My Dongsaeng. My Oppa. My Noona.

Showing posts with label Pictures of The Day. Show all posts
Showing posts with label Pictures of The Day. Show all posts

30 September 2014

lima tahun




Matematik ialah subjek paling aku benci. Tapi subjek inilah yang aku kena belajar dari sekolah rendah sampai Degree. Aku lagi suka subjek Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris yang aku boleh tulis karangan sampai puas hati. Subjek Sejarah pun aku boleh terima lagi. Tapi dengan Matematik memang aku berkelahi.




Aku paling tak suka soalan Matematik berbentuk cerita. Contohnya, Azri ada beberapa ekor kura-kura. Azri jual 3 ekor kura-kura dekat jiran dia. Berapakah berat kura-kura mereka. Bunyi macam mengarut kan sebab aku reka tapi lebih kurang macam inilah soalan dia. Berangkai entah apa benda.


Aku memang suka tulis karangan. Aku selalu dapat 'A+' kalau kertas Bahasa Melayu Penulisan. Tapi masa sekolah dulu dapat 'A' Bahasa Melayu dipanggil kebiasaan. Orang pun tak bagi perhatian. Kalau kau dapat 100% pun orang tetap anggap biasa sebab itu Bahasa Kebangsaan. Sedih juga sebab orang macam tak bagi penghargaan.


Sebab itulah aku tulis blog yang kau tengah baca sekarang. Sebab dekat sini aku boleh tulis panjang-panjang. Aku boleh tulis bila aku bengang. Aku boleh luah bila aku sayang. Aku boleh tulis tak kira masa lewat petang atau bila subuh menjelang. Aku boleh tulis semua benda yang ada dekat negara orang sampailah kepada sekecil-kecil barang. 


Selepas genap lima tahun aku tulis dekat blog hitam ini, aku mula rasa dihargai. Rasa suka bila entry dan quotes dikongsi dekat Twitter dan FB. Suka bila entry dikritik apa lagi dipuji. Suka sebab orang baca tulisan aku dekat sini. Suka sebab kepuasan dia jauh lebih bermakna daripada dapat BM 'A' berkali-kali.


Selamat ulang tahu kelima. Semoga kita akan terus kekal bersama.


ps : Terharu sebab walau tak tulis selalu, ada orang yang tetap tunggu entry baru ;)


20 March 2014

result spm


Ada orang belajar gila-gila.
Tapi result biasa-biasa saja.
Ada orang langsung tak baca. 
Tapi result power gila. 
Itu bukti rezeki bukan di tangan kita. 


Banggalah dengan result yang kita ada. 
Walaupun warna-warni warnanya.
Banggalah sebab kita dah cuba.
Cuba bikin warnanya putih semua.
Cuba bikin semuanya cantik belaka.
Cuba bikin sehabis molek untuk masa depan kita.


Kalau nak menangis pun menangislah sepuasnya. 
Menangislah sampai lega.
Kemudian lap air mata. 
Berdiri semula.
Mulakan langkah pertama.
Dan kejar cita-cita.


Result kau seksi tak bermakna kau dapat survive dekat universiti.
Dah ramai aku jumpa dapat result taraf Lamborghini.
Tapi sayangnya tak sempat sampai ke destinasi.
Dan ramai juga yang aku jumpa result tahap basikal Fixie.
Malah ada yang result cuma tahap berjalan kaki.
Dan mereka berjaya sampai hari ini.


SPM bukanlah segalanya. 
Tahniah semua.


ps : HOPE. Hold On, Pain Ends ;)


15 March 2014

pray for mh370



 

Lama blog ini terbiar sepi. Maaf kalau ada yang buka tiap hari menunggu entry. Aku terlalu sibuk sampai makan pun dah tak cukup tiga kali sehari. Nak update blog apetah lagi.


Aku dah mula kerja sejak awal bulan tiga. Dah nak masuk tiga minggu tapi aku masih cuba sesuaikan diri dengan suasana. Tempat kerja baru dengan orang-orang yang tak pernah aku jumpa. Mungkin bila aku dah selesa aku dapat tulis blog macam dulu semula.




Sekarang aku asyik terfikir tentang kapal terbang MH370 yang hilang entah ke mana. Aku risau semua penumpang di dalamnya. Sihatkah mereka? Makankah mereka? Di mana mereka?


Bila aku tidur malam hari biasanya aku akan terjaga dalam pukul empat atau lima pagi. Terus aku capai telefon bimbit buka Twitter untuk tahu berita terkini. Manalah tahu kalau MH370 dah ditemui. Kemudian aku tidur kembali.


Aku tak ada kenal sesiapa dalam kapal terbang itu. Tapi risaunya aku sampai begitu. Dan aku pasti keluarga atau sahabat terdekat penumpang itu mesti jauh lebih pilu. Bila aku letak diri aku di tempat mereka pasti aku jadi sayu.


