My Dongsaeng. My Oppa. My Noona.

31 December 2013

selamat tinggal 2013



2013 melabuh tirai. 2014 sudah melambai. Terlalu banyak kenangan tahun ini untuk dihurai. Ada kegagalan yang menghentam sampai ke lantai, dan ada kejayaan yang dicapai. 


Apa yang paling diingati ialah tahun ini aku berjaya tamatkan pelajaran. Dengan izin Tuhan, segenggam ijazah bakal dalam tangan. Sekarang aku cuma tunggu hari konvokesyen yang dijadualkan tahun depan. Syukur Alhamdulillah atas rezeki dan kemudahan yang Dia berikan.


Kejayaan entry blog ini terpilih masuk dalam Harian Metro juga satu pencapaian yang tak dijangka sama sekali. Terima kasih saudara saudari. Ada sedikit kekeliruan bila aku post berita blog aku masuk surat khabar malam tadi. Sebenarnya blog ini masuk surat khabar pada bulan Februari. Kalau nak baca entry tersebut sila tekan sini. Segala kesulitan amat dikesali.


Dalam suka ada duka. Tahun ini aku kehilangan beberapa insan yang aku sanjung mulia. Ibu Arif, Paih Ayoh dan Pojie Ekzos yang pergi untuk selamanya. Ibu Arif antara ibu terbaik yang pernah aku jumpa. Layanan mesra beliau setiap kali berjumpa tak akan aku lupa. Paih Ayoh yang selalu bagi nasihat supaya aku jangan selalu kejarkan dunia. Dan Pojie Ekzos yang pernah jadi rakan sekerja. Aku ingat lagi bila dia bagi aku 5 modem Internet secara percuma. Dia langsung tak berkira. Sayang mana pun aku pada kalian atas dunia, Dia lebih sayangkan kalian sebenarnya. Semoga kalian semua bersama orang beriman di sana.


Walaupun aku rasa tahun ini bukan tahun paling baik untuk aku, tapi aku bangga dapat kawan-kawan baru. Ramai sangat kalau nak tulis satu per satu. Untuk warga ICT Pejabat Agama Kuala Terengganu tempat aku praktikal dulu. Junior-junior kolej aku. Para peniaga bazar Ramadhan Chendering masa bulan puasa hari itu. Followers baru di blog, Facebook, Instagram dan Twitter yang dengan rela hati follow aku walaupun aku post benda merapu. Semoga perkenalan kita ini akan mengeratkan ukhuwah kita selalu. Mungkin jodoh aku ada dalam senarai kawan baru ini juga mana kita tahu, tak gitu?


Ini adalah entry terakhir untuk tahun ini. Jika diizinkan lagi, tahun depan aku akan tulis lebih banyak entry yang lebih sensasi. Ayuh jauhkan kontroversi, dan tingkatkan prestasi.


ps : You made me laugh. You made me cry. It's time to move on. Goodbye 2013 ;)

26 December 2013

relakan jiwa



Mia sayangku, maaf kalau surat ini mengganggu. Kalau Mia nak tahu, Anis dah suka Mia sejak pertama kali kita jumpa dulu. Ingat tak hari itu, Anis jumpa Mia jalan-jalan dekat taman dengan Sue? Sejak itu Anis dapat rasakan sesuatu.


Oleh sebab rumah Anis depan rumah Sue, Anis selalu tunggu Mia depan pintu. Anis rindu. Tapi Mia tak tahu. Cuma Anis takut Sue tuduh Anis perampas sebab tikam belakang dia dulu. Namun Anis harap sangat Mia faham perasaan yang Anis pendam dekat Mia sayangku.


Mia tahu tak betapa pilunya Anis rasa bila Sue dengan selamba peluk Mia depan Anis dan kawan-kawan semua? Mia tahu tak Anis rasa cemburu sangat bila Sue dapat cium Mia sepuas-puasnya! Hati Anis terluka. Walaupun Anis dan Mia sama jantina, tapi cinta itu buta. Mungkin Mia tak faham apa Anis rasa, tapi Anis harap Mia tahu betapa Anis cintakan Mia saja dalam dunia. Mia dengarlah lagu Relakan Jiwa nyanyian Hazama sebab lagu itu mengerti apa yang Anis rasa.



Ingat tak Anis pernah ajak Mia masuk bilik Anis kononnya cakap nak buat kerja? Tak ada kerja pun sebenarnya. Anis saja reka cerita. Anis nak berdua-duaan dengan Mia saja. Tanpa gangguan sesiapa. Kemudian Anis baring atas katil dan panggil Mia dengan suara manja. Anis nak Mia tergoda. Kita bertentang mata. Anis tarik Mia naik atas katil dan Mia rebahkan kepala dekat dada Anis yang tak pernah disentuh mana-mana lelaki dalam dunia. Dada Anis cuma untuk Mia tercinta. Indahnya dunia! Mia buat Anis bahagia walaupun seketika.


Pagi tadi Anis dah nekad nak bagitahu Sue apa yang Anis rasakan. Anis dah buat keputusan. Anis tak nak jadi kawan yang tikam kawan. Kami duduk di meja makan. Kemudian Anis jelaskan perlahan-lahan. Anis bagitahu Anis sayangkan Mia lebih dari seorang kawan. Kemudian Anis bagitahu Sue yang Anis nak bercinta dengan Mia kalau dia izinkan. Tiba-tiba Anis nampak Sue layangkan tangan...


"PANG!!!"


Anis kena lempang! Kuat sangat Sue lempang sampai berdengung gegendang. Sakit sangat Sue lempang Anis sayang. Kemanjaan dan kecomelan Anis dari lahir terus hilang. Kemudian Sue bilang...


"Mia tu kucing la bangang! Kau gila ke nak bercinta dengan binatang!"


Semua orang tengok tragedi itu. Anis tutup muka dengan tisu. Sakit dan malu menjadi satu.


ps : Ketandusan idea. Cerita ini rekaan semata-mata. Tak tahulah kalau ada orang percaya ;)


 

22 December 2013

lelaki



Semalam aku dapat satu mesej masa tengah syok layan Liverpool lawan Cadiff City. Terkejut juga rasanya sebab telefon aku dah lama tak berbunyi. Pengirimnya seorang kawan lelaki. Aku syak mesti ada hal nak dibincang sebab lelaki kalau bosan sekali pun jarang dia akan cari lelaki. Mesti dia cari perempuan nak hilangkan sunyi.


Sambil mata aku tengok bola dekat layar kaca, tangan aku layan cerita dia. Katanya dia tengah pikat seorang perempuan tapi tak dapat-dapat walaupun dah cuba macam-macam cara. AKu tanya berapa lama. Dia kata dah nak masuk tahun kedua. Lama juga. Aku tanya lagi kenapa dia tak terima. Dia kata hati perempuan itu belum terbuka. Perempuan itu jadi takut-takut nak bercinta. Lagipun ramai juga yang sedang kejar perempuan itu selain dia. Dia tanya nak buat macam mana. 



Aku kata aku tak pandai bab pikat orang. Kalau aku pandai tak lah aku solo sampai sekarang. Dia gelak panjang. Orang pandai memang tak mengaku pandai tambah dia dekat belakang. Aku gelak juga nak bagi rasa bengang hilang. Dan aku faham dia gelak untuk hilangkan rasa bimbang.


Tak tahu lagi nak cakap macam mana. Jadi aku buka satu cerita lama.


Dulu ada seorang lelaki. Dia minat sangat dekat seorang perempuan nama Noni. Tapi Noni dah ada teman lelaki. Tapi lelaki itu cekalkan hati. Dia tetap tunggu Noni walaupun dah empat tahun berganti. Noni tahu lelaki itu tunggu dia lagi. Noni pernah suruh lelaki itu pergi tapi lelaki itu tak pergi. Lelaki itu kata hanya orang lemah akan lari. Lalu Noni lari tapi lelaki itu datang semula mencari. Sungguhpun lelaki itu pernah kata dia tak kisah kalau dia ditakdirkan cuma kawan biasa dengan Noni, tapi hati dia tetap untuk Noni. Hati lelaki itu dah terkunci untuk perempuan lain kecuali Noni.


Aku bukan nak jaja kisah orang lain dekat kawan aku tadi. Aku cuma tak nak semangat mati. Sesusah mana hidup yang dia hadapi, ada orang yang lebih susah lagi.


ps : Never give up. It's difficult to wait, but more difficult to regret ;)


14 December 2013

jarak



Awak yang dekat sana. Awak marah saya? Lepas banyak kali awak ajak baru hari ini saya terima nak jumpa. Tak sangka awak sanggup datang rumah saya, jumpa mak ayah saya, semata-mata nak minta kebenaran nak keluar dengan saya. Saya harap awak tak kisah itu semua. 


Walaupun awak dah tawarkan diri nak ambil saya tapi saya tak bagi awak datang. Tak elok jiran-jiran pandang. Awak jangan risau sebab saya bukan datang seorang. Adik saya ada sekali supaya orang tak fitnah bila mereka pandang.


Awak sanggup juga keluar dengan saya walaupun banyak benda menghalang. Maaf sekali lagi kalau itu buat awak rasa bengang. Tak boleh balik lewat petang. Tak boleh tengok wayang. Tak boleh pegang-pegang. Nak bersayang abang lagilah awal-awal saya dah larang. Cukup sekadar kita bertiga pergi minum dan beli barang.


Mesti awak ingat saya leceh orangnya. Mesti awak ingat saya tak open minded macam perempuan lain awak pernah jumpa. Tak apa. Saya tak kisah itu semua. Saya tak bagi awak duduk depan saya. Saya cuba sekuat hati tak nak kita bertentang mata. Bukan tak nak tapi saya cuba elakkan dari buat itu semua. Jarak itu bukan untuk menghukum awak tapi untuk menjaga hati kita berdua.


Terima kasih sebab sudi keluar dengan saya. Terima kasih sebab terima saya seadanya. Terima kasih sebab patuh semua arahan yang saya kata. Itu bukan arahan saya tapi arahan agama.


