My Dongsaeng. My Oppa. My Noona.

Showing posts with label Funniest Home Video. Show all posts
Showing posts with label Funniest Home Video. Show all posts

28 November 2014

hadiah kahwin



Kisahnya begini. Aku pergi beli hadiah tadi. Minggu ini ada 3 orang kawan bakal jadi raja sehari. Salah seorangnya geng rapat sendiri. Jadi niatnya nak kenakan kawan ini. Jadi aku belilah jam loceng warna warni. Dua hadiah lain hadiah cliche yang selalu orang bagi.




Jadi bila sampai rumah bertungkus lumuslah membalut hadiah. Dah beli sepuluh helai kertas balut hadiah warna cerah. Tiga-tiga hadiah tadi dimasukkan ke dalam tiga kotak kasut sama saiz yang tersimpan lama dah. Lalu ketiga-tiga kotak tadi dibalut dengan penuh hemah. Okay siap sudah.


Tapi timbul satu masalah yang tak disangka. Aku tak ingat kotak mana yang ada jam loceng sebenarnya. Jam loceng yang aku dah 'set' untuk berbunyi pukul 3 pagi pada malam pertama. Dah lah berat tiga-tiga kotak tadi seakan sama. Kalau kocak pun tak rasa gegar sebab aku dah sumbat banyak kertas surat khabar sebab nak penuhkan ruang yang ada. Serius aku lupa.


Kalau hadiah itu memang sampai dekat orang yang aku tuju tak apa. Baguslah sebab memang dia kena. Tapi kalau terbagi dekat kawan yang tak rapat sangat macam mana? Kan dituduhnya aku tak ada sensitiviti walaupun dia memang tahu aku gila-gila. Kalau dia kata aku cemburu lagi hina aku rasa. Mesti dia perasan aku minat dekat isteri dia. Tapi kalau nak buka balik hadiah untuk periksa semula memang mustahil rasanya.


Jadi, di sini, aku susun sepuluh jari. Maaflah kalau malam esok tiba-tiba ada bunyi jam masa pengantin tengah lena tidur atau masa tengah 'bergusti'. Anggaplah itu persediaan untuk jaga bayi yang Insyaallah akan lahir nanti. Sesungguhnya segala kesulitan amatlah dikesali.


ps : Aku bagi hadiah sekali bendera Malaysia. Tanda anda sudah Merdeka ;)


31 October 2014

motif?



Kahwin memang sedap kan? Ada pasangan. Ada orang jaga pakaian, makanan, minuman. Kawan aku sendiri yang dah kahwin pernah pesan,


"Kahwin la No. Sedap wei. Kau pegang tangan bini kau, dapat pahala. Kau peluk cium dia, dapat pahala. Bersetubuh pun dapat pahala wei. Tak perlu dah nak 'Look Around' Wechat cari ayam. Kahwin je bro."


Aku anggukkan saja. Sedapnya. Ada sikit rasa cemburu tapi takkan nak tunjuk semua.




Betullah memang bila kahwin nak buat apa-apa tak ada halangan. Nak bercium ke berpeluk ke buatlah sebab memang dah dapat kebenaran. Cuma perlu ke tunjuk dekat semua kawan-kawan? Ini bukan cerita kawan aku dekat atas tapi kisah kawan lain yang dah lama aku pendamkan.


Aku suka tengok pasangan yang update status tengah makan dengan pasangan dia dekat restoran sekian-sekian. Aku kalau boleh nak 'Like' banyak kali bila ada pasangan yang letak gambar dia sekeluarga dengan anak-anak tengah main dekat taman permainan. Memanglah sedap bila dapat banyak komen puji-pujian. Memanglah sedap bila dapat banyak 'Likes' dan rasa diperhatikan. Tapi kalau sampai benda dalam selimut pun nak diceritakan, rasa meluat orang yang tengok pun timbul perlahan-lahan.


Motif apa tulis berapa round main semalam? Motif apa bagitahu 'burung' suami boleh masuk berapa dalam? Motif apa letak gambar kain batik dan kain pelikat dekat hujung tilam? Aku bukan marah tapi geram.


Benda-benda macam ini bahaya. Kalau ada orang cemburu tak apa, tapi kau secara automatik buat orang berfantasi lebih jauh dari sepatutnya. Sebab lelaki dia tak baca saja-saja. Biasanya dia akan terbayang apa dia baca. Kalau tak takkanlah cerita Cikgu Suraya boleh jadi popular masa 10 tahun lalu di kalangan remaja.


ps: Sebulan blog tak berupdate. Sibuk dengan duniawi. Sorry ;)



18 July 2014

jujur



Dulu masa kecil mama pernah bacakan aku buku cerita. Kisah seorang lelaki yang kehilangan kapak dalam sebuah tasik yang sangat dalam airnya. Tahu cerita dia?


Pada zaman dahulu...


Dulu, setiap cerita mesti bermula begitu. Mungkin dengan ayat itu boleh buat budak-budak naif macam aku percaya cerita itu memang betul-betul berlaku.




Pada zaman dahulu ada seorang lelaki yang kerjanya menebang pokok di dalam hutan. Satu hari kapaknya terjatuh di dalam tasik berdekatan. Lelaki itu mati akal tidak tahu apa yang harus dilakukan.


Tiba-tiba timbul pari-pari yang jelita. Pari-pari itu bertanya kepada lelaki tadi kenapa dia bermuram durja. Lelaki itu pun menceritakan segalanya. Pari-pari itu kemudian masuk ke dalam air dan keluar semula dengan satu kapak perak dan bertanya kepada lelaki tadi adakah ini kapaknya. Lelaki itu menggelengkan kepala.


Pari-pari itu masuk semula ke dalam air dan keluar dengan satu kapak emas bercahaya. Sekali lagi pari-pari itu bertanya kepada lelaki tadi adakah ini kapaknya. Dan sekali lagi lelaki itu menggelengkan kepala.


Kali ketiga, pari-pari keluar dengan satu kapak buruk yang sudah tua. Dia bertanya kepada lelaki tadi adakah ini kapaknya. Lelaki itu menganggukkan kepala. Maka pari-pari itu menghadiahkan ketiga-tiga kapak kepada lelaki tadi atas kejujurannya.


