My Dongsaeng. My Oppa. My Noona.

04 September 2015

sakit sayang



Siapa yang dulu kata bila kita mula sayang kita akan rasa indah-indah saja? Rasa dalam perut ada rama-rama? Rasa berbunga-bunga? Rasa mandi tak basah tidur tak lena? Tipu belaka. Sekali dengan aku tertipu sama. Sebab rasa sayang itu bukanlah indah mana.



Sakitnya bila kita sayang tapi hanya mampu pandang saban hari.
Sakitnya bila kita sayang seseorang tapi hati dia sudah terisi.
Sakitnya bila kita sayang sepenuh hati tapi tak bisa memiliki.
Sakitnya tu di sini - Hati.


Sedikit terubat perasaan bila tengok dia ketawa. Memang itulah yang selalu aku minta. Sentiasa gembira dan semoga bahagia. Walaupun hati meronta nak jadi punca kebahagiaan dia, tapi kaki harus berpijak di bumi nyata dan akal kena terima Tuhan dah tentukan sebaik-baik perkara. Doa aku akan berakhir dengan permintaan yang sama - Semoga rasa sayang ini tidak kekal lama. Sebab aku juga ingin bahagia walau bukan dengan dia.


ps : Cinta tiba cinta pergi. Yang azali ku nanti ;)


02 June 2015

ikut siapa



Dah beberapa hari aku dihantui sebaris ayat yang aku reka sendiri.


"Ikut kata hati. Itu paling tepat sekali."


Ceritanya bermula bila aku dah bosan cari seseorang yang istimewa. Seorang isteri yang akan teman aku sampai hari tua. Seorang isteri yang halal untuk aku saja. Dah banyak kali cuba tapi gagal juga. Panjang betul drama cinta aku berbanding kawan-kawan lain yang sama usia. Drama orang lain dah tamat tapi aku masih meraba mencari heroin cerita. Jadi aku bagi hati aku berehat lama. Kesian dia terseksa. Jadi rehatlah kau sepuas-puasnya.




Lalu hati berbisik supaya cari yang dekat-dekat saja, yang setia sejak sekian lama. Tutup media sosial dan buka mata. Jangan jadi buta. Jangan terlalu kejar kecantikan bulan sampai lupa bintang pun cantik juga. Aku pejam mata, terlintas satu wajah dan tersebut satu nama. Dia.


Dia kawan yang indah dalam satu hubungan yang meriah. Empat tahun kami kenal tak pernah berbalah. Dia selalu ada tak kira waktu senang atau susah. Dia tenangkan bila aku marah. Dia yang gagahkan bila aku lemah. Dia yang temankan bila aku lelah. Dia tak pernah bosan dengar cerita cinta aku yang gagal sampai ke sudah. Dia tempat mengadu masalah dan dia juga yang selalu selesaikan masalah.


Sebagaimana aku yang selalu cari dia, dia juga sama. Selalu cari aku bila ada cerita. Tak pernah walau sekali aku bosan menadah telinga. Walau terpisah timur dan utara tapi tak pernah putus khabar berita. Kami sama. Kami boleh ketawa gila-gila tapi seminit kemudian serius berbincang topik utama. Sehati sejiwa agaknya.


Tapi akal tak bagi...


Macam mana kalau tak jadi? Macam mana kalau dia cuma anggap kau kawan lelaki? Macam mana kalau dia dah ada seseorang tapi tak cerita dekat kau sebab awal lagi? Kau tak nampak ke lelaki yang tegur dia tadi? Sanggup ke kau hilang sahabat sejati? Sanggup ke kau lepaskan orang yang setia di sisi? Kau teruskan mencari. Jangan lari. Kau berkawan saja dengan dia sampai mati. Kau jangan dengar sangat apa kata hati. Membebel panjang akal mengalahkan Azwan Ali.


