My Dongsaeng. My Oppa. My Noona.

29 January 2014

galau



Dekat Facebook aku 'diinvite' dalam satu group oleh seorang kawan. Group apa tak perlulah aku sebutkan. Bukan group bukan-bukan. Orang nak add jadi aku biarkan. 



Jadi kadang-kadang keluarlah post-post dari group tersebut dekat Home Facebook aku. Ada yang aku komen sebab aku rasa perlu. Tapi sejak minggu lepas group itu macam ada trend baru sampai aku sanggup baca balik post-post terdahulu. Trend post jiwang tapi mood pilu. Aku scroll dan scroll atas rasa ingin tahu. Manalah tahu dapat idea untuk entry lain dari post-post itu.


Group ini ramai budak-budak sekolah. Sekolah rendah, sekolah menengah, yang dah habis sekolah dah. Tak kisahlah. Yang dikisahkan ialah mereka pakat upload gambar bercinta atau status duka lara yang amat pasrah. Okay aku faham semua orang ada perasaan dan perasaan bercinta memang indah. Tapi kalau kau darjah dua kau nak bercinta apa jadah?


Ada yang baru darjah empat dah putus cinta. Kemudian buat status panjang-panjang cerita kenangan lama. Siap tulis "Hidup ini dah tak ada makna." Aku garu kepala walaupun tak gatal mana. Bercinta sangat kononnya. Kau dating dekat mana? Minum dekat kantin kongsi gelas sama? Duduk berdepan dekat meja batu Pusat Sumber sambil mata bertentang mata? Potong dua pemadam Staedler sebagai tanda setia? Tulis surat cinta kemudian letak bawah meja? Bulu pun tak tumbuh lagi sibuk nak bercinta. Emo kejap aku sebab tak boleh terima. Aku dulu darjah empat sibuk main Digimon pergi 'Battle' sini sana, tak ada istilah cinta-cinta semua.


Yang aku kagum budak sekolah menengah tak menonjol sangat dekat situ. Mungkin sebab budak sekolah menengah lebih matang dan sudah tumbuh bulu. Jadi mereka lebih gemar pendam daripada luah apa yang terbuku. Atau mungkin mereka tahu malu.


"Ini Facebook aku jadi ikut suka aku lah nak post apa." Aku yakin itu jawapan yang akan budak itu bagi kalau aku tanya. Jadi aku diamkan saja. Semoga Dayana ke apa nama budak yang kau sebut dalam post itu akan baca dan faham perasaan seorang jejaka tampan rambut pacak pakai baju Kpop yang terluka. Satu lagi abang syorkan adik buang nama 'Sasuke' dekat nama Facebook adik supaya adik dapat tackle Nora Danish atau Izara Aisyah pula.


ps : Abang tujukan lagu Bahagiamu Deritaku dan Hanya Aku untuk adik ;)



23 January 2014

dua puluh lima



Pada usia 25, ada yang sudah bekerja, memiliki kereta, malah ada yang sudah berkeluarga. Tapi ada juga yang belum mempunyai itu semua. Mereka masih mahu menghabiskan sisa-sisa berseronok kerana menganggap masih lagi dalam golongan muda. Mereka masih menyimpan duit untuk beli apa yang memuaskan hati mereka. Tak apa. Aku begitu juga. 



Terima kasih dekat semua yang bagi ucapan sepanjang hari. Terima kasih yang sudi doakan agar panjang umur dan murah rezeki. Terima kasih juga kepada yang suruh cepat-cepat cari bini. Cuma dalam banyak-banyak ucapan ada satu yang buat aku berfikir dan mencari.


"El Ninokie! Happy silver anniversary."


Jadi mencarilah aku untuk puaskan hati. Apa itu silver anniversary?


Ganti nama silver untuk sesuatu yang mencecah usia 25 dimulakan di Jerman pada zaman dulu kala, lalu tersebar ke serata benua. Silver dikenali sebagai simbol logam paling stabil acuannya. Jadi orang dulu menganggap 25 itu sama seperti silver yang sudah teguh dan kental menghadapi apa jua cuaca dan bahaya. Jadi menjadi tradisi bagi suami di negara Eropah menghadiahkan barang kemas silver kepada isterinya pada ulangtahun ke-25. Jadi kesamaan ulangtahun perkahwinan itu diwariskan kepada ulangtahun hari jadi manusia.


Hari jadi aku yang ke-25, tidak ada sambutan yang gila-gila. Cuma makan malam bersama keluarga. Sesungguhnya mereka yang paling utama. Terima kasih yang tak terhingga. Terima kasih juga kepada semua yang wish tak kira di Facebook, Twitter, Whatsapp dan sebagainya.


ps : Maaf blog tak update lama. Sibuk cari kerja. Jadi penganggur ni seksa ;)



05 January 2014

tackle



"Mak kita suka awak, tahu?"


Dah banyak kali aku dengar ayat itu. Pujian melambung selalu. Aku ini aku itu. Padahal aku dengan mak dia tak pernah bertemu. Cuma kerana anak dia tak pernah berahsia jadi anak dia selalu bagitahu bila dia mesej atau cakap telefon dengan aku.


Dua tahun berlalu. Kali ini mak dia sendiri yang telefon aku.


"Datang rumah mak cik Sabtu ni. Ada kenduri."



Aku dah dapat kad jemputan minggu lepas. Ingatkan nak reka alasan sebab malas. Lagipun tak sanggup tengok orang yang aku suka terlepas. Tapi bila fikir mak dia sendiri bersungguh jemput jadi aku paksakan kaki pergi walaupun panas.


Aku ajak kawan temankan. Sampai depan rumah nampak ramai orang tengah makan bawah khemah yang disediakan. Lepas salam dengan ayah pengantin aku terus capai makanan. Aku tegur mak dia dan terus mak dia datang melayan. Pertama kali cakap depan-depan buat aku segan.


"Kalau ikutkan mak cik tak nak dia, tapi dah jodoh agaknya."


Mak dia cakap dalam nada sayu sambil pandang ke arah pengantin atas pelamin warna putih dan biru. Serba salah aku. Tiba-tiba mak dia keluarkan ayat pilu. Mujur mak dia bangun pergi layan tetamu. Mampus aku kalau tiba-tiba mak dia menangis dekat situ.


Tiba masa aku minta diri. Aku pergi salam dengan mak dia buat pertama kali. Mungkin juga yang terakhir kali. Mungkin lepas ini tak jumpa lagi.


"Lepas ni mak cik tak payahlah sebut pasal saya depan dia ye."


Itu ayat terakhir yang mampu aku kata. Aku senyum sebab tak nak janggal terasa. Rasanya tak perlulah nak ingat-ingat lagi pasal kita. Aku nak dia bahagia dan setia dekat suami dia saja.


ps : Just because kau dapat tackle mak, tak bermakna kau akan dapat tackle anak ;)



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...