My Dongsaeng. My Oppa. My Noona.

Showing posts with label Tips Tops. Show all posts
Showing posts with label Tips Tops. Show all posts

07 August 2014

dari sinar mata



Ada seorang gadis buta. Dia benci semua benda - kecuali kekasih dia. Kekasihnya selalu ada untuk dia. Makan bersama, bacakan berita. Gadis itu pernah kata, kalau dia dapat lihat dunia, dia mahu berkahwin dengan kekasihnya saat itu juga.




Selepas beberapa tahun mecuba, seseorang telah menderma sepasang mata. Gadis itu sangat gembira. Dia lebih gembira bila mata barunya berfungsi dengan sempurna. Dia melihat dunia buat kali pertama, dia dapat lihat wajahnya sendiri di cermin kaca, dia juga dapat lihat wajah buah hatinya.


"Awak dah nampak dunia. Jadi sudi tak awak kahwin dengan saya?"


Gadis itu terkejut bila mendapati kekasihnya juga buta. Lidahnya kelu tak berkata. Dia menolak lamaran kekasihnya dan mengatakan kata-katanya dulu hanya untuk menyedapkan hati saja.


Perlahan-lahan lelaki itu berdiri dan pergi. Dengan tongkat besi, dia mengatur langkah kecil mencari pintu yang sudah terbuka sejak tadi. Dia sempat berhenti dan berpaling seolah-olah nampak gadis yang selama ini disayang sepenuh hati. Dia tahu gadis tadi juga sedang memerhati.


"Tolong jaga mata saya baik-baik lepas ni."


Tamat.


Manusia berubah. Bila senang kita mula lupa masa silam yang payah. Bila senang kita sering lupa siapa yang ada saat kita susah. Sesungguhnya masa silam dan orang-orang itu adalah hadiah. Hargailah.


ps : Mungkin lelaki itu patut bagi satu mata saja. Jadi dua-dua boleh tengok dunia ;)

03 July 2014

cantik



Satu benda yang aku tengok hari-hari dekat Facebook dan surat khabar ialah iklan produk kecantikan. Macam-macam produk diiklankan. Tak kiralah luaran ke dalaman. Kurus tanpa pantang makan, putih dalam masa tak sampai sebulan, kembali dara selepas sebulan. Target dia tak lain tak bukan, perempuan.




Aku bukan nak kata produk yang dijual tak bagus ke menipu ke apa. Aku bukan guna pun produk-produk itu semua. Cuma aku tetap rasa, nak cantik dalam masa singkat sebenarnya makan masa yang lama. Nak kurus juga perlukan disiplin yang berlipat ganda. Ini apa aku rasa. Kalau salah tolong perbetulkan sebab aku memang tak ada cuba produk mana-mana.


Kawan aku kata bulan puasa ini adalah waktu paling tepat nak kuruskan badan sebab seharian tak makan. Tapi aku tak pasti kuatkah dia nak hadapi Aidilfitri yang tak sampai lagi sebulan? Tabahkah dia untuk menolak semua hidangan? Terpulang pada dialah sebab dia punya badan.


Tak kisahlah apa produk kau guna, biarlah berpada-pada. Aku meluat juga dengan orang yang obses nak cantik sangat macam nak jadi hijabista-stailista-primadona-seantero-dunia. Kadang-kadang aku rasa dia macam nak menunjuk dekat semua manusia. Semua orang nak cantik tapi cuba tanya diri kita, kita nak cantik untuk apa dan untuk siapa?


ps : Antara nikmat dalam Islam adalah sahur dan puasa. Selamat berpuasa semua ;)

20 March 2014

result spm


Ada orang belajar gila-gila.
Tapi result biasa-biasa saja.
Ada orang langsung tak baca. 
Tapi result power gila. 
Itu bukti rezeki bukan di tangan kita. 


Banggalah dengan result yang kita ada. 
Walaupun warna-warni warnanya.
Banggalah sebab kita dah cuba.
Cuba bikin warnanya putih semua.
Cuba bikin semuanya cantik belaka.
Cuba bikin sehabis molek untuk masa depan kita.


Kalau nak menangis pun menangislah sepuasnya. 
Menangislah sampai lega.
Kemudian lap air mata. 
Berdiri semula.
Mulakan langkah pertama.
Dan kejar cita-cita.


Result kau seksi tak bermakna kau dapat survive dekat universiti.
Dah ramai aku jumpa dapat result taraf Lamborghini.
Tapi sayangnya tak sempat sampai ke destinasi.
Dan ramai juga yang aku jumpa result tahap basikal Fixie.
Malah ada yang result cuma tahap berjalan kaki.
Dan mereka berjaya sampai hari ini.


SPM bukanlah segalanya. 
Tahniah semua.


ps : HOPE. Hold On, Pain Ends ;)


31 December 2013

selamat tinggal 2013



2013 melabuh tirai. 2014 sudah melambai. Terlalu banyak kenangan tahun ini untuk dihurai. Ada kegagalan yang menghentam sampai ke lantai, dan ada kejayaan yang dicapai. 


Apa yang paling diingati ialah tahun ini aku berjaya tamatkan pelajaran. Dengan izin Tuhan, segenggam ijazah bakal dalam tangan. Sekarang aku cuma tunggu hari konvokesyen yang dijadualkan tahun depan. Syukur Alhamdulillah atas rezeki dan kemudahan yang Dia berikan.


