog aku masuk surat khabar malam tadi. Sebenarnya blog ini masuk surat khabar pada bulan Februari. Kalau nak baca entry tersebut sila tekan sini. Segala kesulitan amat dikesali.


Dalam suka ada duka. Tahun ini aku kehilangan beberapa insan yang aku sanjung mulia. Ibu Arif, Paih Ayoh dan Pojie Ekzos yang pergi untuk selamanya. Ibu Arif antara ibu terbaik yang pernah aku jumpa. Layanan mesra beliau setiap kali berjumpa tak akan aku lupa. Paih Ayoh yang selalu bagi nasihat supaya aku jangan selalu kejarkan dunia. Dan Pojie Ekzos yang pernah jadi rakan sekerja. Aku ingat lagi bila dia bagi aku 5 modem Internet secara percuma. Dia langsung tak berkira. Sayang mana pun aku pada kalian atas dunia, Dia lebih sayangkan kalian sebenarnya. Semoga kalian semua bersama orang beriman di sana.


Walaupun aku rasa tahun ini bukan tahun paling baik untuk aku, tapi aku bangga dapat kawan-kawan baru. Ramai sangat kalau nak tulis satu per satu. Untuk warga ICT Pejabat Agama Kuala Terengganu tempat aku praktikal dulu. Junior-junior kolej aku. Para peniaga bazar Ramadhan Chendering masa bulan puasa hari itu. Followers baru di blog, Facebook, Instagram dan Twitter yang dengan rela hati follow aku walaupun aku post benda merapu. Semoga perkenalan kita ini akan mengeratkan ukhuwah kita selalu. Mungkin jodoh aku ada dalam senarai kawan baru ini juga mana kita tahu, tak gitu?


Ini adalah entry terakhir untuk tahun ini. Jika diizinkan lagi, tahun depan aku akan tulis lebih banyak entry yang lebih sensasi. Ayuh jauhkan kontroversi, dan tingkatkan prestasi.


ps : You made me laugh. You made me cry. It's time to move on. Goodbye 2013 ;)

26 December 2013

relakan jiwa



Mia sayangku, maaf kalau surat ini mengganggu. Kalau Mia nak tahu, Anis dah suka Mia sejak pertama kali kita jumpa dulu. Ingat tak hari itu, Anis jumpa Mia jalan-jalan dekat taman dengan Sue? Sejak itu Anis dapat rasakan sesuatu.


Oleh sebab rumah Anis depan rumah Sue, Anis selalu tunggu Mia depan pintu. Anis rindu. Tapi Mia tak tahu. Cuma Anis takut Sue tuduh Anis perampas sebab tikam belakang dia dulu. Namun Anis harap sangat Mia faham perasaan yang Anis pendam dekat Mia sayangku.


Mia tahu tak betapa pilunya Anis rasa bila Sue dengan selamba peluk Mia depan Anis dan kawan-kawan semua? Mia tahu tak Anis rasa cemburu sangat bila Sue dapat cium Mia sepuas-puasnya! Hati Anis terluka. Walaupun Anis dan Mia sama jantina, tapi cinta itu buta. Mungkin Mia tak faham apa Anis rasa, tapi Anis harap Mia tahu betapa Anis cintakan Mia saja dalam dunia. Mia dengarlah lagu Relakan Jiwa nyanyian Hazama sebab lagu itu mengerti apa yang Anis rasa.



Ingat tak Anis pernah ajak Mia masuk bilik Anis kononnya cakap nak buat kerja? Tak ada kerja pun sebenarnya. Anis saja reka cerita. Anis nak berdua-duaan dengan Mia saja. Tanpa gangguan sesiapa. Kemudian Anis baring atas katil dan panggil Mia dengan suara manja. Anis nak Mia tergoda. Kita bertentang mata. Anis tarik Mia naik atas katil dan Mia rebahkan kepala dekat dada Anis yang tak pernah disentuh mana-mana lelaki dalam dunia. Dada Anis cuma untuk Mia tercinta. Indahnya dunia! Mia buat Anis bahagia walaupun seketika.


Pagi tadi Anis dah nekad nak bagitahu Sue apa yang Anis rasakan. Anis dah buat keputusan. Anis tak nak jadi kawan yang tikam kawan. Kami duduk di meja makan. Kemudian Anis jelaskan perlahan-lahan. Anis bagitahu Anis sayangkan Mia lebih dari seorang kawan. Kemudian Anis bagitahu Sue yang Anis nak bercinta dengan Mia kalau dia izinkan. Tiba-tiba Anis nampak Sue layangkan tangan...


"PANG!!!"