Mak saya dah suka. Ayah saya pun dah terima. Adik saya pun kata awak baik orangnya. Cepat-cepatlah suruh keluarga awak datang merisik pula.


ps : Selagi belum sah di sisi syarak, kita masih punya jarak ;)

 

03 December 2013

lelaki ini



Peluh yang membasahi dahi dikesat dengan lengan. Habis terasa kebas otot-otot di badan. Penat yang amat sangat sebab dah lama tak berjoging dekat taman. Tapi hari ini penat itu bagaikan hilang bila dapat berjoging berdua-duaan.


"Nah. Minumlah."
"Eh tak apalah. Tak payah susah-susah."
"Tak apa. Tadi beli dua."



Dia letakkan sebotol air 100 Plus depan aku. Di tangan dia ada lagi satu. Bila perempuan yang belikan sesuatu, aku jadi malu. Tapi dia buat tak tahu. Dia minum tanpa hiraukan aku. Nampak sangat dia lebih letih dari aku.


Perempuan yang tengah minum air depan aku sekarang bagi aku sempurna. Zati nama dia. Baik orangnya. Kalau tak takkan dia beli air sampai dua. Kaya tapi hidup bersederhana. Cantik ayu semua ada. Letak dia sebelah mana-mana artis jelita, aku tetap pilih dia. Masakkan dia taraf dunia. Nombor dua dalam dunia lepas mak aku punya. Cara dia layan anak-anak buat aku jadi lebih suka.




"Mama!"


Suara seorang kanak-kanak lelaki menyedarkan aku dari angau aku sendiri. Aku dan dia sama-sama berpaling ke arah suara tadi. Kelihatan seorang kanak-kanak lelaki berlari ke arah kami. Kami sama-sama berdiri. Kanak-kanak itu pantas memeluk paha kanan Zati. Seorang lelaki menyusul di belakang kanak-kanak lelaki tadi berkemeja hitam dengan jalur putih di tepi - Mizi.


"Thanks bro sudi ajarkan Zati."
"Takpe memang tugas cikgu fitness macam ni. Kau tak join sekali?"
"Aku busy. Jumpa client tiap-tiap hari."



Sambil berbual dengan Mizi tentang perkembangan terkini, aku curi-curi lihat Zati bermain dengan Roy, kanak-kanak tadi. Gelak tawa Roy diikuti usikan nakal Zati membuat aku macam dengar tak dengar saja ayat yang keluar dari mulut Mizi. Kebahagiaan sebuah keluarga bersama kasih sayang suami isteri.


Aku minta diri dan bersalam dengan Mizi. Genggaman erat tangan kanan dua orang lelaki yang memang rapat sejak zaman sekolah lagi. Sahabat sehidup semati. Aku hampiri Zati dan aku usap rambut Roy berkali-kali. Dengan berat hati aku tinggalkan Zati bersama anak dan suaminya sendiri.


Semua perkara terlintas pantas dalam fikiran. Zati yang aku suka sejak zaman persekolahan, berhajat nak kuruskan badan. Dia bagitahu dekat suami dia dan suami dia terus minta tolong aku sebab aku pernah jadi jurulatih kecergasan. Aku terima atas niat seorang kawan. Cuma perasaan aku pada Zati memang tak boleh dihilangkan. Dari dulu sampai sekarang Zati hanyalah angan-angan. Terima kasih Zati sebab ajar lelaki ini bukan semua impian akan jadi kenyataan.


ps :
Bukan semua kita nak akan kita dapat. Bukan semua yang kita dapat ialah yang kita nak ;)
 

02 December 2013

rest in peace



Aku baru lepas kena hentam. Semua sebab aku letak gambar dekat Instagram semalam. Gambar Paul Walker meninggal tapi aku tulis RIP ataupun Rest In Peace dekat dalam. Katanya itu haram. Katanya itu salah di sisi Islam. Dia suruh aku padam.




Ya aku salah. Kalau nak tegur pun tegurlah. Aku tak kisah. Kita dah besar jadi tak payahlah nak marah-marah. Islam itu agama yang mudah. Jadi menegur pun biarlah berhemah.


Aku tak kenal sangat dia. Kawan dekat Facebook dan Instagram saja. Yang aku tahu dia bercinta. Kekasih dia orang Selangor rasanya. Dia orang Terengganu sama macam aku juga. Aku pernah tengok Facebook kekasih dia. Ada album gambar dia berdua. Berpelukan mesra. Berpegangan tangan menunjukkan cincin besi tanda setia.


Aku boleh nak tanya tapi biarlah aku diamkan saja. Dalam sibuk dia berkata mendoakan RIP untuk orang bukan Islam itu haram mungkin dia terlupa bersentuhan lelaki dan perempuan juga haram sebenarnya. Mungkin dia lupa. Dia kan Melayu macam kita semua yang mudah lupa. Lagipun bukan jenis aku berlawan dalam alam maya. Nak lawan kita jumpa. Duduk semeja cakap apa yang tak kena. Siapa kalah belanja. Habis cerita.


Kadang-kadang kita terlalu sibuk tengok orang lain pakai apa. Bila nampak ada yang tak kena kita ketawa. Nampak saja baju orang lain koyak terus kita gelak gila-gila. Tapi kita tak sedar belakang kita koyak juga. Sebab itu kita perlukan cermin dalam hidup kita.


ps : Afifelnino. Itu Instagram aku. Followlah. Mohon sebarkan ;)


26 November 2013

sahabat



Aku punya teman. Teman sepermainan. Teman setaman kawasan perumahan. Bertahun kami berkawan tak timbul sebarang masalah walaupun aku lelaki dan dia perempuan. Salah dia aku biarkan. Kasar aku dia maafkan.



Ada seorang kawan aku pernah kata, perempuan dengan lelaki tak boleh kawan baik sebab nanti timbul rasa suka. Aku ketawa. Bukan tak percaya tapi sebab memang itu aku rasa. Aku suka dia. Perasaan sayang aku pada dia sebagai seorang kawan memang tak akan berubah sampai bila-bila. Cuma aku mahu aku dan dia jadi lebih mesra, naik ke peringkat seterusnya.


Dia cerita, dia pernah bercinta. Tapi cinta dia tak berjaya. Aku kenal siapa bekas kekasih dia. Kalau ikut hati aku nak hentam saja tapi aku tahu dia tak suka. Dia kata semua salah dia. Tapi sebab aku rapat dengan dia jadi takkan aku nak kata salah dia juga. Aku tak nak dia rasa bersalah lama-lama.


Pernah aku luah apa aku rasa. Pernah aku kata aku nak dia jadi isteri aku bila sampai masa. Dia ketawa. Katanya aku gila. Memang aku gilakan dia. Tapi dia buta. Dia kata dia anggap aku kawan saja. Kawan terbaik yang dia ada. Kawan yang sanggup buat apa saja untuk dia. Itu dia kata. Memang dia buta sebab dia tak nampak aku buat itu semua sebab aku sayangkan dia.


Walaupun dia tolak cinta aku, dia tetap tak buang aku. Kami tetap berkawan macam dulu. Kami sepakat untuk anggap luahan hati itu tak pernah berlaku. Sampailah satu hari dia bagitahu dia suka kawan aku. Aku terpaku. Dia suka tapi bukan aku?


Aku suka dia tapi orang lain dapat. Stress sangat! Terus aku rasa aku jahat. Jadi apa aku buat? Aku buat mereka rapat. Kami keluar bertiga supaya mereka dapat kenal dengan lebih dekat. Aku cerita kebaikan lelaki itu supaya dia kagum dan rasa lelaki itu memang hebat. Aku juga bagitahu kawan lelaki aku perangai kawan perempuan aku supaya dia ingat. Sampailah aku dapat tahu mereka makin erat. Aku doakan mereka bahagia walaupun kawan aku dapat apa yang aku nak sangat. Tak apa sebab kita kan sahabat.


ps : Kawan baik ibarat keris-keris lama. Susah nak jumpa, bertuah kalau ada ;)



19 November 2013

ego bertingkek-tingkek



Aku benci gila ex aku. Lepas kami putus semua yang dia buat buat mata aku berbulu. Aku tak tahu apa masalah dia sebab mudah gila dia lepaskan aku. Dia kata dia tak tahan sebab aku kuat cemburu. Kalau dulu dia nombor satu sekarang dia nombor sejuta pun aku tak mahu. Dia buat aku macam tahi hidung, tahu? Susah-susah nak dapatkan tapi lepas dapat buang saja begitu. Dasar hati batu!


Depan dia, depan kawan-kawan dia, aku buat macam tak ada apa. Kenalah tunjuk aku gagah perkasa. Tapi depan kawan-kawan aku pula, aku cerita hal sebenarnya. Semua salah dia. Ya, memang salah dia jantan celaka! Kalau ada salah aku pun kecil saja. Yang lain semua salah dia. Sakit hati aku tak siapa boleh rasa. Mana janji-janji dia? Mana pergi kata cinta dia? Aku sendiri pernah berdoa supaya Tuhan matikan dia dalam keadaan paling terseksa.


Kali terakhir aku bercakap dengan dia, dia kata kalau aku perlukan bantuan bagitahu saja dia. Walaupun bukan lagi kekasih tapi kawan tetap kawan sampai bila-bila. Malas aku nak ambil kisah itu semua. Aku langsung tak nampak kelibat dia lepas aku berhenti follow Twitter, Facebook dan Instagram dia. Aku pun memang tak ingin nak tengok dia. Kalau boleh dalam mimpi pun jangan jumpa. Sekali aku benci memang aku benci sampai bila-bila. 




Semalam kereta aku buat hal lepas balik shopping dengan kawan-kawan. Tak tahulah kenapa tiba-tiba mati tepi jalan. Aku telefon kawan-kawan lelaki suruh mereka datang tengok-tengokkan. Sementara tunggu aku duduk bawah pokok sebelah taman. Aku nampak ada lelaki yang perlahankan kereta tapi tak berhenti pun hulur bantuan. Woi kau tak tahu ke tugas lelaki sebenarnya tolong perempuan?