Kejayaan entry blog ini terpilih masuk dalam Harian Metro juga satu pencapaian yang tak dijangka sama sekali. Terima kasih saudara saudari. Ada sedikit kekeliruan bila aku post berita blog aku masuk surat khabar malam tadi. Sebenarnya blog ini masuk surat khabar pada bulan Februari. Kalau nak baca entry tersebut sila tekan sini. Segala kesulitan amat dikesali.


Dalam suka ada duka. Tahun ini aku kehilangan beberapa insan yang aku sanjung mulia. Ibu Arif, Paih Ayoh dan Pojie Ekzos yang pergi untuk selamanya. Ibu Arif antara ibu terbaik yang pernah aku jumpa. Layanan mesra beliau setiap kali berjumpa tak akan aku lupa. Paih Ayoh yang selalu bagi nasihat supaya aku jangan selalu kejarkan dunia. Dan Pojie Ekzos yang pernah jadi rakan sekerja. Aku ingat lagi bila dia bagi aku 5 modem Internet secara percuma. Dia langsung tak berkira. Sayang mana pun aku pada kalian atas dunia, Dia lebih sayangkan kalian sebenarnya. Semoga kalian semua bersama orang beriman di sana.


Walaupun aku rasa tahun ini bukan tahun paling baik untuk aku, tapi aku bangga dapat kawan-kawan baru. Ramai sangat kalau nak tulis satu per satu. Untuk warga ICT Pejabat Agama Kuala Terengganu tempat aku praktikal dulu. Junior-junior kolej aku. Para peniaga bazar Ramadhan Chendering masa bulan puasa hari itu. Followers baru di blog, Facebook, Instagram dan Twitter yang dengan rela hati follow aku walaupun aku post benda merapu. Semoga perkenalan kita ini akan mengeratkan ukhuwah kita selalu. Mungkin jodoh aku ada dalam senarai kawan baru ini juga mana kita tahu, tak gitu?


Ini adalah entry terakhir untuk tahun ini. Jika diizinkan lagi, tahun depan aku akan tulis lebih banyak entry yang lebih sensasi. Ayuh jauhkan kontroversi, dan tingkatkan prestasi.


ps : You made me laugh. You made me cry. It's time to move on. Goodbye 2013 ;)

22 December 2013

lelaki



Semalam aku dapat satu mesej masa tengah syok layan Liverpool lawan Cadiff City. Terkejut juga rasanya sebab telefon aku dah lama tak berbunyi. Pengirimnya seorang kawan lelaki. Aku syak mesti ada hal nak dibincang sebab lelaki kalau bosan sekali pun jarang dia akan cari lelaki. Mesti dia cari perempuan nak hilangkan sunyi.


Sambil mata aku tengok bola dekat layar kaca, tangan aku layan cerita dia. Katanya dia tengah pikat seorang perempuan tapi tak dapat-dapat walaupun dah cuba macam-macam cara. AKu tanya berapa lama. Dia kata dah nak masuk tahun kedua. Lama juga. Aku tanya lagi kenapa dia tak terima. Dia kata hati perempuan itu belum terbuka. Perempuan itu jadi takut-takut nak bercinta. Lagipun ramai juga yang sedang kejar perempuan itu selain dia. Dia tanya nak buat macam mana. 



Aku kata aku tak pandai bab pikat orang. Kalau aku pandai tak lah aku solo sampai sekarang. Dia gelak panjang. Orang pandai memang tak mengaku pandai tambah dia dekat belakang. Aku gelak juga nak bagi rasa bengang hilang. Dan aku faham dia gelak untuk hilangkan rasa bimbang.


Tak tahu lagi nak cakap macam mana. Jadi aku buka satu cerita lama.


Dulu ada seorang lelaki. Dia minat sangat dekat seorang perempuan nama Noni. Tapi Noni dah ada teman lelaki. Tapi lelaki itu cekalkan hati. Dia tetap tunggu Noni walaupun dah empat tahun berganti. Noni tahu lelaki itu tunggu dia lagi. Noni pernah suruh lelaki itu pergi tapi lelaki itu tak pergi. Lelaki itu kata hanya orang lemah akan lari. Lalu Noni lari tapi lelaki itu datang semula mencari. Sungguhpun lelaki itu pernah kata dia tak kisah kalau dia ditakdirkan cuma kawan biasa dengan Noni, tapi hati dia tetap untuk Noni. Hati lelaki itu dah terkunci untuk perempuan lain kecuali Noni.


Aku bukan nak jaja kisah orang lain dekat kawan aku tadi. Aku cuma tak nak semangat mati. Sesusah mana hidup yang dia hadapi, ada orang yang lebih susah lagi.


ps : Never give up. It's difficult to wait, but more difficult to regret ;)


26 November 2013

sahabat



Aku punya teman. Teman sepermainan. Teman setaman kawasan perumahan. Bertahun kami berkawan tak timbul sebarang masalah walaupun aku lelaki dan dia perempuan. Salah dia aku biarkan. Kasar aku dia maafkan.



Ada seorang kawan aku pernah kata, perempuan dengan lelaki tak boleh kawan baik sebab nanti timbul rasa suka. Aku ketawa. Bukan tak percaya tapi sebab memang itu aku rasa. Aku suka dia. Perasaan sayang aku pada dia sebagai seorang kawan memang tak akan berubah sampai bila-bila. Cuma aku mahu aku dan dia jadi lebih mesra, naik ke peringkat seterusnya.


Dia cerita, dia pernah bercinta. Tapi cinta dia tak berjaya. Aku kenal siapa bekas kekasih dia. Kalau ikut hati aku nak hentam saja tapi aku tahu dia tak suka. Dia kata semua salah dia. Tapi sebab aku rapat dengan dia jadi takkan aku nak kata salah dia juga. Aku tak nak dia rasa bersalah lama-lama.


