My Dongsaeng. My Oppa. My Noona.

29 January 2013

kian menjauh



Ada satu pasangan bercinta. Sama padan sama bergaya. Lelaki itu kawan aku dan dia kenalkan aku dengan kekasih dia. Kisah mereka sweet macam gula. Tapi kawan aku kata taklah manis mana. Kisah mereka jadi pertikaian antara dua manusia yang mungkin tak ada kerja sebab dah solo untuk sekian lama.


Rambut lelaki itu highlight sikit dekat depan. Ada gelang besi di tangan kanan. Oh dia juga merokok dan panas baran. Tapi dia baik sebab tak pernah lupa kawan. 



Perempuan itu tak kurang hebatnya. Tinggi macam model dan rambut panjang paras bahu berkilat macam iklan shampoo di layar kaca. Handbag dan high heels dia selalu sepadan warna. Cuma buah dada dia tak besar mana aku rasa. Maksud aku rasa dengan mata, bukan dengan jari-jari yang ada.


Tapi hari ini rambut lelaki itu dah hitam kembali. Tiada lagi gelang besi, cuma jam tangan di tangan kiri. Bilangan rokok juga sudah berkurangan dan panas baran sudah tidak ketara macam sebelum ini. Kekasihnya juga berubah sama sekali. Rambut panjang ditutup dengan tudung fesyen terkini. Yang tak berubah ialah cara dia padankan warna tudung di kepala dengan handbag dan high heels di kaki. Err dan buah dada dia juga belum berubah saiz lagi.


Aku rasa itu sweet sebab mereka berubah untuk memastikan pasangan mereka gembira. Tak adil kalau yang berubah cuma sebelah pihak saja. Dan yang penting mereka berubah ke arah yang lebih baik dan sempurna. Berhenti dari tabiat yang sudah sebati dengan jiwa untuk sekian lama amat susah dan bila ada orang boleh buat sebegitu rupa, itulah yang paling sweet aku rasa.


Ini cuma apa aku rasa. Kawan aku rasa sebaliknya. Tak tahulah orang lain macam mana.


ps : Bro, pinjam kisah lu buat entry. Jangan terasa hati. Harap dapat KFC free lagi ;)


 

27 January 2013

nilai seorang lelaki



Aku duduk semeja minum kopi di Mydin Mall dengan seorang kawan. Dia perempuan. Keadaan sibuk di kiri kanan. Mungkin sebab hari minggu jadi pusat membeli belah menjadi tumpuan. Ada yang penuh troli dengan barang belian, ada yang datang cuma untuk makan, ada juga yang datang untuk lepak dengan kawan-kawan.


Sebelah meja kami, duduk seorang perempuan berusia dan seorang lelaki. Ibu dan anak barangkali. Lelaki itu nampak segak dengan rambut belah tepi. Tangan kanannya sibuk menaip sesuatu di telefon bimbit yang dipegang dengan tangan kiri. Ibunya bangun dan pergi membeli dua air tin yang disusun di dalam peti. Lelaki itu cuma duduk menjaga barang-barang yang dibeli.




Kawan aku kata lelaki itu nampak bergaya dari kaki sampai kepala. Dia kata perempuan suka lelaki yang pandai bergaya, bukan yang selekeh setiap masa. Aku geleng kepala. Gila. Tengok orang baru beberapa minit dah jadi suka. Aku tak tahu itu masalah dia sahaja atau masalah perempuan di Malaysia.


Tak lama kemudian keluar seorang lelaki menolak troli. Ibunya di sebelah memimpin seorang lagi budak lelaki. Lelaki itu tidak kurang gayanya dengan lelaki tadi. Cuma dia tak keluarkan telefon bimbit jadi aku tahap gaya dia tak dapat aku klasifikasi. Mereka duduk di sebuah meja yang agak jauh dari kami.


Budak lelaki itu bangun dan pergi membeli minuman. Walaupun panas dan ramai orang, dia sabar menunggu giliran. Dia biarkan ibu dan adik kecilnya berehat lepas penat berjalan.


Aku petik jari suruh dia tengok lelaki tadi. Dia tengok sekejap kemudian kembali cakap dia suka lelaki di sebelah kami. Aku mengeluh sendiri. Aku malas cakap lagi. Biar aku cakap dalam hati.