Biasanya kalau aku tulis sesuatu, aku tunggu sampai habis dulu. Jadi aku dapat rumuskan satu per satu. Tapi kali ini aku tak mampu. Banyak sangat yang terbuku. Mungkin sebab tak nak terburu-buru. Mungkin sebab cemburu. Mungkin sebab malu. Mungkin sebab rindu. Jangan tanya kenapa sebab aku sendiri tak tahu.


ps : Galau menulis isi jiwa kacau mengeluarkan ayat payau yang dipukau ;)


30 May 2015

tabiat



Bingung rasanya. Bukan bingung biasa-biasa tapi bingung berkali ganda. Bukan kerana buku berselerak atas meja. Bukan kerana kertas peperiksaan yang belum diperiksa. Tapi bingung maksima ini kerana dia.


Bingung yang perta‎‏‎ma, masa aku Whatsapp semalam dengan dia. Entah kenapa aku berani luah apa aku rasa. Hampir setahun juga aku cuba dekati dia sampai jadi mesra. Dia balas dia mungkin terima. Itu bingung yang kedua. Tak sangka dia bagi aku peluang untuk cuba. Bingung yang ketiga, dia nak aku berhenti merokok walaupun jujur aku kata aku hisap rokok murah tak ada jenama. Murah pun bahaya katanya. Ya, aku tahu bahaya. Dia bagi aku masa sebab dia tahu mustahil untuk tinggalkan tabiat lama. Bingung yang keempat dia siap tahu aku hisap rokok jenis apa. Mungkin dia pernah tengok aku merokok dekat mana-mana.
Atau mungkin dia pernah tengok Instagram sebab kami memang dah follow sejak dari mula. Tak kisahlah janji demi dia, aku rela.




Jadi projek berhenti rokok bermula. Daripada 4 batang rokok sehari aku dapat kurangkan kepada hanya tiga atau dua. Tiga bulan berlalu aku akhirnya dapat hisap sehari sebatang rokok saja. Masuk bulan keempat aku dapat rasa kalau tak merokok pun tak apa. Sebenarnya ini mustahil kalau tak dapat sokongan dari dia. Tak salah buang apa aku suka untuk dapat apa aku cinta. Tak sedap juga kalau bibir yang mengepit rokok ini nak cium bibir dia yang bergincu merah menyala. Mesti dia rasa tak selesa. Ahhhhh jauh sangat kau berangan ni gila.


Esok hari jadi dia yang ke-23. Jadi sepuluh minit sebelum pukul 12 malam aku dah ada depan rumah dia. Aku pinjam kereta Myvi kawan aku sebab tak nak dia dapat baca permainan aku macam mana. Aku beranikan diri nak jadi yang pertama. Sebagai hadiah aku bawa sekotak coklat dan sejambak bunga. Aku tengok lampu rumah menyala, kereta pun ada. Tapi banyak kali aku call tak dapat-dapat juga. Nak kata dah tidur mustahil rasanya.


Jam digital dalam kereta menunjukkan pukul dua belas suku. "Mungkin bukan rezeki aku," hati aku berbisik sayu. Aku nampak ada kereta Honda berhenti belakang kereta aku. Dari pantulan cermin nampak seorang lelaki dan perempuan Melayu. Perempuan itulah yang aku tunggu. Siapa lelaki sebelah dia itu aku tak tahu. Aku nak keluar bagi hadiah tapi aku tunggu perempuan itu keluar dulu. Mujurlah ada cermin membantu. Tiba-tiba aku rasa sesuatu. Hati cemburu, mata terpaku, lidah kelu. Tanpa rasa malu, mereka bercumbu!


Mungkin memang bukan rezeki aku. Tapi malapetaka apa yang sedang berlaku?! Ya Allah ya tuhanku, kau tabahkanlah hati hambaMu yang sedang patah seribu.


Pedih sungguh rasanya bila terkenang bibir dia dikucup mesra. Saat itu juga, bibir aku didekati sebatang rokok tak berjenama. Api celaka dinyala melahirkan asap berbunga. Seperti asap yang hilang di udara, begitu juga semangat yang tersisa. Transformasi empat bulan yang sia-sia. Betul dia kata, sampai satu masa aku akan tinggalkan tabiat lama. Jadi kali ini memang aku tinggalkan tabiat lama aku sampai bila-bila : dia.


ps : Hati perlukan masa yang lama untuk terima apa yang dilihat sesaat oleh mata ;)



21 May 2015

indah anganku




"Putus dengan Zaty. Tu yang aku paling kesal sampai hari ni."


