My Dongsaeng. My Oppa. My Noona.

11 September 2011

biarkan aku jatuh cinta




Kunkun!!


Hari Raya lalu ada satu rumah terbuka. Rumah kawan lama yang jarang bertegur sapa. Pergi beramai-ramai ke rumah kawan lama memang sudah dapat diduga. Tambahan pula kami bukan rapat dan dia perempuan pula.


Banyak selipar bergelimpangan di depan pintu bermakna ramai orang di dalamnya. Di dalamnya terjumpa pula seorang rakan yang dikenali di alam maya. Di sebelahnya pula duduk temannya yang pernah terjumpa di beberapa lokasi tapi semasa itu masing-masing belum kenal siapa. Dan di hujung sekali seseorang yang pertama kali berjumpa tapi sangat memukau mata.


Mereka bertiga dan dia bukan ketua.
Transformers, Fast and Furious, bukan watak utama yang aku tergila-gila.


Berkebaya moden, bertudung dan bersanggul di belakang kepala. Itu sudah cukup menambat hati lelaki ini dan beberapa lelaki lain di hadapannya. Berkebaya dan berseluar Jeans membuat hati ini menganggap gadis ini pandai bergaya. Kunci kereta di hadapannya meyakinkan hati ini bahawa gadis ini indipendent orangnya. Dia malu-malu bila ramai lelaki asyik memerhatikannya. Bila dia senyum ada sepasang lesung pipit yang membuat lelaki ini lupa segala-galanya.


Dia duduk tidak lama. Oh atau mungkin silap kami yang lambat hadir agaknya. Baru sedar jatuh cinta pandang pertama itu tidak mustahil rupanya.




Tapi bukan begitu yang disuka. Dari dulu sampai sekarang pegangan ini tetap sama. Lebih suka jatuh cinta dengan seseorang yang dikenali dari luar dan dalamnya.


Semasa kami ketawa bersama, semasa bertengkar kerana perkara yang tiada kena mengena dalam hidup kami berdua, semasa berbicara sepanjang malam tentang benda yang kami suka dan sebaliknya, bila kami saling menyokong antara satu sama lain bila rasa lemah tiba, semasa kami saling mendoakan kejayaan kami berdua, semasa kami berkongsi rahsia kerana saling percaya dan semua perkara kami lakukan bersama. Dan di celah semua itu aku terjatuh cinta.


ps : Cinta ibarat berita. Ada yang boleh dan tak boleh dipercaya ;)


Kunkun!!




10 September 2011

aku perdana menteri suka hati akulah





Kunkun!!


Hari itu ialah hari pertama persekolahan dan hari pertama Cikgu Rubani mengajar kelas 6 Merah. Dia baru ditukarkan ke satu-satunya sekolah yang terletak di tengah bandaraya metropolitan di salah sebuah negeri di Malaysia. Semua murid terdiam melihat cikgu baru mereka.


"Baiklah. Hari ini kita akan bercakap pasal cita-cita..."


Selepas memberitahu serba sedikit cita-citanya semasa kecil, Cikgu Rubani menyoal setiap anak muridnya tentang cita-cita mereka. Soalan itu dijawab mereka dengan penuh rasa teruja.


"Ajib. Wei. Kau BBM sape pulak tu? Cikgu tanya cita-cita tu wei..."


"Aku BBM mak aku lah Epul. Dia kat oversea. Beli cincin baru. Shopping..."


Begitulah perbualan ringkas dua budak lelaki yang duduk jauh di penjuru belakang kelas di tepi pintu. Ajib ialah ketua kelas semasa mereka darjah 5, seorang anak orang kaya dan Epul atau nama sebenarnya, Saiful adalah orang kanan Ajib.


Sementara menunggu giliran mereka, Saiful yang memang terkenal dengan sikap nakalnya melukis gambar dua lelaki berbogel di atas meja Ajib. Ajib tidak menghiraukannya kerana sibuk mendengar jawapan dari rakan sekelasnya.


Terketawa kecil Ajib bila mendengar jawapan Rozaimi yang mahu membuka restoran bertaraf lima bintang, Firdaus yang mahu mengembangkan perniagaan ayahnya selaku pengembala lembu ke peringkat antarabangsa, Rehan yang mahu menjadi nelayan wanita Malaysia pertama menggunakan bot teknologi moden dari Jepun dan jawapan-jawapan biasa seperti doktor, guru, polis dan sebagainya.


Kini tiba giliran Saiful yang tidak sedar kerana asyik melukis.
Terkebil-kebil dia berdiri dan melihat guru kelasnya.


"Errrrr.... Saya nak jadi orang kanan Ajib bila besar nanti cikgu..."


Seluruh kelas ketawa mendengar jawapan Saiful. Cikgu Rubani juga tersengih. Saiful duduk semula dengan muka merah padam menahan malu.