"Kau nampak tak lelaki yang beratur dekat belakang sekali? Itu baru betul kalau kau nak buat suami. Kau tengok dia layan mak dia tadi? Macam tu lah dia layan kau nanti. Tu baru betul nak nilai lelaki. Bukan dengan tengok apa dia pakai atau apa dia beli."


ps : Lelaki yang pandai melayan ibunya pasti pandai melayan isterinya ;)


23 January 2013

wordless wednesday - twenty four




Ps : Dua puluh empat. Rasa macam masa berlalu cepat sangat ;)


17 January 2013

listen listen listen



Pernah tak kau rasa terharu sebab kau rasa bangga? 

Pernah tak kau rasa terharu sampai meremang bulu roma? 
Itu, itu aku sedang rasa.


Listen. Listen. Listen.


Aku bukan nak cakap pasal masalah haiwan. Kepada kucing, anjing, lembu dan ikan, aku doakan masalah kalian dapat diselesaikan. Kalau tak, kalian tahu kan di mana untuk minta bantuan? 



Tadi aku baca semua komen dan pandangan orang ramai tentang isu Sharifah Zohra Jabeen dan KS Bawani. Aku rasa bulu roma aku berdiri. Aku tengok manusia, terutamanya rakyat Malaysia, bersatu menyokong seorang mahasiswi yang dihina di dalam dewan pusat pengajiannya sendiri. YDP dari serata universiti, MPP dari pelbagai institusi, Matluthfi, Namewee, ahli politik dari pelbagai parti tampil memberi sokongan kepada KS Bawani.


Let me speak. Let me speak. Let me speak this one bravely.


Tuan Perdana Menteri, inilah 1Malaysia yang kita cari. Rakyat pelbagai bangsa bangkit menegakkan kebenaran tanpa rasa takut dalam diri. Bukan cuma duduk atas kerusi, menunggu cabutan bertuah untuk Samsung Galaxy Note ori.


Aku yakin satu hari nanti kebenaran akan terbukti. Aku yakin satu hari nanti rakyat akan sedar dari mimpi. Dan aku yakin siapa yang akan aku undi dalam pilihanraya nanti.


"This country needs more than a building right now. It needs hope." - Evey Hammond, 

V For Vendetta.


#Respect KS Bawani.
You'll never, ever walk alone.



ps : It's easy to stand with the crowd. But it takes courage to stand alone ;)


14 January 2013

kenapa kau selalu happy?



Ada orang tanya,


"Aku tengok kau happy je. Kau takde rasa sedih ke?"



Ya. Aku angguk kepala penuh bangga. 



Kenapa kau selalu happy? Sebab aku pilih macam ni.


Kenapa mesti fikir benda yang dah jadi? Lebih baik aku fikir macam mana nak buat esok lebih baik dari hari ini. Benda dah nak jadi dulu biarkan ia pergi.


Betul, benda yang dah jadi tu sakit rasanya. Betul, benda yang dah jadi tu susah nak lupa. Betul, ada sesetengah orang dan sesetengah benda dalam hidup aku yang buat aku rasa fuck gila. Betul, setiap orang yang hidup ada masalah atas dunia.


Tapi bukankah setiap kesalahan itu pengajaran? Bukankah setiap kesalahan itu peringatan kepada kita untuk tidak terus membuat kesalahan? Bukankah sudah tertulis setiap masalah ada jalan penyelesaian?


Just let go and move on from that bullshit. 

If you're still thinking about it, you're not over it.


Senangnya kau kata. Kau tak rasa. Aku tahu mesti ada orang akan mengata. Tak apa sebab aku bukan kata saja-saja. Aku kata sebab aku percaya. Percaya di akhir cerita semuanya akan sempurna. Percaya pada diri dan percaya pada yang maha kuasa. Kau tak percaya pada diri sendiri itu namanya gila. Kau tak percaya pada yang maha kuasa itu namanya hina.


ps : Hadapi masalah yang ada. Jangan bagi masalah itu lagi berkuasa dari kita ;)


12 January 2013

fana cinta



Saat kedua-dua belah tangan ini ditadah usai solat Isyak semalam, air mata jatuh ke pipi. Dikesat air mata itu dengan jari. Sayu hati. Sepi. Doa yang selama ini aku mohon tidak makbul sama sekali. Kita terpisah walaupun hubungan kita direstui.