Aku tak akan berhenti berdoa supaya kapal terbang MH370 ditemui dan semua penumpang kembali semula. Aku mahu lihat keluarga yang menunggu sekian lama menyambut mereka dengan senyum tawa. Dan aku akan tumpang gembira.


ps : Mendaratlah seperti selalu. Aku tunggu. Kita lepak dan kau cerita semua yang berlaku ;)



18 February 2014

yang satu




Akulah raja. Kamu semua bala tentera yang boleh aku musnahkan sekelip mata. Yang satu aku mahu cuma takhta. Kekayaan umpama berhala yang aku sembah tiap masa. Ya aku raja! Semua benda aku dah cuba. Cuma dadah dan arak aku tak sentuh sebab aku rasa benda itu sia-sia. Selain dari dua itu semua aku dah rasa. 



Duit haram mencecah ribuan aku simpan. Aku bagi pada orang yang memerlukan. Bila mereka tanya mana aku dapat aku rahsiakan. Biarkan mereka berteka-teki sendirian. Aku habiskan duit aku untuk kereta dan perempuan. Kawan baik aku sendiri kata taraf aku rendah setingkat saja dari syaitan. Dan aku terima itu sebagai satu pujian.


Perempuan amat murah semurah batu. Aku akan dapat mana-mana perempuan yang aku mahu. Jatuhnya perempuan dalam tangan aku tak akan habis sampai di situ. Mereka tempat aku lepaskan nafsu. Mereka jamban tumpangan aku. Bila aku puas aku buang macam tisu.


Satu hari aku terfikir satu perkara. Aku terfikir dosa pahala. Kalau diletak atas penimbang nescaya bezanya berlipat ganda. Timbangan dosa aku amat berat sampai mencecah meja. Tidak, bukan meja. Dosa aku sangatlah berat sampai memecahkan meja dan jatuh di atas tanah dan lalu bersepah merata. Begitulah banyaknya. Bukan aku memandai-mandai tapi ini semua dosa aku dan aku tahu banyak mana. Dan pahala aku pula berterbangan di udara. Ringan dan amat sedikit nilainya.


Aku mula sedar sejak dari itu. Aku tinggalkan zaman jahil aku. Dulu bagi aku solat lima waktu itu memenatkan tapi hari ini aku sangat menyesal kalau tertinggal satu waktu. Kalau dulu rasa syukur dan berdoa itu cuma aku buat bila perlu tapi hari ini kedua-dua itu tak akan terlepas dari mulut aku. Ya Allah bodohnya aku dulu. Bodohnya aku kerana bangga dengan dosa-dosa aku.


Aku minta maaf kepada semua perempuan yang pernah aku mainkan. Aku tak tahu macam mana nak tebus tapi aku harap kamu semua maafkan. Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik itu yang pernah ustaz cakapkan. Dan perempuan yang baik itulah yang selalu aku mohon dalam doa yang aku aminkan. Cuma layakkah aku untuk dapat perempuan yang baik bila terkenang zaman silam aku yang cuma hitam kegelapan. Ya Allah berikanlah perempuan yang baik untuk lelaki jahat ini supaya ada tangan membimbingnya ke syurga yang diimpikan.


Ini kisah benar yang tuan punya badan minta namanya dirahsiakan.
Semoga dia terus kekal dalam iman.


ps : Kalau dosa itu berbau, pasti tiada manusia mahu mendekatiku ;)


08 February 2014

kerana bola



Sebenarnya
kalau ikut hati aku malas nak tulis pasal topik ini. Tapi sebab dah makin teruk aku tengok jadi aku tulis apa yang pernah aku lihat dengan mata kepala sendiri. 


Maaf sebab aku guna gambar liga luar negara. 
Aku dah cuba cari gambar pemain kita bermesra tapi tak jumpa.  


Hari itu kecoh kisah 'Misteri Terowong' di Stadium Larkin milik JDT. FAM dah putuskan kemenangan milik JDT hasil bantuan Irfan Ghani. Aku orang Terengganu terima keputusan dengan hati terbuka walaupun aku rasa keputusan itu tidak adil sama sekali. Di atas padang itu yang jadi. Tapi yang di luar padang lebih menarik lagi. Penyokong bergaduh sana sini. Tapi yang pelik kalau pergaduhan penyokong mesti berkait dengan JDT. Aku sendiri tak faham semua ini.


Semalam Pahang lawan JDT pun penyokong bergaduh sesama sendiri. Gaduh di luar stadium sampai berdarah sana sini. Yang dekat Facebook pun sakan memaki. Yang ini kata itu yang itu kata ini. Kemudian jadi benci.


Orang sibuk kata fans JDT buat hal. Tapi bukan semua fans JDT datang stadium nak cari pasal. Fans pasukan mana pun mesti ada segelintir yang bebal. Mesti ada segelintir nak tunjuk handal. Bukan JDT saja tapi setiap pasukan akan ada fans yang 'terlebih akal'.


Cuma satu aku minta. Janganlah sebab sebiji bola bulat kita bergaduh sesama kita. Apa kita dapat bila bertekak sini sana? Admin page dekat Facebook pun sama naik nak melaga-laga. Sepatutnya admin kena tenangkan pengikut dia, bukan keruhkan suasana. Provokasi dari pihak lawan perkara biasa. Kau main guli pun orang provoke inikan main bola lagilah gila-gila. Orang yang baru kenal bola saja tak tahan kena provoke oleh pihak lawan mereka. Pemain dekat atas padang lepas habis perlawanan elok bersalam bergurau senda. Yang kita dekat luar nak bertekak kenapa?


