My Dongsaeng. My Oppa. My Noona.

30 May 2011

setelah engkau pergi tertutup hatiku



Kunkun!!


Cinta itu menyakitkan jiwa raga. Itu pernah aku kata. Manusia yang pernah kecewa bercinta mesti mengatakan benda yang sama. Tapi kadang kala aku terfikir cinta itu tidak sakit seperti disangka. Bersendiri lebih sakit rasanya. Kena reject lebih pilu sebenarnya. Hilang seseorang yang disayang jauh lebih seksa. Rasa dengki lebih teruk daripada sakitnya cinta. Tapi kerana semua rasa itu berkait dengan cinta, maka cinta yang jadi sasaran utama. Sedangkan cinta sebenarnya benda dalam dunia ini yang menutup segala derita dan buat manusia rasa bahagia.



Jika anda sedang bercinta, teruskan.
Jika anda tidak bercinta, biarkan.


Ada orang, bila putus cinta, mula bercakap tentang kematian. Mungkin mati lebih baik daripada terus dihimpit seksaan percintaan. Anda rasa itu bodoh, bukan? Sebenarnya tidak seperti yang disangkakan. Kenyataannya, dia sedang meminta kekuatan. Dia tunggu seseorang datang menyelamatkan dia dari gaung kesedihan. Tiada manusia mahu mati selagi dia belum dapat apa yang dihajatkan.



Ada pula orang, sangat takut bila bersendirian. Memang senang dilihat ketakutan itu dalam diri perempuan. Lelaki lebih selesa memendam perasaan. Lelaki juga takut, tapi disimpan. Lelaki lebih takut jika dia hanya setakat menjadi abang atau kawan. Sedangkan lelaki, sama seperti perempuan, mahu menjadi segalanya bagi seseorang yang bergelar pasangan. Jangan menyesal dengan cinta yang dihantui kegagalan. Semua yang menggembirakan, itu kenangan. Semua yang menyedihkan, itu pengalaman. Kita merancang, Dia yang tentukan.


"Easy come, easy go. People's come, people's go..." Terimalah hakikat, diri kita cuma satu persinggahan sahaja. Anggaplah kita umpama watak dalam buku cerita. Bila muka surat terakhir melabuh tirai, semua cerita setiap watak terungkai. Dan anda letakkan buku itu di tepi dan mulakan lagi dengan buku yang baru. Buku cerita yang lengkap dengan watak, plot, tema dan semuanya yang berbeza dengan buku sebelum itu. Sekarang, anda sedang fokus kepada satu watak baru dalam buku yang baru, bukan watak buku yang dulu. Sama seperti hidup yang anda katakan berliku. Yang berlalu, biarkan berlalu. Kuatkan semangat dan terus maju. Sentiasa doakan dia bahagia tanpa kamu. Kerana kebahagiaan yang menanti kamu lebih manis daripada yang dulu.



ps : I am single and not desperate to have a girlfriend, for now ;)


Kunkun!!



22 May 2011

saya rindu awak sebagai kawan






Kunkun!!



Awak.
Saya rindu awak. Bukan rindu sebab saya sukakan awak atau sayangkan awak tapi saya rindu bila kita bercakap setiap hari macam biasa. Bercakap sebagai kawan. Bercakap apa saja sepanjang hari. Bercakap tentang muzik kegemaran kita, bercakap tentang aktiviti seharian kita, bercakap tentang masalah hidup masing-masing. Semuanya.


Memang saya rindu semuanya antara kita. Tapi sekarang kita macam tidak kenal antara satu sama lain dan ia sangat menyakitkan hati saya. Walaupun kita tak buat apa-apa. Walaupun awak tak buat apa-apa, tetap menyakitkan hati saya bila semakin hari kita semakin jauh dan jauh.


Saya harap saya dapat kenal awak semula macam dulu bila kita saling memerlukan antara satu sama lain, sebagai kawan.



ps : Entry tergantung. Seperti persahabatan kita yang tiada berpenghujung.


Kunkun!!



19 May 2011

perkahwinan itu bukan alat mainan



Kunkun!!


