My Dongsaeng. My Oppa. My Noona.

30 September 2014

lima tahun




Matematik ialah subjek paling aku benci. Tapi subjek inilah yang aku kena belajar dari sekolah rendah sampai Degree. Aku lagi suka subjek Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris yang aku boleh tulis karangan sampai puas hati. Subjek Sejarah pun aku boleh terima lagi. Tapi dengan Matematik memang aku berkelahi.




Aku paling tak suka soalan Matematik berbentuk cerita. Contohnya, Azri ada beberapa ekor kura-kura. Azri jual 3 ekor kura-kura dekat jiran dia. Berapakah berat kura-kura mereka. Bunyi macam mengarut kan sebab aku reka tapi lebih kurang macam inilah soalan dia. Berangkai entah apa benda.


Aku memang suka tulis karangan. Aku selalu dapat 'A+' kalau kertas Bahasa Melayu Penulisan. Tapi masa sekolah dulu dapat 'A' Bahasa Melayu dipanggil kebiasaan. Orang pun tak bagi perhatian. Kalau kau dapat 100% pun orang tetap anggap biasa sebab itu Bahasa Kebangsaan. Sedih juga sebab orang macam tak bagi penghargaan.


Sebab itulah aku tulis blog yang kau tengah baca sekarang. Sebab dekat sini aku boleh tulis panjang-panjang. Aku boleh tulis bila aku bengang. Aku boleh luah bila aku sayang. Aku boleh tulis tak kira masa lewat petang atau bila subuh menjelang. Aku boleh tulis semua benda yang ada dekat negara orang sampailah kepada sekecil-kecil barang. 


Selepas genap lima tahun aku tulis dekat blog hitam ini, aku mula rasa dihargai. Rasa suka bila entry dan quotes dikongsi dekat Twitter dan FB. Suka bila entry dikritik apa lagi dipuji. Suka sebab orang baca tulisan aku dekat sini. Suka sebab kepuasan dia jauh lebih bermakna daripada dapat BM 'A' berkali-kali.


Selamat ulang tahu kelima. Semoga kita akan terus kekal bersama.


ps : Terharu sebab walau tak tulis selalu, ada orang yang tetap tunggu entry baru ;)


23 September 2014

playstation 4



Seriously masa masuk 1 Januari dulu aku tak ada azam lagi. Bila orang tanya apa azam aku masa itu aku cakap rahsia padahal kosong tak ada isi. Aku mula ada azam bila masuk bulan Februari. Itu pun lepas aku sedar hidup aku macam tak ada hala tuju yang pasti.




Azam aku ada tiga. Nak kena cakap ke azam aku apa? Tak perlulah rasanya. Nanti dah tercapai semua baru aku cerita.


Alhamdulillah dah tercapai azam pertama aku. Azam aku tak besar tapi memang ia barang yang aku mahu. Akhirnya aku dapat beli Playstation 4 satu. Berkat menabung duit gaji sikit campur dengan duit saku. Bolehlah main bila hari minggu.


Main game untuk hilangkan sunyi. Maklumlah duduk rumah seorang diri. Kawan-kawan rapat semua jauh-jauh cari rezeki. Kawan yang ada pun sibuk dengan keluarga sendiri. Tinggallah aku dengan Playstation dan TV.


Ada dua lagi azam belum aku kecapi. Insyaallah akan tercapai sebelum hujung tahun ini. Aku akan cuba sampai jadi. Nanti dah jadi aku update lagi.


ps : Azam nak kahwin takde tahun ni. Cuba lagi tahun depan ;)


11 September 2014

panas




Panas sungguh cuaca. Matahari tegak atas kepala. Aircond dah speed '2' tapi panasnya tak hilang juga. Aku kipas-kipaskan tisu dekat muka. Aku gerak-gerakkan baju di bahagian dada. Aku dapat rasa ada angin tapi panasnya masih terasa.




Lampu isyarat bertukar merah. Aku angkat 'Handbrake' sambil aku sejukkan badan yang sudah sedikit basah. Sebuah motorsikal Honda C70 berhenti di sebelah. Pada firasat aku yang di depan mungkin si ayah dan dibonceng si ibu dengan anak kecil di tengah-tengah.


Si ibu menutup kepala si anak dengan hujung kain tudungnya. Kelihatan si ibu berbual dengan si ayah sambil tersenyum mesra. Entah apa yang dibualkan mereka. Lampu isyarat bertukar hijau saat aku leka buat 'Duckface' dekat anak kecilnya yang mungkin anggap aku gila. Kami memilih laluan berbeza.


Kemudian aku nampak seorang perempuan berjalan kaki. Bertudung dan berbaju kurung kelabu dengan renda dekat tepi. Berkerut dahi tahan panasnya cuaca hari ini.


Sepanas-panas aku rupanya orang lain panas lagi. Rasa malu bila mengeluh kesusahan walaupun nikmat sudah diberi. Dan lebih terasa malu bila mula sedar sikap pentingkan diri sendiri. Angin aircond sudah ada tapi mahu lebih lagi. Padahal keluarga tadi cuma harapkan angin daripada motorsikal yang mereka naiki. Padahal perempuan tadi cuma harapkan angin semulajadi.


ps : Bersyukur walau apa terjadi. Susah mana pun kita, ada yang susah lagi ;)


10 September 2014

gembira



Gembira rasa bila dah siapkan semua kerja. Duit gaji pun dah masuk dengar-dengar cerita. Semua berjalan lancar dan sempurna. Rasa gembira yang tak terkata. Alhamdulillah sebab Dia permudahkan semuanya.


Sebab terlalu gembira, aku ajak kawan baik aku pergi makan malam dekat sebuah restoran ternama. Bukan kedai makan biasa-biasa. Mulanya dia terkejut juga tapi bila aku cakap aku tanggung semua dia terus setuju dan ketawa.




Dia tanya apa motif aku belanja. Aku balas tak ada apa. Aku kata cuma makan-makan biasa untuk hilangkan tekanan kerja. Aku tak nak tunjuk sangat perasaan gembira yang aku rasa.


Sambil menjamu selera, aku tanya kawan aku tentang masalah dia. Dah lama dia ada masalah keluarga. Masalah apa tak perlulah aku cerita. Cuma dia sebagai anak lelaki kena tanggung itu semua.


Jadi dia mulakan cerita. Dari awal hingga akhirnya. Dia dengan aku tak pernah berahsia. Dah banyak benda kami kongsi bersama.


Masalah dia tetap sama, katanya. Dugaan yang Tuhan bagi ini dia dah boleh terima. Dia dah boleh bahagikan masa antara keluarga dan kerja. Peranan sebagai anak lelaki pun dia dah boleh jaga. Walaupun hidup dia kacau bilau tapi dia gembira. Gembira sebab dia dapat hadapi itu semua.


Aku gembira bila dapat tahu kawan baik aku pun gembira juga. Walaupun mungkin ayat dia cuma untuk sedapkan hati saja. Tapi kalau betullah dia gembira, pasti kegembiraan dia lebih dari apa aku rasa. Aku gembira sebab hidup aku lancar dan sempurna, tapi dia lebih gembira sebab sesusah mana ujian menimpa, dia boleh hadapi semua. Sememangnya orang tabah paling layak untuk gembira.


ps : Keep smiling. And one day life will get tired of upsetting you ;)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...