Tiba-tiba berhenti sebuah kereta. Keluar dua orang lelaki muda. Dia tanya kenapa. Aku cuma geleng kepala. Perempuan manalah tahu pasal kereta. Lelaki itu minta izin nak tengok kalau ada rosak apa-apa. Aku benarkan sebab nampak macam budak baik saja. Kemudian dua orang kawan lelaki aku yang aku telefon tadi tiba. Kami tengok saja dua lelaki tadi buat semua benda. Dengar pada dia cakap dia kata bateri aku bateri lama jadi kena tukar segera. Dia sambung itu sambung ini terus dapat hidupkan semula. Lega rasa.


Aku hulurkan duit tapi lelaki itu tak terima. Dia kata dia tolong kawan saja. Aku garu kepala sebab tak faham hal yang sebenarnya. Lelaki ini kawan aku ke siapa? Sumpah aku terpinga-pinga.


Salah seorang lelaki itu keluarkan telefon bimbit dia dan tunjuk nombor yang telefon dia suruh datang tolong aku tadi. Nombor telefon itu aku perhati. Aku keluarkan Blackberry aku dan aku taip nombor tadi. Aku dail dan tengok nama yang naik di skrin Blackberry. Ahhh sudah mati aku kali ini.


Dua lelaki tadi minta diri. Dia kata tak payah bayar sebab dah ada orang bayarkan semua sekali. Aku tak boleh buat apa selain berdiam diri. Cuma ayat terima kasih keluar berkali-kali.


Aku masuk dalam kereta. Tarik nafas dalam-dalam cuba tenang seketika. Kenapa? Tapi kenapa? Soalan itu menusuk dalam kepala. Rasa bersalah dan tertanya-tanya. Aku benci ex aku gila-gila. Tapi kenapa dalam ramai-ramai manusia yang tolong bila aku susah tadi dia juga?


Haaa sekarang macam mana. Aku telefon nak ucap terima kasih dia tak angkat pula. Aku mesej suruh angkat telefon pun dia tak balas juga. Dia nak psiko ke apa? Dari dulu sampai sekarang ex aku tak habis-habis dengan ego dia yang entah apa-apa. Seego-ego aku rupanya ego lagi dia.


ps : Jangan terlalu bencikan seseorang, takut nanti jadi sayang ;)


28 October 2013

seperti dulu



Masa itu tahun dua ribu. Aku darjah lima kelas nombor satu. Tak ramai lelaki dalam kelas aku. Dalam kelas aku ada tiga orang budak perempuan yang aku rasa comel dan ayu. Yang dua orang itu memang ayu, yang seorang lagi itu nama dia Ayu. Jadi ada tiga orang ayu. Aku tak perasan semua itu sampailah ada seorang senior darjah enam suruh aku kirim salam dekat salah seorang dari mereka itu. Penakut nak mampus senior aku. Badan besar macam batu, pakai pensil warna Luna tapi nak kirim salam pun malu.


Aku suka dekat seorang budak perempuan. Kami sekelas tapi setiap kali aku tegur dia macam tak berapa layan. Dia pengawas perpustakaan. Aku pergi perpustakaan sebab nak tengok dia depan-depan. Aku cuma pinjam buku kalau dia bertugas dekat kaunter pinjaman. Crush tahap gaban.




Masa itu telefon rumah saja yang ada. Telefon bimbit tak ada lagi orang guna. Kalau ada yang guna automatik dia dilabel orang kaya. Pertama kali aku tanya nombor telefon rumah dia, aku bagi alasan nak tanya kalau-kalau cikgu ada bagi kerja. Beratus kali aku berlatih dialog nak tanya nombor telefon dia. Saat ini aku sedar kadang-kadang kita kena menipu kalau nak berjaya.


Dia tulis nombor atas satu kertas putih. Aku simpan elok-elok macam surat dari seorang kekasih.


Tiba hari Sabtu. Banyak kali juga aku angkat dan letak ganggang telefon rumah aku. Rasa takut datang bertalu. Akhirnya aku tepis semua rasa ragu, aku tekan nombor atas kertas putih itu satu per satu.


Panggilan aku dijawab seorang lelaki yang aku yakin ayah dia. Dia tanya nak cakap dengan siapa. Aku kata nak cakap dengan anak dia. Dia tanya nak buat apa. Aku terus letak sebab aku rasa takut gila. Rasa macam nak meletup dada. Mungkin sebab masa itu aku budak-budak jadi aku rasa semua mak ayah garang macam singa.


Aku rasa budak-budak hari ini rugi. Mereka tak pernah rasa debaran luar biasa bila panggilan yang mereka buat dijawab oleh orang yang mereka paling takut sekali. Rugi sebab crush mereka mudah sangat didekati. Boleh add Facebook kemudian chat tanpa henti. Boleh call handphone yang sah-sah akan dijawab oleh crush mereka sendiri.


Aku rasa budak-budak yang hidup di zaman sebelum tahun 2000 saja yang akan faham entry ini. Zaman yang belum dikuasai teknologi. Zaman terakhir permainan batu seremban dan guli. Hari ini tak ada lagi.


ps : Rasa nak balik pada zaman itu semula bila teringat kenangan lama ;)


24 October 2013

cuba



Jarang rasanya lepak dengan junior di kolej bersama-sama. Tapi hari ini kami duduk semeja. Ajakan dia aku terima. Segelas air Pepsi dan segelas Sirap Laici menjadi teman antara kami berdua.


Kami berbual macam biasa. Bercakap perkara lama. Bercakap tentang hostel yang baru dibuka. Sampailah masuk ke topik anggota kelas dia yang agak kecil bilangannya. Dia sebut beberapa nama yang aku kenal siapa tuannya.




Dia bercerita tentang pelajar terbaik kelasnya yang setiap semester dapat dekan. Perempuan. Budak yang boleh duduk seharian di perpustakaan tanpa rasa bosan. Budak yang lebih banyak habiskan masa dengan nota berbanding dengan kawan-kawan. Sementara dia cuma belajar sehari sebelum peperiksaan. Sampai tak tidur malam bersengkang mata menghafal nota yang diberikan. Pointer dia juga hanya cukup-cukup makan. Semester lepas dia hampir-hampir putus asa sebab terlalu banyak tekanan. Dia bertanya apa perlu dia buat sambil mengeluh perlahan.


Aku rasa bangga campur tak percaya. Orang tanya aku macam mana nak berjaya sedangkan aku sendiri tak berjaya mana. Aku tahu beberapa cara tapi aku sendiri tak pernah cuba.


"Empat campur satu berapa?"
"Lima."
"Dua campur tiga?"
"Lima."
"Nampak tak beza dia?"
"Beza? Apa?"
"Nak jadi lima bukan cuma ada satu cara."



Dia garu kepala. Aku senyum saja. Tak apa. 

Bukan semua orang faham ayat pertama yang kita bagitahu mereka.


Nak jadi lima ada banyak cara. Dua campur tiga, empat campur satu juga sama. Kosong campur lima pun boleh juga. Biarlah dia dengan cara dia. Kau guna cara kau saja. Tapi sebab kau tertinggal jadi kau kena lipat gandakan usaha. Kau tak tahu kalau kau tak cuba. Nak hidup lama tak boleh cepat putus asa.


Dia angguk kepala. Tak pasti pula dia faham atau dia sakit telinga. Aku cuma bagitahu apa aku rasa. Sebab aku sama macam dia. Nak berjaya tapi gagal lawan perasaan malas yang lebih berkuasa.


ps : Semua orang nak berjaya tapi tak semua orang nak berusaha ;)

18 October 2013

korban



Aku bersandar di dinding batu rumah bersama segelas air Sunquick di tangan. Aku terjaga dari lena sebab rasa dahaga yang sudah tak dapat ditahan. Sambil menghirup perlahan, aku menikmati pemandangan yang paling indah yang Tuhan kurniakan.


Tiga orang anak aku sedang lena di ruang tamu. Sah mereka tertidur di situ. Tak apalah esok hari minggu. Ruang tamu aku berselerak macam tongkang pecah seribu. Alat permainan bertaburan sampai ke pintu. Komik dan majalah juga berselerak di segenap bucu.




Tanpa mereka, pasti rumah aku bersih sentiasa. Pasti aku tak perlu bersusah payah mengemas alat permainan mereka bila mereka tinggalkan untuk bermain permainan lain pula. Pasti aku tak perlu berulang kali mengingatkan mereka supaya simpan permainan mereka bila mereka dah tak nak guna. Dan pasti duit aku selalu ada.


Benar apa yang dikata. Tanpa mereka, pasti rumah aku bersih sentiasa. Pasti duit aku selalu ada. Tapi tanpa mereka, hidup aku sia-sia. Tanpa mereka, hidup aku tak ada makna. Sebab aku bekerja untuk mereka. Aku cari duit untuk buat mereka bahagia. Aku belikan alat permainan supaya mereka ceria. Aku bagi semua yang anak-anak aku minta.


Rumah aku berselerak sebab anak-anak aku juga. Duit aku habis sebab anak-anak aku juga. Tak apa. Aku rela. Sebab kegembiraan anak-anak aku adalah kegembiraan aku juga, kegembiraan kami sekeluarga.


Aku selimutkan mereka. Aku usap dahi mereka. Papa dan mama sayang kamu semua. Papa dan mama akan cuba sedaya upaya bagi kamu kehidupan yang lebih baik dari yang papa dan mama pernah ada.


Lampu ruang tamu dimatikan dan aku masuk ke bilik aku sendiri. Sebelum menutup pintu sekali lagi aku lihat anak-anak aku yang lena dibuai mimpi. Itu adalah pemandangan paling indah sekali. Tuhan tolong jagakan mereka semua ini. Semoga kamu menjadi anak yang berguna kalau papa dan mama dah tak ada lagi. Tanpa aku sedari, air mata gugur di pipi.


ps : Mak kata, pengorbanan ibu bapa tak dapat dibayar walaupun kau ada duit berjuta-juta ;)



07 October 2013

segitiga



Aku suka dia. Comel orangnya. Manja. Kadang-kadang gila-gila. Kami sekepala. Ya memang ada rasa mesra. Bebas bercerita. Bebas berkongsi idea. Sebab bagi dia persahabatan itu yang lebih utama. Tapi tak sebenarnya. Aku cuba buat dia selesa. Sebab aku suka dia. 



