My Dongsaeng. My Oppa. My Noona.

30 July 2011

orang boleh kata tapi kita yang rasa


Kunkun!!


Semalam, aku membaca semula beberapa entry lama yang menurut seorang kawan merangkap pengkritik setia, 'Entry yang mampu menitiskan air mata.' Penat juga mencari semula beberapa entry yang ada. Satu per satu dibaca. Entry tentang kehidupan nyata, entry putus cinta. Entah ayat mana yang mampu mengundang tangisan, tak dijumpa. Tapi ada beberapa komen yang mampu membuat otak cetek ini berfikir dua tiga perkara.


Dalam entry putus cinta itu, ada komen menyuruh mencari kekasih baru. Satu penghargaan yang tinggi buat orang yang komen sebegitu. Walaupun mustahil mendapat cinta baru yang singkat tapi tak salah mencuba dulu. Tapi sejujurnya aku tak dapat perasaan itu. Sangat mudah terpesona tapi sangat susah jatuh cinta, itulah aku. Walaupun hati dalam dada ini hak milik aku, mustahil kalau aku nak paksa hati ini menyukai mana-mana wanita kalau hati ini sendiri tak mahu. Anda boleh nampak segala yang berlaku, anda boleh baca semua yang tertulis di situ, tapi rasa itu hanya orang yang menanggungnya yang tahu.


Tapi sebenarnya komen sebegitu rupalah yang aku perlukan dalam beberapa entry. Komen yang memberi setitis harapan kepada insan lemah ini. Dulu aku terjatuh bila cintaku terputus tali. Dan melihat dia sudah ada pengganti membuat aku terjatuh lagi. Terhenti tanpa diakhiri. Dan komen-komen itulah yang membuat aku bangun kembali. Walaupun jatuh 100 kali komen itu mampu membuat aku bangkit semula untuk ke 101 kali.

Follow your heart. Even though it's on your left, it's always right.


Pentas dunia blog sama lakonannya di dunia nyata. Kawan baik sendiri ada kalanya tidak dapat memahami apa dalam hati kita. Bukan salah dia, dia bukan ada kuasa membaca pemikiran manusia. Bila mana aku menolong bekas kekasih hati yang dalam musibah, dia mengatakan itu perkara sia-sia. Tragedi perbezaan pendapat itu memaksa suara ini ditinggikan kepada kawan-kawan yang sentiasa susah senang bersama. Aku pandangan aku, mereka pandangan mereka. Mereka boleh kata apa saja tapi takkan faham apa hati ini rasa. Bukan perkara sia-sia kalau menolong orang yang pernah berjasa dalam hidup kita. Dan tiada penyesalan kalau dipinjamkan sedikit tenaga kepada orang yang pernah buat kita bahagia.


Kerana ada perbezaan pendapat, kerana itulah lahir pertandingan debat dan sebagainya. Kerana ada perbezaan taktikal, kerana itulah perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Singapura menjadi bualan dunia. Kerana ada perbezaan pemikiran, kerana itulah kemasukan pemain nombor 13 Malaysia mendapat bantahan semua. Dan kerana ada perbezaan dua jaringan, kerana itulah strategi Singapura 'berdrama' dikira berjaya.


Harus diakui, kita kalah peperangan psikologi dengan Singapura.
Pedas, tapi harus ditelan juga.


ps : Ikut kata hati. Walaupun pernah hancur luluh tapi hati ini masih berfungsi ;)


Kunkun!!


27 July 2011

WW 03 - history repeat itself




Kunkun!!





ps : I look up at the sky. Smile. "I know that was you God. Thanks..." ;)


Kunkun!!



26 July 2011

bukan mudah hati menerima takdir




Kunkun!!


Segalanya, telah ditentukan. Semua yang berlaku telah tertulis tak kira kenikmatan atau dugaan. Ada keriangan dalam kenikmatan. Ada keluhan dalam dugaan. Cuba imbas kembali berapa banyak kita mendengar keluhan. Suami isteri mengeluh masalah perkahwinan. Golongan dewasa mengeluh kesibukan pekerjaan. Remaja yang mengeluh tentang kehidupan. Budak sekolah mengeluh kerana peperiksaan. Kanak-kanak mengeluh bila tak dapat apa yang diidamkan. Kekasih mengeluh kerana percintaan. Setiap hari ada saja keluhan. Tanya sama hati kepada siapa keluhan itu dilemparkan? Mungkin kita tidak sedar kita sebenarnya mengeluh tentang takdir Tuhan.


Takdir dalam bahasa mudah adalah kejadian yang dijamin ada hikmah di sebaliknya. Jujur, aku sendiri mengeluh tak kira masa. Tapi kita kena terlupa supaya dapat ingat semula. Kita mengeluh kerana kelemahan kita tapi kita tahu kita akan kembali gagah semula. Persoalannya ialah, bagaimana dan bila. Terpulang pada kita. Cepat atau lambat, kita yang menentukannya. Kita hidup di dunia, setiap yang terjadi sudah ketentuan-Nya dan setiap yang Dia lakukan adalah untuk kebaikan kita. Tak percaya? Masih nak bertanya? Tanya sama Dia.


Jangan sesekali buruk sangka dengan kejadian Tuhan. Dia tidak menguji hamba-Nya di luar kemampuan. Tuhan memberi ujian kerana Dia tahu manusia mampu bertahan. Ini hanya peringatan. Peringatan kepada aku yang bila susah, bila sakit, baru ingat Tuhan.

Keep your heels, head, and standards high.


Awak, yang satu masa dulu pernah buat saya berdiri teguh. Saya tahu awak baca blog hitam ni walaupun tidak disuruh. Dulu awak berdiri sekarang awak jatuh. Bangunlah, saya boleh pinjamkan bahu ini semula sampai kaki awak kembali kukuh. Kalau tak pun, saya boleh payungkan supaya awak dapat berteduh. Yang penting saya nak awak berdiri semula dan berlari jauh-jauh.


ps : Tidak perlu berkias kalau apa yang nak dikata itu ikhlas ;)



Kunkun!!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...