"Haa, kamu yang hujung tu? Nak jadi apa besar nanti?"


Seluruh kelas menantikan jawapan Ajib anak orang kaya.


"Saya nak jadi Perdana Menteri, cikgu. Nanti kamu semua akan jadi rakyat di bawah saya. Pada awalnya saya mahu kita saling bekerjasama tapi oleh sebab kamu dah ketawakan orang kanan saya ni, saya akan bagi kamu sedikit pengajaran. Saya akan kenakan cukai bagi setiap menu di Restoran Rozaimi, bagi setiap rumput yang dimakan oleh lembu Firdaus juga akan dikenakan cukai yang setimpal dan bagi setiap hasil tangkapan Rehan juga akan dikenakan cukai yang berpatutan. Oh ya tadi cikgu pun ketawa kan? Jadi saya tidak akan naikkan gaji pekerja di bawah saya. Ini bukan untuk membebankan rakyat. Saya lakukan ini untuk memastikan negara kita maju dan membangun. Kalau tak maju jugak, mungkin saya akan kenakan cukai bagi setiap oksigen yang disedut di negara saya..."


Government's first duty is to protect the people, not run their lives


Semua isi kelas tercengang. Saiful tersenyum bongkak di sebelah Ajib.


"Kejam sangat tu Jib. Kau tak kesian dekat kami ke?"


Lemah suara Mas Adila yang duduk selang dua meja di depan Ajib.


"Hey! Suka hati akulah. Aku Perdana Menteri okay! Hahaha..."


Kelas berakhir dengan pelantikan ketua kelas bagi kelas 6 Merah. Seperti dijangka, Ajib digulingkan selepas setahun menjadi ketua semasa darjah 5 dan ketua kelas baru dilantik. Rakyat 6 Merah tidak mahu ditindas lagi.


ps : Kalau harga barang terus naik, aku takkan pangkah Dacing. Janji ;)


Kunkun!!




09 September 2011

susahnya jadi seorang perempuan





Kunkun!!


Yana melompat riang. Jeritan kegembiraannya mungkin dapat didengar di serata blok A asrama Siswi di kolejnya. Suhaila, teman sebiliknya yang sedang lena tidur turut terjaga.


"Sue. Kamal sudi keluar dengan aku petang ni. Sukanya sukanya..."



Suhaila hanya tersenyum dan kembali melelapkan mata. Cuma Yana bersendirian ke hulu hilir mencari pakaian yang sesuai untuk dipakainya bila keluar dengan seniornya, Kamal, petang nanti.



Walaupun Kamal hanya akan menjemput Yana pada pukul 5.00 petang, tapi Yana sudah bersiap dari pukul 2.00 petang lagi. Dia menyapu sedikit solekan supaya kelihatan menawan di mata Kamal. Dua tiga kali dia menukar pakaian kerana risau penampilannya gagal menambat hati jejaka idamannya itu. Malah dia runsing berfikir sama ada mahu memakai kasut tumit tinggi atau tidak pada hari itu.



Every girl has that one boy she will always have feelings for no matter what


Sudah beberapa kali telefon Nokia C6 kepunyaan Kamal berbunyi alarm dan setiap kali itu jugalah dia menekan 'snooze'. Untuk kali kelima, Kamal bangun dan melihat jam di telefon bimbitnya. Sudah lewat 5 minit. Dia tahu Yana pasti sudah menunggu di depan blok asramanya.



Kamal menuju ke tandas dan mencuci muka. Dia malas hendak mandi. Kemudian dia membetulkan fesyen rambutnya sedikit. Shah, rakan sebilik Kamal yang tahu Kamal akan keluar dengan Yana membebel kerana sikap rakannya itu yang sukar menepati masa.



"Rileks la Shah. Budak tu yang tergedik-gedik nak keluar dengan aku. Aku keluar ni pun sebab bosan. Nak ambil hati dia je. Mati hidup balik pun aku takkan couple dengan budak kuat berangan tu wei..."



Lantang suara Kamal di muka pintu sebelum dia berlalu pergi.


Nun di blok asrama Siswi, Yana dengan cardigan putih dan berseluar Jeans menunggu Kamal dengan penuh sabar walaupun Kamal sudah lewat. Dia tetap tersenyum riang kerana dapat keluar dengan jejaka yang sudah lama diminatinya. Walaupun dia tahu Kamal langsung tiada perasaan sayang kepadanya, dia tetap sayangkan Kamal. Kalau boleh dia mahu biarlah hari itu berjalan dengan sangat perlahan.



Kamal pula berharap hari itu berjalan dengan sangat cepat.



ps : Don't waste your time trying to be good enough for others who wouldn't do the same for you ;)



Kunkun!!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...