My Dongsaeng. My Oppa. My Noona.

Showing posts with label Facts and Reality. Show all posts
Showing posts with label Facts and Reality. Show all posts

23 July 2016

selingkuh



Alkisahnya kita sama-sama suka. Keluar dari pagi sampai senja. Keluar sampai lewat pagi sama-sama. Dan kita sama-sama cinta. Bercuti berdua. Entah mana dosa dan pahala. Entah iblis apa dalam diri kita. 





Itu cerita lama. Sekarang berbeza. Kau dan aku masing-masing berpunya. Cuma dalam hati ini masih ada rasa. Dan aku dapat rasa kau juga sama. Masih ada sayang yang tersisa. Kenangan lama masih ada. Aku boleh nampak dari pertuturan dan lenggok gaya. Sayang kau pada aku tetap kekal walau jodoh tiada.


Dalam sembunyi kita jumpa curi-curi. Dalam sembunyi kita satukan hati. Dalam sembunyi kita menari. Dalam sembunyi bercium pipi. Dalam sembunyi kita bersatu kembali. Dalam sembunyi kita ulang memori. Dalam sembunyi kau terbaring di sisi. Dalam sembunyi kita tinggal pasangan sendiri.


Akhirnya kita pulang jumpa orang kita sayang. Kita hiburkan mereka untuk tutup salah yang berlubang. Mereka tetap anugerah yang akan kita julang. Mereka tetap orang yang kita takut hilang. Mereka tetap buat kita tenang. Walau sebenarnya di belakang, kita siram cinta dengan dosa berkubang. Kita curang.


Malam ini aku sendiri ditemani secawan kopi mengimbau tragedi. Terkenang nipisnya iman dalam diri. Semua ini bukan salah teknologi. Teknologi hanya perisa tambahan resipi. Teknologi dan sosial media hanya jalan tapi aku yang guna membuta tuli. Salahnya kita sendiri. Terlalu ikut kata hati. Terlalu ikut nafsu gila babi.


ps : Tak selamanya selingkuh itu indah ;)


 

16 July 2016

kejar






Makin aku kejar makin segar
Makin mekar
Jasad aku separuh mati
Masih aku kuatkan diri


Kau terus berlari
Tak menoleh walau sekali
Larilah pencuri hati
Aku ada di sini


Makin aku kejar makin pudar
Makin tawar
Jasad aku separuh mati
Lalu aku berhenti


Kau terus berlari
Tak menoleh walau sekali
Larilah pencuri hati
Aku akan pergi



ps : Rindu ini masih milikmu ;)


01 January 2016

tahun baru



‬‍‌‪Tahun baru. Cepat betul masa berlalu. Semua kejadian tahun 2015 terlintas laju. Rasa macam ba‎‪‭‬‎ru semalam semua berlaku. Aku? Baru duduk di bangku. Cuba membangkit semula nafsu. Nafsu menulis yang pernah membuas dulu. 




Dulu ada. Bahkan selalu ada. Tapi entah kenapa berubah semua. Kekangan masa. Kesibukan kerja. Lebih banyak waktu di luar sana. Berjumpa manusia. Memerah tenaga. Mencari rusuk kiri juga. Sudah kurang waktu untuk online berjam lamanya. Faktor usia? Mungkin juga.


Entry pertama dua ribu enam belas. Semoga nafsu menulis kembali lekas. Semoga nafsu menulis kembali bernafas.


Dua kosong satu enam. Semoga tercapai segala azam. Semoga tumbuh tersergam hajat yang tertanam. Semoga tidak terkubur jahanam.


ps : Tahun baru perangai lama. Aku tak berubah sebab manusia ;)

04 September 2015

sakit sayang



Siapa yang dulu kata bila kita mula sayang kita akan rasa indah-indah saja? Rasa dalam perut ada rama-rama? Rasa berbunga-bunga? Rasa mandi tak basah tidur tak lena? Tipu belaka. Sekali dengan aku tertipu sama. Sebab rasa sayang itu bukanlah indah mana.



Sakitnya bila kita sayang tapi hanya mampu pandang saban hari.
Sakitnya bila kita sayang seseorang tapi hati dia sudah terisi.
Sakitnya bila kita sayang sepenuh hati tapi tak bisa memiliki.
Sakitnya tu di sini - Hati.


Sedikit terubat perasaan bila tengok dia ketawa. Memang itulah yang selalu aku minta. Sentiasa gembira dan semoga bahagia. Walaupun hati meronta nak jadi punca kebahagiaan dia, tapi kaki harus berpijak di bumi nyata dan akal kena terima Tuhan dah tentukan sebaik-baik perkara. Doa aku akan berakhir dengan permintaan yang sama - Semoga rasa sayang ini tidak kekal lama. Sebab aku juga ingin bahagia walau bukan dengan dia.


ps : Cinta tiba cinta pergi. Yang azali ku nanti ;)


02 June 2015

ikut siapa



Dah beberapa hari aku dihantui sebaris ayat yang aku reka sendiri.


"Ikut kata hati. Itu paling tepat sekali."