Itu jawapan ikhlas yang aku bagi di depan 3 orang sahabat di sebuah cafe pada satu pagi. Aku sendiri tak sangka perasaan yang bersarang tiga tahun terluah juga dari hati.


"Eh kau serius ke?"


Sahabat di sebelah bertanya. Aku angguk tanpa pandang dia. Aku ketap bibir sendiri menahan rasa. Mata aku dari tadi terpaku pada bucu meja. Fikiran aku melayang jauh entah sampai mana.




"Aku nak beli makanan kejap lapar sangat dah ni."


Aku bangun dan melangkah pergi. Mahu mengalir air mata kalau cakap lama-lama pasal topik tadi. Dengar nama pun dah buat aku tertusuk naluri. Sedihnya pilunya sakitnya tu di sini - hati.


Lepas putus cinta dulu aku teruk dihentam. Perasaan dibaham, ditembak tohmahan kejam. Tapi aku juga bodoh kerana diam. Aku sepatutnya jelaskan tapi aku pendam.


Masa itu aku terlalu muda, sangat tak matang dalam cinta. Langsung tiada rangka untuk berkeluarga. Salah aku semuanya. Kerana aku manusia, dan manusia tiada yang sempurna.


"Bro, gua kat belakang lu."


Tegas sahabat di belakang bersuara. Aku berpaling ke arah mereka, mengangkat ibu jari tanda suka. Dia menggenggam tangan dan menepuk dadanya. Sahabat yang dulu saban hari suruh aku move on dari cinta lama. Sahabat yang tak boleh terima aku single lama-lama. Sahabat yang mahu tengok aku bahagia. Tapi akhirnya jadi sahabat yang bagi sokongan bila aku berkeras tunggu orang yang aku suka.


Peluang kedua kalau ada takkan aku tepis. Takkan ada lagi air mata menitis. Takkan ada lagi pedih mendesis. Kau, aku, kita buat sampai habis. Kerana rindu ini masih belum terhiris. Kerana sayang ini masih belum terguris. Kerana cinta ini masih belum terhakis. Ini antara cerita paling susah ditulis. Ada memori dalam setiap ayat dan baris. Ini bukan cerita puitis manis-manis. Ini cerita yang dari awal sudah nangis.


ps : Masihkah aku ada di hatimu saat ini... ;)


31 March 2015

gst



Hari ini hari kokurikulum dekat sekolah. Hari Selasa begitulah. Perhimpunan harian murid-murid dengan pelbagai jenis baju beruniform kelihatan meriah. Di tepi pentas kelihatan beberapa orang murid lelaki yang datang lewat beratur dengan muka tunduk ke tanah. Malu biasalah.


Aku jumpa salah seorang budak yang kena denda. Memang aku kenal dia. Budak lelaki tingkatan empat kelas paling belakang yang kadang-kadang nakalnya lebih dari budak darjah tiga. 




"Baju koko mana ni?"
"Koyak bang. Malu nak pakai."
"Laaa dah koyak jahit la."
"Tak reti."
"Hantar kedai la baiki."
"Mahal bang. GST ni."



Lidah aku tersekat tiba-tiba. Silap aku juga tanya. Aku suruh dia balik kelas dia sebab waktu pembelajaran dah nak bermula. Lepas salam dengan aku dia berlari naik tangga sambil menyanyi lagu yang aku tak faham sebutannya. Suka hati barangkali tak kena denda.


Dia bukan orang senang macam kita semua. Pergi dan balik sekolah jalan kaki saja. Keluarga dia porak peranda. Dia sendiri yang cerita sebab dia selalu datang bilik aku minta coklat sebiji dua. Mungkin itu antara sebab dia jadi nakal selain pengaruh rakan sebaya. Tapi senakal-nakal dia, dia rajin orangnya. Dia tak mengeluh bila aku suruh angkat meja, dia tak kisah kalau aku suruh turun ambil barang dekat bawah kemudian naik semula tingkat tiga. Tapi nak suruh dia belajar memang susah gila. Dan bila jumpa aku dia mesti salam dan cium tangan sebab hormat orang lebih tua. Dalam hati dia ada sesuatu yang kadang-kadang budak kelas depan tak ada.