Tolonglah tak payah nak tunjuk hero pertahan pasukan sampai nak berkelahi sesama kita. Kita Islam bersaudara. Cukuplah orang politik bergaduh walaupun seagama. Jangan kita jadi bangang macam mereka. Tolong ya. Aku merayu dekat semua.


ps : Bola sepak dicipta untuk perpaduan, keamanan, bukan permusuhan, bukan kemusnahan ;) 



31 December 2013

selamat tinggal 2013



2013 melabuh tirai. 2014 sudah melambai. Terlalu banyak kenangan tahun ini untuk dihurai. Ada kegagalan yang menghentam sampai ke lantai, dan ada kejayaan yang dicapai. 


Apa yang paling diingati ialah tahun ini aku berjaya tamatkan pelajaran. Dengan izin Tuhan, segenggam ijazah bakal dalam tangan. Sekarang aku cuma tunggu hari konvokesyen yang dijadualkan tahun depan. Syukur Alhamdulillah atas rezeki dan kemudahan yang Dia berikan.


Kejayaan entry blog ini terpilih masuk dalam Harian Metro juga satu pencapaian yang tak dijangka sama sekali. Terima kasih saudara saudari. Ada sedikit kekeliruan bila aku post berita blog aku masuk surat khabar malam tadi. Sebenarnya blog ini masuk surat khabar pada bulan Februari. Kalau nak baca entry tersebut sila tekan sini. Segala kesulitan amat dikesali.


Dalam suka ada duka. Tahun ini aku kehilangan beberapa insan yang aku sanjung mulia. Ibu Arif, Paih Ayoh dan Pojie Ekzos yang pergi untuk selamanya. Ibu Arif antara ibu terbaik yang pernah aku jumpa. Layanan mesra beliau setiap kali berjumpa tak akan aku lupa. Paih Ayoh yang selalu bagi nasihat supaya aku jangan selalu kejarkan dunia. Dan Pojie Ekzos yang pernah jadi rakan sekerja. Aku ingat lagi bila dia bagi aku 5 modem Internet secara percuma. Dia langsung tak berkira. Sayang mana pun aku pada kalian atas dunia, Dia lebih sayangkan kalian sebenarnya. Semoga kalian semua bersama orang beriman di sana.


Walaupun aku rasa tahun ini bukan tahun paling baik untuk aku, tapi aku bangga dapat kawan-kawan baru. Ramai sangat kalau nak tulis satu per satu. Untuk warga ICT Pejabat Agama Kuala Terengganu tempat aku praktikal dulu. Junior-junior kolej aku. Para peniaga bazar Ramadhan Chendering masa bulan puasa hari itu. Followers baru di blog, Facebook, Instagram dan Twitter yang dengan rela hati follow aku walaupun aku post benda merapu. Semoga perkenalan kita ini akan mengeratkan ukhuwah kita selalu. Mungkin jodoh aku ada dalam senarai kawan baru ini juga mana kita tahu, tak gitu?


Ini adalah entry terakhir untuk tahun ini. Jika diizinkan lagi, tahun depan aku akan tulis lebih banyak entry yang lebih sensasi. Ayuh jauhkan kontroversi, dan tingkatkan prestasi.


ps : You made me laugh. You made me cry. It's time to move on. Goodbye 2013 ;)

26 December 2013

relakan jiwa



Mia sayangku, maaf kalau surat ini mengganggu. Kalau Mia nak tahu, Anis dah suka Mia sejak pertama kali kita jumpa dulu. Ingat tak hari itu, Anis jumpa Mia jalan-jalan dekat taman dengan Sue? Sejak itu Anis dapat rasakan sesuatu.


Oleh sebab rumah Anis depan rumah Sue, Anis selalu tunggu Mia depan pintu. Anis rindu. Tapi Mia tak tahu. Cuma Anis takut Sue tuduh Anis perampas sebab tikam belakang dia dulu. Namun Anis harap sangat Mia faham perasaan yang Anis pendam dekat Mia sayangku.


Mia tahu tak betapa pilunya Anis rasa bila Sue dengan selamba peluk Mia depan Anis dan kawan-kawan semua? Mia tahu tak Anis rasa cemburu sangat bila Sue dapat cium Mia sepuas-puasnya! Hati Anis terluka. Walaupun Anis dan Mia sama jantina, tapi cinta itu buta. Mungkin Mia tak faham apa Anis rasa, tapi Anis harap Mia tahu betapa Anis cintakan Mia saja dalam dunia. Mia dengarlah lagu Relakan Jiwa nyanyian Hazama sebab lagu itu mengerti apa yang Anis rasa.



Ingat tak Anis pernah ajak Mia masuk bilik Anis kononnya cakap nak buat kerja? Tak ada kerja pun sebenarnya. Anis saja reka cerita. Anis nak berdua-duaan dengan Mia saja. Tanpa gangguan sesiapa. Kemudian Anis baring atas katil dan panggil Mia dengan suara manja. Anis nak Mia tergoda. Kita bertentang mata. Anis tarik Mia naik atas katil dan Mia rebahkan kepala dekat dada Anis yang tak pernah disentuh mana-mana lelaki dalam dunia. Dada Anis cuma untuk Mia tercinta. Indahnya dunia! Mia buat Anis bahagia walaupun seketika.