Ceritanya bermula bila aku dah bosan cari seseorang yang istimewa. Seorang isteri yang akan teman aku sampai hari tua. Seorang isteri yang halal untuk aku saja. Dah banyak kali cuba tapi gagal juga. Panjang betul drama cinta aku berbanding kawan-kawan lain yang sama usia. Drama orang lain dah tamat tapi aku masih meraba mencari heroin cerita. Jadi aku bagi hati aku berehat lama. Kesian dia terseksa. Jadi rehatlah kau sepuas-puasnya.




Lalu hati berbisik supaya cari yang dekat-dekat saja, yang setia sejak sekian lama. Tutup media sosial dan buka mata. Jangan jadi buta. Jangan terlalu kejar kecantikan bulan sampai lupa bintang pun cantik juga. Aku pejam mata, terlintas satu wajah dan tersebut satu nama. Dia.


Dia kawan yang indah dalam satu hubungan yang meriah. Empat tahun kami kenal tak pernah berbalah. Dia selalu ada tak kira waktu senang atau susah. Dia tenangkan bila aku marah. Dia yang gagahkan bila aku lemah. Dia yang temankan bila aku lelah. Dia tak pernah bosan dengar cerita cinta aku yang gagal sampai ke sudah. Dia tempat mengadu masalah dan dia juga yang selalu selesaikan masalah.


Sebagaimana aku yang selalu cari dia, dia juga sama. Selalu cari aku bila ada cerita. Tak pernah walau sekali aku bosan menadah telinga. Walau terpisah timur dan utara tapi tak pernah putus khabar berita. Kami sama. Kami boleh ketawa gila-gila tapi seminit kemudian serius berbincang topik utama. Sehati sejiwa agaknya.


Tapi akal tak bagi...


Macam mana kalau tak jadi? Macam mana kalau dia cuma anggap kau kawan lelaki? Macam mana kalau dia dah ada seseorang tapi tak cerita dekat kau sebab awal lagi? Kau tak nampak ke lelaki yang tegur dia tadi? Sanggup ke kau hilang sahabat sejati? Sanggup ke kau lepaskan orang yang setia di sisi? Kau teruskan mencari. Jangan lari. Kau berkawan saja dengan dia sampai mati. Kau jangan dengar sangat apa kata hati. Membebel panjang akal mengalahkan Azwan Ali.


Biasanya kalau aku tulis sesuatu, aku tunggu sampai habis dulu. Jadi aku dapat rumuskan satu per satu. Tapi kali ini aku tak mampu. Banyak sangat yang terbuku. Mungkin sebab tak nak terburu-buru. Mungkin sebab cemburu. Mungkin sebab malu. Mungkin sebab rindu. Jangan tanya kenapa sebab aku sendiri tak tahu.


ps : Galau menulis isi jiwa kacau mengeluarkan ayat payau yang dipukau ;)


30 May 2015

tabiat



Bingung rasanya. Bukan bingung biasa-biasa tapi bingung berkali ganda. Bukan kerana buku berselerak atas meja. Bukan kerana kertas peperiksaan yang belum diperiksa. Tapi bingung maksima ini kerana dia.


Bingung yang perta‎‏‎ma, masa aku Whatsapp semalam dengan dia. Entah kenapa aku berani luah apa aku rasa. Hampir setahun juga aku cuba dekati dia sampai jadi mesra. Dia balas dia mungkin terima. Itu bingung yang kedua. Tak sangka dia bagi aku peluang untuk cuba. Bingung yang ketiga, dia nak aku berhenti merokok walaupun jujur aku kata aku hisap rokok murah tak ada jenama. Murah pun bahaya katanya. Ya, aku tahu bahaya. Dia bagi aku masa sebab dia tahu mustahil untuk tinggalkan tabiat lama. Bingung yang keempat dia siap tahu aku hisap rokok jenis apa. Mungkin dia pernah tengok aku merokok dekat mana-mana.
Atau mungkin dia pernah tengok Instagram sebab kami memang dah follow sejak dari mula. Tak kisahlah janji demi dia, aku rela.




Jadi projek berhenti rokok bermula. Daripada 4 batang rokok sehari aku dapat kurangkan kepada hanya tiga atau dua. Tiga bulan berlalu aku akhirnya dapat hisap sehari sebatang rokok saja. Masuk bulan keempat aku dapat rasa kalau tak merokok pun tak apa. Sebenarnya ini mustahil kalau tak dapat sokongan dari dia. Tak salah buang apa aku suka untuk dapat apa aku cinta. Tak sedap juga kalau bibir yang mengepit rokok ini nak cium bibir dia yang bergincu merah menyala. Mesti dia rasa tak selesa. Ahhhhh jauh sangat kau berangan ni gila.


Esok hari jadi dia yang ke-23. Jadi sepuluh minit sebelum pukul 12 malam aku dah ada depan rumah dia. Aku pinjam kereta Myvi kawan aku sebab tak nak dia dapat baca permainan aku macam mana. Aku beranikan diri nak jadi yang pertama. Sebagai hadiah aku bawa sekotak coklat dan sejambak bunga. Aku tengok lampu rumah menyala, kereta pun ada. Tapi banyak kali aku call tak dapat-dapat juga. Nak kata dah tidur mustahil rasanya.