Pernah aku luah apa aku rasa. Pernah aku kata aku nak dia jadi isteri aku bila sampai masa. Dia ketawa. Katanya aku gila. Memang aku gilakan dia. Tapi dia buta. Dia kata dia anggap aku kawan saja. Kawan terbaik yang dia ada. Kawan yang sanggup buat apa saja untuk dia. Itu dia kata. Memang dia buta sebab dia tak nampak aku buat itu semua sebab aku sayangkan dia.


Walaupun dia tolak cinta aku, dia tetap tak buang aku. Kami tetap berkawan macam dulu. Kami sepakat untuk anggap luahan hati itu tak pernah berlaku. Sampailah satu hari dia bagitahu dia suka kawan aku. Aku terpaku. Dia suka tapi bukan aku?


Aku suka dia tapi orang lain dapat. Stress sangat! Terus aku rasa aku jahat. Jadi apa aku buat? Aku buat mereka rapat. Kami keluar bertiga supaya mereka dapat kenal dengan lebih dekat. Aku cerita kebaikan lelaki itu supaya dia kagum dan rasa lelaki itu memang hebat. Aku juga bagitahu kawan lelaki aku perangai kawan perempuan aku supaya dia ingat. Sampailah aku dapat tahu mereka makin erat. Aku doakan mereka bahagia walaupun kawan aku dapat apa yang aku nak sangat. Tak apa sebab kita kan sahabat.


ps : Kawan baik ibarat keris-keris lama. Susah nak jumpa, bertuah kalau ada ;)



24 October 2013

cuba



Jarang rasanya lepak dengan junior di kolej bersama-sama. Tapi hari ini kami duduk semeja. Ajakan dia aku terima. Segelas air Pepsi dan segelas Sirap Laici menjadi teman antara kami berdua.


Kami berbual macam biasa. Bercakap perkara lama. Bercakap tentang hostel yang baru dibuka. Sampailah masuk ke topik anggota kelas dia yang agak kecil bilangannya. Dia sebut beberapa nama yang aku kenal siapa tuannya.




Dia bercerita tentang pelajar terbaik kelasnya yang setiap semester dapat dekan. Perempuan. Budak yang boleh duduk seharian di perpustakaan tanpa rasa bosan. Budak yang lebih banyak habiskan masa dengan nota berbanding dengan kawan-kawan. Sementara dia cuma belajar sehari sebelum peperiksaan. Sampai tak tidur malam bersengkang mata menghafal nota yang diberikan. Pointer dia juga hanya cukup-cukup makan. Semester lepas dia hampir-hampir putus asa sebab terlalu banyak tekanan. Dia bertanya apa perlu dia buat sambil mengeluh perlahan.


Aku rasa bangga campur tak percaya. Orang tanya aku macam mana nak berjaya sedangkan aku sendiri tak berjaya mana. Aku tahu beberapa cara tapi aku sendiri tak pernah cuba.


"Empat campur satu berapa?"
"Lima."
"Dua campur tiga?"
"Lima."
"Nampak tak beza dia?"
"Beza? Apa?"
"Nak jadi lima bukan cuma ada satu cara."



Dia garu kepala. Aku senyum saja. Tak apa. 

Bukan semua orang faham ayat pertama yang kita bagitahu mereka.


Nak jadi lima ada banyak cara. Dua campur tiga, empat campur satu juga sama. Kosong campur lima pun boleh juga. Biarlah dia dengan cara dia. Kau guna cara kau saja. Tapi sebab kau tertinggal jadi kau kena lipat gandakan usaha. Kau tak tahu kalau kau tak cuba. Nak hidup lama tak boleh cepat putus asa.


Dia angguk kepala. Tak pasti pula dia faham atau dia sakit telinga. Aku cuma bagitahu apa aku rasa. Sebab aku sama macam dia. Nak berjaya tapi gagal lawan perasaan malas yang lebih berkuasa.


ps : Semua orang nak berjaya tapi tak semua orang nak berusaha ;)

05 October 2013

berhenti berharap



Ini cerita dulu kala. Cerita masa aku baru masuk alam remaja. Cerita masa aku baru nak kenal dunia. Cerita aku dan dia.


Kami rapat walaupun jantina berbeza. Rasa suka? Tak ada. Langsung tak ada. Sebab dia dah berpunya dan kekasih dia aku kenal siapa. Rasa cinta jauh sekali nak ada. Pada masa itu kekasih bagi aku tak penting mana. Cukuplah ada kawan perempuan yang boleh lepak sekali bila ada masa.


Kami kawan baik yang berjanji akan saling membantu bila perlu. Bila dia sedih sebab gaduh dengan kekasih dia cepat-cepat aku bagi pinjam bahu. Bila aku rasa serabut dia tadah telinga dengar aku mengadu. Kami sebulu.


Sampailah satu masa, kami terpisah untuk jangka masa yang lama. Mungkin sebab kesibukan kerja. Mungkin sebab tak ada hal menarik hendak dicerita. Mungkin sebab dia makin bahagia. Mungkin sebab aku sibuk tengok bola dan cerita Korea saja. Entahlah aku sendiri tak tahu sebab apa kami kian terpisah jarak dan masa. Sampailah bila kami berbual semula, timbul rasa segan untuk bercerita. Jadi tak selesa sebab terpisah lama.