Air mata gugur bila aku sebut nama dia. Air mata makin laju bila aku doakan dia selamat sentiasa. Air mata ini tidak dapat dibendung lagi bila aku mendoakan hubungan kami kekal sampai bila-bila. Air mata ini macam terlalu murah harganya.


Ya Allah kuatkanlah semangat hambaMu ini. Aku cekalkan hati. Mungkin Tuhan nak uji. Yang patah akan tumbuh dan yang hilang akan berganti. Ayat itu aku sebut untuk sedapkan hati.


Semalam sebelum tidur aku pegang handphone lama-lama. Aku taip mesej tapi aku padam semula. Baru dua hari lepas aku hantar mesej selamat malam dengan simbol hati tapi sekarang aku dah tak berdaya. Tengok saja nama dia dalam contacts aku dah menangis inikan nak hantar mesej yang entah akan sampai atau tidak dekat handphone dia. 




Akhirnya aku lena berteman air mata. Tidak lama kemudian aku terjaga. Aku mimpi dia. Apakah ini semua? Sayang, awak tak apa-apa? Rindunya. Kalaulah kita boleh jumpa. Aku baring dan paksa diri untuk tidur semula.


Tadi aku bangun tidur dikejutkan alarm yang membingit telinga. Aku capai handphone dan aku periksa. Tak ada apa. Selama ini mesti ada mesej dari dia. Hari ini mustahil semua itu akan ada.


Aku bangun dan solat Subuh. Sekali lagi air mata aku jatuh. Hati aku rapuh. Ya Allah kuatkanlah hatiku dan bagilah sakit ini sembuh. Sesungguhnya ingatan ini milik Kau tapi aku mohon bawa ingatan ini pergi jauh.


Aku bersiap nak pergi kerja. Semalam aku ambil cuti sebab dia. Aku masuk dalam kereta. Aku nampak dia duduk dengan baju kurung putih cotton bunga-bunga kecil kegemaran dia. Ahhh sudahlah itu bayangan saja. Aku pasang radio untuk tenangkan jiwa. Waktu berita ke udara. Aku tukar siaran yang tak ada berita. Sejak dua hari lepas, aku benci berita.


Assalamualaikum dan salam 1Malaysia. Ini berita yang baru kami terima. Seorang remaja perempuan telah terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah motorsikal dan sebuah kereta. Mangsa, Nurahida dipercayai dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta yang dipandu laju. Menurut saksi, mangsa baru sahaja keluar dari sebuah kedai kek untuk mengambil kek sempena ulangtahun kelahiran kekasihnya.


*****


Sayang, semoga tenang di sana. Semoga awak damai di sisi Yang Maha Esa. Saya utuskan doa setiap masa. Saya masih pakai cincin ulangtahun kita, gambar kita berdua ada lagi dalam dompet saya, kenangan dan impian kita, saya janji akan simpan itu semua. Awak dah tak ada depan mata. Tapi bila saya pejam saya nampak awak juga. Cantik dengan baju pengantin ungu sambil pegang bunga sementara tunggu saya, macam yang kita pernah bincang masa awak masih ada.


Awak tunggu saya dekat syurga. Nanti kita kahwin dekat sana.


ps : Sayu terpisah. Hikayat indah kini hanya tinggal sejarah ;)



11 January 2013

tutuplah



Tertutup itu lebih mulia
Terjaga dari pandangan mata
Terlindung dari dosa percuma
Bangga keluarga serta agama


Tertutup itu lebih indah
Perisai tidak mudah dijamah
Perisai berakidah
Perisai fitnah


Tertutup itu lebih lazat
Semut tidak boleh rapat
Lalat tidak boleh dekat
Bersih dan selamat


Tertutup itu pahala
Tak salah bergaya
Jangan tertempah neraka
Terjaga dari terbuka


ps : Peliharalah di dunia supaya kita terpelihara di sana ;)



09 January 2013

kata hati



Ringtone alarm bergema. Menggila membabi buta. Buka mata dan tutup semula. Tangan meraba merata mencari telefon bimbit yang tercampak entah ke mana. Jumpa. Alarm dimatikan serta merta. Dibawa telefon bimbit ke depan muka. Skrin kaca telefon menyala. Tiada mesej diterima. "Harap dia dah bangun juga," hati berkata.