Jam digital dalam kereta menunjukkan pukul dua belas suku. "Mungkin bukan rezeki aku," hati aku berbisik sayu. Aku nampak ada kereta Honda berhenti belakang kereta aku. Dari pantulan cermin nampak seorang lelaki dan perempuan Melayu. Perempuan itulah yang aku tunggu. Siapa lelaki sebelah dia itu aku tak tahu. Aku nak keluar bagi hadiah tapi aku tunggu perempuan itu keluar dulu. Mujurlah ada cermin membantu. Tiba-tiba aku rasa sesuatu. Hati cemburu, mata terpaku, lidah kelu. Tanpa rasa malu, mereka bercumbu!


Mungkin memang bukan rezeki aku. Tapi malapetaka apa yang sedang berlaku?! Ya Allah ya tuhanku, kau tabahkanlah hati hambaMu yang sedang patah seribu.


Pedih sungguh rasanya bila terkenang bibir dia dikucup mesra. Saat itu juga, bibir aku didekati sebatang rokok tak berjenama. Api celaka dinyala melahirkan asap berbunga. Seperti asap yang hilang di udara, begitu juga semangat yang tersisa. Transformasi empat bulan yang sia-sia. Betul dia kata, sampai satu masa aku akan tinggalkan tabiat lama. Jadi kali ini memang aku tinggalkan tabiat lama aku sampai bila-bila : dia.


ps : Hati perlukan masa yang lama untuk terima apa yang dilihat sesaat oleh mata ;)



21 May 2015

indah anganku




"Putus dengan Zaty. Tu yang aku paling kesal sampai hari ni."


Itu jawapan ikhlas yang aku bagi di depan 3 orang sahabat di sebuah cafe pada satu pagi. Aku sendiri tak sangka perasaan yang bersarang tiga tahun terluah juga dari hati.


"Eh kau serius ke?"


Sahabat di sebelah bertanya. Aku angguk tanpa pandang dia. Aku ketap bibir sendiri menahan rasa. Mata aku dari tadi terpaku pada bucu meja. Fikiran aku melayang jauh entah sampai mana.




"Aku nak beli makanan kejap lapar sangat dah ni."


Aku bangun dan melangkah pergi. Mahu mengalir air mata kalau cakap lama-lama pasal topik tadi. Dengar nama pun dah buat aku tertusuk naluri. Sedihnya pilunya sakitnya tu di sini - hati.


Lepas putus cinta dulu aku teruk dihentam. Perasaan dibaham, ditembak tohmahan kejam. Tapi aku juga bodoh kerana diam. Aku sepatutnya jelaskan tapi aku pendam.


Masa itu aku terlalu muda, sangat tak matang dalam cinta. Langsung tiada rangka untuk berkeluarga. Salah aku semuanya. Kerana aku manusia, dan manusia tiada yang sempurna.


"Bro, gua kat belakang lu."


Tegas sahabat di belakang bersuara. Aku berpaling ke arah mereka, mengangkat ibu jari tanda suka. Dia menggenggam tangan dan menepuk dadanya. Sahabat yang dulu saban hari suruh aku move on dari cinta lama. Sahabat yang tak boleh terima aku single lama-lama. Sahabat yang mahu tengok aku bahagia. Tapi akhirnya jadi sahabat yang bagi sokongan bila aku berkeras tunggu orang yang aku suka.


Peluang kedua kalau ada takkan aku tepis. Takkan ada lagi air mata menitis. Takkan ada lagi pedih mendesis. Kau, aku, kita buat sampai habis. Kerana rindu ini masih belum terhiris. Kerana sayang ini masih belum terguris. Kerana cinta ini masih belum terhakis. Ini antara cerita paling susah ditulis. Ada memori dalam setiap ayat dan baris. Ini bukan cerita puitis manis-manis. Ini cerita yang dari awal sudah nangis.


ps : Masihkah aku ada di hatimu saat ini... ;)


31 March 2015

gst



Hari ini hari kokurikulum dekat sekolah. Hari Selasa begitulah. Perhimpunan harian murid-murid dengan pelbagai jenis baju beruniform kelihatan meriah. Di tepi pentas kelihatan beberapa orang murid lelaki yang datang lewat beratur dengan muka tunduk ke tanah. Malu biasalah.


Aku jumpa salah seorang budak yang kena denda. Memang aku kenal dia. Budak lelaki tingkatan empat kelas paling belakang yang kadang-kadang nakalnya lebih dari budak darjah tiga. 




"Baju koko mana ni?"
"Koyak bang. Malu nak pakai."
"Laaa dah koyak jahit la."
"Tak reti."
"Hantar kedai la baiki."
"Mahal bang. GST ni."