Dari situ aku sedar yang kita tak boleh terlalu berharap pada orang lain di sekeliling kita. Sedangkan bayang-bayang kita sendiri tak bersama kita bila tak ada cahaya, inikan pula orang lain yang tak ada kena mengena.


ps : Percaya pada diri dengan harapan dan keyakinan ;)



30 September 2013

4th anniversary



Tadi ada kawan bangsa Cina cakap nombor empat adalah nombor dia paling takut sekali. Katanya dalam Bahasa Kantonis empat ertinya 'Sei' iaitu mati.


Hari ini ulangtahun keempat blog hitam ini. Cuma aku harap empat ini bukan sial macam yang kawan Cina aku cakap tadi. Sebab aku belum bersedia nak tengok blog ini mati.


Terima kasih semua yang sudi membaca. Terima kasih semua yang sudi sumbangkan idea. Terima kasih semua followers yang setia. Terima kasih semua yang komen tak kira apa saja. Terima kasih semua pengkritik yang sudi luangkan masa. Terima kasih semua untuk segalanya. Tanpa anda blog ini tiada makna.


ps : Sejuta 'Terima Kasih' sekalipun tak dapat balas jasa anda semua ;)



13 June 2013

hati batu



Itu. Nampak tak lelaki baju hitam yang tengah baca buku atas kerusi batu? Aku suka dia sejak dulu. Dia tahu sebab aku pernah beritahu tapi dia tak pernah hirau perasaan aku. Dan sampai hari ini aku pendam perasaan itu.


Dia selalu bawa majalah tentang perempuan. Aku nak sangat tanya tapi aku segan. Mungkin hari ini aku patut dapatkan penjelasan. Aku tanya dia depan-depan.


"Hai. Boleh saya duduk sini?"
"Duduklah."



Aku, majalah, dia. Dua majalah yang muka depannya model yang serupa menjadi orang ketiga. Model itu bekas kekasih dia. Hari ini sudah jadi model ternama. Aku tahu pun sebab aku tanya kawan lelaki dia. Aku kalau dah minat dekat seseorang aku akan stalk dia gila-gila. Aku capai satu majalah dan belek buat-buat baca.


"Kenapa baca buku perempuan?"
"Saja. Buat hilang bosan."



Ahh sudah. Main ayat sepatah-sepatah ini yang buat aku lemah. Pleaselah.


Aku terpandang wallpaper telefon bimbit dia dekat atas meja. Perempuan yang dalam majalah itu juga. Aku tunjuk muka depan majalah dan halakan depan dia.


"Suka dia?"
"Ya."
"Kenal dia?"
"Ya. Model ternama."
"Betul ke? Ke ada apa-apa?"



Dia diam tak kata apa. Keluhan panjang dihela. Alamak dia marah ke?


"Siapa dia sebenarnya?"
"Jiwa. Cinta. Semua."
"Tapi dia dah nak kahwin dengan orang kaya."
"Ya."



Dia berdiri. Serabut dengan aku barangkali. Dia hulur tangan minta majalah yang aku pegang tadi. Cepat-cepat aku beri.


"Errr... Boleh aku ganti dia?"
"Tak."



Dia pergi. Langsung tak berpaling dekat aku walau sekali. Awak, sekeras-keras kerusi batu yang saya duduk ini, keras hati awak lagi.


ps : Every girl has a guy that she won't stop loving. And every guy has a girl that he won't stop fighting for ;)

02 April 2013

entry untuk isteri



 

Saya nak kita jadi ayah dan mak yang romantik dan penyayang depan anak-anak kita. Saya tahu mesti awak gelak bila baca ayat pertama saya. Tapi saya serius sebenarnya. Saya bukan mengada-ngada. Saya nak anak kita tahu apa itu kasih sayang dan cinta. Saya nak anak kita belajar apa itu bahagia. Bila kita tunjuk kita mesra, anak-anak kita akan turut sama bahagia. Saya harap awak tak ketawa.


Saya tak kisah kalau awak datang sembur air paip masa saya basuh kereta. Saya tak marah kalau awak sengaja berjalan lambat-lambat depan TV masa saya tengok bola sepak pasukan kegemaran saya. Buatlah kalau itu dapat buat hubungan kita makin mesra walaupun kita dah lama berumahtangga.


Saya tetap akan peluk dan cium awak masa awak sibuk di dapur siapkan masakan makan malam walaupun anak kita ada. Saya tetap akan pimpin tangan awak walaupun anak kita dah boleh berlari dekat pasaraya. Saya tahu mungkin awak malu bila orang pandang dan mengata. Tapi kita bukan buat sebab nak orang puji kita. Kita bahagia. Bukankah semua yang suami isteri buat selepas berkahwin merupakan satu pahala?


Sesungguhnya kasih sayang itu bermula dari rumah. Kasih sayang dari awak sebagai ibu dan saya sebagai ayah mendidik anak-anak kita jadi soleh dan solehah. Saya mahu anak-anak kita berjaya dari sudut pelajaran dan juga akidah. Mungkin dari situ ada jalan untuk kita sekeluarga menuju ke Jannah.


Yang benar,
Suami.


ps : Sabda Rasulullah SAW, "Jika seorang isteri itu telah menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya daripada mengerjakan perbuatan haram dan taat kepada suaminya, maka dia akan dipersilakan masuk ke dalam syurga dari pintu mana sahaja yang dia kehendaki."



