Tweet
Follow @afifelnino
Julia duduk di tepi katil bapanya yang terlantar sakit sejak seminggu yang lalu. Suasana di hospital pada malam itu sunyi sepi. Sesekali jururawat melintas di tepi katil bapanya. Kalau diikutkan penat, mahu sahaja Julia melelapkan mata tapi memikirkan keadaan bapanya, Julia memilih untuk berjaga sambil online menggunakan komputer riba yang dibawanya.
Mata Julia membaca satu persatu pergerakan di Home Facebooknya. Beberapa rakannya bercerita tentang tarikh hari itu, 11 November 2011 atau 111111. Dayana mahu meluahkan perasaannya kepada Khairul, Din mahu membawa kekasihnya ke 'candle light dinner' di restoran lima bintang dan Hanis mahu meluangkan sepanjang malam dengan tunangnya.
Julia melihat pula Timeline Twitternya. Pun sama! Semua orang seakan terlalu gembira dengan tarikh 111111 tersebut. Terlalu ramai yang menanti tarikh tersebut. Hati Julia yang berkecamuk dari petang tadi semakin serabut dengan tarikh yang dibangga-bangga itu.
"Sekali seumur hidup je dapat jumpa tarikh ni..."
Julia cuba menenangkan hatinya.
Tumpuan Julia terganggu bila dada bapanya berombak kencang. Dia meletakkan komputer ribanya di tepi sebelum mengurut perlahan dada bapanya yang semakin dimamah usia itu. Melihat keadaan semakin teruk, Julia memanggil jururawat dan doktor yang bertugas. Mereka bertungkus lumus memberi bantuan sambil Julia menggenggam erat tangan bapanya.
Julia mencapai telefon bimbitnya dan menghubungi ibunya. Serentak mendengar suara ibunya, air mata Julia bercucuran laju. Kakinya tiada kuasa dan lidahnya tiada daya untuk memberitahu yang bapanya telah menghembuskan nafas yang terakhir sebentar tadi.
Seorang jururawat perempuan menenangkan Julia. Dia cuma mampu bersandar di dinding. Air matanya gugur di saat melihat tubuh bapanya yang sudah tidak bergerak. Tarikh 111111 bukanlah sesuatu yang menggembirakan hati Julia dan keluarganya. Sepertimana tarikh tersebut hadir sekali seumur hidup, begitu juga bapanya.
ps : Di saat kita ketawa ada yang berduka. Hargai seseorang semasa dia ada ;)
4 comments:
huhu :(
yup..setuju!!!
T.T
cerita betul atau rekaan?
Post a Comment