Lidah aku tersekat tiba-tiba. Silap aku juga tanya. Aku suruh dia balik kelas dia sebab waktu pembelajaran dah nak bermula. Lepas salam dengan aku dia berlari naik tangga sambil menyanyi lagu yang aku tak faham sebutannya. Suka hati barangkali tak kena denda.


Dia bukan orang senang macam kita semua. Pergi dan balik sekolah jalan kaki saja. Keluarga dia porak peranda. Dia sendiri yang cerita sebab dia selalu datang bilik aku minta coklat sebiji dua. Mungkin itu antara sebab dia jadi nakal selain pengaruh rakan sebaya. Tapi senakal-nakal dia, dia rajin orangnya. Dia tak mengeluh bila aku suruh angkat meja, dia tak kisah kalau aku suruh turun ambil barang dekat bawah kemudian naik semula tingkat tiga. Tapi nak suruh dia belajar memang susah gila. Dan bila jumpa aku dia mesti salam dan cium tangan sebab hormat orang lebih tua. Dalam hati dia ada sesuatu yang kadang-kadang budak kelas depan tak ada.


Orang yang bekerja macam aku sendiri mengeluh sebab GST, tak dapat aku bayang apa orang macam dia rasa dalam hati.


ps : Yang kaya makin kaya, yang miskin makin miskin. Malaysia boleh! ;)


18 February 2015

buang masa



Lama sangat tak update blog rasanya. Memang lama. Kenapa?




Kadang-kadang ada idea tapi tak kena masa. Masa tengah buang air tiba-tiba idea datang berlumba-lumba. Tapi bila flush sekali dengan idea-idea tadi masuk sama.


Kadang-kadang banyak masa tapi idea lari. Punyalah banyak masa sampai boleh main Candy Crush sampai habis semua nyawa yang orang bagi. Laptop dah buka blog tapi tak tahu nak tulis apa kali ini.


Dulu aku pelajar walaupun tak belajar mana. Banyak main daripada belajar sebenarnya. Tapi dalam banyak main itu aku ada masa nak tulis semua benda yang aku nampak depan mata. Banyak benda terjadi masa aku buang masa.


Sekarang aku dah kerja. Tak boleh nak main-main sangat sebab kerja memang banyak gila. Jadi aku tak dapat nak tengok benda-benda yang boleh dibuat entry untuk dibaca. Rindu rasanya nak buang masa macam dulu kala.


ps : Dulu takde duit tapi ada life. Sekarang ada duit sikit tapi takde life ;)


25 January 2015

terbaik dari langit




Selalu juga aku tengok filem Melayu tapi jarang aku buat review atau ulasan. Kenapa? Sebab tak sedap. Sebab nampak 'bodoh'. Takkan kau tak ada kawan yang selalu kutuk filem Melayu? Tapi kalau aku tulis pasal sesebuah filem itu tandanya memang cerita itu layak ditulis.


Aku suka cerita Terbaik Dari Langit. Enjoy! Itu yang paling penting - berbaloi - walaupun aku cuma download, bukan tengok wayang. Sebab jarang ada cerita Malaysia yang bagi kau 'nikmat' sepadan dengan masa dan duit yang kau keluarkan.


Terbaik Dari Langit sebuah cerita yang direct, yang simple. Tapi bila habis, 10 orang akan ada 10 persepsi berbeza. Mungkin bingung, mungkin tergantung, mungkin berkelahi pendapat, mungkin tak dapat terima, mungkin kau kutuk sebab cerita 'sampah'. Itulah yang aku rasa.


Pendapat aku : simple tapi sangat bermakna. Tak banyak cerita Melayu macam ini. Bunohan pun bermakna tapi kompleks. Mungkin simple macam The Journey.




Persahabatan, jadi diri sendiri dan berani. Itu tema Terbaik Dari Langit. Berani buat apa kau nak, berani jadi apa kau nak jadi, berani bercakap "Tidak". Sebab tak semua orang berani berkata "Tidak".


Tak perlu rasanya sentuh tentang lokasi, cinematography atau pelakon sebab memang terbaik dan 'kena'. And the script was very, very clever.


"You takkan menyesal, Terbaik Dari Langit!"


"I'm not trying to be different, I'm just trying to be me."


"Masa dekat sekolah dulu, kalau kau baca buku kau tak faham, buku bodoh ke kau bodoh?"


"Kita asyik buat benda nak bagi orang faham, kita sendiri tak faham."


"Sebelum professional, kena rasional dulu."


"Pandang langit, jangan lupa tanah."


"Kalau tak cuba mana tahu tak suka? Kena cuba dulu bro baru boleh ada pendapat."


"Bila tekanan tinggi, kita cari ruang."


"Bila kucing engkau sayang tersesat di jalanan
Pasti ia akan mencari jalan pulang
Jika sahabat sejati meninggalkan dirimu
Untuk apa kau bersedih kerna ia pasti kembali..."