14 December 2012

best friend



Kawan baik adalah kawan yang selalu ada untuk kau tak kira masa atau ketika. Kau dan dia saling berkongsi cerita, apa saja cerita. Semua tentang cinta sampai ke perihal keluarga serta tekanan yang kau rasa sama ada di kelas atau tempat kerja.


Sungguhpun berbeza jantina, kau dan dia selalu dilihat bersama. Makan bersama. Lepak bersama. Kau tak kisah apa orang kata. Kau single dan dia pun sama. Kau bebas buat apa saja. Kau tak ada kekasih yang akan cemburu buta. Kau tahu kau selesa dengan dia. Kau percayakan dia. Kau sayangkan dia. Malah kau sanggup mati demi persahabatan kau dan dia. 




Tapi ada satu peraturan hidup yang harus kau terima. Di antara kawan baik dan cinta, ada satu garisan halus yang memisahkan mereka. Garisan yang menjadi sempadan rasa. Garisan yang buat ramai manusia kecewa di akhir cerita.


Sekali kau jatuh cinta dengan kawan baik kau sendiri, kau umpama bermain api. 

Kau jadi takut dalam berani. Kau tersepit antara kanan dan kiri.


Apa kata kalau dia pun rasa perasaan yang sama? Kau saling suka lalu kau bercinta. Tapi risiko untuk putus sentiasa ada. Sebab bila kau bercinta, kau dah tak boleh buat macam kau cuma berkawan saja. Dan kalau kau putus dengan dia, persahabatan yang dah lama terbina akan berkubur untuk selamanya.


Macam mana pula kalau dia tak rasa apa yang kau rasa? Kalau dia cuma nak berkawan saja? Rasa tak selesa akan timbul antara kau berdua. Dan mungkin dia akan tinggalkan kau atas ketidakselesaan yang kau sendiri cipta. Dan kau akan hilang kawan baik hanya sebab kau terlalu ikutkan rasa.


Sebab itu aku takut bila kita makin mesra. Aku takut kita terjatuh cinta. 

Aku sayang kau tapi aku lebih sayangkan persahabatan kita.


ps : Betul kata mereka, bercinta selepas kahwin itu lebih indah keindahannya ;)


 

06 December 2012

nasihat diri sendiri


 

Bayangkan kau sedang dilanda masalah peribadi. Kau pun duduk seorang diri, bercakap dalam hati, dengan diri kau sendiri. Nak buat begini takut tak jadi. Nak buat begitu tapi tak berani. Pendapat kau berkelahi. 



Kau teringat seorang kawan yang pernah hadapi masalah yang sama. Pada saat itu kau yang nasihatkan dia. Kau dengan penuh yakin berkata cara ini akan berjaya. Dan benar memang dia berjaya.


Tapi sekarang walaupun kau ulang ayat yang sama, kau tak dapat terima. Kau tetap sangsi dengan nasihat yang pernah kau bagi dekat orang yang hadapi masalah yang serupa.


Jadi kau cari kawan dan luahkan masalah tadi. Kemudian kawan kau bagi nasihat supaya masalah kau itu dapat diatasi. Sama ada sama atau tidak dengan cara yang pernah kau bagi, kau hampir pasti akan gunakan cara yang kawan kau beri. Sebab kadang-kadang lebih baik dengar sesuatu dari mulut orang daripada hati sendiri.


ps : You know why your heart is located on your left? Because it's not always right ;)



30 September 2012

kelahiran



Aku datang ke sini tiga tahun lalu. Aku panjat tangga satu per satu. Tanpa rehat tanpa jemu. Keyakinan adalah senjata aku. Aku kayuh perlahan seperti perahu. Aku nampak ada yang laju macam peluru. Aku tak kisah semua itu.


Teringat waktu dulu. Nak ada blog satu, itu impian aku. Konon nak cuba sesuatu yang baru. Itulah aku. Dan aku tak akan lupa impian itu. 




Apih El Nino Bernafas Dalam Ego tertera. Macam-macam orang kata. Budak lelaki muda. Budak lelaki yang masuk majalah Remaja. Budak lelaki yang buat orang kagum dengan entry dia. Sampai ada yang iri hati dan buat propaganda. Semua sebab dia rasa aku ada semua. Ada nama. Ada hidup yang selesa. Ada peminat di mana-mana. Aku diam saja.


Kalau aku ada kuasa aku mahu bertukar posisi. Biar dia duduk di tempat aku sehari. Dia akan sedar apa yang dia kata itu terpesong sama sekali. Itu aku pasti. Aku harap sangat dia baca entry ini. Supaya dia tahu apa yang dia rasa selama ini cuma ilusi.


Masa berganti masa. Rasa sunyi mula ada. Sunyi sebab masa perlu dibahagi dua. Kadang-kadang tiga, empat dan lima. Masa untuk kerjaya, keluarga dan blog juga. Sebab hidup ini ada naik turun dia. Peluh yang mengalir dari kepala. Dan air mata yang menitis di dada. Semua itu aku dah rasa. Sebab bertahan selama tiga tahun bukan semudah yang disangka.


Terima kasih blog hitam untuk tiga tahun yang singkat rasanya.
Terima kasih blog hitam sebab sentiasa ada saat orang lain tiada.
Terima kasih yang tak terhingga.
Selamat ulang tahun ketiga.



ps : Terima kasih untuk semua sokongan. Terima kasih kawan-kawan ;)



12 June 2012

kenapa saya masih guna blogspot?



Masih aku ingat kali pertama aku menulis di blog hitam ini. Seorang kawan bercerita tentang domain sendiri. Tapi masa itu blog hitam ini baru lahir melihat cahaya matahari. Followers masih kosong dan cuma ada satu entry syok sendiri.