Mesti ada yang suruh aku luah apa yang aku tulis dekat atas tadi. Mesti ada yang suruh aku jadi lelaki sejati. Tak apa terima kasih daun keladi. Sebenarnya ada masalah antara kami. Aku suka dia tapi dia dah ada kekasih hati.



Ada kawan bagi harapan. Katanya teruskan berkawan. Ada kawan bagi bantuan. Katanya dia boleh jadi orang tengah yang boleh sampaikan berita kalau orang itu dalam kesedihan. Terima kasih kawan-kawan. Aku bukan lelaki yang suka watak orang ketiga dalam mana-mana hubungan.


Ini bukan kali pertama aku rasa perasaan ini. Entah ini dah kali ke berapa aku suka orang yang sedang bahagia dengan orang yang dia sayangi. Mungkin tuah tak menyebelahi. Mungkin aku langkah kiri. Mungkin nasib tak pernah menjadi. Tapi aku tak patah hati. Aku cuba lagi. Aku kan lelaki.


Aku suka dia. Aku boleh bahagiakan dia. Tapi kalau ditakdirkan ada orang lain boleh buat dia lebih bahagia, aku rela. Aku nak dia bahagia, walaupun bukannya aku punca kebahagiaan dia.


ps : Selalunya yang paling kita nak sangat itulah paling susah nak dapat ;)



05 October 2013

berhenti berharap



Ini cerita dulu kala. Cerita masa aku baru masuk alam remaja. Cerita masa aku baru nak kenal dunia. Cerita aku dan dia.


Kami rapat walaupun jantina berbeza. Rasa suka? Tak ada. Langsung tak ada. Sebab dia dah berpunya dan kekasih dia aku kenal siapa. Rasa cinta jauh sekali nak ada. Pada masa itu kekasih bagi aku tak penting mana. Cukuplah ada kawan perempuan yang boleh lepak sekali bila ada masa.


Kami kawan baik yang berjanji akan saling membantu bila perlu. Bila dia sedih sebab gaduh dengan kekasih dia cepat-cepat aku bagi pinjam bahu. Bila aku rasa serabut dia tadah telinga dengar aku mengadu. Kami sebulu.


Sampailah satu masa, kami terpisah untuk jangka masa yang lama. Mungkin sebab kesibukan kerja. Mungkin sebab tak ada hal menarik hendak dicerita. Mungkin sebab dia makin bahagia. Mungkin sebab aku sibuk tengok bola dan cerita Korea saja. Entahlah aku sendiri tak tahu sebab apa kami kian terpisah jarak dan masa. Sampailah bila kami berbual semula, timbul rasa segan untuk bercerita. Jadi tak selesa sebab terpisah lama.


Dari situ aku sedar yang kita tak boleh terlalu berharap pada orang lain di sekeliling kita. Sedangkan bayang-bayang kita sendiri tak bersama kita bila tak ada cahaya, inikan pula orang lain yang tak ada kena mengena.


ps : Percaya pada diri dengan harapan dan keyakinan ;)



30 September 2013

4th anniversary



Tadi ada kawan bangsa Cina cakap nombor empat adalah nombor dia paling takut sekali. Katanya dalam Bahasa Kantonis empat ertinya 'Sei' iaitu mati.


Hari ini ulangtahun keempat blog hitam ini. Cuma aku harap empat ini bukan sial macam yang kawan Cina aku cakap tadi. Sebab aku belum bersedia nak tengok blog ini mati.


Terima kasih semua yang sudi membaca. Terima kasih semua yang sudi sumbangkan idea. Terima kasih semua followers yang setia. Terima kasih semua yang komen tak kira apa saja. Terima kasih semua pengkritik yang sudi luangkan masa. Terima kasih semua untuk segalanya. Tanpa anda blog ini tiada makna.


ps : Sejuta 'Terima Kasih' sekalipun tak dapat balas jasa anda semua ;)



24 September 2013

belon bahagia



Berjalan sendirian dekat pasar malam kampung aku. Ramai orang sampai kadang-kadang berlaga siku dan bahu. Mata pun naik juling tengok aneka makanan dekat situ. Kalau ikut nafsu semua aku nak sapu.


"Bang beli belon bang."
"Takpe takpe. Eh laaa. Weh lama tak jumpa."
"Haaa nasib baik ingat. Kang ada yang makan kerusi ni. Haha."
"Haha. Sorang je ke? Mana bini?"
"Aku mana kahwin lagi. Sape la nak orang macam aku ni..."


Aku tak berapa pasti dengan jawapan yang dia bagi jadi aku buat konklusi sendiri. Dia bekas penagih dadah yang kalau tak salah dah empat tahun keluar dari pusat serenti. Ada orang kata dia ada HIV tapi aku tak pasti. Aku tak tanya sebab aku takut dia terasa hati. Dan aku rasa kerana sejarah silam itu sampai hari ini dia tak beristeri.


Dia kawan yang aku kenal dari darjah dua. Aku pengawas dan dia pelajar biasa. Dia kawan yang masa zaman sekolah dulu selalu datang lewat tapi aku tak pernah catat nama. Bukan lari dari tugas cuma aku sedar sikap perikemanusiaan harus diutama. Dia tolong mak ayah dia di kedai dulu baru bersiap untuk ke sekolah pula. Dan dia kawan yang tolong aku masa aku kemalangan jalan raya masa tingkatan lima. Dia antara orang yang buat aku percaya kalau kita buat baik orang akan balas baik juga.


Kami bersembang seketika. Aku tak banyak tanya tapi dia yang banyak buka cerita. Tentang mak ayah dia yang masih berniaga. Tentang adik dia yang tengah tunggu dapat kerja. Tentang keluarga dia yang masih boleh terima dia walaupun dia berdosa. Perbualan kami terhenti bila ada seorang lelaki datang beli belon untuk anaknya. Dan aku juga minta diri sebab makanan yang aku nak beli belum aku jumpa.


Aku sedia maklum semua orang buat salah masa muda. Mungkin bagi dia salah dia itu terlalu besar nilainya. Salah yang sedap seketika tapi merana selamanya. Mujurlah hari ini dia dah berpijak di bumi nyata. Kini giliran dia membantu keluarga. Kini giliran dia berniaga. Dia menjual belon supaya orang lain merasa bahagia sedangkan dia langsung tak pernah rasa manisnya bahagia.


ps : Tiada orang baik yang tiada masa lampau. Tiada orang jahat yang tiada masa depan ;)


15 September 2013

hot stuff



Dulu ada seorang lelaki syok dekat aku. Dia yang add aku dulu. Kami berkawan tapi tak pernah bertemu. Dia kata dia malu. Lepas dia luah perasaan dia dekat aku, aku suruh dia tunggu. Dan dia sanggup tunggu.


Ada seorang lagi syok dekat aku tapi tak menunjuk sangat. Maklumlah dia pun ramai peminat. Sekali buat status Facebook sampai beratus 'Like' dia dapat. Muka pun jambu macam hero drama Korea yang selalu aku tengok dekat Astro tiap petang Jumaat. Satu hari dia luah perasaan dia dan buat aku terperanjat. Aku terima sebab dia jauh lebih hebat.


Couple dengan hot stuff buat aku bangga. Pergi mana-mana orang kenal siapa. Semua sebab dia.  Walaupun bila dating aku terpaksa pergi sendiri sebab dia tak ada kereta, tak apa. Walaupun bila dating ada perempuan tegur dia, aku sorok rasa cemburu buta. Walaupun bila dating aku yang belanja, aku tak kisah itu semua. Followers aku juga meningkat secara tiba-tiba. Rasa glamor dan bahagia. Rasa macam artis pun ada. Keputusan aku tepat dan tak sia-sia. Tak tahulah aku apa akan jadi kalau aku couple dengan mamat yang mula-mula, yang asyik sibuk dengan kerja.


Mamat itu ada Inbox aku ucap tahniah. Dia kata dia kalah. Padan muka itulah kononnya sibuk sangat cari nafkah. Aku saja tanya apa dia buat sampai Facebook pun dia tak endah. Saja aku nak dia rasa bersalah. Jawapan yang dia bagi tertera panjang lebar dekat chating Facebook bahagian bawah.


"Maaf saya sibuk bekerja, sampai tak ada dapat nak mesej awak setiap masa. Bila saya ada masa, mesej saya awak buat tak endah saja. Mungkin saya membosankan agaknya. Salah saya juga sibuk cari duit nak bayar kereta. Saya tak nak ajak awak keluar naik motor saja. Kalau hujan nanti yang susah saya juga. Saya nak buat awak rasa istimewa. Tapi saya tak pernah lupa awak walau sesibuk manapun saya. Awak selalu ada, dalam kepala, dalam doa saya. Tapi dah tertulis awak bukan milik saya. Saya cuma doakan awak bahagia dengan dia."


Aku kelu. Terkedu. Rasa kepala aku macam dihempap batu. Sebenarnya lelaki ini yang aku perlu. Lelaki yang bekerja sebab dia sedar ada tanggungjawab tergalas di bahu. Lelaki yang tahu sifat berdikari itu perlu. Lelaki yang tak kisah berpeluh baju, bukan lelaki yang sibuk menjaga wajah jambu. Lelaki yang mencari rezeki untuk lebih maju, bukan lelaki yang melacur meraih 'Like' dan perhatian tapi sebenarnya tak ada arah tuju.


Aku malu. Sumpah malu.


ps : Jangan buat dia terus menunggu hanya sebab kau tahu dia sanggup tunggu ;)



13 September 2013

anak angkat



Minggu lepas dia ikut aku balik rumah lepas aku lepak dengan kawan-kawan. Aku suruh dia tunggu dekat luar sementara aku ambil makanan. Aku bagi dia nasi dengan ikan. Aku masuk mandi dan keluar semula dalam sepuluh minit kemudian. Dia dah hilang dari pandangan. Yang ada cuma cebisan ikan. Aku basuh dan simpan. 