... dan banyak lagi inspirational quotes. Tengoklah sendiri. Memang terbaik dari langit!


ps : "Cerita UFO tapi tak tunjuk alien pun." - Kontradiksi mendalam ;)



31 December 2014

selamat tinggal 2014




2014 tahun mula bekerja. Kerja biasa-biasa. Biasakan diri bangun pagi redah kesibukan manusia. Ambil tahu politik pejabat macam mana. Ambil tahu masalah-masalah luar yang orang lain bawa. Ambil tahu masalah budak-budak yang baru nak kenal dunia.



2014 tahun bercuti! Serius aku rindu Krabi. Duduk tepi pantai Ao Nang tengok terbenam matahari. Pulau yang memang hebat sekali. Sebenarnya dekat Malaysia pun ada semua ini. Cuma pemandangan jadi berbeza bila bertukar lokasi. Dan aku rindu Phuket sekali. Cuci mata dekat Bangla Road malam hari. Apa ada dekat situ tak boleh cerita dekat sini. Yang isteri tolong jaga suami.


2014 tahun aku konvo dekat TATIUC. Ya aku bergelar graduan tahun ini! Dapat bunga, coklat dan macam-macam lagi. Tamat sudah seksaan mahasiswa Degree Computer Network Security. Balik konvo demam dua hari.


2014 tahun yang boleh dibangga. Berjaya dapatkan kerja. Berjaya naik kapal terbang buat julung kalinya (25 tahun hidup baru merasa). Berjaya urus kewangan seadanya. Berjaya beli TV LED 42 inci dan PlayStation 4 walaupun cuma ada 2 game saja.


2014 tahun paling ramai orang tanya nak kahwin bila. Rilekslah semua. Aku tengah gigih simpan duit belanja. Benda lain semua dah ada. Baju pengantin aku dah tahu butik mana. Catering pun aku tahu nak ambil dengan siapa. Cuma bakal pengantin perempuan saja belum jumpa. Ayat ini mungkin kelakar tapi serius calon belum jumpa.


2014 tiada lagi. Pergi bersama memori. MH370 gagal dijejaki. MH17 pergi tak kembali. Soalan UPSR bocor buat pertama kali. Banjir yang menggila dan meninggi. Dan QZ8501 buat kami kembali meratapi. Pergilah 2014 pergi. Datanglah 2015 bawa semula senyuman pada kami.


ps : Years end. But memories last forever. Hello 2015 ;)



 

20 December 2014

romancinta




"Nak tackle awek ni senang je. Jaga hati dia, buat dia ketawa. Tu je."


Aku dengar saja dua orang kawan aku bercerita. Semangat betul kawan aku bagi nasihat dekat seorang lagi kawan aku yang bertanya. Sesekali aku menyampuk sepatah dua kata. Sesekali aku anggukkan kepala.


"Dan yang penting sekali, biar awek kau jauh di mata janji dekat di hati. Kalau kau dapat buat 3 benda ni, confirm awek kau tak lari."




Ini memang dah betul-betul berapi. Cara kawan aku cakap macam dia ada kelas dia tersendiri, macam ada ilmu jurus Naruto bimasakti. Padahal dia dah nak masuk 3 tahun cari awek tak jumpa-jumpa sampai hari ini.


Aku tak cakap apa dia cakap itu salah. Aku sendiri tahu nak tackle perempuan bukan mudah. Yang mudah biasanya perempuan 'murah'. Kau tayang kereta pun dia dah datang menyerah. Yang kami cakap sekarang ini perempuan yang payah, yang ada maruah.


Hebatnya rasa cinta, sebab dia bagi kau macam-macam rasa. Buat kau teruja, buat kau meminta-minta, buat kau mencuba, buat kau setia, buat kau bahagia, dan buat kau merana. Cinta, buat kau gila.


Hairan juga aku bila aku sendiri pernah buat apa yang kawan aku kata. Cuma bezanya aku buat dulu baru aku dengar ini semua. Kiranya tips ini memang digunapakai lelaki seluruh dunia. Agaknyalah aku rasa.


Aku pernah cuba buat seorang gadis selalu ketawa bila aku ada. Aku buat kelakar dengan macam-macam cara. Ayat ketawa akan selalu ada dalam setiap mesej yang dia terima. Bila jumpa, makin menjadi-jadi lawak yang aku reka. Aku nak dia sedar aku boleh buat dia bahagia. Aku nak dia ada rasa suka dekat aku macam aku sukakan dia.


Namun bukan semua yang dirancang akan menjadi...


Ingatkan bila aku buat dia ketawa, dia akan jatuh cinta. Tapi sebaliknya aku yang makin jatuh cinta bila dia ketawa.


Sampai sekarang aku masih buntu. Jika kamu tak percayakanku, belahkanlah dada dan kau intiplah di situ. Pasti akan jumpa kasih yang menyala meratap dirimu. Okay ini lirik lagu Mojo sebab sambil aku tulis entry aku dengar lagu.


ps : Ini idea dia, cerita dia, tentang dia, untuk dia ;)


16 December 2014

tersepit



Dia : Awak kahwin la cepat. Saya nak makan nasi minyak!
Aku : Awak dah tak sabar sangat ke nak kahwin dengan saya?