Anis kena lempang! Kuat sangat Sue lempang sampai berdengung gegendang. Sakit sangat Sue lempang Anis sayang. Kemanjaan dan kecomelan Anis dari lahir terus hilang. Kemudian Sue bilang...


"Mia tu kucing la bangang! Kau gila ke nak bercinta dengan binatang!"


Semua orang tengok tragedi itu. Anis tutup muka dengan tisu. Sakit dan malu menjadi satu.


ps : Ketandusan idea. Cerita ini rekaan semata-mata. Tak tahulah kalau ada orang percaya ;)


 

14 December 2013

jarak



Awak yang dekat sana. Awak marah saya? Lepas banyak kali awak ajak baru hari ini saya terima nak jumpa. Tak sangka awak sanggup datang rumah saya, jumpa mak ayah saya, semata-mata nak minta kebenaran nak keluar dengan saya. Saya harap awak tak kisah itu semua. 


Walaupun awak dah tawarkan diri nak ambil saya tapi saya tak bagi awak datang. Tak elok jiran-jiran pandang. Awak jangan risau sebab saya bukan datang seorang. Adik saya ada sekali supaya orang tak fitnah bila mereka pandang.


Awak sanggup juga keluar dengan saya walaupun banyak benda menghalang. Maaf sekali lagi kalau itu buat awak rasa bengang. Tak boleh balik lewat petang. Tak boleh tengok wayang. Tak boleh pegang-pegang. Nak bersayang abang lagilah awal-awal saya dah larang. Cukup sekadar kita bertiga pergi minum dan beli barang.


Mesti awak ingat saya leceh orangnya. Mesti awak ingat saya tak open minded macam perempuan lain awak pernah jumpa. Tak apa. Saya tak kisah itu semua. Saya tak bagi awak duduk depan saya. Saya cuba sekuat hati tak nak kita bertentang mata. Bukan tak nak tapi saya cuba elakkan dari buat itu semua. Jarak itu bukan untuk menghukum awak tapi untuk menjaga hati kita berdua.


Terima kasih sebab sudi keluar dengan saya. Terima kasih sebab terima saya seadanya. Terima kasih sebab patuh semua arahan yang saya kata. Itu bukan arahan saya tapi arahan agama.


Mak saya dah suka. Ayah saya pun dah terima. Adik saya pun kata awak baik orangnya. Cepat-cepatlah suruh keluarga awak datang merisik pula.


ps : Selagi belum sah di sisi syarak, kita masih punya jarak ;)

 

24 October 2013

cuba



Jarang rasanya lepak dengan junior di kolej bersama-sama. Tapi hari ini kami duduk semeja. Ajakan dia aku terima. Segelas air Pepsi dan segelas Sirap Laici menjadi teman antara kami berdua.


Kami berbual macam biasa. Bercakap perkara lama. Bercakap tentang hostel yang baru dibuka. Sampailah masuk ke topik anggota kelas dia yang agak kecil bilangannya. Dia sebut beberapa nama yang aku kenal siapa tuannya.




Dia bercerita tentang pelajar terbaik kelasnya yang setiap semester dapat dekan. Perempuan. Budak yang boleh duduk seharian di perpustakaan tanpa rasa bosan. Budak yang lebih banyak habiskan masa dengan nota berbanding dengan kawan-kawan. Sementara dia cuma belajar sehari sebelum peperiksaan. Sampai tak tidur malam bersengkang mata menghafal nota yang diberikan. Pointer dia juga hanya cukup-cukup makan. Semester lepas dia hampir-hampir putus asa sebab terlalu banyak tekanan. Dia bertanya apa perlu dia buat sambil mengeluh perlahan.


Aku rasa bangga campur tak percaya. Orang tanya aku macam mana nak berjaya sedangkan aku sendiri tak berjaya mana. Aku tahu beberapa cara tapi aku sendiri tak pernah cuba.


"Empat campur satu berapa?"
"Lima."
"Dua campur tiga?"
"Lima."
"Nampak tak beza dia?"
"Beza? Apa?"
"Nak jadi lima bukan cuma ada satu cara."



Dia garu kepala. Aku senyum saja. Tak apa. 

Bukan semua orang faham ayat pertama yang kita bagitahu mereka.


Nak jadi lima ada banyak cara. Dua campur tiga, empat campur satu juga sama. Kosong campur lima pun boleh juga. Biarlah dia dengan cara dia. Kau guna cara kau saja. Tapi sebab kau tertinggal jadi kau kena lipat gandakan usaha. Kau tak tahu kalau kau tak cuba. Nak hidup lama tak boleh cepat putus asa.