Malam esoknya hujan lebat dan ribut melanda dalam pukul tiga pagi. Aku yang tengah tidur tiba-tiba terjaga sebab dengar macam-macam bunyi. Aku harap dia selamat walaupun dekat luar seorang diri. Keesokannya aku nampak dia berlari-lari. Mujurlah tak mati.


Pagi tadi aku bangun nak pergi kerja nampak dia tengah tidur atas tangga. Lena gila. Dia tak sedar langsung aku tengok dia. Dan petang tadi aku balik kerja nampak dia dekat pasu bunga. Tunggu aku balik agaknya. Bila aku keluar kereta dia terus datang nak bermanja. Ngada-ngada gila.


Rasanya aku dah ambil seekor kucing jadi anak angkat secara tak sengaja. Bila dia lapar aku bagi makanan yang ada. Bila aku pergi kerja, rumah aku dia tolong jaga. Cuma sekarang aku tak pasti siapa jaga siapa.


ps : Buat baik dibalas baik juga. Binatang pun reti bahasa ini kan pula manusia ;)


 

01 September 2013

ujian



Ada kawan kemalangan jalan raya. Kereta kesayangan dihantar ke bengkel untuk diperiksa. Mujur tuannya tak cedera. Jadi tempanglah seminggu dua. Dia sedih gila. Nampak jelas di muka. Aku ajak dia lepak untuk hilangkan duka. 



"Kenapa aku?"

Soalan yang dia tanya. Aku cuma mampu suruh bersabar saja. Ada hikmahnya. Hari ini mungkin tak nampak tapi siapa tahu esok lusa. Ini sudah ditentukan sejak mula. Kita manusia kena terima. Itu antara ayat yang keluar untuk tenangkan jiwa yang lara.


Kami pulang. Harap dia bertenang. Takdir Tuhan memang tak ada siapa boleh halang. Cuma ada satu benda yang buat aku terbayang. Ayat yang dia sebut sentiasa berulang-ulang.


Dia, termasuk aku juga, selalu tanya soalan sama bila berlaku malapetaka. Mungkin saat itu akal tidak sempurna, kita persoal takdir yang menimpa. Sampai kita lupa itu ujian untuk kita. Ujian yang Tuhan bagi bukan untuk suka-suka. Ujian supaya kita ingat Dia Maha Berkuasa. Ujian supaya kita ingat kita cuma hamba. Tapi kita lupa. Begitu sifat manusia. Tuhan sendiri kata.


Aku pejam mata seketika. Aku terbayangkan saat aku berjaya, saat aku bergembira, tak pernah pula aku persoalkan soalan yang sama. Tak pernah aku tanya "Kenapa aku?" bila aku kaya. Tak pernah aku tanya "Kenapa aku?" saat aku bahagia dengan orang yang aku cinta. Tak pernah aku tanya "Kenapa aku?" bila aku mampu redah hujan dengan berkereta sedangkan ada orang yang terpaksa berteduh kerana bermotorsikal saja.


Hidup ini adil kalau dikira. Kita kata tak adil sebab kita tak tahu kesudahannya. Tuhan uji sebab kita ingkar arahan Dia. Tuhan uji sebab kita leka. Tuhan uji sebab Dia nak kita ingat Dia. Tuhan uji sebab Dia nak kita berusaha. Tuhan uji sebab Dia tahu kita mampu atasinya. Tuhan uji sebab Dia nak bagi kita pahala.


ps : Untuk menikmati pelangi penuh warna, Tuhan bagi kita hujan seketika ;)

30 August 2013

jawapan



Hadir ke satu rumah terbuka hari raya. Ramai tetamu yang datang dengan keluarga. Tapi aku datang seorang saja. Masuk dan berjumpa kawan rapat yang datang berdua. Dia bawa teman istimewa. Ratu hati katanya. Tiba-tiba tuan rumah menyapa.


"Nino datang sorang je?"
"Ya. Tak ada orang nak ikut kita. Sedihnya."



Aku buat muka. Dan kami ketawa. Lawak bodoh yang aku reka untuk hiburkan suasana. Tak pun sebenarnya. Lawak bodoh yang aku reka untuk lari dari soalan yang ditanya. Tuan rumah pergi melayan tetamu lain pula. Kekasih kawan aku juga pergi bertemu kawan dia. Tinggal kami berdua.



"Kau tak ada pengganti lagi ke?"
"Tak ada. Malas sebenarnya."
"Afif El Nino. Empat tahun dah."
"Baru tigalah."
"Kau rela juga tunggu kalau empat tahun pun kan?"


Aku tak balas. Malas. Aku cuma minum air Coca Cola yang dihidangkan dalam gelas. Mungkin panas dengan soalan yang ditanya berdas-das.


Kawan rapat aku tadi datang lagi masa aku tengah makan. Dia minta maaf kalau aku terasa dengan apa yang dia cakapkan. Tak apa aku tak kisah sebab kita kawan. Dia tahu banyak kisah aku sebab kami satu kumpulan. Undang-undang berkumpulan, tak ada apa nak dirahsiakan.


Hati ini walaupun aku punya, tapi aku tak boleh kawal dia ikut suka hati aku saja. Aku tak boleh paksa dia sayang orang yang aku memang tak ada rasa apa-apa. Aku tak boleh paksa dia berhenti sayang orang yang aku dah suka sekian lama. Jawapan ini tak pernah keluar bila orang tanya. Sebab aku rasa jawapan ini akan berangkai dengan soalan-soalan lain pula. Kadang-kadang diam seribu bahasa lebih baik daripada selalu bercerita.


ps : Setiap soalan ada jawapan. Tapi tak semua jawapan harus dijelaskan ;)

13 August 2013

kalaulah



Kalaulah hujan meteor betul-betul jadi malam tadi, aku pun nak join buat wish sekali. Semoga satu hari nanti, dia terbuka hati. Semoga satu hari nanti, dia tahu ada orang yang tunggu dia dekat sini. Sesat sungguh ajaran yang ajar buat wish bila nampak meteor dekat langit tinggi.



Kalaulah semalam dia ada bersama, menunggu hujan meteor mesti tak rasa lama. Mungkin langsung tak terasa masa berganti masa. Aku tak kisah duduk dengan dia sepanjang hari walaupun tak buat apa-apa. Janji dia ada bersama. Oh dan aku tak tahu kenapa masa seakan cemburu bila aku dengan dia.


Kalaulah dia jadi isteri, mesti semalam kita sama-sama duduk dekat balkoni sambil pandang langit bertemankan secawan kopi yang dikongsi. Atau mungkin secawan teh yang memang dia gemari. Berpegangan tangan sambil tunggu hujan meteor terjadi. Bercerita tentang impian yang sama-sama kita impi.


Kalaulah betul kehidupan di bumi bermula selepas hujan meteor melanggar bumi pada zaman dulu kala macam yang saintis kata, aku cuma angguk kepala tanda percaya. Sama macam aku yang rasa macam hidup semula lepas kita jumpa. Aku dengan kehidupan bumi tak ada beza. Semakin ceria dan bermakna.


Kalaulah benar dia dapat ada bersama. Kalaulah benar dia bakal jadi yang sah sampai bila-bila. Kalaulah benar semua impian dapat jadi nyata. Kalaulah benar kehidupan di bumi memang betul-betul ceria. Ahhh main kalaulah memang tak jadi kerja. Kalaulah ini aku guna untuk sedapkan hati yang tengah berduka saja.


ps : Awak dengan hujan meteor tak ada beza. Dua-dua saya tak dapat jumpa ;)

05 August 2013

selamat hari raya



Dalam rancak menulis entry mungkin ada yang terasa hati. Mungkin ada perasaan yang disakiti. Bahkan tak mustahil kalau ada yang terganggu emosi. Mungkin ada sampai tahap membenci.


Dalam rancak bercerita mungkin ada tersalah kata. Mungkin ada terkeluar ayat-ayat yang tak sepatutnya. Mungkin ada terpandang gambar yang menyakitkan mata. Mungkin terlalu kasar sampai tak bertegur sapa.


Dalam kita berjaga-jaga, kemalangan tetap terjadi juga. Sedangkan lidah yang dalam mulut sendiri boleh tergigit inikan kita yang tak ada kena mengena. Jadi saya dengan rendah diri dan luhur hati menyusun sepuluh jari atas semua khilaf yang ada. Itu semua salah saya.


I know this entry comes a lil bit early, but since I'm a lil bit busy so I need to publish this ASAP. I'm sorry.


ps : Selamat Hari Raya. Ikhlas daripada Afif El Nino dan blog kesayangannya ;)


01 August 2013

kad raya


 

Budak-budak zaman sekarang rugi sebab tak dapat rasa perasaan bila dapat kad raya. Ada memang ada tapi berapa sangat orang yang sanggup hantar bila Internet dah ada depan mata. Ucapan raya hari ini cuma diguna melalui telefon bimbit dan komputer riba. Jimat duit dan masa katanya. Dan perlahan-lahan kad raya mula dilupa.


Kad raya dah jadi satu benda yang 'rare' hari ini. Tapi bagi aku kad raya lebih bermakna daripada ucapan yang menggunakan teknologi. Kad raya atau sesuatu yang bertulis dan dibalut dengan sampul surat sebenarnya lebih memuaskan hati.


Dapat kad raya bermakna ada orang yang sanggup luangkan masa dia menulis sesuatu untuk aku. Kemudian dia sanggup hantar tak kiralah dengan bersemuka atau guna Pos Laju. Rasa penting dan dihargai bergabung menjadi satu.


Mungkin aku gila. Tapi aku suka bila aku dapat surat atau kad raya, yang ada nama aku di atasnya. Dan satu perasaan yang tak digambar dengan kata-kata bila sampul surat itu aku buka, ditarik keluar kandungannya, dan bila surat atau kad itu aku baca. Aku tak tahu nak gambarkan perasaan itu macam apa. Hanya orang yang pernah rasa akan tahu macam mana.


ps : Walaupun hidup tak semewah hari ini, memori dulu kala tetap abadi ;)



26 July 2013

susah senang



Di tengah kesesakan bazar Ramadhan, dia duduk berduaan. Memegang tin di tangan kiri dan sebungkus tisu di tangan kanan. Setiap kali duit dimasukkan, tisu akan dihulur sebagai pemberian. Ada juga yang cuma menghulur duit tanpa mengambil tisu yang disediakan. 