Dia : Awak nak masuk 26 tau? Kena la cari calon.
Aku : Awak la calon saya.


Dia : Nak kenal kawan saya tak? Dia comel.
Aku : Tak nak. Saya nak awak je.


Dialog di atas selalunya habis dengan gelak tawa. Sama ada "Haha" yang pendek atau "Hahahahahaha" yang panjang gila. Semua untuk tutup rasa awkward yang ada.


Sebenarnya bukan ada tiga saja dialog macam ini. Banyak lagi. Dialog yang aku cakap aku sayang dia dan nak jadikan dia isteri. Tapi setiap kali dialog genre ini terjadi, setiap kali itulah dia lari.


Aku dah beterus terang secara serius dengan dia. Dia buat tak tahu saja. Aku cuba cara bergurau pula. Pun dia buat tak tahu juga. Dia tak kata "Tak" tapi tak juga kata "Ya". Membuat aku rasa perasaan 'tersepit' itu rupanya perasaan yang celaka.


Sebab kalau "Ya" maka aku berjaya.
Sebab kalau "Tak" maka hati aku mati serta merta.
Tapi 'tersepit' antara dua ini buat aku terseksa.


ps : "Ku relakan jiwa untuk menjadi penghuni dalam sangkar hatimu..." - Hazama ;)


28 November 2014

hadiah kahwin



Kisahnya begini. Aku pergi beli hadiah tadi. Minggu ini ada 3 orang kawan bakal jadi raja sehari. Salah seorangnya geng rapat sendiri. Jadi niatnya nak kenakan kawan ini. Jadi aku belilah jam loceng warna warni. Dua hadiah lain hadiah cliche yang selalu orang bagi.




Jadi bila sampai rumah bertungkus lumuslah membalut hadiah. Dah beli sepuluh helai kertas balut hadiah warna cerah. Tiga-tiga hadiah tadi dimasukkan ke dalam tiga kotak kasut sama saiz yang tersimpan lama dah. Lalu ketiga-tiga kotak tadi dibalut dengan penuh hemah. Okay siap sudah.


Tapi timbul satu masalah yang tak disangka. Aku tak ingat kotak mana yang ada jam loceng sebenarnya. Jam loceng yang aku dah 'set' untuk berbunyi pukul 3 pagi pada malam pertama. Dah lah berat tiga-tiga kotak tadi seakan sama. Kalau kocak pun tak rasa gegar sebab aku dah sumbat banyak kertas surat khabar sebab nak penuhkan ruang yang ada. Serius aku lupa.


Kalau hadiah itu memang sampai dekat orang yang aku tuju tak apa. Baguslah sebab memang dia kena. Tapi kalau terbagi dekat kawan yang tak rapat sangat macam mana? Kan dituduhnya aku tak ada sensitiviti walaupun dia memang tahu aku gila-gila. Kalau dia kata aku cemburu lagi hina aku rasa. Mesti dia perasan aku minat dekat isteri dia. Tapi kalau nak buka balik hadiah untuk periksa semula memang mustahil rasanya.


Jadi, di sini, aku susun sepuluh jari. Maaflah kalau malam esok tiba-tiba ada bunyi jam masa pengantin tengah lena tidur atau masa tengah 'bergusti'. Anggaplah itu persediaan untuk jaga bayi yang Insyaallah akan lahir nanti. Sesungguhnya segala kesulitan amatlah dikesali.


ps : Aku bagi hadiah sekali bendera Malaysia. Tanda anda sudah Merdeka ;)


31 October 2014

motif?



Kahwin memang sedap kan? Ada pasangan. Ada orang jaga pakaian, makanan, minuman. Kawan aku sendiri yang dah kahwin pernah pesan,


"Kahwin la No. Sedap wei. Kau pegang tangan bini kau, dapat pahala. Kau peluk cium dia, dapat pahala. Bersetubuh pun dapat pahala wei. Tak perlu dah nak 'Look Around' Wechat cari ayam. Kahwin je bro."


Aku anggukkan saja. Sedapnya. Ada sikit rasa cemburu tapi takkan nak tunjuk semua.




Betullah memang bila kahwin nak buat apa-apa tak ada halangan. Nak bercium ke berpeluk ke buatlah sebab memang dah dapat kebenaran. Cuma perlu ke tunjuk dekat semua kawan-kawan? Ini bukan cerita kawan aku dekat atas tapi kisah kawan lain yang dah lama aku pendamkan.


Aku suka tengok pasangan yang update status tengah makan dengan pasangan dia dekat restoran sekian-sekian. Aku kalau boleh nak 'Like' banyak kali bila ada pasangan yang letak gambar dia sekeluarga dengan anak-anak tengah main dekat taman permainan. Memanglah sedap bila dapat banyak komen puji-pujian. Memanglah sedap bila dapat banyak 'Likes' dan rasa diperhatikan. Tapi kalau sampai benda dalam selimut pun nak diceritakan, rasa meluat orang yang tengok pun timbul perlahan-lahan.