Untuk beberapa tahun semasa aku kecil aku disogok dengan cerita ini. Ia seakan sebati. Macam kulit dan isi. Tapi mama ada hantar Whatsapp tadi...


"Jangan jujur sangat dengan orang. Nanti orang ambil kesempatan..."



Aku bingung sejenak.
Sebenarnya nak kena jujur ke tak?


ps : Al Fatihah kepada mangsa MH17 beragama Islam dan rakyat Palestin. #PrayForBoth :'(



29 January 2014

galau



Dekat Facebook aku 'diinvite' dalam satu group oleh seorang kawan. Group apa tak perlulah aku sebutkan. Bukan group bukan-bukan. Orang nak add jadi aku biarkan. 



Jadi kadang-kadang keluarlah post-post dari group tersebut dekat Home Facebook aku. Ada yang aku komen sebab aku rasa perlu. Tapi sejak minggu lepas group itu macam ada trend baru sampai aku sanggup baca balik post-post terdahulu. Trend post jiwang tapi mood pilu. Aku scroll dan scroll atas rasa ingin tahu. Manalah tahu dapat idea untuk entry lain dari post-post itu.


Group ini ramai budak-budak sekolah. Sekolah rendah, sekolah menengah, yang dah habis sekolah dah. Tak kisahlah. Yang dikisahkan ialah mereka pakat upload gambar bercinta atau status duka lara yang amat pasrah. Okay aku faham semua orang ada perasaan dan perasaan bercinta memang indah. Tapi kalau kau darjah dua kau nak bercinta apa jadah?


Ada yang baru darjah empat dah putus cinta. Kemudian buat status panjang-panjang cerita kenangan lama. Siap tulis "Hidup ini dah tak ada makna." Aku garu kepala walaupun tak gatal mana. Bercinta sangat kononnya. Kau dating dekat mana? Minum dekat kantin kongsi gelas sama? Duduk berdepan dekat meja batu Pusat Sumber sambil mata bertentang mata? Potong dua pemadam Staedler sebagai tanda setia? Tulis surat cinta kemudian letak bawah meja? Bulu pun tak tumbuh lagi sibuk nak bercinta. Emo kejap aku sebab tak boleh terima. Aku dulu darjah empat sibuk main Digimon pergi 'Battle' sini sana, tak ada istilah cinta-cinta semua.


Yang aku kagum budak sekolah menengah tak menonjol sangat dekat situ. Mungkin sebab budak sekolah menengah lebih matang dan sudah tumbuh bulu. Jadi mereka lebih gemar pendam daripada luah apa yang terbuku. Atau mungkin mereka tahu malu.


"Ini Facebook aku jadi ikut suka aku lah nak post apa." Aku yakin itu jawapan yang akan budak itu bagi kalau aku tanya. Jadi aku diamkan saja. Semoga Dayana ke apa nama budak yang kau sebut dalam post itu akan baca dan faham perasaan seorang jejaka tampan rambut pacak pakai baju Kpop yang terluka. Satu lagi abang syorkan adik buang nama 'Sasuke' dekat nama Facebook adik supaya adik dapat tackle Nora Danish atau Izara Aisyah pula.


ps : Abang tujukan lagu Bahagiamu Deritaku dan Hanya Aku untuk adik ;)



31 December 2013

selamat tinggal 2013



2013 melabuh tirai. 2014 sudah melambai. Terlalu banyak kenangan tahun ini untuk dihurai. Ada kegagalan yang menghentam sampai ke lantai, dan ada kejayaan yang dicapai. 


Apa yang paling diingati ialah tahun ini aku berjaya tamatkan pelajaran. Dengan izin Tuhan, segenggam ijazah bakal dalam tangan. Sekarang aku cuma tunggu hari konvokesyen yang dijadualkan tahun depan. Syukur Alhamdulillah atas rezeki dan kemudahan yang Dia berikan.


Kejayaan entry blog ini terpilih masuk dalam Harian Metro juga satu pencapaian yang tak dijangka sama sekali. Terima kasih saudara saudari. Ada sedikit kekeliruan bila aku post berita blog aku masuk surat khabar malam tadi. Sebenarnya blog ini masuk surat khabar pada bulan Februari. Kalau nak baca entry tersebut sila tekan sini. Segala kesulitan amat dikesali.


Dalam suka ada duka. Tahun ini aku kehilangan beberapa insan yang aku sanjung mulia. Ibu Arif, Paih Ayoh dan Pojie Ekzos yang pergi untuk selamanya. Ibu Arif antara ibu terbaik yang pernah aku jumpa. Layanan mesra beliau setiap kali berjumpa tak akan aku lupa. Paih Ayoh yang selalu bagi nasihat supaya aku jangan selalu kejarkan dunia. Dan Pojie Ekzos yang pernah jadi rakan sekerja. Aku ingat lagi bila dia bagi aku 5 modem Internet secara percuma. Dia langsung tak berkira. Sayang mana pun aku pada kalian atas dunia, Dia lebih sayangkan kalian sebenarnya. Semoga kalian semua bersama orang beriman di sana.


Walaupun aku rasa tahun ini bukan tahun paling baik untuk aku, tapi aku bangga dapat kawan-kawan baru. Ramai sangat kalau nak tulis satu per satu. Untuk warga ICT Pejabat Agama Kuala Terengganu tempat aku praktikal dulu. Junior-junior kolej aku. Para peniaga bazar Ramadhan Chendering masa bulan puasa hari itu. Followers baru di blog, Facebook, Instagram dan Twitter yang dengan rela hati follow aku walaupun aku post benda merapu. Semoga perkenalan kita ini akan mengeratkan ukhuwah kita selalu. Mungkin jodoh aku ada dalam senarai kawan baru ini juga mana kita tahu, tak gitu?


Ini adalah entry terakhir untuk tahun ini. Jika diizinkan lagi, tahun depan aku akan tulis lebih banyak entry yang lebih sensasi. Ayuh jauhkan kontroversi, dan tingkatkan prestasi.


ps : You made me laugh. You made me cry. It's time to move on. Goodbye 2013 ;)

26 December 2013

relakan jiwa



Mia sayangku, maaf kalau surat ini mengganggu. Kalau Mia nak tahu, Anis dah suka Mia sejak pertama kali kita jumpa dulu. Ingat tak hari itu, Anis jumpa Mia jalan-jalan dekat taman dengan Sue? Sejak itu Anis dapat rasakan sesuatu.