Beberapa minit sebelum masuk waktu berbuka, anaknya yang kecil akan mula mengira. Mengira berapa pendapatan mereka. Pernah aku ikut mengira sekali dari tempat aku berniaga. Tak banyak mana. Dan anaknya akan pergi membeli makanan untuk mereka berdua. Mujur setiap hari ada manusia berhati mulia bersedekah makanan percuma. Hanya Tuhan mampu membalas itu semua.


Susahnya hidup mereka bila kebanyakan manusia cuma menjeling menyangka mereka diupah ejen untuk mengemis macam dalam berita. Itu memang ada, tapi tak semua. Ada yang betul-betul terpaksa mengemis sebab tak mampu bekerja tapi perut mereka harus diisi juga. Kasihan mereka. Kerana nila setitik habis rosak semua susu sebelanga.


Seorang ibu tua yang cacat penglihatan dan anak kecil hidup dalam serba kekurangan. Terpaksa mengemis untuk sesuap makanan. Itu kisah nyata kehidupan. Itu cerita yang selalu kita nampak tapi tak pernah kita perhatikan.


Saat orang kaya berbuka mewah dengan pelbagai makanan di atas meja, mereka cuma mengemis sisa. Saat orang kaya boros berbelanja Hari Raya, mereka cuma menatap hiba. Sabarlah ya. Semoga pahala yang kamu kumpul yang tak nampak di mata akan buat kamu manusia paling kaya di akhirat sana.


ps : Kita hidup dalam kesenangan jadi bersyukurlah pada Tuhan. Tak susah pun, kan? ;)



22 July 2013

pemadam dan pensil



Aku terbaring dengan earphone di telinga. Lagu terpasang dengan tahap bunyi maksima. Aku perlahankan sekejap sebab azan Asar bergema. Kemudian aku kuatkan semula.


Tengah sedap layan kepala tiba-tiba katil bergegar seketika. Bukan gempa bumi tapi satu mesej diterima. Buka. Baca.




"Kau dah putus ke?"
"Ya."
"Kenapa?"
"Panjang cerita."
"Panjang ke malas nak cerita?"
"Dua-dua."
"Tak cuba rujuk semula?"
"Dah tak ada jodoh agaknya."
"Maafkanlah dia. Beri dan terima. Sebab itu pemadam dan pensil ada."



Gila. Motif nak kaitkan pemadam dan pensil dengan hati dan jiwa? Mesej itu aku biar terpampang di skrin kaca yang bernyala. Betul kata dia. Tapi aku malas nak balas sebab sejak beberapa hari yang lepas hubungan aku dengan suasana sepi semakin mesra. Kesunyian buat aku hidup semula.


Tak salah apa dia kata. Pemadam dan pensil ibarat dua manusia bercinta. Bila pensil buat salah, pemadam padamkannya. Tapi sampai bila? Pemadam sampai satu tahap akan menipis dan lenyap juga. Pemadam yang pada asalnya putih melepak menjadi hitam di merata-rata. Pensil yang buat salah tapi pemadam yang tanggung semua.


Aku pemadam yang dulu percaya pensil tak akan banyak buat salah. Tapi aku salah. Aku padam sampai badan aku patah. Aku padam sampai aku parah. Sudahlah. Malas nak fikir dah.


Pejam mata cuba untuk lena. Biarlah aku tidur seketika. Cuma dengan tidur aku dapat lupa perkara yang buat aku sakit kepala dan jiwa.


ps : Kepercayaan itu macam kertas. Sekali kau ramas, ia tak cantik macam yang lepas ;)


 

19 July 2013

pakcik sayang makcik



Aku sekarang berniaga dekat Bazar Ramadhan. Aku jual Burger Kahwin dengan kawan-kawan. Niat aku cuma nak cari pengalaman. Maklumlah selama ini cuma pelanggan. Jemputlah datang beli Burger Kahwin yang tengah hangat di pasaran. 



Depan kedai aku ada pakcik dan makcik jual timun cina. Manis timun dia. Pakcik itu ramah orangnya. Sesekali dia datang bertegur sapa. Pernah aku bagi satu burger dekat dia tapi dia tolak walaupun aku bagi percuma. Dia kata itu bukan makanan orang tua.


Dalam pukul 3 petang pakcik dan makcik itu akan datang naik van yang penuh dengan timun cina. Payung dibuka. Kemudian timun cina disusun atas meja. Kemudian mereka akan duduk sambil tunggu pelanggan tiba. Setengah jam sebelum masuk waktu berbuka, pakcik itu akan pergi membeli makanan di kawasan bazar yang sama. Dia beli setiap makanan yang dipesan oleh isterinya.


Aku suka tengok pasangan warga tua yang bahagia. Mereka buat aku percaya ada orang yang akan sayang kita sampai bila-bila. Mereka buat aku percaya setia hujung nyawa itu bukan hanya sekadar tajuk cerita.


ps : Jumpa saya di Bazar Ramadhan Chendering. Meh pakat beli Burger Kahwin ;)



11 July 2013

hati



Terbaring atas sofa sambil pejam mata. Tangan dijadikan bantal di belakang kepala. Bukan nak tidur cuma bosan dan tak tahu nak buat apa. Nak keluar tak boleh sebab hujan di luar sana. TV terpasang tapi tak tahu apa cerita. Cukuplah bunyi TV itu jadi teman suasana. 



Terdengar hati bersuara. Mungkin hati pun bosan agaknya. Perlahan-lahan tangan kanan diseluk ke dalam dada. Keluarkan hati dan letak atas riba. Degupan perlahan nampak nyata. Hati itu sudah tak cantik macam dulu kala.


Ada kesan luka. Ada lebam dan calar di sekitarnya. Ada kesan terbakar juga. Puncanya banyak sebab cinta. Cinta yang kononnya setia hujung nyawa. Cinta yang dipuja sampai tak ingat ada syurga neraka. Cinta membabi buta. Cinta gila.


Sapu sikit bahagian atas hati sebelah kanan. Ada wajah seseorang yang dah lama hati berkenan. Crush bak kata kawan-kawan. Crush yang sudah lama tersimpan. Hati pernah paksa mulut luahkan perasaan tapi akal menjadi halangan. Pendamkan. Jangan rosakkan persahabatan. Dan hati akur dengan nasihat yang akal berikan.


Sabarlah wahai hati. Kau tetap yang hebat sekali. Tak salah kau nak jatuh cinta lagi tapi jangan sampai menggadai diri. Cukuplah parut-parut yang dah sebati. Jangan tambah lagi. Hati-hati hati.


ps : Jangan fikir macam mana nak jaga hati orang kalau tak mampu jaga hati sendiri ;)

02 July 2013

lelaki



Kami duduk keliling satu meja. 8 gelas air untuk 8 orang yang ada. Tak ada perempuan semua lelaki belaka. Dah lama tak jumpa jadi ada banyak benda nak dicerita. Lepak dan lelaki tak dapat dipisahkan sampai bila-bila.




Topik bola dibuka. Habis bising sampai satu kedai boleh dengar suara. Semua cuba pertahan pasukan mereka. Aku kutuk pasukan dia, dia balas semula. Habis keluar semua. Real Madrid banyak duit tapi tetap tak guna. Manchester United celaka. Permainan Barcelona bosan gila. Hebat Liverpool cuma pada nama. Chelsea ramai pemain hebat tapi main membabi buta. Dah macam perang dunia kedua.


Tiba-tiba topik beralih arah bila seorang dari kami mencelah.
"Aku rasa aku dengan awek aku tak boleh nak selamat dah."


Keadaan perang tadi tiba-tiba reda. Semua memerah otak nak cari jawapan bagi soalan yang ditanya. Ada yang garu kepala. Ada yang sampai sepet mata. Seperti satu mesyuarat tergempar sebuah syarikat yang akan jatuh muflis pada bila-bila masa.


Orang meja sebelah pandang kami. Mungkin pelik sebab keadaan yang tadi bising tiba-tiba sepi. Suara kami berbunyi tapi dalam nada serius sekali. Serius sebab ini masalah kawan kami. Tak guna jadi kawan kalau tak boleh tolong kawan sendiri.


Kebanyakan lelaki begitulah perangai dia. Bila dia gila, dia boleh gila-gila gila. Tapi bila dia serius, dia boleh jadi orang yang kau tak akan jangka.


ps : Lelaki tak cakap pasal awek masa lepak kecuali hal itu memang mustahak ;)

30 June 2013

sebenarnya saya isteri dia



Saya duduk seorang diri sambil tengok budak lelaki main futsal berlari penuh semangat ke sana sini. Saya datang teman seorang lelaki. Itu yang pakai jersi warna hitam kuning nombor 9 ada tulis GCFC. Nanti bila habis mesti dia datang dekat saya berpeluh dari kepala sampai kaki. Masam tapi seksi. Oh dan saya masih tak faham apa yang sedap sangat bola bagi lelaki. 




Mamat yang jaga gol team lawan itu bekas kekasih saya. Kekasih zaman remaja. Kekasih masa saya baru nak kenal dunia. Dia kaya gila. Duit dia tak habis kalau belanja. Anak dato' apa entah ayah dia. Dulu masa couple bab sponsor dialah yang tanggung semua. Topup, makan, hadiah, semua dia. Tapi itulah kan budak-budak bercinta indahnya tak lama. Dia pergi Australia sambung belajar dekat sana. Kami putus dan tak lama kemudian dia couple dengan amoi Cina.