Hidup lelaki mudah. Mudah dan tidak membebankan. Bayangkan seorang lelaki muda yang ada rupa paras dan sentiasa dipandang perempuan. Ada lelaki dikurniakan wajah Pan-Asia yang mampu menawan mana-mana wanita diidamkan. Kalau anda pernah ditawarkan menjadi anak ikan maka anda lelaki yang dimaksudkan. Ada juga lelaki yang mampu mencairkan hati wanita dengan kata-kata yang diucapkan. Shahir sendiri mampu dapat Rozita Che Wan. Bagi lelaki yang kurang keyakinan, angkat kepala ke atas dan ingat setiap orang ada kelebihan.


Bercakap dari sudut lelaki kerana aku dilahirkan sebegitu rupa. Setiap lelaki bila memasuki usia 20-an, ada satu benda bermain dalam pemikiran mereka. Semakin lama, soalannya tetap sama. Lelaki wajib memikirkan soal rumahtangga. Kalau seorang Mat Rempit semasa berumur 20 tahun mampu membayar ratusan Ringgit Malaysia untuk ekzos motor Lagenda, lima tahun kemudian dia mungkin menyesal dengan tindakannya. Dia akan sedar duit sebanyak itu sebenarnya mampu menampung kewangan untuk meminang seorang anak dara. Aku bercakap dari pandangan seorang remaja yang lahir dalam keluarga yang tidak kaya.



Bila lelaki mula serius berbicara tentang perkahwinan, dia mula memikirkan tentang institusi kekeluargaan. Dia mula tahu tanggungjawab seorang anak jantan. Dia mula faham hidup dia perlukan pembaharuan. Dia mula sedar selepas ini makan pakainya untuk dia dan pasangan. Dia perlu bersedia menyambut janin yang berjaya disenyawakan. Dia perlu bekerja keras untuk anak yang perlu dibesarkan. Dia perlu mulakan semuanya perlahan-lahan.


Kewangan. Perkataan mudah yang mampu membuat ramai orang ketakutan.


Bagi seorang lelaki yang jarang berfikir tentang masa depan, dia nampak sesuatu yang kurang menyenangkan. Dengan harga beberapa barang mengalami kenaikan. Dengan kos sara hidup makin hari makin menakutkan. Dengan mas kahwin yang mungkin mencecah ratusan atau ribuan. Itu belum mengambil kira kos majlis menjamu selera yang jauh lebih mahal daripada cincin perkahwinan. Kemudian, bil rumah wajib diselesaikan. Minyak kereta atau motor juga harus dipenuhkan. Bagaimana pula dengan zuriat yang sentiasa dahagakan susu, lampin dan ubat-ubatan? Kalau yang pertama lelaki pasti mahu juga yang perempuan. Maka berkembang lagi perbelanjaan. Sebab itu orang tua cakap, kahwin bukan barang mainan.



Bukan mengeluh sayu. Bukan tak mahu. Cuma runsing dengan keadaan negara orang Melayu. Kenapa harga minyak kita mahal sedangkan kita negara pengeluar minyak, boleh jelaskan sesiapa yang tahu? Mengeluh lagi, kepala digaru. Mungkin ada penyelesaian untuk masalah negara yang datang satu persatu. Biar Menteri selesaikan, kita rakyat cuma tunggu. Tapi sepanjang menunggu itu, ia menyusahkan rakyat susah macam aku. Mungkin perubahan perlu ada untuk kehidupan yang baru. Mungkin masih ada setitik cahaya di hujung terowong kegelapan itu.


Mungkin salah aku berfikir terlampau jauh ke hadapan.
Mengeluh dan terus menaruh harapan.


Al-Fatihah untuk Abdul Hakim Mohd Kamal, tuan punya TelurdiBasuh.
Setiap kata-kata, azimat dan nasihat kau selamanya tersemat teguh.


ps : Kalau kenaikan harga itu peragut, maka aku mangsanya ;)


Kunkun!!



16 May 2011

guru yang bersinar walau ada cahaya




Kunkun!!