Oleh sebab rumah Anis depan rumah Sue, Anis selalu tunggu Mia depan pintu. Anis rindu. Tapi Mia tak tahu. Cuma Anis takut Sue tuduh Anis perampas sebab tikam belakang dia dulu. Namun Anis harap sangat Mia faham perasaan yang Anis pendam dekat Mia sayangku.


Mia tahu tak betapa pilunya Anis rasa bila Sue dengan selamba peluk Mia depan Anis dan kawan-kawan semua? Mia tahu tak Anis rasa cemburu sangat bila Sue dapat cium Mia sepuas-puasnya! Hati Anis terluka. Walaupun Anis dan Mia sama jantina, tapi cinta itu buta. Mungkin Mia tak faham apa Anis rasa, tapi Anis harap Mia tahu betapa Anis cintakan Mia saja dalam dunia. Mia dengarlah lagu Relakan Jiwa nyanyian Hazama sebab lagu itu mengerti apa yang Anis rasa.



Ingat tak Anis pernah ajak Mia masuk bilik Anis kononnya cakap nak buat kerja? Tak ada kerja pun sebenarnya. Anis saja reka cerita. Anis nak berdua-duaan dengan Mia saja. Tanpa gangguan sesiapa. Kemudian Anis baring atas katil dan panggil Mia dengan suara manja. Anis nak Mia tergoda. Kita bertentang mata. Anis tarik Mia naik atas katil dan Mia rebahkan kepala dekat dada Anis yang tak pernah disentuh mana-mana lelaki dalam dunia. Dada Anis cuma untuk Mia tercinta. Indahnya dunia! Mia buat Anis bahagia walaupun seketika.


Pagi tadi Anis dah nekad nak bagitahu Sue apa yang Anis rasakan. Anis dah buat keputusan. Anis tak nak jadi kawan yang tikam kawan. Kami duduk di meja makan. Kemudian Anis jelaskan perlahan-lahan. Anis bagitahu Anis sayangkan Mia lebih dari seorang kawan. Kemudian Anis bagitahu Sue yang Anis nak bercinta dengan Mia kalau dia izinkan. Tiba-tiba Anis nampak Sue layangkan tangan...


"PANG!!!"


Anis kena lempang! Kuat sangat Sue lempang sampai berdengung gegendang. Sakit sangat Sue lempang Anis sayang. Kemanjaan dan kecomelan Anis dari lahir terus hilang. Kemudian Sue bilang...


"Mia tu kucing la bangang! Kau gila ke nak bercinta dengan binatang!"


Semua orang tengok tragedi itu. Anis tutup muka dengan tisu. Sakit dan malu menjadi satu.


ps : Ketandusan idea. Cerita ini rekaan semata-mata. Tak tahulah kalau ada orang percaya ;)


 

02 December 2013

rest in peace



Aku baru lepas kena hentam. Semua sebab aku letak gambar dekat Instagram semalam. Gambar Paul Walker meninggal tapi aku tulis RIP ataupun Rest In Peace dekat dalam. Katanya itu haram. Katanya itu salah di sisi Islam. Dia suruh aku padam.




Ya aku salah. Kalau nak tegur pun tegurlah. Aku tak kisah. Kita dah besar jadi tak payahlah nak marah-marah. Islam itu agama yang mudah. Jadi menegur pun biarlah berhemah.


Aku tak kenal sangat dia. Kawan dekat Facebook dan Instagram saja. Yang aku tahu dia bercinta. Kekasih dia orang Selangor rasanya. Dia orang Terengganu sama macam aku juga. Aku pernah tengok Facebook kekasih dia. Ada album gambar dia berdua. Berpelukan mesra. Berpegangan tangan menunjukkan cincin besi tanda setia.


Aku boleh nak tanya tapi biarlah aku diamkan saja. Dalam sibuk dia berkata mendoakan RIP untuk orang bukan Islam itu haram mungkin dia terlupa bersentuhan lelaki dan perempuan juga haram sebenarnya. Mungkin dia lupa. Dia kan Melayu macam kita semua yang mudah lupa. Lagipun bukan jenis aku berlawan dalam alam maya. Nak lawan kita jumpa. Duduk semeja cakap apa yang tak kena. Siapa kalah belanja. Habis cerita.


Kadang-kadang kita terlalu sibuk tengok orang lain pakai apa. Bila nampak ada yang tak kena kita ketawa. Nampak saja baju orang lain koyak terus kita gelak gila-gila. Tapi kita tak sedar belakang kita koyak juga. Sebab itu kita perlukan cermin dalam hidup kita.


ps : Afifelnino. Itu Instagram aku. Followlah. Mohon sebarkan ;)


28 October 2013

seperti dulu



Masa itu tahun dua ribu. Aku darjah lima kelas nombor satu. Tak ramai lelaki dalam kelas aku. Dalam kelas aku ada tiga orang budak perempuan yang aku rasa comel dan ayu. Yang dua orang itu memang ayu, yang seorang lagi itu nama dia Ayu. Jadi ada tiga orang ayu. Aku tak perasan semua itu sampailah ada seorang senior darjah enam suruh aku kirim salam dekat salah seorang dari mereka itu. Penakut nak mampus senior aku. Badan besar macam batu, pakai pensil warna Luna tapi nak kirim salam pun malu.


Aku suka dekat seorang budak perempuan. Kami sekelas tapi setiap kali aku tegur dia macam tak berapa layan. Dia pengawas perpustakaan. Aku pergi perpustakaan sebab nak tengok dia depan-depan. Aku cuma pinjam buku kalau dia bertugas dekat kaunter pinjaman. Crush tahap gaban.




Masa itu telefon rumah saja yang ada. Telefon bimbit tak ada lagi orang guna. Kalau ada yang guna automatik dia dilabel orang kaya. Pertama kali aku tanya nombor telefon rumah dia, aku bagi alasan nak tanya kalau-kalau cikgu ada bagi kerja. Beratus kali aku berlatih dialog nak tanya nombor telefon dia. Saat ini aku sedar kadang-kadang kita kena menipu kalau nak berjaya.