Dari situlah persahabatan saya dengan mamat striker jersi nombor 9 ini bermula. Dia buat saya gembira. Dia buat saya gelak dengan lawak bodoh dia. Dia ubah saya sepenuhnya. Daripada seorang yang dulu rambut berwarna sekarang dah bertudung kepala. Dia perli saya dengan ayat-ayat Ustaz Azhar Idrus yang pernah dia tengok dan baca. Kasar tapi betul apa dia kata. Lama-lama saya jadi suka. Dia selamatkan saya daripada terus hanyut dengan dosa.


Lepas balik Malaysia, mamat yang jaga gol itu nak rujuk semula. Pujuk rayu saya tak kira masa. Siap datang tempat kerja saya dengan kereta-kereta mahal dia. Dah nama pun lelaki bukan reti putus asa. Dia buat tawaran yang buat saya rabun mata. Dia suruh berhenti kerja, jadi isteri dia, jaga rumah dia, orang gaji buat semua kerja.


Saya terima. Bukan terima mamat jaga gol tapi terima kenyataan yang mamat striker jersi nombor 9 itu walaupun tak kaya mana, walaupun belajar tak sampai luar negara, tapi boleh buat saya bahagia. Cinta itu mengajar kita untuk menerima, bukan meninggalkannya walaupun kita tahu ada yang lebih sempurna. Oh lupa nak tulis dekat atas sana, sebenarnya saya isteri dia.


ps : Lelaki tengok bola, perempuan tengok pemain bola ;)

21 June 2013

kuih kuih



Selamat datang. Beli kuih bang? Nak apa bang? Itu cucur udang. Itu pengat pisang. Itu lemang. Yang ini nasi dagang. Karipap pun ada inti ikan, inti kentang. 



Itu aku dengar tiap pagi tiap hari. Kedai kuih sebelah kedai roti. Ramai orang beli tak kira perempuan lelaki. Yang ini beli itu yang itu beli ini. Jalan dekat situ tak sibuk pagi-pagi. Dan aku pergi sebab dia sekali.


Dia cantik macam Scha Al Yahya dalam Muzik-Muzik dekat TV3. Dapat tengok tapi tak boleh rasa. Badan dia mungkin 34-28-35. Tinggi lampai berbaju kebaya. Bertudung bersanggul di kepala. Selalu senyum dan lembut tutur kata. Rajin bekerja, pandai kira-kira, hormat orang tua, tahu mengurus masa. Itu aku kira hampir sempurna.


Sementara tunggu giliran, dia adalah hiburan. Ketawa riang, senyuman serta percakapan loghat Kelantan. Manja dia bukan mainan. Oh Tuhan, apakah ini jodoh yang Kau tetapkan? Untuk bertemu dia adalah keajaiban.


Tapi tadi dia tak ada lagi. Aku tanya mak cik dia mana dia pergi. Mak cik dia kata dia dah balik malam tadi. Minggu depan dia nak sambung belajar dekat universiti. Aku tanya universiti mana tapi mak cik dia tak pasti. Dia datang Terengganu pun sebab nak habiskan cuti. Tak apalah tak ada rezeki. Jaga diri dan jumpa lagi gadis misteri aka crush tiga hari.


ps : Kalau pelayan murah senyuman, orang dah kenyang pun rasa nak makan ;)

18 June 2013

jambu



Nino Jambu. Aku digelar begitu dulu. Mungkin sebab dulu rambut aku panjang sampai cecah bahu. Menurut kawan aku, lelaki jambu adalah lelaki yang dikurniakan wajah yang comel atau kulit yang gebu. Sejujurnya aku tak suka gelaran itu. Aku rasa gelaran jambu macam merujuk pada lelaki lembik yang patah sini patah situ. Faham tak maksud aku? 




Sepanjang aku hidup jarang orang panggil aku handsome atau tampan. Tapi ramai kata aku comel macam perempuan. Bukan nak perasan, cuma ulang apa orang katakan. Kalau aku potong rambut pendek orang kata aku macam anak ikan. Bila aku simpan rambut panjang sikit orang kata pondan. Susah nak puaskan hati semua orang, kan?


Pernah aku menghadap cermin berfikir sendirian. Aku pegang telinga kiri dan kanan. Tak ada kekurangan. Aku ada mata coklat kehitaman. Hidung aku juga tidak senget atau besar macam Zizan. Kulit muka aku licin tanpa perlu menggunakan ubat rawatan. Dua puluh jari dua kaki dua tangan. Semua cukup sifat tubuh badan. Sejak itu semua kata-kata orang aku persetankan. Sebab aku adalah sebaik-baik ciptaan Tuhan.


Tapi sekarang aku dah biasakan diri. Aku tak kisah orang panggil itu ini. Malah aku belajar menghargai. Mendekati orang yang menyukai dan menghargai orang yang membenci. Sebab aku pasti, bila ada orang yang benci pasti ada juga yang menyayangi.


ps : Lelaki jambu pun laku. Mungkin sebab yang macho ramai dah hancur ;)


 

15 June 2013

putus



Aku dah lama dengan dia. Dua tahun nak masuk tiga. Lama gila. Sejak pertama kali jumpa dekat pasar malam aku dah rasa kami serasi bersama. 




Banyak dah kami kongsi. Masa aku kemalangan dulu dia yang selalu di sisi. Masa raya dulu pun dia selalu ikut rumah-rumah yang aku pergi. Dalam tandas awam pun pernah aku heret dia sekali. Itu belum campur hotel dan pusat karaoke yang pernah jadi 'port' kami.


Dulu masa mula-mula dengan dia, kawan aku dah kata kami mungkin tak kekal lama. Cara aku dengan dia berbeza. Dia macam kasar sikit sementara aku jenis lembut dalam banyak perkara. Sebab itu aku cuba pertahan dia sedaya upaya. Aku tak nak apa yang kawan aku kata jadi nyata. Aku tak nak putus sampai bila-bila. Selagi dia ada bersama, selagi itu aku setia.


Aku cuma merancang tapi Tuhan yang tentukan. Semalam di depan beberapa orang kawan, dia putuskan hubungan. Tiba-tiba personaliti aku dan dia macam diterbalikkan. Aku terlebih berkasar sementara dia lemah tak melawan. Dia yang buat keputusan. Dia putus tanpa sebarang alasan. Dan sekarang kami berbeza haluan. Semua kenangan indah dah aku tinggalkan.


Semalam aku jatuh tapi kini aku kembali bangun. Aku buat-buat tak nampak dia macam orang rabun. Katalah aku sekejam Firaun sekalipun. Ego aku dah naik dan tak akan turun. Pergilah kau sendirian tanpa rasa gerun. Selamat tinggal selipar Jepun.


ps : Yang patah tumbuh yang hilang berganti. Yang pergi biar pergi tak guna dinanti ;)

13 June 2013

hati batu



Itu. Nampak tak lelaki baju hitam yang tengah baca buku atas kerusi batu? Aku suka dia sejak dulu. Dia tahu sebab aku pernah beritahu tapi dia tak pernah hirau perasaan aku. Dan sampai hari ini aku pendam perasaan itu.


Dia selalu bawa majalah tentang perempuan. Aku nak sangat tanya tapi aku segan. Mungkin hari ini aku patut dapatkan penjelasan. Aku tanya dia depan-depan.


"Hai. Boleh saya duduk sini?"
"Duduklah."



Aku, majalah, dia. Dua majalah yang muka depannya model yang serupa menjadi orang ketiga. Model itu bekas kekasih dia. Hari ini sudah jadi model ternama. Aku tahu pun sebab aku tanya kawan lelaki dia. Aku kalau dah minat dekat seseorang aku akan stalk dia gila-gila. Aku capai satu majalah dan belek buat-buat baca.


"Kenapa baca buku perempuan?"
"Saja. Buat hilang bosan."



Ahh sudah. Main ayat sepatah-sepatah ini yang buat aku lemah. Pleaselah.


Aku terpandang wallpaper telefon bimbit dia dekat atas meja. Perempuan yang dalam majalah itu juga. Aku tunjuk muka depan majalah dan halakan depan dia.


"Suka dia?"
"Ya."
"Kenal dia?"
"Ya. Model ternama."
"Betul ke? Ke ada apa-apa?"



Dia diam tak kata apa. Keluhan panjang dihela. Alamak dia marah ke?


"Siapa dia sebenarnya?"
"Jiwa. Cinta. Semua."
"Tapi dia dah nak kahwin dengan orang kaya."
"Ya."



Dia berdiri. Serabut dengan aku barangkali. Dia hulur tangan minta majalah yang aku pegang tadi. Cepat-cepat aku beri.


"Errr... Boleh aku ganti dia?"
"Tak."



Dia pergi. Langsung tak berpaling dekat aku walau sekali. Awak, sekeras-keras kerusi batu yang saya duduk ini, keras hati awak lagi.


ps : Every girl has a guy that she won't stop loving. And every guy has a girl that he won't stop fighting for ;)

11 June 2013

misteri manusia





 

Ada perempuan upload gambar pakai kain sembahyang
Gambar yang susah dilihat zaman sekarang
Niatnya nak ingatkan tiang agama lima batang
Tapi ada orang komen panjang-panjang
Katanya nak buat baik tak elok tayang


Ada lelaki upload gambar tunjuk badan
Six pack dia aku rasa sampai lapan
Niatnya promosi protein untuk jadi jantan
Tapi ada orang kata dia ubah ciptaan Tuhan
Lalu timbul pertengkaran


Ada perempuan upload gambar seksi
Baju ketat rambut warna warni
Niatnya nak tayang aset diri
Tapi ramai pula orang yang puji
Biasalah lelaki


Ada lelaki upload gambar dengan kereta
Kereta baru beli berkilauan warna
Itu habuan penat lelah dia bekerja
Tapi ada orang kata tak baik berbangga
Mungkin yang mengata itu cemburu buta


Ada perempuan upload gambar dia berhijrah
Bertudung labuh dan berjubah
Tiada lagi gambar yang nampak lurah
Tapi masih ada yang fitnah sumpah seranah
Manusia dari dulu tak pernah berubah


Ada orang kata hidup ini misteri
Orang tak ingat kalau kau buat baik seribu kali
Bila kau buat jahat sekali orang ingat sampai mati
Tapi aku rasa hidup ini macam main judi
Kita buat apa orang tetap tak puas hati


ps : Tak ada orang yang dapat puaskan hati semua orang ;)


 

08 June 2013

cerita dia



Ada orang putus cinta. Hampir gila. Meroyan setiap masa. Buka Facebook dan buat status macam dah tak ada esok untuk dia. Tweet pula lirik lagu duka lara. Niatnya mahu meluah apa yang dirasa. 