Masuk bilik mandi. Gosok gigi. Pemulas shower dipulas memuntahkan air laju ke kaki. Gila sejuk air pagi hari. Main-main air dengan jari. Kuatkan hati. Redah saja takut terlewat nanti. "Malu kalau dia tahu aku takut mandi pagi," kata hati mencabar diri.


Masuk kelas dan belajar subjek yang entah apa-apa. Bosan gila. Kawan sebelah dah lena. Kawan dekat depan sibuk conteng meja. Sedapnya mereka. "Belajar pandai-pandai nanti boleh kahwin dengan dia," kata hati memberi tenaga.


Malam tiba. Baring atas katil sebelum pejam mata. Dalam lena nampak dia. Nampak dia bergurau manja. Nampak dia senyum ceria. Nampak dia sentiasa bahagia. Nampak dia di mana-mana. "Awak cinta hati saya," hati bersuara. Malunya.


Esok pagi bila buka mata dia yang aku nak lihat sangat. Tapi tak akan dapat. Jarak kita bukannya dekat. Kalau jumpa pun kita tak cakap sangat. Depan dia aku tak kuat. Depan dia aku macam lebah yang tak ada sengat. "Tapi thanks sebab bagi saya semangat," jerit hati kuat-kuat.


Maafkan kami.
Susun sepuluh jari.
Ini entry angau dan syok sendiri.
Aku cuma pinjam wajah dia mengisi kekosongan hati.


ps : Bukan takut nak luah isi hati. Cuma takut dengan jawapan yang akan diberi ;)


 

07 January 2013

putus asa



Ada kawan aku putus asa. Lemah semua anggota. Merana. Semua sebab cinta. Dia luah segala, aku tadah telinga. Hiba. Sebak dada. Tak sangka cinta itu kejam dengan lelaki sebaik dia. 



Aku kata aku tak tahu nak tolong macam mana. Dia kata tak apa. Dia kata nanti semua akan reda, semua akan normal semula. Dia percaya masa akan tolong selesaikan semuanya. Aku tak tahu sama ada dia betul-betul cekal atau sekadar pura-pura.


Hati dia mungkin letih gila. Jaga hati orang yang tak pernah jaga hati kita sangat meletihkan sebenarnya. Biarkan hati yang letih itu berehat seketika. Suruh kaki bergerak sama. Tak kira sesusah mana kau kena move on juga. Patah hati bertongkat kaki dan patah kaki bertongkat lutut pula. Biar melekat lantai dan dada, biar bergeser tanah dan kepala, jangan kau berputus asa.


Bangkit bila ditolak jatuh bangunlah semula.
Bangkit bila diluka nanti pulihlah semula.
Bangkit biar bersusah dulu nanti senang semua.


Cakap senanglah nak buat susah. Memang nak buat itu susah. Tapi sebagai manusia yang dilahirkan gagah, itu bukan masalah. Yang susahnya sebab kau sendiri fikir yang kau lemah.


ps : Kita takkan pernah tahu kita sekuat mana kalau kita tak pernah cuba ;)


 

05 January 2013

inikah cinta?



Dia perempuan ceria yang suka bercerita. Itu persepsi pertama aku pertama kali kami jumpa. Kawan aku ajak aku temankan dia jumpa perempuan ini dekat sebuah foodcourt tengah-tengah bandaraya. Perempuan itu nak pinjam External Hard Disk kawan aku sebab nak copy drama Korea.


Dua lelaki dan seorang perempuan duduk semeja. Yang peliknya yang perempuan lebih banyak berbicara. Aku suspek dia suka membaca atau suka tengok cerita. Tak kisahlah itu semua. Sekurang-kurangnya topik yang kami cakapkan boleh jadi jambatan antara aku dan dia. Kawan aku tak payah cerita, dia dengan perempuan itu memang dah kenal lama. 