Dia tulis nombor atas satu kertas putih. Aku simpan elok-elok macam surat dari seorang kekasih.


Tiba hari Sabtu. Banyak kali juga aku angkat dan letak ganggang telefon rumah aku. Rasa takut datang bertalu. Akhirnya aku tepis semua rasa ragu, aku tekan nombor atas kertas putih itu satu per satu.


Panggilan aku dijawab seorang lelaki yang aku yakin ayah dia. Dia tanya nak cakap dengan siapa. Aku kata nak cakap dengan anak dia. Dia tanya nak buat apa. Aku terus letak sebab aku rasa takut gila. Rasa macam nak meletup dada. Mungkin sebab masa itu aku budak-budak jadi aku rasa semua mak ayah garang macam singa.


Aku rasa budak-budak hari ini rugi. Mereka tak pernah rasa debaran luar biasa bila panggilan yang mereka buat dijawab oleh orang yang mereka paling takut sekali. Rugi sebab crush mereka mudah sangat didekati. Boleh add Facebook kemudian chat tanpa henti. Boleh call handphone yang sah-sah akan dijawab oleh crush mereka sendiri.


Aku rasa budak-budak yang hidup di zaman sebelum tahun 2000 saja yang akan faham entry ini. Zaman yang belum dikuasai teknologi. Zaman terakhir permainan batu seremban dan guli. Hari ini tak ada lagi.


ps : Rasa nak balik pada zaman itu semula bila teringat kenangan lama ;)


05 August 2013

selamat hari raya



Dalam rancak menulis entry mungkin ada yang terasa hati. Mungkin ada perasaan yang disakiti. Bahkan tak mustahil kalau ada yang terganggu emosi. Mungkin ada sampai tahap membenci.


Dalam rancak bercerita mungkin ada tersalah kata. Mungkin ada terkeluar ayat-ayat yang tak sepatutnya. Mungkin ada terpandang gambar yang menyakitkan mata. Mungkin terlalu kasar sampai tak bertegur sapa.


Dalam kita berjaga-jaga, kemalangan tetap terjadi juga. Sedangkan lidah yang dalam mulut sendiri boleh tergigit inikan kita yang tak ada kena mengena. Jadi saya dengan rendah diri dan luhur hati menyusun sepuluh jari atas semua khilaf yang ada. Itu semua salah saya.


I know this entry comes a lil bit early, but since I'm a lil bit busy so I need to publish this ASAP. I'm sorry.


ps : Selamat Hari Raya. Ikhlas daripada Afif El Nino dan blog kesayangannya ;)


02 July 2013

lelaki



Kami duduk keliling satu meja. 8 gelas air untuk 8 orang yang ada. Tak ada perempuan semua lelaki belaka. Dah lama tak jumpa jadi ada banyak benda nak dicerita. Lepak dan lelaki tak dapat dipisahkan sampai bila-bila.




Topik bola dibuka. Habis bising sampai satu kedai boleh dengar suara. Semua cuba pertahan pasukan mereka. Aku kutuk pasukan dia, dia balas semula. Habis keluar semua. Real Madrid banyak duit tapi tetap tak guna. Manchester United celaka. Permainan Barcelona bosan gila. Hebat Liverpool cuma pada nama. Chelsea ramai pemain hebat tapi main membabi buta. Dah macam perang dunia kedua.


Tiba-tiba topik beralih arah bila seorang dari kami mencelah.
"Aku rasa aku dengan awek aku tak boleh nak selamat dah."


Keadaan perang tadi tiba-tiba reda. Semua memerah otak nak cari jawapan bagi soalan yang ditanya. Ada yang garu kepala. Ada yang sampai sepet mata. Seperti satu mesyuarat tergempar sebuah syarikat yang akan jatuh muflis pada bila-bila masa.


Orang meja sebelah pandang kami. Mungkin pelik sebab keadaan yang tadi bising tiba-tiba sepi. Suara kami berbunyi tapi dalam nada serius sekali. Serius sebab ini masalah kawan kami. Tak guna jadi kawan kalau tak boleh tolong kawan sendiri.


Kebanyakan lelaki begitulah perangai dia. Bila dia gila, dia boleh gila-gila gila. Tapi bila dia serius, dia boleh jadi orang yang kau tak akan jangka.


ps : Lelaki tak cakap pasal awek masa lepak kecuali hal itu memang mustahak ;)

21 June 2013

kuih kuih



Selamat datang. Beli kuih bang? Nak apa bang? Itu cucur udang. Itu pengat pisang. Itu lemang. Yang ini nasi dagang. Karipap pun ada inti ikan, inti kentang. 



Itu aku dengar tiap pagi tiap hari. Kedai kuih sebelah kedai roti. Ramai orang beli tak kira perempuan lelaki. Yang ini beli itu yang itu beli ini. Jalan dekat situ tak sibuk pagi-pagi. Dan aku pergi sebab dia sekali.


Dia cantik macam Scha Al Yahya dalam Muzik-Muzik dekat TV3. Dapat tengok tapi tak boleh rasa. Badan dia mungkin 34-28-35. Tinggi lampai berbaju kebaya. Bertudung bersanggul di kepala. Selalu senyum dan lembut tutur kata. Rajin bekerja, pandai kira-kira, hormat orang tua, tahu mengurus masa. Itu aku kira hampir sempurna.


Sementara tunggu giliran, dia adalah hiburan. Ketawa riang, senyuman serta percakapan loghat Kelantan. Manja dia bukan mainan. Oh Tuhan, apakah ini jodoh yang Kau tetapkan? Untuk bertemu dia adalah keajaiban.