Orang yang bekerja macam aku sendiri mengeluh sebab GST, tak dapat aku bayang apa orang macam dia rasa dalam hati.


ps : Yang kaya makin kaya, yang miskin makin miskin. Malaysia boleh! ;)


18 February 2015

buang masa



Lama sangat tak update blog rasanya. Memang lama. Kenapa?




Kadang-kadang ada idea tapi tak kena masa. Masa tengah buang air tiba-tiba idea datang berlumba-lumba. Tapi bila flush sekali dengan idea-idea tadi masuk sama.


Kadang-kadang banyak masa tapi idea lari. Punyalah banyak masa sampai boleh main Candy Crush sampai habis semua nyawa yang orang bagi. Laptop dah buka blog tapi tak tahu nak tulis apa kali ini.


Dulu aku pelajar walaupun tak belajar mana. Banyak main daripada belajar sebenarnya. Tapi dalam banyak main itu aku ada masa nak tulis semua benda yang aku nampak depan mata. Banyak benda terjadi masa aku buang masa.


Sekarang aku dah kerja. Tak boleh nak main-main sangat sebab kerja memang banyak gila. Jadi aku tak dapat nak tengok benda-benda yang boleh dibuat entry untuk dibaca. Rindu rasanya nak buang masa macam dulu kala.


ps : Dulu takde duit tapi ada life. Sekarang ada duit sikit tapi takde life ;)


25 January 2015

terbaik dari langit




Selalu juga aku tengok filem Melayu tapi jarang aku buat review atau ulasan. Kenapa? Sebab tak sedap. Sebab nampak 'bodoh'. Takkan kau tak ada kawan yang selalu kutuk filem Melayu? Tapi kalau aku tulis pasal sesebuah filem itu tandanya memang cerita itu layak ditulis.


Aku suka cerita Terbaik Dari Langit. Enjoy! Itu yang paling penting - berbaloi - walaupun aku cuma download, bukan tengok wayang. Sebab jarang ada cerita Malaysia yang bagi kau 'nikmat' sepadan dengan masa dan duit yang kau keluarkan.


Terbaik Dari Langit sebuah cerita yang direct, yang simple. Tapi bila habis, 10 orang akan ada 10 persepsi berbeza. Mungkin bingung, mungkin tergantung, mungkin berkelahi pendapat, mungkin tak dapat terima, mungkin kau kutuk sebab cerita 'sampah'. Itulah yang aku rasa.


Pendapat aku : simple tapi sangat bermakna. Tak banyak cerita Melayu macam ini. Bunohan pun bermakna tapi kompleks. Mungkin simple macam The Journey.




Persahabatan, jadi diri sendiri dan berani. Itu tema Terbaik Dari Langit. Berani buat apa kau nak, berani jadi apa kau nak jadi, berani bercakap "Tidak". Sebab tak semua orang berani berkata "Tidak".


Tak perlu rasanya sentuh tentang lokasi, cinematography atau pelakon sebab memang terbaik dan 'kena'. And the script was very, very clever.


"You takkan menyesal, Terbaik Dari Langit!"


"I'm not trying to be different, I'm just trying to be me."


"Masa dekat sekolah dulu, kalau kau baca buku kau tak faham, buku bodoh ke kau bodoh?"


"Kita asyik buat benda nak bagi orang faham, kita sendiri tak faham."


"Sebelum professional, kena rasional dulu."


"Pandang langit, jangan lupa tanah."


"Kalau tak cuba mana tahu tak suka? Kena cuba dulu bro baru boleh ada pendapat."


"Bila tekanan tinggi, kita cari ruang."


"Bila kucing engkau sayang tersesat di jalanan
Pasti ia akan mencari jalan pulang
Jika sahabat sejati meninggalkan dirimu
Untuk apa kau bersedih kerna ia pasti kembali..."



... dan banyak lagi inspirational quotes. Tengoklah sendiri. Memang terbaik dari langit!


ps : "Cerita UFO tapi tak tunjuk alien pun." - Kontradiksi mendalam ;)



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...