My Dongsaeng. My Oppa. My Noona.

24 June 2012

kau buat aku rasa kosong



Kau seperti hantu. Tahu? Hantu yang mengekori aku saban waktu. Hantu yang buat hidup aku jadi tak tentu. Hantu yang aku jumpa berkeliaran di muka buku. 




Mungkin salah aku add kau dulu. Atau salah kau yang komen status aku. Kita selesa berkawan tanpa perlu bertemu. Hari demi hari kau semakin rancak bermain di kalbu. Aku buat kau malu. Kau buat aku mahu. Aku buat kau perlu. Kau buat aku rindu.


Dua minggu aku cuti. Dua minggu aku menonton bola awal pagi. Dua minggu aku luang masa bersama kawan-kawan di kedai mamak tengok TV. Dua minggu juga aku rasa sepi. Walaupun ramai orang aku tetap rasa sendiri. Rasa kosong dalam hati.


Mungkin aku angau seorang diri. Aku beri kau hati. Kau tulis nama kau di situ dengan penuh seni. Kau corakkan berwarna warni. Dan sekarang ke mana pun aku pergi aku rasa dibayangi. Mungkin kau hantu yang akan bertukar jadi bidadari. Mungkin nanti.


ps : Dia bukan takut luahkan rasa cinta. Dia cuma takut tidak dicintai semula ;)


18 June 2012

ini kisah tentang kawan



Kawan. Setiap orang ada pengertian. Daripada sahabat atau sekadar teman. Janji kawan tetap kawan. Sebab tak ada manusia atas dunia mampu hidup keseorangan. 


Adat berkawan ada kalah ada menang. Ada adik ada abang. Ada benci ada sayang. Ada cerdik ada bangang. Ada susah ada senang.


Umpama sekawan lelaki tengok bola. Ada sokong Poland ada sokong Russia. Bila menang rasa bangga. Yang kalah tunduk saja. Tapi kita tetap minum air sama-sama. Kita tetap lepak semeja.


Berkawan sesama manusia memang ada yang terasa. Kalau tak nak terasa pergi duduk dalam gua. Tahankan saja sebab kita dah kawan lama. Mungkin aku pernah sakitkan hati dia zaman dulu kala. Jadi sekarang dia balas semula. Atau mungkin hari ini hari dia. Esok hari aku pula. Tapi tak apa. Kita tetap kawan sampai bila-bila.


ps : Walaupun perangai kau macam syaitan tapi aku tak kisah sebab kita kawan ;)


12 June 2012

kenapa saya masih guna blogspot?



Masih aku ingat kali pertama aku menulis di blog hitam ini. Seorang kawan bercerita tentang domain sendiri. Tapi masa itu blog hitam ini baru lahir melihat cahaya matahari. Followers masih kosong dan cuma ada satu entry syok sendiri.


Hari ini blog hitam ini kian meningkat usia. Namun soalan sama masih ditanya.





"Bro, followers beribu riban takkan pakai blogspot lagi?"

"Wei beli domain la bukan mahal pun pakai domain sendiri..."

"Tukar jadi apihelnino.com la baru nampak blog level tinggi..."


Aku ketawa. Apa yang dia kata itu betul juga. Tapi aku menulis sekadar suka-suka, bukan kerana level atau nama. Aku cuma mahu luahkan idea dalam kepala. Aku bukan nak kejar apa-apa. Tapi terima kasih kepada yang memberi idea. Aku hargai sampai bila-bila.


Cuma aku lagi tertarik dengan yang ada blogspot sebenarnya. Maaf kepada yang ada domain diharap jangan terasa. Kalian hebat kerana berani melakukan anjakan paradigma. Tapi yang ada blogspot aku rasa lebih bersahaja. Aku lebih cenderung menekan aaronaziz.blogspot berbanding aaronaziz.com contohnya. Sebab aaronaziz.com kelihatan dikawal oleh admin berbanding aaronaziz.blogspot yang mungkin ditulis oleh Aaron Aziz sendiri bila dia ada masa. 


Hujah ini mungkin ada salahnya namun ini yang aku rasa.
Orang lain aku tak tahu macam mana.


Maaf kalau ada yang sentap atau terkilan.
Ini cuma pandangan dari blogger picisan yang baru belajar berjalan.


ps : Platform kita mungkin berbeza tapi tugas kita sama. Go Go Blogger Malaysia ;)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...