Pagi tadi Anis dah nekad nak bagitahu Sue apa yang Anis rasakan. Anis dah buat keputusan. Anis tak nak jadi kawan yang tikam kawan. Kami duduk di meja makan. Kemudian Anis jelaskan perlahan-lahan. Anis bagitahu Anis sayangkan Mia lebih dari seorang kawan. Kemudian Anis bagitahu Sue yang Anis nak bercinta dengan Mia kalau dia izinkan. Tiba-tiba Anis nampak Sue layangkan tangan...


"PANG!!!"


Anis kena lempang! Kuat sangat Sue lempang sampai berdengung gegendang. Sakit sangat Sue lempang Anis sayang. Kemanjaan dan kecomelan Anis dari lahir terus hilang. Kemudian Sue bilang...


"Mia tu kucing la bangang! Kau gila ke nak bercinta dengan binatang!"


Semua orang tengok tragedi itu. Anis tutup muka dengan tisu. Sakit dan malu menjadi satu.


ps : Ketandusan idea. Cerita ini rekaan semata-mata. Tak tahulah kalau ada orang percaya ;)


 

03 December 2013

lelaki ini



Peluh yang membasahi dahi dikesat dengan lengan. Habis terasa kebas otot-otot di badan. Penat yang amat sangat sebab dah lama tak berjoging dekat taman. Tapi hari ini penat itu bagaikan hilang bila dapat berjoging berdua-duaan.


"Nah. Minumlah."
"Eh tak apalah. Tak payah susah-susah."
"Tak apa. Tadi beli dua."



Dia letakkan sebotol air 100 Plus depan aku. Di tangan dia ada lagi satu. Bila perempuan yang belikan sesuatu, aku jadi malu. Tapi dia buat tak tahu. Dia minum tanpa hiraukan aku. Nampak sangat dia lebih letih dari aku.


Perempuan yang tengah minum air depan aku sekarang bagi aku sempurna. Zati nama dia. Baik orangnya. Kalau tak takkan dia beli air sampai dua. Kaya tapi hidup bersederhana. Cantik ayu semua ada. Letak dia sebelah mana-mana artis jelita, aku tetap pilih dia. Masakkan dia taraf dunia. Nombor dua dalam dunia lepas mak aku punya. Cara dia layan anak-anak buat aku jadi lebih suka.




"Mama!"


Suara seorang kanak-kanak lelaki menyedarkan aku dari angau aku sendiri. Aku dan dia sama-sama berpaling ke arah suara tadi. Kelihatan seorang kanak-kanak lelaki berlari ke arah kami. Kami sama-sama berdiri. Kanak-kanak itu pantas memeluk paha kanan Zati. Seorang lelaki menyusul di belakang kanak-kanak lelaki tadi berkemeja hitam dengan jalur putih di tepi - Mizi.


"Thanks bro sudi ajarkan Zati."
"Takpe memang tugas cikgu fitness macam ni. Kau tak join sekali?"
"Aku busy. Jumpa client tiap-tiap hari."



Sambil berbual dengan Mizi tentang perkembangan terkini, aku curi-curi lihat Zati bermain dengan Roy, kanak-kanak tadi. Gelak tawa Roy diikuti usikan nakal Zati membuat aku macam dengar tak dengar saja ayat yang keluar dari mulut Mizi. Kebahagiaan sebuah keluarga bersama kasih sayang suami isteri.


Aku minta diri dan bersalam dengan Mizi. Genggaman erat tangan kanan dua orang lelaki yang memang rapat sejak zaman sekolah lagi. Sahabat sehidup semati. Aku hampiri Zati dan aku usap rambut Roy berkali-kali. Dengan berat hati aku tinggalkan Zati bersama anak dan suaminya sendiri.


Semua perkara terlintas pantas dalam fikiran. Zati yang aku suka sejak zaman persekolahan, berhajat nak kuruskan badan. Dia bagitahu dekat suami dia dan suami dia terus minta tolong aku sebab aku pernah jadi jurulatih kecergasan. Aku terima atas niat seorang kawan. Cuma perasaan aku pada Zati memang tak boleh dihilangkan. Dari dulu sampai sekarang Zati hanyalah angan-angan. Terima kasih Zati sebab ajar lelaki ini bukan semua impian akan jadi kenyataan.


ps :
Bukan semua kita nak akan kita dapat. Bukan semua yang kita dapat ialah yang kita nak ;)
 

19 November 2013

ego bertingkek-tingkek



Aku benci gila ex aku. Lepas kami putus semua yang dia buat buat mata aku berbulu. Aku tak tahu apa masalah dia sebab mudah gila dia lepaskan aku. Dia kata dia tak tahan sebab aku kuat cemburu. Kalau dulu dia nombor satu sekarang dia nombor sejuta pun aku tak mahu. Dia buat aku macam tahi hidung, tahu? Susah-susah nak dapatkan tapi lepas dapat buang saja begitu. Dasar hati batu!