Anak pertama dalam keluarga tidak bererti pertama dalam segalanya. Jujur, tidak pernah walau sekali surat jemputan Hari Kecemerlangan Pelajar sampai ke tangan mama dan papa. Cuma sekali cikgu berjumpa mama, itu pun kerana persediaan menghadapi UPSR. Mujur ada adik yang membuatkan cikgu kenal mama dan papa. Nama adik tak pernah tertinggal dari senarai tiga pelajar terbaik setiap kali peperiksaan. Sebab itu perkataan 'Terima Kasih Cikgu' tak putus-putus mama ucapkan. Adik ialah kebanggaan.


Tamat episod sekolah rendah, jawatan Penolong Ketua Pengawas turut sama ditinggalkan. Bermula drama sekolah menengah, jawatan Ketua Tingkatan disandang. Bukan setahun, tapi lima tahun pangkat itu dijulang. Semua bermula bila cikgu tingkatan satu membuat pemilihan rambang dan dipersetujui rakan setingkatan. Ketua tingkatan yang kuat berangan. Ketua tingkatan yang tidak pernah mendapat nombor 10 terbaik dalam mana-mana peperiksaan. Ketua tingkatan yang disumpah tidak mendapat 'A' oleh guru kerana buku teks Geografinya hilang. Berkat doa seorang pendidik, memang hanya 'B' terpampang dalam slip bila keputusan PMR dikeluarkan. Geram dan dendam masih tersimpan tapi cikgu tidak boleh dipersalahkan. Bukankah melawan kata guru itu hukumnya haram dan tidak boleh dilakukan? Itu antara kesilapan terbesar dalam hidup Mohd Afif Rashdan.



SPM bertandang. Beg semakin berat berbanding dulunya ringan. Matematik yang dulunya kacang, tiba-tiba menjadi makanan yang membebankan. Kalau ada Matematik, kenapa perlu ada Matematik Tambahan? Setiap pagi mata akan meliar mencari cikgu Matematik Tambahan yang sentiasa tampil menawan. Tapi melihat dia berdiri semasa perhimpunan, diri ini sudah mati separuh badan. Sebenarnya, Matematik itu mudah jika tiada huruf terselit di celah nombor yang dipaparkan. Kenapa perlu dibezakan atau kamiran? Kalau gambar dalam rajah menunjukkan bentuk segitiga, kenapa kami perlu buktikan? Jika tanya budak tadika sekalipun dia tahu itu bentuk segitiga, bukan bulatan. Serius, kalau Matematik itu manusia, pasti bertubi tumbukan dilepaskan. Menyusahkan. Bukan aku seorang yang benci Matematik kan?


Cikgu yang paling disayang ialah cikgu Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Sebab itu dalam peperiksaan, pasti banyak kertas kajang diperlukan sebab mungkin memang dilahirkan untuk suka merapu. Dan cikgu BI dan BM sendiri memang sayangkan aku. Ini bukan cerita tipu.




Melangkah ke alam universiti, baru tergopoh-gapah nak belajar sepenuh hati. Baru sekarang terfikir ilmu itu perlu diguna bila kerja nanti. Mungkin belum terlambat, cetus kata hati. Seringkali terdetik apa yang dipelajari di sekolah, cuma 10% digunakan dalam kehidupan ini. Yang selebihnya hanya melengkapkan jadual untuk dilalui. Namun di satu sudut lagi, kalau dulu tak banyak berangan dan buat hal sendiri, pasti ada mama dan papa pergi ke Hari Kecemerlangan Pelajar untuk anaknya yang ini, walaupun sekali. Kalaulah masa dapat diputar kembali. Mama, papa, sorry. Menyesal? Tidak guna lagi. Sebab penyesalan, pengalaman dan kehidupan adalah guru paling berharga dalam hidup ini.


Terima kasih Cikgu.


Selamat Hari Guru

kepada

Mama
Papa
2 adik perempuan
13 Gang of Crows
Kawan-kawan
Guru Tadika Yayasan Islam Terengganu
Guru Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Mariam
Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar
Guru Tuisyen darjah 5 dan 6
Guru Tuisyen tingkatan 3 dan 5
Guru ganti yang masuk kelas tapi tak ajar apa-apa
Guru kelas masakan
Guru silat
Lecturer TATiUC
TV
Astro
Radio
Surat Khabar
Majalah
Komik
Blog
Internet
dan
Semua pengalaman yang saya ada.


