My Dongsaeng. My Oppa. My Noona.

28 May 2013

kita ehem-ehem nak?



"Awak, kita couple nak?"

Ayat itu aku masukkan dalam satu botol kaca. Kemudian aku masukkan botol tadi dalam satu kotak rahsia. Aku kunci kotak itu dan aku buang kunci dia. Biar saja. Aku tak akan buka dan tak akan sebut ayat itu sampai bila-bila.


Awak kawan baik saya. Dah banyak cerita yang kita kongsi sama-sama. Awak sedih, saya ceriakan semula. Saya marah, awak tenangkan saya. Kita kawan jadi kita bebas nak cerita apa saja. Kita boleh gila-gila sama-sama. Saya takut kalau bercinta, kalau jadi apa-apa, awak cari orang lain untuk luah apa awak rasa. Saya tak nak itu semua. Lagipun awak ada dia.


"Awak, kita kahwin nak?"


Ayat itu aku masukkan dalam satu botol kaca yang lain pula. Kemudian aku masukkan botol tadi dalam beg yang aku galas setiap masa. Sebab nanti ayat itu aku nak guna. Cuma tunggu masa. Cuma tunggu takdir tentukan semuanya.


Saya nak awak jadi yang halal buat saya. Untuk saya sahaja, bukan kongsi dengan siapa-siapa. Saya dah penat ucap 'Bye' dekat awak setiap kali waktu tidur tiba. Satu hari nanti saya nak ucap 'Selamat malam' dekat awak depan mata saya, dalam pelukan saya, kita lena. Saya dah tak nak kongsi semua cerita saya. Sebab saya nak dalam setiap cerita saya, awak ada bersama.


ps : Kalau jodoh awak dengan dia tak panjang, izinkan saya masuk meminang ;)

24 May 2013

saya tak suka dia




Saya tak suka dia. Dalam kelas dia selalu kacau saya. Kalau sehari tak kacau saya tak sah agaknya. Dah lah pinjam pensil saya tapi tak reti nak hantar semula. Bila saya suruh hantar dia kata dia nak guna. Eeeiii geramnya saya.



Budak lelaki kelas saya cakap
dia kacau saya sebab dia suka saya. Saya tak percaya. Sampailah saya tanya dia betul ke dia suka saya. Dia ketawa. Dia kata saya manusia paling perasan dia pernah jumpa. Mujur kesabaran saya masih ada. Saya tak sedih sebab mak ayah saya suruh pergi sekolah untuk belajar bukan bercinta.


Semalam dia cakap dia nak bayar duit sebab pensil saya yang dia pinjam dah patah. Saya kata tak apalah. Saya tak kisah. Saya ada banyak lagi pensil lain dekat rumah. Keesokannya dia tak datang sekolah. Cikgu kelas saya cakap keluarga dia pindah.


Saya rasa sayalah orang paling lega sekali. Tak ada dah orang nak kacau saya lagi. Tak ada dah orang nak suruh saya tunduk sebab tak nampak apa yang cikgu tulis dekat papan hitam kelas kami. Tak ada dah saya nak pusing belakang buat muka tak puas hati. Tak ada dah budak kelas saya nak perli-perli.


Dah dua minggu dia tak ada. Meja dia kosong saja. Saya rasa hari saya tak ada makna. Dah tak ada orang kacau saya. Bila saya salin apa yang cikgu tulis dekat papan hitam sana, saya sengaja angkat kepala. Saya nak dengar suara dia marah saya. Tapi tak ada. Saya nak jumpa dia sekali saja. Sekejap pun tak apa. Kenapalah awak pergi tanpa kata. Argh bencinya! Saya tak suka dia!


ps : Pasti pernah sekali kita tak pasti perasaan kita sendiri ;)

22 May 2013

orang muda



Aku turun tangga dari tingkat tiga bangunan empat tingkat sambil berlari. Aku langkah dua tiga anak tangga sekali. Kanan kiri kanan kiri, sampai bawah sekali. Dekat bawah aku jumpa seorang pakcik yang baru nak masuk dalam kereta Myvi. Aku senyum dekat dia kemudian terus pecut dengan motorsikal Wave yang papa bagi.


Aku sampai dekat kedai makan lebih kurang pukul lapan pagi. Perut dah keluar macam-macam bunyi. Tengah sedap makan tiba-tiba ternampak pakcik tadi. Dia pun baru nak makan pagi. 