Depan dia, depan kawan-kawan dia, aku buat macam tak ada apa. Kenalah tunjuk aku gagah perkasa. Tapi depan kawan-kawan aku pula, aku cerita hal sebenarnya. Semua salah dia. Ya, memang salah dia jantan celaka! Kalau ada salah aku pun kecil saja. Yang lain semua salah dia. Sakit hati aku tak siapa boleh rasa. Mana janji-janji dia? Mana pergi kata cinta dia? Aku sendiri pernah berdoa supaya Tuhan matikan dia dalam keadaan paling terseksa.


Kali terakhir aku bercakap dengan dia, dia kata kalau aku perlukan bantuan bagitahu saja dia. Walaupun bukan lagi kekasih tapi kawan tetap kawan sampai bila-bila. Malas aku nak ambil kisah itu semua. Aku langsung tak nampak kelibat dia lepas aku berhenti follow Twitter, Facebook dan Instagram dia. Aku pun memang tak ingin nak tengok dia. Kalau boleh dalam mimpi pun jangan jumpa. Sekali aku benci memang aku benci sampai bila-bila. 




Semalam kereta aku buat hal lepas balik shopping dengan kawan-kawan. Tak tahulah kenapa tiba-tiba mati tepi jalan. Aku telefon kawan-kawan lelaki suruh mereka datang tengok-tengokkan. Sementara tunggu aku duduk bawah pokok sebelah taman. Aku nampak ada lelaki yang perlahankan kereta tapi tak berhenti pun hulur bantuan. Woi kau tak tahu ke tugas lelaki sebenarnya tolong perempuan?


Tiba-tiba berhenti sebuah kereta. Keluar dua orang lelaki muda. Dia tanya kenapa. Aku cuma geleng kepala. Perempuan manalah tahu pasal kereta. Lelaki itu minta izin nak tengok kalau ada rosak apa-apa. Aku benarkan sebab nampak macam budak baik saja. Kemudian dua orang kawan lelaki aku yang aku telefon tadi tiba. Kami tengok saja dua lelaki tadi buat semua benda. Dengar pada dia cakap dia kata bateri aku bateri lama jadi kena tukar segera. Dia sambung itu sambung ini terus dapat hidupkan semula. Lega rasa.


Aku hulurkan duit tapi lelaki itu tak terima. Dia kata dia tolong kawan saja. Aku garu kepala sebab tak faham hal yang sebenarnya. Lelaki ini kawan aku ke siapa? Sumpah aku terpinga-pinga.


Salah seorang lelaki itu keluarkan telefon bimbit dia dan tunjuk nombor yang telefon dia suruh datang tolong aku tadi. Nombor telefon itu aku perhati. Aku keluarkan Blackberry aku dan aku taip nombor tadi. Aku dail dan tengok nama yang naik di skrin Blackberry. Ahhh sudah mati aku kali ini.


Dua lelaki tadi minta diri. Dia kata tak payah bayar sebab dah ada orang bayarkan semua sekali. Aku tak boleh buat apa selain berdiam diri. Cuma ayat terima kasih keluar berkali-kali.


Aku masuk dalam kereta. Tarik nafas dalam-dalam cuba tenang seketika. Kenapa? Tapi kenapa? Soalan itu menusuk dalam kepala. Rasa bersalah dan tertanya-tanya. Aku benci ex aku gila-gila. Tapi kenapa dalam ramai-ramai manusia yang tolong bila aku susah tadi dia juga?


Haaa sekarang macam mana. Aku telefon nak ucap terima kasih dia tak angkat pula. Aku mesej suruh angkat telefon pun dia tak balas juga. Dia nak psiko ke apa? Dari dulu sampai sekarang ex aku tak habis-habis dengan ego dia yang entah apa-apa. Seego-ego aku rupanya ego lagi dia.


ps : Jangan terlalu bencikan seseorang, takut nanti jadi sayang ;)


24 October 2013

cuba



Jarang rasanya lepak dengan junior di kolej bersama-sama. Tapi hari ini kami duduk semeja. Ajakan dia aku terima. Segelas air Pepsi dan segelas Sirap Laici menjadi teman antara kami berdua.


Kami berbual macam biasa. Bercakap perkara lama. Bercakap tentang hostel yang baru dibuka. Sampailah masuk ke topik anggota kelas dia yang agak kecil bilangannya. Dia sebut beberapa nama yang aku kenal siapa tuannya.




Dia bercerita tentang pelajar terbaik kelasnya yang setiap semester dapat dekan. Perempuan. Budak yang boleh duduk seharian di perpustakaan tanpa rasa bosan. Budak yang lebih banyak habiskan masa dengan nota berbanding dengan kawan-kawan. Sementara dia cuma belajar sehari sebelum peperiksaan. Sampai tak tidur malam bersengkang mata menghafal nota yang diberikan. Pointer dia juga hanya cukup-cukup makan. Semester lepas dia hampir-hampir putus asa sebab terlalu banyak tekanan. Dia bertanya apa perlu dia buat sambil mengeluh perlahan.


Aku rasa bangga campur tak percaya. Orang tanya aku macam mana nak berjaya sedangkan aku sendiri tak berjaya mana. Aku tahu beberapa cara tapi aku sendiri tak pernah cuba.


"Empat campur satu berapa?"
"Lima."
"Dua campur tiga?"
"Lima."
"Nampak tak beza dia?"
"Beza? Apa?"
"Nak jadi lima bukan cuma ada satu cara."