Jasamu dikenang.


ps : Guru ibarat bulan. Sentiasa memberi cahaya walaupun ada lampu jalan ;)


Kunkun!!




15 May 2011

membuli perempuan satu kepuasan?




Kunkun!!


Penat membanting tulang seminggu, semalam sempat meluangkan masa bersama rakan-rakan berkaraoke di satu tempat tumpuan di Kuala Terengganu. Hari minggu, hari yang penuh sesak sesuai dengan nama sebenarnya, Sabtu. Daripada nenek bertongkat dipimpin cucu, sehinggalah sekumpulan lelaki dan perempuan bersekolah rendah dapat dilihat di situ. Berada di tingkat atas, mata menangkap kesesakan lalu lintas di sebalik cermin biru. Trafik yang seperlahan kura-kura walaupun hidup serba laju. Kerajaan juga bijak mempergunakan kesetiaan rakyat bila mana menetapkan hari Sabtu ialah hari beg plastik berharga dua puluh sen setiap satu. Maaf blog hitam ini bukan untuk politik tapi kenaikan harga barang menyulitkan hidup rakyat seperti aku.



Berjaya mendapatkan satu bilik karaoke yang tidak luas tapi selesa. Di sebelah kiri, seorang lelaki dengan gaya Rock memukau dengan lagu Irwanshah, Camelia. Tersenyum. Setiap manusia pasti dalam hatinya ada taman bunga. Di sebelah kanan, dua budak perempuan memilih lagu kegemaran mereka. Tapi bukan itu yang menjadi makanan mata.


Di luar bilik mereka, sekumpulan budak lelaki membuat kecoh sambil ketawa. Ketawa menghina. Agaknya bangga dapat mengganggu dua budak perempuan yang tidak tahu apa-apa. Tingkap diketuk, tepukan palsu diberikan, ibu jari dinaikkan supaya perempuan tadi terus menyanyi dan mereka terus ketawa.


Tidak lama kemudian, budak perempuan itu keluar dan berlalu pergi. Mungkin sudah berpuas hati dengan beberapa lagu yang dinyanyi. Sekali lagi, mereka diganggu budak lelaki. Ramai yang melihat tapi hanya menggeleng simpati. Mungkin kebetulan, tapi kenyataan hari ini, bila lelaki berbuat baik dengan perempuan, pasti ada mulut mengata itu taktik untuk mengambil kesempatan bagi lelaki. Mengeluh lagi.



Tanyalah wanita. Bukan senang menjadi wanita. Sering diganggu lelaki walaupun lelaki tahu yang lemah itu kaum Hawa. Dan lelaki itu masih mampu berbangga. Bukan tidak tahu wanita perlu dibela tapi bila berada dalam satu kumpulan, setiap lelaki akan merasa gagah perkasa. Ini bukan satu cerita yang direka, ini benda nyata. Tapi bila tiada sesiapa, bila lelaki itu seorang sahaja, percayalah dia cuma seekor anak serigala di siang hari yang takutkan persekitaran dan suasana. Bukan seperti di malamnya. Kerana lelaki hanya hebat bila dalam kumpulan tapi lemah bila bersendirian.
Maaf lelaki, ini kenyataan bukan rekaan.


ps : Life is a beautiful struggle ;)


Kunkun!!



12 May 2011

kepuasan servis dua mak nyah


Kunkun!!


Kesempatan melawat tempat kerja lama digunakan sebaiknya. Bertentang mata dengan bekas rakan sekerja mengubat rindu yang pernah ada. Sebelum pulang, kaki melangkah ke sebuah pejabat untuk bertemu pengurusnya. Usianya belum mencecah 30-an namun sudah menjadi pengurus muda. Kacak dan bergaya. Mata sempat menjeling seorang gadis berbaju hitam cantik sedang membaca majalah di hujung meja. Senyum. Tiada kata dapat diluah selain menelan air liur sahaja.