Motif apa tulis berapa round main semalam? Motif apa bagitahu 'burung' suami boleh masuk berapa dalam? Motif apa letak gambar kain batik dan kain pelikat dekat hujung tilam? Aku bukan marah tapi geram.


Benda-benda macam ini bahaya. Kalau ada orang cemburu tak apa, tapi kau secara automatik buat orang berfantasi lebih jauh dari sepatutnya. Sebab lelaki dia tak baca saja-saja. Biasanya dia akan terbayang apa dia baca. Kalau tak takkanlah cerita Cikgu Suraya boleh jadi popular masa 10 tahun lalu di kalangan remaja.


ps: Sebulan blog tak berupdate. Sibuk dengan duniawi. Sorry ;)



30 September 2014

lima tahun




Matematik ialah subjek paling aku benci. Tapi subjek inilah yang aku kena belajar dari sekolah rendah sampai Degree. Aku lagi suka subjek Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris yang aku boleh tulis karangan sampai puas hati. Subjek Sejarah pun aku boleh terima lagi. Tapi dengan Matematik memang aku berkelahi.




Aku paling tak suka soalan Matematik berbentuk cerita. Contohnya, Azri ada beberapa ekor kura-kura. Azri jual 3 ekor kura-kura dekat jiran dia. Berapakah berat kura-kura mereka. Bunyi macam mengarut kan sebab aku reka tapi lebih kurang macam inilah soalan dia. Berangkai entah apa benda.


Aku memang suka tulis karangan. Aku selalu dapat 'A+' kalau kertas Bahasa Melayu Penulisan. Tapi masa sekolah dulu dapat 'A' Bahasa Melayu dipanggil kebiasaan. Orang pun tak bagi perhatian. Kalau kau dapat 100% pun orang tetap anggap biasa sebab itu Bahasa Kebangsaan. Sedih juga sebab orang macam tak bagi penghargaan.


Sebab itulah aku tulis blog yang kau tengah baca sekarang. Sebab dekat sini aku boleh tulis panjang-panjang. Aku boleh tulis bila aku bengang. Aku boleh luah bila aku sayang. Aku boleh tulis tak kira masa lewat petang atau bila subuh menjelang. Aku boleh tulis semua benda yang ada dekat negara orang sampailah kepada sekecil-kecil barang. 


Selepas genap lima tahun aku tulis dekat blog hitam ini, aku mula rasa dihargai. Rasa suka bila entry dan quotes dikongsi dekat Twitter dan FB. Suka bila entry dikritik apa lagi dipuji. Suka sebab orang baca tulisan aku dekat sini. Suka sebab kepuasan dia jauh lebih bermakna daripada dapat BM 'A' berkali-kali.


Selamat ulang tahu kelima. Semoga kita akan terus kekal bersama.


ps : Terharu sebab walau tak tulis selalu, ada orang yang tetap tunggu entry baru ;)


23 September 2014

playstation 4



Seriously masa masuk 1 Januari dulu aku tak ada azam lagi. Bila orang tanya apa azam aku masa itu aku cakap rahsia padahal kosong tak ada isi. Aku mula ada azam bila masuk bulan Februari. Itu pun lepas aku sedar hidup aku macam tak ada hala tuju yang pasti.




Azam aku ada tiga. Nak kena cakap ke azam aku apa? Tak perlulah rasanya. Nanti dah tercapai semua baru aku cerita.


Alhamdulillah dah tercapai azam pertama aku. Azam aku tak besar tapi memang ia barang yang aku mahu. Akhirnya aku dapat beli Playstation 4 satu. Berkat menabung duit gaji sikit campur dengan duit saku. Bolehlah main bila hari minggu.


Main game untuk hilangkan sunyi. Maklumlah duduk rumah seorang diri. Kawan-kawan rapat semua jauh-jauh cari rezeki. Kawan yang ada pun sibuk dengan keluarga sendiri. Tinggallah aku dengan Playstation dan TV.


Ada dua lagi azam belum aku kecapi. Insyaallah akan tercapai sebelum hujung tahun ini. Aku akan cuba sampai jadi. Nanti dah jadi aku update lagi.


ps : Azam nak kahwin takde tahun ni. Cuba lagi tahun depan ;)


11 September 2014

panas




Panas sungguh cuaca. Matahari tegak atas kepala. Aircond dah speed '2' tapi panasnya tak hilang juga. Aku kipas-kipaskan tisu dekat muka. Aku gerak-gerakkan baju di bahagian dada. Aku dapat rasa ada angin tapi panasnya masih terasa.




Lampu isyarat bertukar merah. Aku angkat 'Handbrake' sambil aku sejukkan badan yang sudah sedikit basah. Sebuah motorsikal Honda C70 berhenti di sebelah. Pada firasat aku yang di depan mungkin si ayah dan dibonceng si ibu dengan anak kecil di tengah-tengah.


Si ibu menutup kepala si anak dengan hujung kain tudungnya. Kelihatan si ibu berbual dengan si ayah sambil tersenyum mesra. Entah apa yang dibualkan mereka. Lampu isyarat bertukar hijau saat aku leka buat 'Duckface' dekat anak kecilnya yang mungkin anggap aku gila. Kami memilih laluan berbeza.


