Tweet
Follow @afifelnino
Dulu masa kecil mama pernah bacakan aku buku cerita. Kisah seorang lelaki yang kehilangan kapak dalam sebuah tasik yang sangat dalam airnya. Tahu cerita dia?
Pada zaman dahulu...
Dulu, setiap cerita mesti bermula begitu. Mungkin dengan ayat itu boleh buat budak-budak naif macam aku percaya cerita itu memang betul-betul berlaku.
Pada zaman dahulu ada seorang lelaki yang kerjanya menebang pokok di dalam hutan. Satu hari kapaknya terjatuh di dalam tasik berdekatan. Lelaki itu mati akal tidak tahu apa yang harus dilakukan.
Tiba-tiba timbul pari-pari yang jelita. Pari-pari itu bertanya kepada lelaki tadi kenapa dia bermuram durja. Lelaki itu pun menceritakan segalanya. Pari-pari itu kemudian masuk ke dalam air dan keluar semula dengan satu kapak perak dan bertanya kepada lelaki tadi adakah ini kapaknya. Lelaki itu menggelengkan kepala.
Pari-pari itu masuk semula ke dalam air dan keluar dengan satu kapak emas bercahaya. Sekali lagi pari-pari itu bertanya kepada lelaki tadi adakah ini kapaknya. Dan sekali lagi lelaki itu menggelengkan kepala.
Kali ketiga, pari-pari keluar dengan satu kapak buruk yang sudah tua. Dia bertanya kepada lelaki tadi adakah ini kapaknya. Lelaki itu menganggukkan kepala. Maka pari-pari itu menghadiahkan ketiga-tiga kapak kepada lelaki tadi atas kejujurannya.
Untuk beberapa tahun semasa aku kecil aku disogok dengan cerita ini. Ia seakan sebati. Macam kulit dan isi. Tapi mama ada hantar Whatsapp tadi...
"Jangan jujur sangat dengan orang. Nanti orang ambil kesempatan..."
Aku bingung sejenak.
Sebenarnya nak kena jujur ke tak?
ps : Al Fatihah kepada mangsa MH17 beragama Islam dan rakyat Palestin. #PrayForBoth :'(
1 comment:
Jujur bertempat, boleh? haha !
Post a Comment