Dia garu kepala. Aku senyum saja. Tak apa. 

Bukan semua orang faham ayat pertama yang kita bagitahu mereka.


Nak jadi lima ada banyak cara. Dua campur tiga, empat campur satu juga sama. Kosong campur lima pun boleh juga. Biarlah dia dengan cara dia. Kau guna cara kau saja. Tapi sebab kau tertinggal jadi kau kena lipat gandakan usaha. Kau tak tahu kalau kau tak cuba. Nak hidup lama tak boleh cepat putus asa.


Dia angguk kepala. Tak pasti pula dia faham atau dia sakit telinga. Aku cuma bagitahu apa aku rasa. Sebab aku sama macam dia. Nak berjaya tapi gagal lawan perasaan malas yang lebih berkuasa.


ps : Semua orang nak berjaya tapi tak semua orang nak berusaha ;)

05 October 2013

berhenti berharap



Ini cerita dulu kala. Cerita masa aku baru masuk alam remaja. Cerita masa aku baru nak kenal dunia. Cerita aku dan dia.


Kami rapat walaupun jantina berbeza. Rasa suka? Tak ada. Langsung tak ada. Sebab dia dah berpunya dan kekasih dia aku kenal siapa. Rasa cinta jauh sekali nak ada. Pada masa itu kekasih bagi aku tak penting mana. Cukuplah ada kawan perempuan yang boleh lepak sekali bila ada masa.


Kami kawan baik yang berjanji akan saling membantu bila perlu. Bila dia sedih sebab gaduh dengan kekasih dia cepat-cepat aku bagi pinjam bahu. Bila aku rasa serabut dia tadah telinga dengar aku mengadu. Kami sebulu.


Sampailah satu masa, kami terpisah untuk jangka masa yang lama. Mungkin sebab kesibukan kerja. Mungkin sebab tak ada hal menarik hendak dicerita. Mungkin sebab dia makin bahagia. Mungkin sebab aku sibuk tengok bola dan cerita Korea saja. Entahlah aku sendiri tak tahu sebab apa kami kian terpisah jarak dan masa. Sampailah bila kami berbual semula, timbul rasa segan untuk bercerita. Jadi tak selesa sebab terpisah lama.


Dari situ aku sedar yang kita tak boleh terlalu berharap pada orang lain di sekeliling kita. Sedangkan bayang-bayang kita sendiri tak bersama kita bila tak ada cahaya, inikan pula orang lain yang tak ada kena mengena.


ps : Percaya pada diri dengan harapan dan keyakinan ;)



30 September 2013

4th anniversary



Tadi ada kawan bangsa Cina cakap nombor empat adalah nombor dia paling takut sekali. Katanya dalam Bahasa Kantonis empat ertinya 'Sei' iaitu mati.


Hari ini ulangtahun keempat blog hitam ini. Cuma aku harap empat ini bukan sial macam yang kawan Cina aku cakap tadi. Sebab aku belum bersedia nak tengok blog ini mati.


Terima kasih semua yang sudi membaca. Terima kasih semua yang sudi sumbangkan idea. Terima kasih semua followers yang setia. Terima kasih semua yang komen tak kira apa saja. Terima kasih semua pengkritik yang sudi luangkan masa. Terima kasih semua untuk segalanya. Tanpa anda blog ini tiada makna.


ps : Sejuta 'Terima Kasih' sekalipun tak dapat balas jasa anda semua ;)



24 September 2013

belon bahagia



Berjalan sendirian dekat pasar malam kampung aku. Ramai orang sampai kadang-kadang berlaga siku dan bahu. Mata pun naik juling tengok aneka makanan dekat situ. Kalau ikut nafsu semua aku nak sapu.


"Bang beli belon bang."
"Takpe takpe. Eh laaa. Weh lama tak jumpa."
"Haaa nasib baik ingat. Kang ada yang makan kerusi ni. Haha."
"Haha. Sorang je ke? Mana bini?"
"Aku mana kahwin lagi. Sape la nak orang macam aku ni..."


Aku tak berapa pasti dengan jawapan yang dia bagi jadi aku buat konklusi sendiri. Dia bekas penagih dadah yang kalau tak salah dah empat tahun keluar dari pusat serenti. Ada orang kata dia ada HIV tapi aku tak pasti. Aku tak tanya sebab aku takut dia terasa hati. Dan aku rasa kerana sejarah silam itu sampai hari ini dia tak beristeri.


Dia kawan yang aku kenal dari darjah dua. Aku pengawas dan dia pelajar biasa. Dia kawan yang masa zaman sekolah dulu selalu datang lewat tapi aku tak pernah catat nama. Bukan lari dari tugas cuma aku sedar sikap perikemanusiaan harus diutama. Dia tolong mak ayah dia di kedai dulu baru bersiap untuk ke sekolah pula. Dan dia kawan yang tolong aku masa aku kemalangan jalan raya masa tingkatan lima. Dia antara orang yang buat aku percaya kalau kita buat baik orang akan balas baik juga.