Dia angguk kepala. Tak pasti pula dia faham atau dia sakit telinga. Aku cuma bagitahu apa aku rasa. Sebab aku sama macam dia. Nak berjaya tapi gagal lawan perasaan malas yang lebih berkuasa.


ps : Semua orang nak berjaya tapi tak semua orang nak berusaha ;)

07 October 2013

segitiga



Aku suka dia. Comel orangnya. Manja. Kadang-kadang gila-gila. Kami sekepala. Ya memang ada rasa mesra. Bebas bercerita. Bebas berkongsi idea. Sebab bagi dia persahabatan itu yang lebih utama. Tapi tak sebenarnya. Aku cuba buat dia selesa. Sebab aku suka dia. 



Mesti ada yang suruh aku luah apa yang aku tulis dekat atas tadi. Mesti ada yang suruh aku jadi lelaki sejati. Tak apa terima kasih daun keladi. Sebenarnya ada masalah antara kami. Aku suka dia tapi dia dah ada kekasih hati.



Ada kawan bagi harapan. Katanya teruskan berkawan. Ada kawan bagi bantuan. Katanya dia boleh jadi orang tengah yang boleh sampaikan berita kalau orang itu dalam kesedihan. Terima kasih kawan-kawan. Aku bukan lelaki yang suka watak orang ketiga dalam mana-mana hubungan.


Ini bukan kali pertama aku rasa perasaan ini. Entah ini dah kali ke berapa aku suka orang yang sedang bahagia dengan orang yang dia sayangi. Mungkin tuah tak menyebelahi. Mungkin aku langkah kiri. Mungkin nasib tak pernah menjadi. Tapi aku tak patah hati. Aku cuba lagi. Aku kan lelaki.


Aku suka dia. Aku boleh bahagiakan dia. Tapi kalau ditakdirkan ada orang lain boleh buat dia lebih bahagia, aku rela. Aku nak dia bahagia, walaupun bukannya aku punca kebahagiaan dia.


ps : Selalunya yang paling kita nak sangat itulah paling susah nak dapat ;)



30 August 2013

jawapan



Hadir ke satu rumah terbuka hari raya. Ramai tetamu yang datang dengan keluarga. Tapi aku datang seorang saja. Masuk dan berjumpa kawan rapat yang datang berdua. Dia bawa teman istimewa. Ratu hati katanya. Tiba-tiba tuan rumah menyapa.


"Nino datang sorang je?"
"Ya. Tak ada orang nak ikut kita. Sedihnya."



Aku buat muka. Dan kami ketawa. Lawak bodoh yang aku reka untuk hiburkan suasana. Tak pun sebenarnya. Lawak bodoh yang aku reka untuk lari dari soalan yang ditanya. Tuan rumah pergi melayan tetamu lain pula. Kekasih kawan aku juga pergi bertemu kawan dia. Tinggal kami berdua.



"Kau tak ada pengganti lagi ke?"
"Tak ada. Malas sebenarnya."
"Afif El Nino. Empat tahun dah."
"Baru tigalah."
"Kau rela juga tunggu kalau empat tahun pun kan?"


Aku tak balas. Malas. Aku cuma minum air Coca Cola yang dihidangkan dalam gelas. Mungkin panas dengan soalan yang ditanya berdas-das.


Kawan rapat aku tadi datang lagi masa aku tengah makan. Dia minta maaf kalau aku terasa dengan apa yang dia cakapkan. Tak apa aku tak kisah sebab kita kawan. Dia tahu banyak kisah aku sebab kami satu kumpulan. Undang-undang berkumpulan, tak ada apa nak dirahsiakan.


Hati ini walaupun aku punya, tapi aku tak boleh kawal dia ikut suka hati aku saja. Aku tak boleh paksa dia sayang orang yang aku memang tak ada rasa apa-apa. Aku tak boleh paksa dia berhenti sayang orang yang aku dah suka sekian lama. Jawapan ini tak pernah keluar bila orang tanya. Sebab aku rasa jawapan ini akan berangkai dengan soalan-soalan lain pula. Kadang-kadang diam seribu bahasa lebih baik daripada selalu bercerita.


ps : Setiap soalan ada jawapan. Tapi tak semua jawapan harus dijelaskan ;)

05 August 2013

selamat hari raya



Dalam rancak menulis entry mungkin ada yang terasa hati. Mungkin ada perasaan yang disakiti. Bahkan tak mustahil kalau ada yang terganggu emosi. Mungkin ada sampai tahap membenci.