Pekerja di syarikatnya cuma 9 orang termasuk pengurus. 5 wanita, 4 lelaki. 2 daripadanya lelaki lembut, atau orang di situ memanggil Mak Nyah. Wanita berbaju hitam tadi bukan pekerja di situ. Cuma datang menemani kekasih hatinya.



Terlanjur mengusik, kawan tadi menceritakan tentang dua pekerja 'istimewa' tadi. Dia pada awalnya tidak pasti penerimaan pekerja lain terhadap mereka. Namun sebagai pengurus, dia menetapkan peraturan supaya keluarga kecil mereka saling menghormati dan menerima setiap kekurangan dan kelebihan adik-beradik mereka. Dia menerima dua pekerjanya tadi kerana mereka ada kelayakan berbanding orang lain. Kelayakan akademik berpangkat sarjana muda. Hebat.


Cuma sesekali, ada pelanggan yang tidak mahu membeli barangan mereka hanya kerana di situ ada Mak Nyah. Bukan sekali pelanggan menghina diri mereka. Namun mereka tidak meninggikan suara malah memujuk kembali pelanggan itu. Marah? Mungkin. Tapi demi sesuap nasi amarah itu ditinggalkan jauh.


Ketawa. Kesian. Bukan kerana nasib Mak Nyah itu tapi kerana pemikiran masyarakat kita. Ketawa lagi. Tak sangka dalam era kita mengejar kemodenan, pemikiran rakyat Malaysia masih cetek. Kesian bukan?



Memang Mak Nyah hidup dalam komuniti mereka sendiri. Semua kerana kita yang tidak mahu mendekati mereka. Tapi kedua-dua Mak Nyah tadi saling membantu. Mungkin kerana mereka telah berkawan lama. Dalam lenggang lenggok berjalan, mereka disenangi semua orang. Mereka pandai bergosip dengan pekerja wanita. Mereka pakar fesyen baju dan style rambut di kalangan pekerja lelaki. Seperti manusia lain, mereka juga sama. Mereka juga manusia.


Banyak kali juga sifat tepi jaga kain orang ini sibuk bertanyakan mutu kerja mereka. Jawapan yang diberikan di luar jangkaan. Mereka bekerja, dan dimarahi sama seperti pekerja lain. Tidak ada secebis kelebihan dan kekurangan diberikan. Berbanding pekerja lelaki, mereka lebih rajin membantu membasuh pinggan dan gelas di dapur pejabat. Mereka turut sama mengangkat barang berat seperti pekerja lelaki. Kerana tenaga mereka sama.


Buka mata. Buka minda. Jangan kerana setitik Mak Nyah yang mencari rezeki di celah lorong, semua Mak Nyah mendapat cercaan serupa. Tutup sebelah mata kepada Mak Nyah di lorong, buka seluas-luas mata sebelah lagi kepada Mak Nyah yang bekerja di salon, spa kecantikan, pereka fesyen, jurumekap, pelayan kedai makan dan banyak lagi. Adakah kita Tuhan untuk menentukan dosa pahala mereka?


Berbanding lelaki dan perempuan, Mak Nyah lebih kuat. Berhadapan dengan kata-kata nista, mereka masih mampu berdiri sendiri. Kita mampu?



Benar kata kawan tadi. Tidak salah membayar lebih untuk servis yang memuaskan hati daripada Mak Nyah, bukan?


ps : Otak tu jangan kuning sangat bila baca tajuk di atas.



Kunkun!!



07 May 2011

dia bagi aku hidup yang dia tak ada




Kunkun!!


Rindu. Sudah lama rasanya tidak menatap wajah wanita yang paling disayang itu. Semoga dia sentiasa selamat dan diberkati tanpa aku.


Dua puluh tiga tahun yang lalu, dia dan lelaki yang berjaya menakluk hatinya gembira bila mana doktor mengesahkan dia membawa kandungan bayi lelaki. Sayangnya, dia keguguran. Setahun berlalu, dia sekali lagi disahkan mengandung. Kali ini, berkat doa dan usaha, mereka dikurniakan anak pertama. Walaupun sepatutnya itu yang kedua. Namun kuasa Tuhan tidak mampu dilawan sesiapa. Tidak dapat aku bayang, aku mempunyai seorang abang. Abang, nama yang sepatutnya menjadi milikmu sekarang milik aku. Semoga kau selamat di sana.