Kami bersembang seketika. Aku tak banyak tanya tapi dia yang banyak buka cerita. Tentang mak ayah dia yang masih berniaga. Tentang adik dia yang tengah tunggu dapat kerja. Tentang keluarga dia yang masih boleh terima dia walaupun dia berdosa. Perbualan kami terhenti bila ada seorang lelaki datang beli belon untuk anaknya. Dan aku juga minta diri sebab makanan yang aku nak beli belum aku jumpa.


Aku sedia maklum semua orang buat salah masa muda. Mungkin bagi dia salah dia itu terlalu besar nilainya. Salah yang sedap seketika tapi merana selamanya. Mujurlah hari ini dia dah berpijak di bumi nyata. Kini giliran dia membantu keluarga. Kini giliran dia berniaga. Dia menjual belon supaya orang lain merasa bahagia sedangkan dia langsung tak pernah rasa manisnya bahagia.


ps : Tiada orang baik yang tiada masa lampau. Tiada orang jahat yang tiada masa depan ;)


05 August 2013

selamat hari raya



Dalam rancak menulis entry mungkin ada yang terasa hati. Mungkin ada perasaan yang disakiti. Bahkan tak mustahil kalau ada yang terganggu emosi. Mungkin ada sampai tahap membenci.


Dalam rancak bercerita mungkin ada tersalah kata. Mungkin ada terkeluar ayat-ayat yang tak sepatutnya. Mungkin ada terpandang gambar yang menyakitkan mata. Mungkin terlalu kasar sampai tak bertegur sapa.


Dalam kita berjaga-jaga, kemalangan tetap terjadi juga. Sedangkan lidah yang dalam mulut sendiri boleh tergigit inikan kita yang tak ada kena mengena. Jadi saya dengan rendah diri dan luhur hati menyusun sepuluh jari atas semua khilaf yang ada. Itu semua salah saya.


I know this entry comes a lil bit early, but since I'm a lil bit busy so I need to publish this ASAP. I'm sorry.


ps : Selamat Hari Raya. Ikhlas daripada Afif El Nino dan blog kesayangannya ;)


26 July 2013

susah senang



Di tengah kesesakan bazar Ramadhan, dia duduk berduaan. Memegang tin di tangan kiri dan sebungkus tisu di tangan kanan. Setiap kali duit dimasukkan, tisu akan dihulur sebagai pemberian. Ada juga yang cuma menghulur duit tanpa mengambil tisu yang disediakan. 



Beberapa minit sebelum masuk waktu berbuka, anaknya yang kecil akan mula mengira. Mengira berapa pendapatan mereka. Pernah aku ikut mengira sekali dari tempat aku berniaga. Tak banyak mana. Dan anaknya akan pergi membeli makanan untuk mereka berdua. Mujur setiap hari ada manusia berhati mulia bersedekah makanan percuma. Hanya Tuhan mampu membalas itu semua.


Susahnya hidup mereka bila kebanyakan manusia cuma menjeling menyangka mereka diupah ejen untuk mengemis macam dalam berita. Itu memang ada, tapi tak semua. Ada yang betul-betul terpaksa mengemis sebab tak mampu bekerja tapi perut mereka harus diisi juga. Kasihan mereka. Kerana nila setitik habis rosak semua susu sebelanga.


Seorang ibu tua yang cacat penglihatan dan anak kecil hidup dalam serba kekurangan. Terpaksa mengemis untuk sesuap makanan. Itu kisah nyata kehidupan. Itu cerita yang selalu kita nampak tapi tak pernah kita perhatikan.


Saat orang kaya berbuka mewah dengan pelbagai makanan di atas meja, mereka cuma mengemis sisa. Saat orang kaya boros berbelanja Hari Raya, mereka cuma menatap hiba. Sabarlah ya. Semoga pahala yang kamu kumpul yang tak nampak di mata akan buat kamu manusia paling kaya di akhirat sana.


ps : Kita hidup dalam kesenangan jadi bersyukurlah pada Tuhan. Tak susah pun, kan? ;)



15 June 2013

putus



Aku dah lama dengan dia. Dua tahun nak masuk tiga. Lama gila. Sejak pertama kali jumpa dekat pasar malam aku dah rasa kami serasi bersama. 




Banyak dah kami kongsi. Masa aku kemalangan dulu dia yang selalu di sisi. Masa raya dulu pun dia selalu ikut rumah-rumah yang aku pergi. Dalam tandas awam pun pernah aku heret dia sekali. Itu belum campur hotel dan pusat karaoke yang pernah jadi 'port' kami.


Dulu masa mula-mula dengan dia, kawan aku dah kata kami mungkin tak kekal lama. Cara aku dengan dia berbeza. Dia macam kasar sikit sementara aku jenis lembut dalam banyak perkara. Sebab itu aku cuba pertahan dia sedaya upaya. Aku tak nak apa yang kawan aku kata jadi nyata. Aku tak nak putus sampai bila-bila. Selagi dia ada bersama, selagi itu aku setia.


Aku cuma merancang tapi Tuhan yang tentukan. Semalam di depan beberapa orang kawan, dia putuskan hubungan. Tiba-tiba personaliti aku dan dia macam diterbalikkan. Aku terlebih berkasar sementara dia lemah tak melawan. Dia yang buat keputusan. Dia putus tanpa sebarang alasan. Dan sekarang kami berbeza haluan. Semua kenangan indah dah aku tinggalkan.


