My Dongsaeng. My Oppa. My Noona.

30 September 2012

kelahiran



Aku datang ke sini tiga tahun lalu. Aku panjat tangga satu per satu. Tanpa rehat tanpa jemu. Keyakinan adalah senjata aku. Aku kayuh perlahan seperti perahu. Aku nampak ada yang laju macam peluru. Aku tak kisah semua itu.


Teringat waktu dulu. Nak ada blog satu, itu impian aku. Konon nak cuba sesuatu yang baru. Itulah aku. Dan aku tak akan lupa impian itu. 




Apih El Nino Bernafas Dalam Ego tertera. Macam-macam orang kata. Budak lelaki muda. Budak lelaki yang masuk majalah Remaja. Budak lelaki yang buat orang kagum dengan entry dia. Sampai ada yang iri hati dan buat propaganda. Semua sebab dia rasa aku ada semua. Ada nama. Ada hidup yang selesa. Ada peminat di mana-mana. Aku diam saja.


Kalau aku ada kuasa aku mahu bertukar posisi. Biar dia duduk di tempat aku sehari. Dia akan sedar apa yang dia kata itu terpesong sama sekali. Itu aku pasti. Aku harap sangat dia baca entry ini. Supaya dia tahu apa yang dia rasa selama ini cuma ilusi.


Masa berganti masa. Rasa sunyi mula ada. Sunyi sebab masa perlu dibahagi dua. Kadang-kadang tiga, empat dan lima. Masa untuk kerjaya, keluarga dan blog juga. Sebab hidup ini ada naik turun dia. Peluh yang mengalir dari kepala. Dan air mata yang menitis di dada. Semua itu aku dah rasa. Sebab bertahan selama tiga tahun bukan semudah yang disangka.


Terima kasih blog hitam untuk tiga tahun yang singkat rasanya.
Terima kasih blog hitam sebab sentiasa ada saat orang lain tiada.
Terima kasih yang tak terhingga.
Selamat ulang tahun ketiga.



ps : Terima kasih untuk semua sokongan. Terima kasih kawan-kawan ;)



28 September 2012

musnah



Kami berjumpa. Terasa ada kimia. Kami mula mesra. Berkongsi kisah lama. Bercerita apa saja. Saling simpan rahsia. Timbul rasa suka. Bahagia bersama. Ketawa bersama. Menangis bersama. Tapi kami tak pernah bersumpah untuk mati pun bersama.




Satu hari timbul salah sangka. Timbul sengketa. Entah salah siapa. Masing-masing nak tunjuk ego yang ada. Nak tunjuk hebat kononnya. Keras kepala, sombong gila.


Sampai satu masa salah seorang berhenti mencuba. Tiada lagi pujuk rayu manja. Kurang bercakap sesama kita. Tiada lagi berbalas mesej sampai berjam lamanya. Tiada lagi komunikasi mesra macam dulu kala. Timbul rasa berbeza. Rasa terhina. Rasa kurang selesa. Rasa serabut kepala. Rasa tidak selera.


Hari berganti hari. Kenangan mula hilang tanpa disedari. Gambar dalam dompet dimasukkan dalam laci. Jangan putus asa lagi, kata akal mengubat sepi. Orang itu dah benci, bisik hati. Tak tahu mana nak pergi. Kiri duri kanan pun berduri. Remuk hati. Sakit sekali. Akhirnya orang yang paling disayangi menjadi orang yang pernah dikenali.


Kebanyakan cerita cinta sama di pengakhiran, walaupun berbeza di permulaan. 

Sedih bukan?


ps :  Manusia berubah, sebab hati dia pernah punah, patah dan musnah ;)



19 September 2012

itu orang kata



Duduk menongkat dagu di meja. Tangan digerakkan di skrin telefon kaca. Atas bawah dihala. Mata juga atas bawah membaca. Bibir sekejap tersenyum sekejap ketawa. Orang kata aku gila. Orang kata aku bahagia.


Itu orang kata. 






Aku bosan. Jadi aku buka Tweet kawan-kawan. Tersenyum dengan berita sukan. Ketawa dengan berita hiburan. Bukan aku SMS dengan perempuan. Entah macam mana nak SMS bila kredit telefon sudah tamat tempoh sebulan.


Itu orang tak pernah kata.


Duduk keliling meja. Berborak tak ingat dunia. Ada kawan buat lawak gila-gila. Aku ketawa. Aku pula buat lawak selamba. Kita ketawa bersama. Orang kata aku sempurna. Tak ada masalah sebab asyik gembira.


Itu orang kata.


