My Dongsaeng. My Oppa. My Noona.

28 February 2012

akhirnya dia jumpa orang lebih sempurna





Dunia ini tak besar mana. Masih terngiang kata-kata itu di telinga. Itu yang terdetik bila terserempak dengan bekas kekasih bersama kekasih barunya. Berjalan bersama bergurau mesra pada satu senja. Dulu di hati ini dialah permasuri raja.




"Weh dulu dengan kau takde pun dia mesra macam tu." "Takkan kau langsung tak cemburu?" "Kau gila ke masa putus dengan dia dulu?" Soalan yang kawan aku tanya macam peluru. Aku biarkan persoalan itu. Dia lebih tahu. Dan aku langsung tidak cemburu.


Terima kasih awak sebab dulu sudi jadi kekasih saya. Walaupun bukan untuk selamanya. Walaupun hanya seketika. Awak bukan kesilapan tapi pengajaran buat saya sebenarnya. Mungkin awak ditakdirkan untuk mendapat lelaki yang lebih sempurna dan begitu juga saya.


Serta satu ucapan tahniah untuk dia. Kebahagiaan itu dia yang bina. Sungguh hebat kudrat wanita yang sangat gigih berusaha mencari cinta. Sebab itu perasaan cemburu langsung tidak terasa. Sebab aku percaya aku boleh cari kebahagiaan itu juga. Kebahagiaan yang mungkin lebih indah daripada sebelumnya.


ps : Kekasih lama mengajar saya menghargai kekasih saya yang berikutnya ;)




26 February 2012

dia palsu macam push up bra yang dia ada





Aku perkenalkan dulu. Dia perempuan Melayu. Dia kawan aku. Kami kenal dari muka buku. Pernah beberapa kali aku jadi tempat dia mengadu. Aku tolong sebab aku rasa dia sangat perlu. Tapi itu cerita dulu.


Dia kata aku antara orang paling dia percaya walaupun dia tahu aku gila-gila. Sebab itu semua benda dia cerita. Sampaikan soalan tentang coli yang dia pakai pun dia bagitahu bila aku tanya. Dia tetap bagitahu dia pakai push up bra walaupun dia tahu aku sengaja tanya.





Pernah sekali kami berdebat sebab sifat talam dua muka. Aku kata itu lumrah setiap manusia. Aku juga talam dua muka dengan sesetengah manusia. Namun dia tak suka. Dia bukan hipokrit katanya. Bermatian dia mahu menang bicara. Aku biarkan saja.


Kami berjumpa pada satu hari. Duduk semeja di sebuah kedai kopi. Sedang rancak berbual tiba-tiba masuk seorang lelaki. Duduknya tidak jauh dari kami. Dia kata lelaki itu antara lelaki yang paling dia benci. Dia harap dia tidak akan jumpa lelaki itu lagi.


Kata dia, lelaki itu bekas kekasih adik dia. Lelaki itu buaya dan adik dia setia. Aku senyum saja. Perkara biasa. Setiap kakak mesti pertahankan adiknya.


Lelaki itu berdiri dan lalu di sebelah kami. Dia menegur kawan aku tadi. Lelaki itu menghulur salam dan aku sambut dengan senang hati. Tingkah laku mereka berdua aku perhati. Lelaki itu tanpa rasa bersalah bertanya tentang adik perempuan kawan aku yang pernah dia sakiti dan dijawab dengan baik oleh kawan aku sebelum lelaki itu berlalu pergi. Aku ketawa geli hati.


Aku kata dia yang hipokrit sebenarnya. Dia pun talam dua muka. Di belakang lelaki tadi dia kata dia benci sebenci bencinya. Di depan pula dia berlakon seperti tidak ada apa-apa. Dia kelu tanpa kata. Dia kata dia terpaksa.


Tapi aku tak kisah semua itu. Tak kira dia talam, pinggan mangkuk atau sudu, dia tetap kawan aku. Aku tetap terima walaupun dia palsu. Aku tetap maafkan dia walaupun dia hipokrit dengan aku. Memaafkan bukan sebab mahu. Tapi sebab aku masih perlukan dia dalam hidup aku.


ps : Tanya pasal coli tak jahat, sebab lelaki berfikir tentang seks setiap 7 saat ;)




24 February 2012

lelaki tua itu menghina di depan masjid





Salam diberi. Berakhir solat Jumaat hari ini. Saat kaki melangkah keluar dari masjid terdengar suara lelaki dalam nada tinggi. Mata liar mencari. Sah seorang lelaki agak berumur sedang memaki hamun sekumpulan remaja yang meletakkan motorsikal sesuka hati. Mungkin tindakan itu menyusahkan pakcik tadi, begitu kata hati.




Daripada marah, nada lelaki tua itu mencapai tahap menghina. Habis berkait dari perangai remaja kepada sikap ibu bapa. Langsung dia tidak malu walaupun diperhati banyak mata. Semua itu aku tinggalkan saja. Malas hendak menunggu penghujung cerita.


Petang tadi terjumpa jiran yang sedang membasuh kereta. Sengaja ditanya tentang kes di masjid supaya nampak seperti remaja yang cakna. Dia kata kes itu selesai begitu sahaja. Dia menggeleng kepala. Sesekali terdengar dia berleter tentang perangai lelaki itu yang sepatutnya matang selaras dengan usianya. Aku tersenyum sampai telinga.


Sepanjang perjalanan otak ligat berfikir tentang sikap manusia. Mungkin termasuk sikap aku juga. Sikap suka menghina dan mengutuk sesama kita. Aku pernah buat itu semua.


Bila marah menguasai diri maka akal tidak sempat berfikir seperti biasa. Bila dah terlepas kata maka menyesal pun tak guna. Sesungguhya menghina orang lain tidak menjadikan kita lebih mulia. Dan mengutuk orang juga tidak membuat kita lebih sempurna.


ps : Aku bermuhasabah diri untuk beberapa saat masa tulis entry ni ;)




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...