My Dongsaeng. My Oppa. My Noona.

24 July 2014

aku terima



Awak ingat tak dulu masa mula-mula jumpa?
Awak dengan kawan awak saya dengan kawan saya.
Tak boleh salam jadi saya senyum saja.
Awak balas semula.
Mata bertentang mata.
"Comelnya," hati pun berkata.
Tapi saya malas nak teruskan langkah kedua.
Jenis hati keras bukan senang sangkut mana-mana.


Kita jumpa lagi untuk kali kedua.
Awak pakai baju kurung buat saya tergoda.
Saya buka langkah mulakan bicara.
Buat-buat tanya nama, tanya duduk mana.
Baru tanya Facebook bila mula selesa.


Bermula di Facebook langkah tiga bermula.
Bila chatting awak banyak cakap rupanya.
Kadang awak ngada-ngada kadang awak gila-gila.
Saya minta nombor telefon bila kita makin mesra.
Saya ajak awak keluar bila ada masa.
Saya ajak awak keluar makan sama-sama.


Kita dah kenal jadi rancaklah perbualan.
Saya buat lawak dan awak gelakkan.
Aksi saya bangang tapi hati tak keruan.
Muka Soffi Jikan, dalam hati ada taman.
Dan dalam taman ada ayat nak diluahkan.


Saya tekadkan hati saya nak cuba.
Walau takut-takut saya buat selamba.
"Awak nak tak jadi girlfriend saya?"
Awak pandang saya.
Kenapa? Awak tak suka?
Maaf saya tak pandai buat ayat macam gula.
"Tak tahulah saya. Boleh bagi saya masa?"



Berbulan berlalu awak masih tak bagi jawapan.
Saya tak nak tanya tak nak awak tertekan.
Tapi saya harap masih ada harapan.
Saya cuma nak kepastian.
Kalau awak tolak pun saya terima kenyataan.
Saya tak kisah saya tepuk sebelah tangan.
Sebab apa pun jawapan awak kita tetap jadi kawan.


ps : I guess, things will just never go right, with anyone I fall seriously in love with ;)



18 July 2014

jujur



Dulu masa kecil mama pernah bacakan aku buku cerita. Kisah seorang lelaki yang kehilangan kapak dalam sebuah tasik yang sangat dalam airnya. Tahu cerita dia?


Pada zaman dahulu...


Dulu, setiap cerita mesti bermula begitu. Mungkin dengan ayat itu boleh buat budak-budak naif macam aku percaya cerita itu memang betul-betul berlaku.




Pada zaman dahulu ada seorang lelaki yang kerjanya menebang pokok di dalam hutan. Satu hari kapaknya terjatuh di dalam tasik berdekatan. Lelaki itu mati akal tidak tahu apa yang harus dilakukan.


Tiba-tiba timbul pari-pari yang jelita. Pari-pari itu bertanya kepada lelaki tadi kenapa dia bermuram durja. Lelaki itu pun menceritakan segalanya. Pari-pari itu kemudian masuk ke dalam air dan keluar semula dengan satu kapak perak dan bertanya kepada lelaki tadi adakah ini kapaknya. Lelaki itu menggelengkan kepala.


Pari-pari itu masuk semula ke dalam air dan keluar dengan satu kapak emas bercahaya. Sekali lagi pari-pari itu bertanya kepada lelaki tadi adakah ini kapaknya. Dan sekali lagi lelaki itu menggelengkan kepala.


Kali ketiga, pari-pari keluar dengan satu kapak buruk yang sudah tua. Dia bertanya kepada lelaki tadi adakah ini kapaknya. Lelaki itu menganggukkan kepala. Maka pari-pari itu menghadiahkan ketiga-tiga kapak kepada lelaki tadi atas kejujurannya.


Untuk beberapa tahun semasa aku kecil aku disogok dengan cerita ini. Ia seakan sebati. Macam kulit dan isi. Tapi mama ada hantar Whatsapp tadi...


"Jangan jujur sangat dengan orang. Nanti orang ambil kesempatan..."



Aku bingung sejenak.
Sebenarnya nak kena jujur ke tak?


ps : Al Fatihah kepada mangsa MH17 beragama Islam dan rakyat Palestin. #PrayForBoth :'(



03 July 2014

cantik



Satu benda yang aku tengok hari-hari dekat Facebook dan surat khabar ialah iklan produk kecantikan. Macam-macam produk diiklankan. Tak kiralah luaran ke dalaman. Kurus tanpa pantang makan, putih dalam masa tak sampai sebulan, kembali dara selepas sebulan. Target dia tak lain tak bukan, perempuan.




Aku bukan nak kata produk yang dijual tak bagus ke menipu ke apa. Aku bukan guna pun produk-produk itu semua. Cuma aku tetap rasa, nak cantik dalam masa singkat sebenarnya makan masa yang lama. Nak kurus juga perlukan disiplin yang berlipat ganda. Ini apa aku rasa. Kalau salah tolong perbetulkan sebab aku memang tak ada cuba produk mana-mana.


Kawan aku kata bulan puasa ini adalah waktu paling tepat nak kuruskan badan sebab seharian tak makan. Tapi aku tak pasti kuatkah dia nak hadapi Aidilfitri yang tak sampai lagi sebulan? Tabahkah dia untuk menolak semua hidangan? Terpulang pada dialah sebab dia punya badan.


Tak kisahlah apa produk kau guna, biarlah berpada-pada. Aku meluat juga dengan orang yang obses nak cantik sangat macam nak jadi hijabista-stailista-primadona-seantero-dunia. Kadang-kadang aku rasa dia macam nak menunjuk dekat semua manusia. Semua orang nak cantik tapi cuba tanya diri kita, kita nak cantik untuk apa dan untuk siapa?


ps : Antara nikmat dalam Islam adalah sahur dan puasa. Selamat berpuasa semua ;)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...