My Dongsaeng. My Oppa. My Noona.

30 May 2015

tabiat



Bingung rasanya. Bukan bingung biasa-biasa tapi bingung berkali ganda. Bukan kerana buku berselerak atas meja. Bukan kerana kertas peperiksaan yang belum diperiksa. Tapi bingung maksima ini kerana dia.


Bingung yang perta‎‏‎ma, masa aku Whatsapp semalam dengan dia. Entah kenapa aku berani luah apa aku rasa. Hampir setahun juga aku cuba dekati dia sampai jadi mesra. Dia balas dia mungkin terima. Itu bingung yang kedua. Tak sangka dia bagi aku peluang untuk cuba. Bingung yang ketiga, dia nak aku berhenti merokok walaupun jujur aku kata aku hisap rokok murah tak ada jenama. Murah pun bahaya katanya. Ya, aku tahu bahaya. Dia bagi aku masa sebab dia tahu mustahil untuk tinggalkan tabiat lama. Bingung yang keempat dia siap tahu aku hisap rokok jenis apa. Mungkin dia pernah tengok aku merokok dekat mana-mana.
Atau mungkin dia pernah tengok Instagram sebab kami memang dah follow sejak dari mula. Tak kisahlah janji demi dia, aku rela.




Jadi projek berhenti rokok bermula. Daripada 4 batang rokok sehari aku dapat kurangkan kepada hanya tiga atau dua. Tiga bulan berlalu aku akhirnya dapat hisap sehari sebatang rokok saja. Masuk bulan keempat aku dapat rasa kalau tak merokok pun tak apa. Sebenarnya ini mustahil kalau tak dapat sokongan dari dia. Tak salah buang apa aku suka untuk dapat apa aku cinta. Tak sedap juga kalau bibir yang mengepit rokok ini nak cium bibir dia yang bergincu merah menyala. Mesti dia rasa tak selesa. Ahhhhh jauh sangat kau berangan ni gila.


Esok hari jadi dia yang ke-23. Jadi sepuluh minit sebelum pukul 12 malam aku dah ada depan rumah dia. Aku pinjam kereta Myvi kawan aku sebab tak nak dia dapat baca permainan aku macam mana. Aku beranikan diri nak jadi yang pertama. Sebagai hadiah aku bawa sekotak coklat dan sejambak bunga. Aku tengok lampu rumah menyala, kereta pun ada. Tapi banyak kali aku call tak dapat-dapat juga. Nak kata dah tidur mustahil rasanya.


Jam digital dalam kereta menunjukkan pukul dua belas suku. "Mungkin bukan rezeki aku," hati aku berbisik sayu. Aku nampak ada kereta Honda berhenti belakang kereta aku. Dari pantulan cermin nampak seorang lelaki dan perempuan Melayu. Perempuan itulah yang aku tunggu. Siapa lelaki sebelah dia itu aku tak tahu. Aku nak keluar bagi hadiah tapi aku tunggu perempuan itu keluar dulu. Mujurlah ada cermin membantu. Tiba-tiba aku rasa sesuatu. Hati cemburu, mata terpaku, lidah kelu. Tanpa rasa malu, mereka bercumbu!


Mungkin memang bukan rezeki aku. Tapi malapetaka apa yang sedang berlaku?! Ya Allah ya tuhanku, kau tabahkanlah hati hambaMu yang sedang patah seribu.


Pedih sungguh rasanya bila terkenang bibir dia dikucup mesra. Saat itu juga, bibir aku didekati sebatang rokok tak berjenama. Api celaka dinyala melahirkan asap berbunga. Seperti asap yang hilang di udara, begitu juga semangat yang tersisa. Transformasi empat bulan yang sia-sia. Betul dia kata, sampai satu masa aku akan tinggalkan tabiat lama. Jadi kali ini memang aku tinggalkan tabiat lama aku sampai bila-bila : dia.


ps : Hati perlukan masa yang lama untuk terima apa yang dilihat sesaat oleh mata ;)



21 May 2015

indah anganku




"Putus dengan Zaty. Tu yang aku paling kesal sampai hari ni."


Itu jawapan ikhlas yang aku bagi di depan 3 orang sahabat di sebuah cafe pada satu pagi. Aku sendiri tak sangka perasaan yang bersarang tiga tahun terluah juga dari hati.


"Eh kau serius ke?"


Sahabat di sebelah bertanya. Aku angguk tanpa pandang dia. Aku ketap bibir sendiri menahan rasa. Mata aku dari tadi terpaku pada bucu meja. Fikiran aku melayang jauh entah sampai mana.




"Aku nak beli makanan kejap lapar sangat dah ni."


Aku bangun dan melangkah pergi. Mahu mengalir air mata kalau cakap lama-lama pasal topik tadi. Dengar nama pun dah buat aku tertusuk naluri. Sedihnya pilunya sakitnya tu di sini - hati.


Lepas putus cinta dulu aku teruk dihentam. Perasaan dibaham, ditembak tohmahan kejam. Tapi aku juga bodoh kerana diam. Aku sepatutnya jelaskan tapi aku pendam.


Masa itu aku terlalu muda, sangat tak matang dalam cinta. Langsung tiada rangka untuk berkeluarga. Salah aku semuanya. Kerana aku manusia, dan manusia tiada yang sempurna.


"Bro, gua kat belakang lu."


Tegas sahabat di belakang bersuara. Aku berpaling ke arah mereka, mengangkat ibu jari tanda suka. Dia menggenggam tangan dan menepuk dadanya. Sahabat yang dulu saban hari suruh aku move on dari cinta lama. Sahabat yang tak boleh terima aku single lama-lama. Sahabat yang mahu tengok aku bahagia. Tapi akhirnya jadi sahabat yang bagi sokongan bila aku berkeras tunggu orang yang aku suka.


Peluang kedua kalau ada takkan aku tepis. Takkan ada lagi air mata menitis. Takkan ada lagi pedih mendesis. Kau, aku, kita buat sampai habis. Kerana rindu ini masih belum terhiris. Kerana sayang ini masih belum terguris. Kerana cinta ini masih belum terhakis. Ini antara cerita paling susah ditulis. Ada memori dalam setiap ayat dan baris. Ini bukan cerita puitis manis-manis. Ini cerita yang dari awal sudah nangis.


ps : Masihkah aku ada di hatimu saat ini... ;)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...