Semalam aku jatuh tapi kini aku kembali bangun. Aku buat-buat tak nampak dia macam orang rabun. Katalah aku sekejam Firaun sekalipun. Ego aku dah naik dan tak akan turun. Pergilah kau sendirian tanpa rasa gerun. Selamat tinggal selipar Jepun.


ps : Yang patah tumbuh yang hilang berganti. Yang pergi biar pergi tak guna dinanti ;)

13 June 2013

hati batu



Itu. Nampak tak lelaki baju hitam yang tengah baca buku atas kerusi batu? Aku suka dia sejak dulu. Dia tahu sebab aku pernah beritahu tapi dia tak pernah hirau perasaan aku. Dan sampai hari ini aku pendam perasaan itu.


Dia selalu bawa majalah tentang perempuan. Aku nak sangat tanya tapi aku segan. Mungkin hari ini aku patut dapatkan penjelasan. Aku tanya dia depan-depan.


"Hai. Boleh saya duduk sini?"
"Duduklah."



Aku, majalah, dia. Dua majalah yang muka depannya model yang serupa menjadi orang ketiga. Model itu bekas kekasih dia. Hari ini sudah jadi model ternama. Aku tahu pun sebab aku tanya kawan lelaki dia. Aku kalau dah minat dekat seseorang aku akan stalk dia gila-gila. Aku capai satu majalah dan belek buat-buat baca.


"Kenapa baca buku perempuan?"
"Saja. Buat hilang bosan."



Ahh sudah. Main ayat sepatah-sepatah ini yang buat aku lemah. Pleaselah.


Aku terpandang wallpaper telefon bimbit dia dekat atas meja. Perempuan yang dalam majalah itu juga. Aku tunjuk muka depan majalah dan halakan depan dia.


"Suka dia?"
"Ya."
"Kenal dia?"
"Ya. Model ternama."
"Betul ke? Ke ada apa-apa?"



Dia diam tak kata apa. Keluhan panjang dihela. Alamak dia marah ke?


"Siapa dia sebenarnya?"
"Jiwa. Cinta. Semua."
"Tapi dia dah nak kahwin dengan orang kaya."
"Ya."



Dia berdiri. Serabut dengan aku barangkali. Dia hulur tangan minta majalah yang aku pegang tadi. Cepat-cepat aku beri.


"Errr... Boleh aku ganti dia?"
"Tak."



Dia pergi. Langsung tak berpaling dekat aku walau sekali. Awak, sekeras-keras kerusi batu yang saya duduk ini, keras hati awak lagi.


ps : Every girl has a guy that she won't stop loving. And every guy has a girl that he won't stop fighting for ;)

11 June 2013

misteri manusia





 

Ada perempuan upload gambar pakai kain sembahyang
Gambar yang susah dilihat zaman sekarang
Niatnya nak ingatkan tiang agama lima batang
Tapi ada orang komen panjang-panjang
Katanya nak buat baik tak elok tayang


Ada lelaki upload gambar tunjuk badan
Six pack dia aku rasa sampai lapan
Niatnya promosi protein untuk jadi jantan
Tapi ada orang kata dia ubah ciptaan Tuhan
Lalu timbul pertengkaran


Ada perempuan upload gambar seksi
Baju ketat rambut warna warni
Niatnya nak tayang aset diri
Tapi ramai pula orang yang puji
Biasalah lelaki


Ada lelaki upload gambar dengan kereta
Kereta baru beli berkilauan warna
Itu habuan penat lelah dia bekerja
Tapi ada orang kata tak baik berbangga
Mungkin yang mengata itu cemburu buta


Ada perempuan upload gambar dia berhijrah
Bertudung labuh dan berjubah
Tiada lagi gambar yang nampak lurah
Tapi masih ada yang fitnah sumpah seranah
Manusia dari dulu tak pernah berubah


Ada orang kata hidup ini misteri
Orang tak ingat kalau kau buat baik seribu kali
Bila kau buat jahat sekali orang ingat sampai mati
Tapi aku rasa hidup ini macam main judi
Kita buat apa orang tetap tak puas hati


ps : Tak ada orang yang dapat puaskan hati semua orang ;)


 

15 February 2013

ada blogger masuk paper



14 Februari 2013, Harian Metro slot Gen.Y Interaxsi. Ini kali pertama aku masuk paper yang diedar serata negara yang dibaca pelbagai bangsa dan jantina tidak kira perempuan mahupun lelaki. Entry yang bertuah yang terpilih ialah entry 'Nilai Seorang Lelaki'.







 

Ringtone SMS di telefon kerap betul berbunyi. Jarang benda macam ni terjadi. Twitter dan Facebook aku juga dihujani mesej tanpa henti. Followers naik dengan mendadak sekali. Aku tak biasa semua ini. Seriously. Nak tak nak aku kena biasakan diri.


Mungkin ini namanya rezeki. Alhamdulillah syukur atas kurniaan rezeki. 

Semoga tidak terleka dalam perjalanan ini.

ps : Terima kasih semua. Tanpa anda, blog ini tak akan ke mana-mana ;)



23 January 2013

wordless wednesday - twenty four




Ps : Dua puluh empat. Rasa macam masa berlalu cepat sangat ;)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...