Akhirnya datang seseorang datang bertanya. Kenapa? Dan dia bercerita. Semua. Dari awal sampai akhir tanpa tertinggal satu perkara. Baik buruk indah celaka ada belaka. Dia dapat bahu untuk berpaut untuk seketika.


Tenang rasa. Walaupun tak rapat mana tapi dapat tahu ada orang mengambil berat sudah cukup buat hati lega. Kalau dipendam lama-lama akan meletup juga.


Tiba giliran orang yang bertanya kenapa tadi bercerita dekat kawan-kawan yang duduk semeja. Ada orang nak jadi gila sebab putus cinta. Konon itu cinta mati dia. Padan muka. Sebab serabut jadi dia bertanya. Kalau delete friend nanti terasa. Buat-buat tanya dengan harapan selepas ini tiada lagi status dari dia.


ps : Berhati-hati dengan siapa kita percaya. Bukan semua yang senyum dekat kita kawan kita ;)



04 June 2013

jangan menangis lagi


 

Dia menangis di hujung talian. Aku cuba tenangkan. Esakan dia mula berkurangan. Dia mula bercerita perlahan-lahan. Aku pasang telinga kiri dan kanan. Sudah pukul dua pagi jam di penjuru bawah sebelah kanan laptop kesayangan. Tak kisahlah pukul dua atau tiga pagi sekalipun aku tetap ada sebab kita kawan. Dia habiskan cerita dengan satu keluhan. Kesian.



Dia jarang cerita tentang kekasih dia. Tapi kali ini dia dah tak tahan jadi dia luahkan semua. Kekasih dia macam dah bosan dengan dia. Dia tanya sepatah jawab pun sepatah juga. Sabarlah awak, cuma itu mampu aku kata. Lagipun aku tak pernah jumpa kekasih dia. Setakat tengok gambar tak dapat tahu kekasih dia macam mana.


Bro, aku tahu entry ini kau tak baca. Cuma aku harap kau dapat rasa apa aku rasa.


Awek kau setia orangnya. Kau buat apa semua dia percaya. Tapi jangan buat semua itu tiket untuk kau sakitkan hati dia. Memang dia selalu diam tapi jangan sebab itu kau nak besarkan semua masalah yang ada. Memang dia selalu mengalah tapi jangan sebab itu kau nak menang setiap masa.


Bila kau buat dia macam tak ada, kau tahu tak berapa ramai lelaki cuba tarik perhatian dia? Kau tahu tak berapa ramai lelaki dia reject sebab dia nak kau saja? Kau tahu tak berapa ramai lelaki dia suruh cari perempuan lain sebab dia nak kau dengan dia bahagia sampai hujung nyawa? Kau rabun ke buta? Kau tak nampak ke dia sayang kau gila?


Aku susah nak percayakan orang. Tapi sebab dia pilih kau jadi aku rasa kau mungkin lebih sesuatu yang aku kurang. Aku cuma tak nak kau buat dia macam bola yang kau boleh sepak terajang. Oh dan satu lagi satu hari nanti aku harap kau akan pandang belakang. Kau akan nampak aku dalam satu barisan panjang cuba curi hati dia yang kononnya dulu kau sayang. Mungkin aku tak kelakar macam kau yang boleh buat dia ketawa riang, tapi aku jamin aku takkan buat dia menangis macam kau buat sekarang.


ps : Entry ni tersimpan lama. Hari ini baru tunjuk dekat semua. Kesian dia ;)


 

28 May 2013

kita ehem-ehem nak?



"Awak, kita couple nak?"

Ayat itu aku masukkan dalam satu botol kaca. Kemudian aku masukkan botol tadi dalam satu kotak rahsia. Aku kunci kotak itu dan aku buang kunci dia. Biar saja. Aku tak akan buka dan tak akan sebut ayat itu sampai bila-bila.


Awak kawan baik saya. Dah banyak cerita yang kita kongsi sama-sama. Awak sedih, saya ceriakan semula. Saya marah, awak tenangkan saya. Kita kawan jadi kita bebas nak cerita apa saja. Kita boleh gila-gila sama-sama. Saya takut kalau bercinta, kalau jadi apa-apa, awak cari orang lain untuk luah apa awak rasa. Saya tak nak itu semua. Lagipun awak ada dia.


"Awak, kita kahwin nak?"


Ayat itu aku masukkan dalam satu botol kaca yang lain pula. Kemudian aku masukkan botol tadi dalam beg yang aku galas setiap masa. Sebab nanti ayat itu aku nak guna. Cuma tunggu masa. Cuma tunggu takdir tentukan semuanya.


Saya nak awak jadi yang halal buat saya. Untuk saya sahaja, bukan kongsi dengan siapa-siapa. Saya dah penat ucap 'Bye' dekat awak setiap kali waktu tidur tiba. Satu hari nanti saya nak ucap 'Selamat malam' dekat awak depan mata saya, dalam pelukan saya, kita lena. Saya dah tak nak kongsi semua cerita saya. Sebab saya nak dalam setiap cerita saya, awak ada bersama.


ps : Kalau jodoh awak dengan dia tak panjang, izinkan saya masuk meminang ;)

24 May 2013

saya tak suka dia




Saya tak suka dia. Dalam kelas dia selalu kacau saya. Kalau sehari tak kacau saya tak sah agaknya. Dah lah pinjam pensil saya tapi tak reti nak hantar semula. Bila saya suruh hantar dia kata dia nak guna. Eeeiii geramnya saya.



Budak lelaki kelas saya cakap
dia kacau saya sebab dia suka saya. Saya tak percaya. Sampailah saya tanya dia betul ke dia suka saya. Dia ketawa. Dia kata saya manusia paling perasan dia pernah jumpa. Mujur kesabaran saya masih ada. Saya tak sedih sebab mak ayah saya suruh pergi sekolah untuk belajar bukan bercinta.


Semalam dia cakap dia nak bayar duit sebab pensil saya yang dia pinjam dah patah. Saya kata tak apalah. Saya tak kisah. Saya ada banyak lagi pensil lain dekat rumah. Keesokannya dia tak datang sekolah. Cikgu kelas saya cakap keluarga dia pindah.


Saya rasa sayalah orang paling lega sekali. Tak ada dah orang nak kacau saya lagi. Tak ada dah orang nak suruh saya tunduk sebab tak nampak apa yang cikgu tulis dekat papan hitam kelas kami. Tak ada dah saya nak pusing belakang buat muka tak puas hati. Tak ada dah budak kelas saya nak perli-perli.


Dah dua minggu dia tak ada. Meja dia kosong saja. Saya rasa hari saya tak ada makna. Dah tak ada orang kacau saya. Bila saya salin apa yang cikgu tulis dekat papan hitam sana, saya sengaja angkat kepala. Saya nak dengar suara dia marah saya. Tapi tak ada. Saya nak jumpa dia sekali saja. Sekejap pun tak apa. Kenapalah awak pergi tanpa kata. Argh bencinya! Saya tak suka dia!


ps : Pasti pernah sekali kita tak pasti perasaan kita sendiri ;)

22 May 2013

orang muda



Aku turun tangga dari tingkat tiga bangunan empat tingkat sambil berlari. Aku langkah dua tiga anak tangga sekali. Kanan kiri kanan kiri, sampai bawah sekali. Dekat bawah aku jumpa seorang pakcik yang baru nak masuk dalam kereta Myvi. Aku senyum dekat dia kemudian terus pecut dengan motorsikal Wave yang papa bagi.


Aku sampai dekat kedai makan lebih kurang pukul lapan pagi. Perut dah keluar macam-macam bunyi. Tengah sedap makan tiba-tiba ternampak pakcik tadi. Dia pun baru nak makan pagi. 




Dia tarik kerusi dan duduk depan aku. Mata kami bertemu. Aku buat tak tahu. Duduklah mana-mana kau mahu, itu bukan kedai aku.


Lepas sesuap nasi pakcik itu mulakan bicara. Dia tanya nama, duduk dekat mana, umur berapa, belajar ke kerja. Aku malas sangat nak layan sebab bukan kenal pun dia siapa. Tapi dia pandai buat aku rasa jadi nak bercerita. Dia cakap tentang kereta anak muda, hal pilihanraya yang huru hara, kemudian topik bola sepak negara yang tak ke mana. Topik yang aku rasa dekat dengan jiwa.


Bila dia kata dia suka tengok orang muda, aku dah rasa tak selesa. Pakcik gay ke apa? Tapi aku tanya dalam hati saja. Perasaan orang tua kita kena jaga. Dia kata dia suka tengok orang muda yang selalu bertenaga. Yang boleh berlari naik tangga, yang boleh buat macam-macam kerja. Dia kata dia dah tua jadi tenaga dia tak banyak mana. Betul kata dia. Ada logik juga. Bukan sebab dia gay ke apa.


Dia kata anak dia dengan aku sebaya cuma berlainan jantina. Jadi tak hairanlah dia faham apa yang kena dengan jiwa orang remaja. Dia pun pernah muda. Dia pun pernah berlari turun tangga. Agaknya.


Pakcik itu panggil pelayan suruh kira. Dia tolong bayar roti canai aku sekali dengan dia. Aku kata tak payah tapi dia nak juga. Rezeki kata dia.


Sepanjang jalan balik aku cuma terfikir satu benda. Aku pernah tulis entry aku tak suka jadi dewasa. Saat seorang remaja mahu jadi kanak-kanak semula, ada orang tua yang mahu jadi remaja. Mungkin jalan terbaik adalah hargai apa kita ada sebab semua itu takkan kekal selamanya.


ps : Terima kasih belanja saya tadi. Nanti ajaklah anak perempuan pakcik sekali ;)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...