Hari ini blog hitam ini kian meningkat usia. Namun soalan sama masih ditanya.





"Bro, followers beribu riban takkan pakai blogspot lagi?"

"Wei beli domain la bukan mahal pun pakai domain sendiri..."

"Tukar jadi apihelnino.com la baru nampak blog level tinggi..."


Aku ketawa. Apa yang dia kata itu betul juga. Tapi aku menulis sekadar suka-suka, bukan kerana level atau nama. Aku cuma mahu luahkan idea dalam kepala. Aku bukan nak kejar apa-apa. Tapi terima kasih kepada yang memberi idea. Aku hargai sampai bila-bila.


Cuma aku lagi tertarik dengan yang ada blogspot sebenarnya. Maaf kepada yang ada domain diharap jangan terasa. Kalian hebat kerana berani melakukan anjakan paradigma. Tapi yang ada blogspot aku rasa lebih bersahaja. Aku lebih cenderung menekan aaronaziz.blogspot berbanding aaronaziz.com contohnya. Sebab aaronaziz.com kelihatan dikawal oleh admin berbanding aaronaziz.blogspot yang mungkin ditulis oleh Aaron Aziz sendiri bila dia ada masa. 


Hujah ini mungkin ada salahnya namun ini yang aku rasa.
Orang lain aku tak tahu macam mana.


Maaf kalau ada yang sentap atau terkilan.
Ini cuma pandangan dari blogger picisan yang baru belajar berjalan.


ps : Platform kita mungkin berbeza tapi tugas kita sama. Go Go Blogger Malaysia ;)


20 May 2012

wei blog aku masuk majalah remaja wei



Ucapan 'Tahniah' datang bertalu. Penuh muka buku. Ibarat Hafiz menang Anugerah Juara Lagu dulu. Terselit rasa bangga di sebalik sedikit rasa malu.


Majalah Remaja edisi 15 Mei 2012 cover depan gambar Elfira Loy baju merah dengan riben polka dot atas kepala. Muka surat 117 ruangan blogspot blog pilihan nombor tiga. Bernafas Dalam Ego tajuknya. 





Blog yang aku agungkan tiba-tiba keluar di majalah Remaja. Gila! Punyalah banyak lagi blog hebat lain entah kenapa blog ini terselit juga. Bukan tak bangga. Cuma belum hilang rasa terkesima.


Aku tak hirau markah yang diberi. Aku tak kisah review yang diulas rapi. Aku cuma bangga sebab mampu sampai ke tahap ini. Tapi aku cuba tidak lupa diri. Ikut resmi padi. Semakin tunduk semakin berisi.


Aku menulis sekadar suka-suka. Tak pernah terlintas nak cari nama. Masih jauh ketinggalan antara blogger-blogger yang lebih 'berkuasa'. Belum sampai tahap masuk surat khabar seperti Fatin Liyana. Belum sampai tahap popular macam Hanis Zalikha.


Banyak lagi blogger lain yang tak mampu aku tulis semua nama. Namun mereka tetap idola. Tanpa mereka aku takkan mampu melangkah jauh dalam dunia blog yang penuh pancaroba. Terima kasih para idola.


ps : Sebenarnya ada banyak cara nak buat ibu bapa kita bangga ;)


28 October 2011

tragedi ngeri di sekolah selain belajar





01. "Cikgu tandas!" Dari sekolah sampai sekolah menengah, ayat ni memang famous.


02.
Hari pertama masuk kelas, cepat-cepat cari kerusi kayu. Aku memang suka
duduk kerusi kayu sebab boleh buat kaki dua. Faham ke kaki dua macam mana?


03. Mesti jalan perlahan-lahan depan tandas perempuan. Tak kira tandas pelajar
atau cikgu perempuan. Curi-curi tengok sikit. Nak bagi cerah mata.


04. "Siapa rasa jawapan dia A, angkat tangan." Usha sekeliling dulu. Kalau ramai
angkat, aku pun angkat.


05. Bila rasa nak pergi tandas masa peperiksaan, pemeriksa tu cakap ada orang dah
pergi jadi kena tunggu. Tunggu punya tunggu tak balik-balik. Stress giler!


06. Buat perancangan rapi nak curi buku teks budak yang aku tak suka bila kena
hantar buku teks sebab buku teks aku tak cukup.


07. Tandas ibarat syurga. Buang air, sorok barang bila ada spotcheck, tempat
lepak bila cikgu yang bosan mengajar, tempat tunjuk bakat melukis, tempat aku pertama kali tengok bentuk buah dada dalam versi lukisan walaupun hodoh lukisan tu, tempat luah isi hati sama ada sayang atau bencikan seseorang.


08.
Muka aku muka tandas. Sehari kalau tak pergi tandas macam tak lengkap.



09. "Jangan buka kertas soalan sehingga diberitahu." Arahan ni tak pernah aku
ikut. Sebab tu tak pernah dapat result yang okay kot.


10. Dulu, bagi aku, budak perempuan yang pakai stoking pendek, tudung singkat,
kain singkat, baju jarang adalah pelajar sekolah yang lepas habis sekolah, jadi Minah Rempit.


11. Suka ronda keliling sekolah. Bila terserempak dengan cikgu baru gelabah.
"Saya tengah cari cikgu blablabla..." Alasan yang meyakinkan.


12. Tak kira esok sekolah atau tak, aku tetap tidur lewat.



13.
Dalam kelas, dari aku Form 1 sampai Form 5 mesti ada kaki gosip. Dan yang
hebatnya, sepanjang 5 tahun tu juara kaki gosip kelas aku adalah orang lain-lain.