Masa berlalu. Dia membesarkan aku dengan gigih tanpa berkira. Budi dan jasanya, pernah aku balas dengan perangai celaka. Namun dia tetap tabah menjaga. Walaupun dia pernah menangis mengenangkan anaknya derhaka, tapi anak itulah yang didoakan selepas selesai solatnya.



Masa berlalu pergi. Hari pertama anak itu di sekolah tidak seindah warna pelangi. Dia tidak menangis, tapi dia mencuri. Entah pensil warna Swan siapa yang aku curi di hari pertama darjah satu, aku tak ingat sampai hari ini. Tapi dia menyuruh anaknya memulangkan kembali. "Jangan curi sebab kita mampu beli", kata-kata yang selamanya tersemat di hati.


Anak yang dulunya cuma tahu membaling barang mainan Ultraman kini memasuki alam sekolah menengah. Nakal yang dulunya tertanam kian bercambah. Banyak kes kenakalan anaknya di sekolah yang sampai ke telinganya hanya mampu ditadah. Dan anak itu cuma dinasihati di rumah. Dia sendiri pernah menemui video lucah dalam bilik anaknya itu tapi tidak dimarah. Bukankah anak sebegitu sudah layak mendapat sumpah seranah?



Anak yang dulu didukung ke sana ke mari memasuki alam universiti. Anak yang dulu rendah kini bila berdiri di sisi ibunya, jauh lebih tinggi. Anak yang dulu di atas katil bermain gusti sudah bermain cinta di depan ibu sendiri. Dia tidak menghalang cuma mengingatkan batas perempuan dan lelaki. Oh my god, for having this mum, I am so lucky!


Tiba masanya si anak putus cinta. Dia tahu bila telefon bimbit anaknya dibiarkan tidak bernyawa. Dan dia sengaja bertanya soalan tentang bakal menantunya. Jawapan dari anaknya memang sudah dijangka. Dia ketawa. Tuhan sengaja temukan kita dengan yang salah sebelum bertemu dengan yang betul, itu katanya. Pahit, namun aku telan juga. Itu taktiknya dan dia berjaya. Hanya dia yang tahu kelemahan aku di mana.


Pernah aku kata, aku mahu berkahwin dengan orang sepertinya. Wanita yang mampu bangun seawal lima pagi, menyiapkan pakaian dan makanan untuk keluarga dan dirinya sendiri. Kemudian keluar di pagi hari mencari rezeki. Dan di petang hari dia masih mampu berdiri di dapur menyiapkan makanan supaya kenyang orang yang disayangi. Walaupun masakannya kadang-kadang tidak dijamah namun dia tidak terasa hati. Masakannya tetap sedap walaupun hanya semangkuk Maggi. Dia juga langsung tidak mengeluh dengan setiap kesusahan hidup yang diharungi.



Thanks mum and dad, for giving me a life that you never had.
Terima kasih untuk segalanya.


Tiada lagu dapat menggambarkan sayang ini pada mama.
Tiada kata dapat ditulis demi kasih ini pada mama.
Sebab abang hanya ada satu mama, iaitu mama.
Abang sayang mama.


Antara berjuta, dia yang teristimewa.


Selamat Hari Ibu kepada semua yang bergelar ibu.


ps : I love you more and more Norwani Abdul Mutalib.


Kunkun!!





06 May 2011

kekurangan itu satu keunikan






Kunkun!!


Seorang kawan perempuan pernah mengadu tentang kekurangan dalam dirinya. Bukan cacat, tapi rabun. Dan kaca mata adalah ubatnya. Pernah dia mencuba contact lens, namun gagal. Dan semasa dia menceritakan isi hatinya, dia baru putus cinta. Terus dia mengaitkan kekurangannya sebagai penyebab hatinya terluka. Geleng kepala berkali-kali. Langsung tiada kaitan. Tapi begitulah bila manusia bersedih, manusia itu nampak semua benda serba tidak kena.