Dia tarik kerusi dan duduk depan aku. Mata kami bertemu. Aku buat tak tahu. Duduklah mana-mana kau mahu, itu bukan kedai aku.


Lepas sesuap nasi pakcik itu mulakan bicara. Dia tanya nama, duduk dekat mana, umur berapa, belajar ke kerja. Aku malas sangat nak layan sebab bukan kenal pun dia siapa. Tapi dia pandai buat aku rasa jadi nak bercerita. Dia cakap tentang kereta anak muda, hal pilihanraya yang huru hara, kemudian topik bola sepak negara yang tak ke mana. Topik yang aku rasa dekat dengan jiwa.


Bila dia kata dia suka tengok orang muda, aku dah rasa tak selesa. Pakcik gay ke apa? Tapi aku tanya dalam hati saja. Perasaan orang tua kita kena jaga. Dia kata dia suka tengok orang muda yang selalu bertenaga. Yang boleh berlari naik tangga, yang boleh buat macam-macam kerja. Dia kata dia dah tua jadi tenaga dia tak banyak mana. Betul kata dia. Ada logik juga. Bukan sebab dia gay ke apa.


Dia kata anak dia dengan aku sebaya cuma berlainan jantina. Jadi tak hairanlah dia faham apa yang kena dengan jiwa orang remaja. Dia pun pernah muda. Dia pun pernah berlari turun tangga. Agaknya.


Pakcik itu panggil pelayan suruh kira. Dia tolong bayar roti canai aku sekali dengan dia. Aku kata tak payah tapi dia nak juga. Rezeki kata dia.


Sepanjang jalan balik aku cuma terfikir satu benda. Aku pernah tulis entry aku tak suka jadi dewasa. Saat seorang remaja mahu jadi kanak-kanak semula, ada orang tua yang mahu jadi remaja. Mungkin jalan terbaik adalah hargai apa kita ada sebab semua itu takkan kekal selamanya.


ps : Terima kasih belanja saya tadi. Nanti ajaklah anak perempuan pakcik sekali ;)

04 May 2013

bidadari bumi



Lelaki itu lena. Pejam mata. Tiba-tiba satu cahaya tiba. Ada rasa sinar dalam matanya. Mata dibuka dan ditutup semula. Silau gila. Tangan kanan diletak di depan muka. Lelaki itu cuba buka mata. Kali ini berjaya. Lelaki itu melihat cahaya itu dari celah-celah jari kanannya.


Cahaya itu kian malap. Dia nampak seorang perempuan tinggi anggun berbaju putih bersayap. Matanya ditatap. 



Mata lelaki itu tidak berkelip walau sekali. Tidak ada perkataan dapat diucap kali ini. Jantungnya berdegup pantas umpama baru lepas berlari. Inilah bidadari yang aku cari, cetus hati lelaki.


Lelaki itu letak tangan kanan di tengah dada. Dia tekan jarinya, meleleh darah keluar dari dada jatuh ke riba. Jeritan kecil dihela. Sakit gila. Tapi dia rela. Demi bidadari di depannya, bidadari yang dia suka. Di tengah dada, berongga satu lubang kecil yang muat-muat tangan lelaki itu sahaja. Dia seluk tangan dan keluarkan sesuatu yang tak disangka.


"Nah, hati saya."
"Nak buat apa?"
"Tolong jaga."
"Saya tak bersedia."
"Saya tak kira."



Hati lelaki itu bertukar penjaga. Hatinya di dalam tangan bidadari di depannya. Bidadari yang baru dikenalinya beberapa saat cuma. Bidadari itu perlahan-lahan terapung di udara. Lelaki itu terpinga. Bidadari kenapa? Bidadari nak pergi mana? Bidadari nak tinggal saya?


Cahaya terang sekali lagi tiba. Lelaki itu menutup mata. Sesaat kemudian semuanya gelap semula. Matanya melilau ke sini sana. Bidadari dia sudah tiada. Sakit dada mula terasa. Dia genggam dada, teringat hati yang sudah tiada. Dia terbaring hampa. Cinta buat dia gila. Cinta membunuh dia.


"Sepatutnya aku potong dua, bukan bagi semua. Sekarang aku dah tak ada apa-apa."


ps : Jangan beri hati kepada orang yang akan pergi ;)



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...