14.
Semua pelajar tengok semacam bila seorang budak yang pemalas tiba-tiba
bertugas. Sapu sampah ke, padam papan hitam ke. Bagi aku masa tu, bila orang jahat berubah jadi baik maknanya dia nak matilah tu.


15.
Tak pernah buat homework dekat rumah. Esok datang sekolah baru buat. "Dah
nama pun kerja sekolah, buat kat sekolah la!"


16. Dalam kelas, aku mesti baik dengan pelajar yang dalam pencil box dia ada
macam-macam. Daripada pen, pensil sampai gam, stapler semua ada. Biasanya budak perempuan la.


17.
Sakit hati yang teramat sangat bila tengah naik tangga sebab nak cepat tiba-
tiba ada cikgu berjalan dengan teramat perlahan kat depan. Serba salah nak potong ke tak.


18. Bila duduk rumah rasa nak pergi sekolah. Bila dekat sekolah rasa nak balik
rumah.


19.
Kalau masuk perpustakaan, atau bilik TV, dekat kerusi mesti dengan gigih
tulis "Afif El Nino was here!"


20. Hari pertama setiap sesi persekolahan : "Tahun ni aku nak belajar betul-betul, tak nak
main-main dah!" Okay, benda ni tak pernah jadi kenyataan.


ps : I miss school. Petang ini bertolak ke Shah Alam untuk Final Piala Malaysia ;)





17 October 2011

kawan lelaki yang perempuan patut ada





Biasanya perempuan berpendapat bila mereka ada teman lelaki, maka teman lelaki mereka itu dapat memenuhi setiap inci keperluan yang mereka perlukan. Tak semestinya. Ada masanya mempunyai beberapa kawan lelaki lain boleh memberi satu kelebihan buat perempuan.


Perempuan mahukan kawan perempuan yang mampu dicari bila berlaku apa-apa situasi, jadi tidak jauh bezanya dengan kawan lelaki. Untuk hidup yang lebih ceria dan tersusun, pastikan anda mempunyai kawan lelaki seperti di bawah.





Lelaki memperbetulkan kerosakan


Ada perempuan yang pandai tukar tayar kereta, tukar kepala paip, tukar mentol dan sebagainya, tapi tak semua. Jadi perempuan memang sangat perlukan kawan lelaki yang pandai baiki-membaiki ni. Tak perlu risau, dia tak perlukan upah daripada anda. Cukup sekadar belanja dia
makan.

"Semalam tayar aku pancit. Mujur Armia datang. Dia kan selalu tidur lewat..."


Lelaki 'Gila-Gila Remaja'

Anda kenal lelaki yang ceria sepanjang masa? Lelaki yang kelihatan 'gila-gila' seolah-olah tiada masalah dalam hidupnya? Cepat berkawan dengan dia! Bila anda rasa anda dalam mood tak stabil, dan anda mahukan seseorang untuk menghilangkan stress, dia adalah orang yang anda perlukan. Bukan saja dia tahu tempat mana perlu dia bawa anda, malah dia akan menjadi sumber tenaga kepada anda.


"Nasrul bawa aku lepak tempat baru. Manalah dia jumpa tempat cantik tu..."


Lelaki pandai mengayat

Lelaki dan ego tak dapat dipisahkan. Tapi perempuan mana tak suka bila lelaki memberitahu dia sangat cantik pada satu-satu ketika, bila lelaki membelikannya makanan atau secara tidak sengaja membuat anda rasa seperti dia mahu mengorat anda? Anda berdua tahu anda berdua cuma kawan
tapi perasaan bila lelaki memuji anda tetap anda suka, bukan?

"Aku suka cara Aminuddin layan aku. Tapi aku tetap sayang kekasih aku..."


Lelaki lembut


Kalau ikutkan, setiap perempuan perlukan kawan lelaki seperti ini. Kelebihannya ialah dia boleh bergelumang dengan setiap aksesori wanita tanpa sebarang drama seperti beberapa wanita lain. Dia boleh ikut anda shopping berjam-jam lamanya dan dia boleh masuk ke dalam kedai pakaian dalam wanita tanpa rasa segan, satu benda yang tak ramai teman lelaki boleh buat. Dan lelaki lembut juga pakar fesyen dari rambut sampai ke kaki.


"High heels baru ni Syazni yang tolong pilih. Dia cakap seksi di mata lelaki..."


Lelaki Abang Besar


Kadang-kadang ada bagusnya bila ada kawan berbadan sasa yang kuat dan mampu buat orang lain takut. Malah perempuan juga rasa selamat bersama orang badan besar macam ni. Sebagai bonus, kalau ada lelaki yang hancurkan hati perempuan, tidak mustahil Abang Besar ini akan 'hancurkan'
lelaki tersebut.

"Hazwan kena pukul! Arif pukul dia sebab dia buat classmate Arif menangis..."


ps : Kita ada kawan yang buat kita selesa cukup dengan berkawan sahaja ;)




04 October 2011

ayat lelaki yang dibenci perempuan





Beberapa orang lelaki tampil ke hadapan memuji keberanian entry 'Ayat Perempuan Yang Dibenci Lelaki' semalam. Jadi untuk berlaku adil, hari ini tiba giliran kesilapan yang biasa lelaki lakukan terhadap kekasih mereka.




"Wow. Lawa betullah budak Amirah tu..."