Dalam rancak bercerita mungkin ada tersalah kata. Mungkin ada terkeluar ayat-ayat yang tak sepatutnya. Mungkin ada terpandang gambar yang menyakitkan mata. Mungkin terlalu kasar sampai tak bertegur sapa.


Dalam kita berjaga-jaga, kemalangan tetap terjadi juga. Sedangkan lidah yang dalam mulut sendiri boleh tergigit inikan kita yang tak ada kena mengena. Jadi saya dengan rendah diri dan luhur hati menyusun sepuluh jari atas semua khilaf yang ada. Itu semua salah saya.


I know this entry comes a lil bit early, but since I'm a lil bit busy so I need to publish this ASAP. I'm sorry.


ps : Selamat Hari Raya. Ikhlas daripada Afif El Nino dan blog kesayangannya ;)


26 July 2013

susah senang



Di tengah kesesakan bazar Ramadhan, dia duduk berduaan. Memegang tin di tangan kiri dan sebungkus tisu di tangan kanan. Setiap kali duit dimasukkan, tisu akan dihulur sebagai pemberian. Ada juga yang cuma menghulur duit tanpa mengambil tisu yang disediakan. 



Beberapa minit sebelum masuk waktu berbuka, anaknya yang kecil akan mula mengira. Mengira berapa pendapatan mereka. Pernah aku ikut mengira sekali dari tempat aku berniaga. Tak banyak mana. Dan anaknya akan pergi membeli makanan untuk mereka berdua. Mujur setiap hari ada manusia berhati mulia bersedekah makanan percuma. Hanya Tuhan mampu membalas itu semua.


Susahnya hidup mereka bila kebanyakan manusia cuma menjeling menyangka mereka diupah ejen untuk mengemis macam dalam berita. Itu memang ada, tapi tak semua. Ada yang betul-betul terpaksa mengemis sebab tak mampu bekerja tapi perut mereka harus diisi juga. Kasihan mereka. Kerana nila setitik habis rosak semua susu sebelanga.


Seorang ibu tua yang cacat penglihatan dan anak kecil hidup dalam serba kekurangan. Terpaksa mengemis untuk sesuap makanan. Itu kisah nyata kehidupan. Itu cerita yang selalu kita nampak tapi tak pernah kita perhatikan.


Saat orang kaya berbuka mewah dengan pelbagai makanan di atas meja, mereka cuma mengemis sisa. Saat orang kaya boros berbelanja Hari Raya, mereka cuma menatap hiba. Sabarlah ya. Semoga pahala yang kamu kumpul yang tak nampak di mata akan buat kamu manusia paling kaya di akhirat sana.


ps : Kita hidup dalam kesenangan jadi bersyukurlah pada Tuhan. Tak susah pun, kan? ;)



22 July 2013

pemadam dan pensil



Aku terbaring dengan earphone di telinga. Lagu terpasang dengan tahap bunyi maksima. Aku perlahankan sekejap sebab azan Asar bergema. Kemudian aku kuatkan semula.


Tengah sedap layan kepala tiba-tiba katil bergegar seketika. Bukan gempa bumi tapi satu mesej diterima. Buka. Baca.




"Kau dah putus ke?"
"Ya."
"Kenapa?"
"Panjang cerita."
"Panjang ke malas nak cerita?"
"Dua-dua."
"Tak cuba rujuk semula?"
"Dah tak ada jodoh agaknya."
"Maafkanlah dia. Beri dan terima. Sebab itu pemadam dan pensil ada."



Gila. Motif nak kaitkan pemadam dan pensil dengan hati dan jiwa? Mesej itu aku biar terpampang di skrin kaca yang bernyala. Betul kata dia. Tapi aku malas nak balas sebab sejak beberapa hari yang lepas hubungan aku dengan suasana sepi semakin mesra. Kesunyian buat aku hidup semula.


Tak salah apa dia kata. Pemadam dan pensil ibarat dua manusia bercinta. Bila pensil buat salah, pemadam padamkannya. Tapi sampai bila? Pemadam sampai satu tahap akan menipis dan lenyap juga. Pemadam yang pada asalnya putih melepak menjadi hitam di merata-rata. Pensil yang buat salah tapi pemadam yang tanggung semua.


Aku pemadam yang dulu percaya pensil tak akan banyak buat salah. Tapi aku salah. Aku padam sampai badan aku patah. Aku padam sampai aku parah. Sudahlah. Malas nak fikir dah.


Pejam mata cuba untuk lena. Biarlah aku tidur seketika. Cuma dengan tidur aku dapat lupa perkara yang buat aku sakit kepala dan jiwa.


ps : Kepercayaan itu macam kertas. Sekali kau ramas, ia tak cantik macam yang lepas ;)


 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...