Tapi tadi dia tak ada lagi. Aku tanya mak cik dia mana dia pergi. Mak cik dia kata dia dah balik malam tadi. Minggu depan dia nak sambung belajar dekat universiti. Aku tanya universiti mana tapi mak cik dia tak pasti. Dia datang Terengganu pun sebab nak habiskan cuti. Tak apalah tak ada rezeki. Jaga diri dan jumpa lagi gadis misteri aka crush tiga hari.


ps : Kalau pelayan murah senyuman, orang dah kenyang pun rasa nak makan ;)

15 June 2013

putus



Aku dah lama dengan dia. Dua tahun nak masuk tiga. Lama gila. Sejak pertama kali jumpa dekat pasar malam aku dah rasa kami serasi bersama. 




Banyak dah kami kongsi. Masa aku kemalangan dulu dia yang selalu di sisi. Masa raya dulu pun dia selalu ikut rumah-rumah yang aku pergi. Dalam tandas awam pun pernah aku heret dia sekali. Itu belum campur hotel dan pusat karaoke yang pernah jadi 'port' kami.


Dulu masa mula-mula dengan dia, kawan aku dah kata kami mungkin tak kekal lama. Cara aku dengan dia berbeza. Dia macam kasar sikit sementara aku jenis lembut dalam banyak perkara. Sebab itu aku cuba pertahan dia sedaya upaya. Aku tak nak apa yang kawan aku kata jadi nyata. Aku tak nak putus sampai bila-bila. Selagi dia ada bersama, selagi itu aku setia.


Aku cuma merancang tapi Tuhan yang tentukan. Semalam di depan beberapa orang kawan, dia putuskan hubungan. Tiba-tiba personaliti aku dan dia macam diterbalikkan. Aku terlebih berkasar sementara dia lemah tak melawan. Dia yang buat keputusan. Dia putus tanpa sebarang alasan. Dan sekarang kami berbeza haluan. Semua kenangan indah dah aku tinggalkan.


Semalam aku jatuh tapi kini aku kembali bangun. Aku buat-buat tak nampak dia macam orang rabun. Katalah aku sekejam Firaun sekalipun. Ego aku dah naik dan tak akan turun. Pergilah kau sendirian tanpa rasa gerun. Selamat tinggal selipar Jepun.


ps : Yang patah tumbuh yang hilang berganti. Yang pergi biar pergi tak guna dinanti ;)

22 March 2013

masa masak



Ada orang pandai masak tapi tak ada masa. Dia pandai masak ikan tiga rasa tapi sebab selalu balik rumah lewat jadi nak masak pun terkejar-kejar jadinya. Tapi bila tak sibuk, dia pun menyibukkan diri dekat dapur siapkan apa yang dia suka. 



Ada orang tak pandai masak tapi banyak masa. Bila free dia pergi dapur tengok apa ada. Dia cari menu dekat mana-mana. Dia belajar daripada kosong tak tahu apa-apa. Dia masak, dia rasa. Dengan kerajinan yang dia ada, lama-kelamaan masakan dia akan sedap juga.


Ada orang pandai masak dan banyak masa. Mungkin dia tengah bercuti atau tak ada kerja. Bagi saja apa yang kau nak rasa, dia dah simpan semua cara dalam kepala. Dia tahu kalau nak masak sotong berlada, apa kena ada. Kau jangan ingat nak buat sotong berlada kena ada sotong dan lada saja. Membuat tak semudah menyebutnya. Kita nak memasak ye saudara, bukan mengeja.


Ada orang tak pandai masak dan tak ada masa. Nak belajar masak pun tak sempat sebab sibuk sangat katanya. Balik rumah pun dah senja. Hari minggu nak rehat dan tenangkan minda. Jadi dia cuma tahu pergi kedai kemudian bungkus saja makanan kesukaan dia.


Aku yang nombor dua agaknya. Aku tak pandai masak tapi ada banyak masa. Aku baru pandai masak dua menu yang aku suka. Menu apa biarlah rahsia. Kau kalau nak masak tapi malu nak bertanya, kau Google atau buka Youtube kemudian cari apa menu yang kau nak cuba. Dekat situ macam-macam ada.


ps : Mungkin ada lagi spesies lain selain empat di atas. Aku cuma tulis apa yang terlintas ;)


 

23 January 2013

wordless wednesday - twenty four




Ps : Dua puluh empat. Rasa macam masa berlalu cepat sangat ;)


30 October 2012

senior vs junior



Group universiti aku di Facebook dibuka. Ada satu post dari seorang junior perempuan meluahkan rasa. Dia kata ada senior perempuan sombong dan tak balas senyum yang dilemparkannya. Katanya lagi ada senior perempuan bergaduh dengan junior berebutkan cinta. Gila. Nisbah pelajar perempuan dengan lelaki dekat tempat aku ni 1:3 jadi kau nak berebut lelaki untuk binatang apa? Maka tidak hairanlah spesies lelaki dekat tempat aku ni nafsu macam kuda.



Untuk wall post dia, ratusan komen tiba. Senior perempuan mahu menjaga air muka, junior perempuan mempertahankan kerabat mereka, senior lelaki dengan lawak kononnya mereka lebih mulia dan junior lelaki diam sahaja. Takut agaknya. 




Senior sombong perkara biasa, tak kira jantan betina. Tapi bukanlah semua. Ada je senior yang baik gila. Hanya sebab seorang senior sombong, kau pun kelaskan semua senior sama. Buka mata. Dulu Jepun jajah kita tapi hari ini kita yang hari-hari tengok drama dia. Lagipun bukan seorang tu je senior yang kau ada. Carilah senior lain yang kau boleh beramah mesra bertepuk tampar bersama. Dalam universiti sebesar dinosaur ni yang kau kejar sangat senior tu kenapa?  Pandai sangat ke dia? Cantik sangat ke dia?


Tapi ada kemungkinan bukan salah junior tu juga. Senior sebenarnya tercabar dengan kehadiran ratusan adik-adik junior yang muda jelita bermodalkan aset artis seperti paras rupa, suara atau buah dada. Dan perempuan tak boleh ada orang lebih dari dia. Kalau kau naik motorsikal dia nak naik kereta. Kalau kau naik kapal terbang dia kalau boleh nak naik kapal angkasa. Perempuan dan drama memang tak akan dapat dipisahkan sampai bila-bila.