Dia bercerita dekat kawan aku tentang seorang lelaki yang aku tak kenal siapa. Kawan aku angguk-angguk kepala. Daripada ayat dan gaya dia bercerita, aku rasa lelaki itu kekasih dia ataupun orang yang dia suka. Tapi aku tak tanya apa. Tadah telinga saja.


Keesokan harinya kami jumpa lagi dekat tempat sama. Cuma kali ini kami bertiga. Aku tak kenal sangat lelaki yang kawan aku bawa. Tiga lelaki dan seorang perempuan duduk semeja. Yang peliknya perempuan itu diam saja. Cuma kawan aku dan lelaki itu berborak dan ketawa. Suka betul mereka Manchester United menang bergaya. Maaf aku tak masuk campur sebab aku Liverpool sampai bila-bila.


Aku tanya perempuan itu sama ada dia tak sihat atau ada apa yang tak kena. Dia kata tak ada apa. Aku anggukkan saja. Perempuan memang ada hari pasang surut dia. Sesekali tangan dia rancak menaip sesuatu di Samsung putih yang dia guna. Aku curi-curi tengok apa dia tulis tapi tak nampak apa.


Pertemuan hari itu singkat saja. Dua jam tak sampai rasanya. Aku dan kawan aku balik berdua sebab lelaki yang seorang lagi balik dengan kawan dia yang duduk lepak dekat tempat yang sama cuma berlainan meja.


Masuk dalam kereta, kawan aku ketawa. Aku terpinga. Kenapa? Aku tanya. Dia kata lelaki itulah yang perempuan itu cerita. Lelaki itulah yang perempuan itu suka. Lelaki itulah yang perempuan itu minat gila-gila. Kawan aku bawa lelaki itu sebab nak rapatkan mereka berdua tapi mereka berdua malu-malu pula.


Pelik rasanya. Perempuan itu mampu berbicara tentang lelaki itu dari pagi sampai senja masa lelaki itu tak ada. Tapi bila lelaki itu ada, perempuan itu diam seribu bahasa. 

Mungkin itu yang dinamakan cinta.


ps : Memang kita akan rasa berdebar ke bila duduk dekat dengan orang kita cinta? ;)


02 January 2013

tahun baru



Isnin 31 Disember 2012
11.59 malam



Aku duduk di tingkap bilik bertongkat dagu berayun kaki. Menikmati hujan yang turun tanpa henti. Bernyala Blackberry di tangan kiri. Bilik itu riuh dengan nyanyian dan bualan dalam parti buatan sendiri. Tiada arak, tiada pizza jauh sekali KFC. Cuma teh o panas dan biskut Merry dinikmati. Aku berdiam diri menunggu jam di telefon berubah menjadi 0000 yang akan mengubah hari, bulan dan tahun sekali.





Selasa 1 Januari 2013
12.00 tengah malam


Akhirnya tiba. Aku pejam mata. Aku tarik nafas sedalamnya memenuhi dada. Bismillah sebutan pertama. Alhamdulillah sebutan kedua. Aku buka mata semula. Syukur aku masih dipanjangkan usia menikmati tahun baru yang aku yakin banyak pancaroba. Aku tak tahu kesudahan tahun ini macam mana tapi dengan lafaz Bismillah sebagai pembuka kata, aku harap tahun ini memberi banyak makna yang bermakna.


Selasa 1 Januari 2013
12.01 tengah malam



Kawan aku tanya tentang azam baru. Aku nak kumpul duit banyak-banyak dan beli apa yang aku rasa aku tak mampu. Itu jawapan spontan yang terkeluar dari mulut aku. Dia angguk mungkin tanda setuju. Tapi nak beli apa aku sendiri pun tak tahu. Aku cuma mahu ada azam walaupun azam aku macam tak ada hala tuju.


Rabu 2 Januari 2013
05.50 pagi



Internet kembali ada walaupun seperlahan kura-kura. Tak apa. Janji aku dapat update blog ini yang sudah seminggu tak dijaga. Maafkan saya. Selamat tahun baru semua. Semoga terus berjaya dan hidup aman bahagia.


ps : Sudah umur dua empat. Banyak lagi aku tak dapat. Kena cepat takut tak sempat ;)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...