Video di bawah hanyalah untuk meyakinkan wanita yang mereka juga boleh nampak cantik walaupun berkaca mata. Mereka juga boleh bergaya tanpa perlu berbelanja besar membeli contact lens. Sebab sejak dulu, wanita dan kecantikan seperti ombak dan pantai. Tidak dapat tidak bersama.





Walaupun ini blog lelaki, tidak salah kalau berkongsi hal wanita. Lagipun kawan itu juga pembaca blog hitam ini. Kebanyakan follower blog ini juga kaum wanita. Blogspot juga tidak pernah membuat peraturan lelaki tidak boleh menulis tentang wanita dan sebaliknya.


Jadilah diri sendiri. Kalau berkaca mata itu satu kekurangan, anggaplah kekurangan itu satu keunikan yang tidak dipunyai oleh semua orang. Sebab hanya ada satu kita atas dunia ini. Tidak ada yang sama dengan kita. Tuhan tidak pernah silap mencipta sesuatu. Peringatan untuk diri sendiri.



ps : Dah berhenti kerja. Mungkin lepas ni ada banyak masa untuk blog ini ;)


Kunkun!!




01 May 2011

sendiri itu sebenarnya indah




Kunkun!!


Bila difikirkan balik, sudah sebulan lebih menjalani hidup seorang diri. Kawan-kawan ada, yang tersayang tiada. Tapi hidup mesti diteruskan juga. Umur masih muda. Lebih baik belajar dan bekerja, nanti ada rumah dan kereta, senang nak masuk meminang mana-mana anak dara. Jangankan Scha Al Yahya, nak Adira pun takpe. Ketawa.



Semalam, lepak dengan kawan-kawan di warung mamak. Ramai orang turut sama berada di situ, mungkin kerana esok hari cuti am. TV plasma menayangkan perlawanan bola sepak tapi mata ini sesekali melihat ragam manusia lain. Terpandang beberapa pasangan kekasih yang sedang menjamu selera.


Nun di hujung kedai, pasangan berbaju putih sedang makan. Si lelaki, kacak berambut terpacak dan yang perempuan cantik dengan rambut sedikit diwarnakan. Si lelaki menghabiskan dulu makanannya. Kemudian dia sabar menantikan pasangannya makan. Kemudian, si lelaki menyalakan rokok. Si perempuan di sebelah sesekali mengibas-ngibaskan tangannya, menghindari asap rokok tapi tetap setia menemani kekasihnya menghabiskan sebatang rokok. Manis bukan? Susah nak cari perempuan yang sanggup menunggu kekasihnya merokok.



Satu lagi pasangan, selang dua meja, tidak makan. Ada dua cawan di atas meja. Yang lelaki, berimej rock dengan rambut panjang paras bahu. Yang perempuan pula, tenang menghembuskan asap rokok. Nampak seperti mereka berkongsi satu kotak Dunhill yang sama. Kekasih berkongsi barang perkara normal bukan? Lagipun kalau betul merokok itu dapat menghilangkan tension, maka tak salah perempuan merokok. Perempuan pun tension.


Ada beberapa lagi pasangan. Masih mampu bersama walau malam sudah lewat. Mungkin sebab esok cuti, jadi malam ini elok bersama orang tersayang. Aku faham perasaan seorang kekasih. Aku pernah menjadi kekasih.


Tiba masa untuk aku melangkah pergi namun mata sekali lagi terpandang pasangan berbaju putih tadi. Mereka masih bersembang. Mungkin ada banyak lagi perkara ingin diceritakan. Semalam mungkin sangat pendek waktunya bagi mereka. Sedangkan bagi orang macam aku, semalam adalah waktu yang sangat lama. Sangat panjang.



Tapi sekarang bagi aku, sendiri itu sebenarnya indah. Sepi itu nikmat. Tiada rindu. Tiada sayang. Tiada kasih. Tiada cinta. Tiada yang teristimewa. Cinta hanyalah hubungan untuk merasa lebih mesra. Cinta sebelum kahwin, ibarat berhala yang sentiasa disembah-sembah. Kita semua tahu, tapi buat-buat tak tahu.


ps : Why when I am taken, all I see is happy singles.
But when I am single, all I see is happy couples? Tell me why ;)


Kunkun!!




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...