Adat belajar universiti, budak perempuan tahun satu memang lagi hot berbanding senior-senior mereka sebab mereka fresh lagi. Suara mereka masih belum bosan didengari, wajah mereka masih suci dan tahap kenakalan mereka masih misteri. Mereka umpama ABC yang baru siap dibuat dengan hiasan warna warni menunggu untuk diratah dan dihisap dan disedut dan dijilat oleh pembeli. Bayangkan di atas meja di sebuah warung dalam cuaca panas tengah hari, ada dua mangkuk ABC. Satu yang baru siap dibuat dan satu lagi ABC pagi tadi. Yang mana kau cari? Yang baru sampai atau yang sudah nak basi? Tapi rasa hot itu cuma sementara dan akan hilang bila masuk junior yang berikutnya nanti. Itulah yang dirasakan oleh senior mereka yang menyebabkan ada perbezaan antara dua darjat dalam universiti. Maka atas sebab inilah timbul rasa iri hati di kalangan senior perempuan yang mengundang permusuhan sesama mahasiswi. Amboi ayat aku macam pertandingan bahas peringkat IPT.


Tapi berbeza pula dengan pelajar lelaki. Pelajar lelaki masa tahun satu adalah loser sejati. Tapi pelajar lelaki tahun akhir adalah yang paling hot sekali. Tak hairanlah pelajar lelaki cari perempuan tahun satu dan pelajar perempuan cari lelaki yang nak habis study. Tahun depan aku tahun akhir jadi aku akan cuba dapatkan junior perempuan yang paling hot dan seksi macam Ani Mayuni. 


ps : Kalau kau nak tahu drama paling best sekali, kau patut tengok drama di universiti ;)



17 August 2012

ngeri di aidilfitri



Berdasarkan kisah benar. Sila skip jika anda sedang mengandung atau pesakit jantung.


Motor yang ditunggang oleh Hafiz dan Abu diperlahankan bila mana jalanraya kelihatan sesak. Hafiz yang berada di depan berdiri dan melihat sekumpulan manusia berdiri mengelilingi sesuatu. Mungkin ada kemalangan, cetus hati mereka. Mereka berdua menghentikan motorsikal di tepi jalan dan bergegas ke tempat kejadian.


Sukar untuk mereka menghampiri kumpulan tersebut tapi daripada apa yang didengari Abu, telah terjadi satu kemalangan ngeri sebentar tadi. 




"Dia lintas macam tu je. Waja tu pulak tengah laju nak balik raya, jalan long, tak sempat brake, terus langgar. Waja tu seret pulak dalam beberapa meter. Orang ramai yang lepak kat kedai tepi tu terus pergi tengok. Memang tak selamatlah kalau putus kepala. Hancur. Mata tinggal satu je, lidah terjelir, telinga putus. Daging dia bersepah atas jalan."


Naik bulu roma Abu mendengar cerita daripada salah seorang saksi. Dia mengusap-usap lengannya. Dia pantas mengajak Hafiz balik namun sahabatnya itu masih mahu megetahui hal sebenar.


"Kau tunggu sini kalau takut. Aku nak pergi tengok mayat tu. Mana tahu budak kolej kita ke..." ujar Hafiz sebelum meninggalkan Abu yang menunggu di tempat mereka meletakkan motorsikal tadi.


Hafiz kembali lima minit kemudian dengan muka mencuka. Abu mula risau. Hafiz terus menyekeh kepala sahabatnya itu.


"DIA LANGGAR KAMBING LA BINGAI!! BUKAN ORANG!! HAMPEH!!"


Hafiz memecut laju motorsikal mereka membelah gelap malam raya dan meninggalkan mangsa kemalangan ngeri itu.


ps : Selamat Hari Raya. Maaf zahir batin. Hati-hati di jalanraya ;)


22 December 2011

kisah kartun lama yang membesar bersama





Dulu mereka ini buat aku tak makan nasi. Dulu mereka ini buat aku tak mandi. Dulu mereka ini yang buat aku berani. Dulu mereka orang paling aku percaya sekali. Ini kisah kartun zaman 80-an hingga 90-an yang masih diingat sampai hari ni.



01 Power Rangers
Cerita dia paling panjang bagi aku. Daripada Power Rangers biasa, jadi ninja, jadi kereta, jadi ini, jadi itu. Dulu teringin sangat nak masuk dan kawal robot Power Rangers yang besar tu.


02 Suria Baja Hitam
Dia ada motorsikal yang laju. Dia ada tali pinggang yang boleh berpusing setiap waktu. Suria Baja Hitam atau Gaban ini sangat cool masa dulu.


03 Teletubbies
Bukan kartun kegemaran tapi terpaksa tengok sebab adik aku suka. Kisah empat teddy bear yang sebut "Ek Oooo" setiap masa. Semuanya comel-comel belaka.


04 Usop Sontorian
Mungkin ini cerita kartun Malaysia pertama yang aku suka. Kisah Usop dan kawan-kawannya yang gila-gila. Cerita yang mengajar betapa pentingnya kawan-kawan dalam hidup kita.


05 Sailormoon
Walaupun tajuknya Sailormoon, tapi Sailormars yang aku tunggu. Baju merah dengan rambut hitam panjang macam perempuan Melayu. Dia paling cantik di mata aku. "Sailormars, dengan kuasa bulan akan menghukummu!"


06 Tomatoman
Cerita ni dulu hari Khamis petang. Memang best walaupun heronya berkepala tomato dan berbadan orang.


07 Doraemon
Jangan kata cerita, buku Doraemon pun berlambak dekat rumah aku. Paling best bila Doraemon buat keluar alat baru. Dan Doraemon satu-satunya kucing yang aku tengok berwarna biru.


08 Keluang Man
Superhero pertama Malaysia. Cuma sampai hari ini aku tak tahu dia ni orang gila yang menyamar superhero atau superhero yang menumpang di rumah orang gila.


09 Thundercats
Cerita ni masa Maghrib tapi masa tu budak lagi jadi tak sembahyang pun tak apa. Bila pergi tadika esok mesti ambil pembaris lepas tu sebut "Thunder, Thunder, Thundercats" dan pukul sesiapa saja yang ada.


Sometimes, I wish I could go back in time and meet myself as a kid.