Aku manusia biasa. Ada rasa dalam jiwa. Aku gembira, untuk menutup luka. Aku ketawa, untuk hilangkan air mata. Aku sorok rasa. Aku jarang luah semua. Spesies manusia perahsia.


Itu orang tak pernah kata.

Tapi biar apa orang kata. Itu hak mereka. Biar saja.


ps : "Ikut kata hati sendiri. Itu paling penting sekali," aku kata dengan pasti ;)


 

12 September 2012

aku suka kamu



Dia suka budak itu. Budak itu tahu. Dia pernah luahkan dulu. Tapi budak itu kata dia belum sedia untuk semua itu. Dia malu, tapi lega sebab dapat luahkan apa yang terbuku. Dia kecewa tapi dia sanggup tunggu.



Dia duduk di depan laptop sambil memandang skrin kaca. Warna hijau menyala di ruangan chatting budak yang dia suka. Dia taip namun dipadam semula. Banyak benda bermain dalam kepala. Takut mengganggu ada, takut dikata tak tahu malu pun ada.


Dia tak tahu apa ilmu budak itu ada. Dia tak tahu makhluk apa yang budak itu bela. Yang dia tahu budak itu buat dia angau gila-gila. Sebabnya cuma dia yang rasa. Dia selalu berangan budak itu jadi milik dia sambil mengharapkan budak itu juga mengangankan benda yang sama.


Sakit di hati masih berbekas. Sakit di hati masih panas. Sakit bila cinta tak dibalas. Tapi dia pandai berkias. Dia sorokkan sakit yang dia galas. Dia tak perlu belas ihsan walau sekilas.


Kecewa. Memang dia kecewa. Mungkin alasan yang diberikan budak itu adalah tanda dia tidak diterima. Alasan 'belum sedia' cuma untuk menyedapkan hati yang lara. Tapi dia kuatkan semangat yang ada. Dia sorokkan sakit sebaik mungkin supaya orang tahu dia gagah perkasa. Dia belajar senyum untuk mengaburi hati yang luka. Dia tahu semua ini akan berlalu jua. Dia pasti kalau budak itu jodohnya dia tak akan lari ke mana.


ps : Senyuman ibarat pembalut luka. Ia menutup luka namun pedihnya masih terasa ;)


10 September 2012

kisah lokman



Aku ada kawan. Lelaki. Lokman nama dia. Tapi aku panggil dia Lokmang. Kadang-kadang Mang je. Biasalah orang Terengganu. Dia sekolah rendah dengan sekolah menengah sama dengan aku.


Masa sekolah rendah, Lokman ni tak ada geng sangat. Dia biasa ikut geng aku je time rehat. Time ponteng je dia tak ikut. Sebab Lokman ni baik budaknya. Macam tu la mak aku cakap dulu.


Sebab dia ni baik sangat, dia selalu jadi mangsa bila time ada jualan Milo atau Vitagen kat sekolah. Aku suruh dia beratur dulu, nanti bila dah dekat nak beli baru aku potong dia. Aku bagi upah air yang aku beli tu je la kat dia. 





Pernah sekali Lokman ni masuk hospital masa tingkatan dua. Dia sakit jantung berair. Aku pergi melawat hari Jumaat. Family dia ada. Dia tengah baca komik masa tu. Banyak topik jugak kami bualkan. Maklumlah lama tak jumpa.


Aku minta diri nak balik. Hari pun dah nak gelap. Aku kata nanti ada masa aku datang lagi. Lokman angguk je. Aku salam dengan dia. Dia kata dia lupa cara salam geng kami masa sekolah rendah. Aku pun ajar la dia balik. Biasalah zaman sekolah rendah, style salam macam-macam.


Aku hantar mesej dekat Lokman. Aku suruh dia jaga diri dan keluar cepat. Dia kata memang dia dapat keluar lagi dua atau tiga hari. Lega aku baca mesej tu.


Selang tiga hari, masa tu tengah exam pertengahan tahun, ada satu pengumuman dekat sekolah. Arwah Lokman sudah pergi untuk selama-lamanya! Aku bingung. Aku terkilan tak dapat pergi masa hari pengebumian arwah sebab aku tengah exam.


Lokman tak pernah tunjuk dia lemah. Dia senyum, buat lawak. Dia tak pernah tunjuk dia akan pergi. Dia bukan tak ingat cara salam geng kami, cuma dia ajak salam untuk terakhir kali. Betul kata Lokman, lagi tiga hari dia akan 'keluar'.


Lokman, semoga tenang kau di sana. Al-Fatihah.


ps : Adat manusia bila dah hilang sesuatu baru pandai nak hargai ;)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...