Tak kira betapa lawa atau seksi perempuan yang lalu di depan anda, tolong jangan sebut ayat ni kuat-kuat. Jaga hati orang di sebelah anda.

Walaupun kekasih anda sendiri menyebut betapa cantiknya perempuan yang lalu itu, jangan sibuk-sibuk nak masuk campur.
Mungkin dia cuma mahu menguji.


"Bodoh betul la kawan-kawan awak tadi..."


Hormat dia sepertimana dia hormat anda. Walaupun anda tahu kawan-kawan dia adalah penipu, suka tikam kawan dari belakang atau sebagainya, ada cara lain untuk memberitahu dia berbanding seperti ayat kasar di atas.


Lelaki juga pasti marah bila kekasih mereka berkata buruk tentang kawan yang dia lebih kenal itu bukan?


"Lol. Teruknya rambut you. You tak pergi salon ke?"


Perempuan sangat suka bereksperimentasi dengan rupa dan tubuh mereka. Tapi ingat, bukan setiap eksperimen memberi hasil seperti yang diharapkan.

Daripada mengkritik dan mentertawakan kekasih hati anda, apa kata anda memberi dorongan kepadanya kerana dia juga pasti tak suka dengan hasil eksperimen dia yang gagal itu. Anda seharusnya berterima kasih kerana dia sudi menunjukkan hasil yang buruk itu kepada anda terlebih awal kerana selepas berkahwin nanti anda harus menerima juga ketidakcantikan dia.


"Abang tak suka la baju yang sayang pakai ni..."


Kalau perempuan pakai baju, tudung, atau apa saja di badannya, itu bermakna dia sangat sukakannya dan sanggup berhabis duit demi pakaian itu. Memberi ayat seperti ini cuma membuat anda kelihatan seperti lelaki yang tidak pandai menghargai dan buta fesyen.


Kalau betul anda tidak suka dengan pakaiannya, apa kata bawa dia pergi shopping dan tunjuk yang mana satu pakaian yang boleh buat anda memujinya bila dia pakai nanti. Perempuan memang tak tolak bila lelaki mengajaknya pergi shopping. Masalahnya, beranikah lelaki?



"Baby ni sensitif sangat la. Janganlah emo macam ni..."

Perempuan mudah mengalir air mata. Jadi jangan berkasar bila dia emosi, sedih, marah atau menangis. Bukan setiap masa api harus melawan api.


Apa salahnya kalau anda menjelaskan perkara sebenar, cakap baik-baik, sapu air mata yang mengalir dengan ibu jari anda dan peluk dia supaya dia rasa disayangi. Oh ini hanya untuk yang dah kahwin. Kalau belum, pandai-pandai cover la ye. Masing-masing dah besar.



ps : Di sebalik kasarnya lelaki, mereka tetap ada taman bunga dalam hati ;)




03 October 2011

ayat perempuan yang dibenci lelaki





Banyak kali perempuan berkata teman lelaki mereka tidak pandai menjaga hati mereka. Maka tercetuslah perbalahan. Persoalannya, pernahkah perempuan menjaga hati teman lelaki mereka?
Lelaki bukan selalu menunjukkan apa mereka rasa, maka sebab itulah lelaki jarang merajuk. Tidak seperti perempuan. Malah lelaki juga boleh terasa hanya dengan kata-kata kekasih mereka.




"Eleh. Ex baby pun pernah buat macam ni la..."

Lelaki tak suka dibandingkan tidak kira dengan siapa sahaja.

Perempuan pun tak suka kan kalau lelaki bandingkan anda dengan bekas kekasih dia?


"Awak. Awak tengok Shahirah budak kelas Sains tu cantik tak?"

Ini soalan yang lelaki tidak akan menang bila perempuan tanya. Kalau dia jawap "Ya", anda mungkin akan cemburu.

Percayalah dia akan jawab "Tidak" walaupun perempuan itu sangat cantik. Dan anda pula akan menuduhnya menipu. Betul?


"Nevermind. I'm fine..."

Muka anda masam mencuka. Bila lelaki bertanya kenapa, anda mengatakan anda okay. Percayalah, lelaki sangat tertekan mendengar ayat di atas.

Ayat di atas hanya mengundang lebih banyak masalah. Pertama, anda terlepas peluang memberitahu dia masalah anda. Kedua, anda memperbanyakkan masalah yang sedia ada.


"Awak pasti ke awak okay ni?" (Tetap tanya walaupun dia kata dia okay)

Lelaki juga ada hari 'datang bulan' dia. Mereka boleh jadi 'tiada mood', letih, atau rasa tidak mahu bercakap. Come on, kami juga manusia biasa! Perempuan tolong jangan cuba membaca apa yang difikir lelaki bila terjadi macam ni. Bagi dia ruang dan jangan ganggu dia buat beberapa ketika.

Kalau anda terus bertanya soalan begini, jangan terkejut kalau dia memberi jawapan, "Awak yang buat saya jadi tidak okay!"


"Sayang tak sukalah mak abang tu..."

Jangan membenci sesuatu atau sesiapa yang dia suka. Betul, anda mungkin tak dapat jadi 'sekepala' dengan semua orang dalam hidup dia, tapi cuba beri sedikit ruang demi hubungan anda dengan manusia yang paling dia jaga dan sayang.

Kalau anda cuba membandingkan anda dengan ibunya, hampir setiap masa anda akan kalah. Lelaki sayang ibunya lebih dari segala-galanya.


ps : Perempuan ada air mata sebagai senjata. Lelaki ada ego sebagai perisai ;)




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...