10 Dragon Ball
Cerita ni memang fenomena. Sebab aku sekolah hari Ahad jadi aku sanggup ponteng sebab nak tengok Goku menyelamatkan dunia. Tapi aku sebenarnya minat Bezita.


11 Ultraman
Ni memang favourite sampai bila-bila. Ultraman memang cool gila. Manusia biasa yang boleh bertukar rupa. Bukan setakat menjaga keamanan dunia malah juga keamanan angkasa raya.


12 Cybercop

Yang ni pun hebat juga. Kerja polis tapi bila ada raksasa terus jadi superhero yang senjata dia keluar dari bawah jalan raya.


13 Crayon Sin Chan
Dulu aku tengok cerita ni sebab dia kelakar gila. Tapi yang aku pelik kadang-kadang ayah aku tengok juga. Sekarang baru aku tahu cerita ni ada terselit lawak lucah di sebaliknya.


14 Dash Yonkuro
Ni cerita main kereta lumba. Masa ni aku siap beli lagi kereta jenama Tamiya. Kira original la. Siap pasang aksesori lepas tu ajak kawan-kawan berlumba.


15 Digimon
Ni kartun NTV7 yang buat aku simpan duit untuk beli game dia. Game kecik yang kena bela Digimon sampai dewasa. Siap bagi makan dengan bersihkan tahi dia. Lepas tu 'Battle' dengan kawan-kawan yang ada. Bila Digimon mati kena bela semula.


16 Slam Dunk
Ni kartun bola keranjang yang sangat panjang jalan ceritanya. Aku masa tu dalam dilema nak pilih watak Kaede Rokawa yang cool atau Hanamichi Sakuragi yang gila-gila.


17 Kampung Boy
Kisah Mat dan keluarganya. Dulu tak tahu pun cerita ni menggambarkan negara Malaysia. Sekarang bila besar baru tahu di mana kehebatan cerita ni sebenarnya.


18 Tom and Jerry
Kucing dengan tikus yang kerja dia berlari dan bergaduh tapi tak mati-mati walaupun kena bom ataupun kena hentam dengan dengan tukul besi. Sekarang pun kalau Astro siar Tom and Jerry aku mesti tengok lagi. Aku rasa sampai aku ada nanti pun Tom tak akan dapat tangkap Jerry ni.


19 Toy Story
Sebab cerita ni aku jadi sayang dekat barang mainan aku. Sebab cerita ni aku buat katil untuk mainan-mainan aku.


20 Transformers
Dulu takde Transformers sebenar macam hari ini. Dulu kartun je tapi lagi best sebab watak dia ramai lagi. Cuma dia cakap bahasa Inggeris jadi kena translate sendiri.


Untung budak sekarang ada Astro Ceria. Kartun ada setiap masa. Tapi perasaan tengok kartun bila-bila masa dengan menunggu seminggu sekali tak sama. Debarannya berbeza. Dulu tidak ada Detektif Conan, Upin Ipin, Boboiboy, Ben 10 atau Spongebob yang boleh ditonton bila-bila masa. Tapi sebab tak boleh ditonton bila-bila masa itulah budak-budak yang tengok kartun zaman dulu belajar menepati masa. Sekarang kalau tertinggal pun boleh tengok ulangan dia.


ps : Masih pelik macam mana Spongebob nyalakan unggun api dalam laut ;)




09 December 2011

kenapa anda perlu tengok running man





Kalau anda baca entry setahun yang lalu pasti ingat ada entry yang mengatakan drama Jepun lebih hebat berbanding drama Korea. [Baca sini] Entry itu ditulis dengan penuh benci terhadap cerita-cerita Korea. Dan selepas beberapa hari satu amaran diterima. Ayatnya ringkas sahaja. "Jangan terlalu membenci kerana mungkin timbul rasa sayang di sebaliknya."



Dan hari ini entry itu berkocak. Kekaguman pada drama Jepun sendikit tersentak. Bermula dari satu topik semasa lepak aku akhirnya terjebak. Aku tidak layan drama atau filem Korea kerana hanya Running Man yang aku nampak. Bukan terlalu fanatik tapi variety show ini memang memberi impak.


Running Man at channel 393 Astro or kshownow.net


Anda tidak perlu tahu Kpop atau belajar bahasa Korea. Anda tidak perlu faham apa itu 'Hwaiting' atau 'Kamsahamnida'. Anda cuma perlu tengok dan ambil pengajaran di sebaliknya.


01 Release tension
Ini punca utama ramai menonton rancangan ini. Anda cuma perlu duduk dan tengok setiap aksi. Dengan 'effect' yang melampau, anda akan ketawa berkali-kali.


02 Belajar cara selesaikan masalah
Dalam setiap episod ada misi yang perlu diselesaikan. Misi yang memerlukan ahli Running Man dan penonton menggunakan akal dan tumpuan.


03 Jangan terlalu percayakan orang lain
Ada misi yang memaparkan realiti kehidupan. Realiti kekasih diambil orang, rakan yang gemar tikam dari belakang, susah dahulu senang kemudian.


04 Tidak bersambung-sambung macam drama
Anda tidak perlu menontonnya setiap minggu seperti drama. Kerana kebanyakan episodnya tidak bersambung kecuali beberapa episod istimewa.


05 Belajar cara nak 'ayat' pasangan
Ada beberapa ayat di dalam cerita ini yang mampu menawan hati. Beberapa potong ayat itu juga ada dibawa masuk ke dalam blog ini.


06 Jangan menilai seseorang dari luaran
Pengikut cerita ini pasti sedar beberapa watak yang 'lemah' sekarang sudah menampakkan kelainan. Mungkin benar pengalaman mematangkan fikiran.


07 Tetap ada sisi lembut di sebalik ganas wanita
Hanya satu watak wanita yang kelihatan agak ganas dan berani. Tapi di sebalik semua itu dia sama seperti wanita lain yang tak lari dari perang emosi.


08 Setiap orang ada kelemahan tersendiri
Jangan ingat lelaki skema tidak berani mencuba. Dan jangan ingat lelaki berbadan sasa tidak takut apa-apa.


09 Perbezaan tawa wanita dan tangisan lelaki
Wanita bila ketawa nampak lebih bersinar dan ceria. Tapi berbanding wanita, air mata lelaki lebih bermakna. Cuma plotnya bukan seperti Akademi Fantasia.