Kemudian aku nampak seorang perempuan berjalan kaki. Bertudung dan berbaju kurung kelabu dengan renda dekat tepi. Berkerut dahi tahan panasnya cuaca hari ini.


Sepanas-panas aku rupanya orang lain panas lagi. Rasa malu bila mengeluh kesusahan walaupun nikmat sudah diberi. Dan lebih terasa malu bila mula sedar sikap pentingkan diri sendiri. Angin aircond sudah ada tapi mahu lebih lagi. Padahal keluarga tadi cuma harapkan angin daripada motorsikal yang mereka naiki. Padahal perempuan tadi cuma harapkan angin semulajadi.


ps : Bersyukur walau apa terjadi. Susah mana pun kita, ada yang susah lagi ;)


10 September 2014

gembira



Gembira rasa bila dah siapkan semua kerja. Duit gaji pun dah masuk dengar-dengar cerita. Semua berjalan lancar dan sempurna. Rasa gembira yang tak terkata. Alhamdulillah sebab Dia permudahkan semuanya.


Sebab terlalu gembira, aku ajak kawan baik aku pergi makan malam dekat sebuah restoran ternama. Bukan kedai makan biasa-biasa. Mulanya dia terkejut juga tapi bila aku cakap aku tanggung semua dia terus setuju dan ketawa.




Dia tanya apa motif aku belanja. Aku balas tak ada apa. Aku kata cuma makan-makan biasa untuk hilangkan tekanan kerja. Aku tak nak tunjuk sangat perasaan gembira yang aku rasa.


Sambil menjamu selera, aku tanya kawan aku tentang masalah dia. Dah lama dia ada masalah keluarga. Masalah apa tak perlulah aku cerita. Cuma dia sebagai anak lelaki kena tanggung itu semua.


Jadi dia mulakan cerita. Dari awal hingga akhirnya. Dia dengan aku tak pernah berahsia. Dah banyak benda kami kongsi bersama.


Masalah dia tetap sama, katanya. Dugaan yang Tuhan bagi ini dia dah boleh terima. Dia dah boleh bahagikan masa antara keluarga dan kerja. Peranan sebagai anak lelaki pun dia dah boleh jaga. Walaupun hidup dia kacau bilau tapi dia gembira. Gembira sebab dia dapat hadapi itu semua.


Aku gembira bila dapat tahu kawan baik aku pun gembira juga. Walaupun mungkin ayat dia cuma untuk sedapkan hati saja. Tapi kalau betullah dia gembira, pasti kegembiraan dia lebih dari apa aku rasa. Aku gembira sebab hidup aku lancar dan sempurna, tapi dia lebih gembira sebab sesusah mana ujian menimpa, dia boleh hadapi semua. Sememangnya orang tabah paling layak untuk gembira.


ps : Keep smiling. And one day life will get tired of upsetting you ;)


28 August 2014

dua muka




Duduk seorang dekat luar pintu KFC. Kawan aku janji pukul 9 tapi dah pukul 9.30 tak sampai-sampai lagi. Bila telefon katanya dalam perjalanan tapi dengar bunyi TV. Ini nama dia janji dicapati ya saudara saudari.


Bosan tak tahu nak buat apa jadi aku main-main duit syiling 20 sen yang aku ada. Aku pusingkan dan tutup dengan tangan dekat atas meja. Aku sendiri teka.


Hidup ini macam duit syiling yang aku pegang. Ada 'Gambar' dan 'Nombor' dekat depan dengan belakang. Aku ibaratkan 'Gambar' sebagai 'Susah' dan 'Nombor' sebagai 'Senang'.


Gambar/Kepala = Susah.
Nombor/Ekor = Senang.



Aku lambung duit syiling itu ke udara dan aku sambut dengan tangan kanan. Aku buka genggaman dan nampak duit itu atas tapak tangan. Bahagian 'Gambar' kelihatan, tanda kesusahan.


Ini kalau tilik nasib memang petanda malang.


Aku lambung sekali lagi. Aku sambut dan aku harap 'Nombor' keluar kali ini. Aku buka tangan yang aku genggam tapi yang keluar ialah 'Gambar' lagi sekali. 'Kesusahan' lagi.


Gila. Nasib aku memang tak baik ke apa?


Aku lambung kali ketiga. Aku lambung kuat sikit dan aku genggam sekuatnya. Aku ambil masa sebelum genggaman aku dibuka. Aku berdoa sikit supaya diberi 'Senang' lepas 'Susah' sekian lama. Dengan penuh harapan genggaman aku buka.


Yokatta!! Akhirnya! Nombor keluar juga!!


Samalah macam hidup kita. Susah dan senang memang selalu ada. Susah macam mana pun kita, bahagian sebelah lagi sedang tunggu giliran dia. Sabar dan terus cuba.


ps : Yokatta ialah perkataan Jepun bermaksud 'was good'. Hentai yang bagitahu ;)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...