10 Lawak spontan lagi best daripada lawak buatan
Bandingkan lawak dalam Running Man dengan Maharaja Lawak Mega. Antara lawak yang dibuat-buat atau yang berlaku dengan sendirinya. Yang mana lebih menarik anda rasa?


Entry ini ditulis tanpa rasa bongkak. Bukan untuk membanding siapa hebat siapa tidak. Pasti nanti ada orang kata aku terpengaruh tapi aku tidak kisah dan hati tidak membengkak. Malah mungkin ada kesabaran peminat drama Jepun berkocak tapi aku cuma cerita apa aku nampak. Aku tidak tahu drama Korea lain tapi bagi aku, Running Man Daebak!


ps : Kita hidup di zaman persaingan drama dan yang untung sebenarnya kita ;)




05 November 2011

tribute to lembu yang dijadikan korban





Kereta dipandu berhenti di satu persimpangan
Merah menyala lampu isyarat dinyalakan
Beratur panjang kenderaan dalam satu barisan
Terpandang kau sendirian di seberang jalan
Buat beberapa detik mata kita bertentangan
Senyuman yang aku lempar kau tidak endahkan
Aku faham kau dalam kesedihan
Raut wajah kau menggambar kedukaan
Mahu sahaja aku memeluk kau sayang
Aku cuba memahami sedih yang kau pendamkan
Aku cuba selami sayu yang kau sorokkan
Tapi aku gagal dalam kesamaran
Bila kau dijadikan simbol kebodohan
Bila kau dijadikan papan tanda tepi jalan
Kau hebat sebenarnya sayang
Dan kau juga tidak bodoh sayang
Bila manusia tiada rasa perikemanusiaan
Bila bapa meliwat bayi yang berusia beberapa bulan
Bila ibu membuang zuriat yang dikandungkan
Bila abang memperkosa adik seperti syaitan
Bila anak tidak mengaku ibu bapa kerana lupa daratan
Di situ nyata kau lebih matang
Tapi manusia sombong kerana kecerdikan
Kau bodoh itu yang mereka pegang
Tapi kau hebat dalam kebencian
'Bodoh macam lembu' tidak boleh diguna lagi sekarang
Kalau kau bodoh kenapa daging kau yang manusia makan?




ps : Tribute to lembu yang dijadikan korban. Selamat Hari Raya Aidiladha ;)




28 October 2011

tragedi ngeri di sekolah selain belajar





01. "Cikgu tandas!" Dari sekolah sampai sekolah menengah, ayat ni memang famous.


02.
Hari pertama masuk kelas, cepat-cepat cari kerusi kayu. Aku memang suka
duduk kerusi kayu sebab boleh buat kaki dua. Faham ke kaki dua macam mana?


03. Mesti jalan perlahan-lahan depan tandas perempuan. Tak kira tandas pelajar
atau cikgu perempuan. Curi-curi tengok sikit. Nak bagi cerah mata.


04. "Siapa rasa jawapan dia A, angkat tangan." Usha sekeliling dulu. Kalau ramai
angkat, aku pun angkat.


05. Bila rasa nak pergi tandas masa peperiksaan, pemeriksa tu cakap ada orang dah
pergi jadi kena tunggu. Tunggu punya tunggu tak balik-balik. Stress giler!


06. Buat perancangan rapi nak curi buku teks budak yang aku tak suka bila kena
hantar buku teks sebab buku teks aku tak cukup.


07. Tandas ibarat syurga. Buang air, sorok barang bila ada spotcheck, tempat
lepak bila cikgu yang bosan mengajar, tempat tunjuk bakat melukis, tempat aku pertama kali tengok bentuk buah dada dalam versi lukisan walaupun hodoh lukisan tu, tempat luah isi hati sama ada sayang atau bencikan seseorang.


08.
Muka aku muka tandas. Sehari kalau tak pergi tandas macam tak lengkap.



09. "Jangan buka kertas soalan sehingga diberitahu." Arahan ni tak pernah aku
ikut. Sebab tu tak pernah dapat result yang okay kot.


10. Dulu, bagi aku, budak perempuan yang pakai stoking pendek, tudung singkat,
kain singkat, baju jarang adalah pelajar sekolah yang lepas habis sekolah, jadi Minah Rempit.


11. Suka ronda keliling sekolah. Bila terserempak dengan cikgu baru gelabah.
"Saya tengah cari cikgu blablabla..." Alasan yang meyakinkan.


12. Tak kira esok sekolah atau tak, aku tetap tidur lewat.



13.
Dalam kelas, dari aku Form 1 sampai Form 5 mesti ada kaki gosip. Dan yang
hebatnya, sepanjang 5 tahun tu juara kaki gosip kelas aku adalah orang lain-lain.


14.
Semua pelajar tengok semacam bila seorang budak yang pemalas tiba-tiba
bertugas. Sapu sampah ke, padam papan hitam ke. Bagi aku masa tu, bila orang jahat berubah jadi baik maknanya dia nak matilah tu.


15.
Tak pernah buat homework dekat rumah. Esok datang sekolah baru buat. "Dah
nama pun kerja sekolah, buat kat sekolah la!"


16. Dalam kelas, aku mesti baik dengan pelajar yang dalam pencil box dia ada
macam-macam. Daripada pen, pensil sampai gam, stapler semua ada. Biasanya budak perempuan la.


17.
Sakit hati yang teramat sangat bila tengah naik tangga sebab nak cepat tiba-
tiba ada cikgu berjalan dengan teramat perlahan kat depan. Serba salah nak potong ke tak.


18. Bila duduk rumah rasa nak pergi sekolah. Bila dekat sekolah rasa nak balik
rumah.


19.
Kalau masuk perpustakaan, atau bilik TV, dekat kerusi mesti dengan gigih
tulis "Afif El Nino was here!"


20. Hari pertama setiap sesi persekolahan : "Tahun ni aku nak belajar betul-betul, tak nak
main-main dah!" Okay, benda ni tak pernah jadi kenyataan.


ps : I miss school. Petang ini bertolak ke Shah Alam untuk Final Piala Malaysia ;)





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...