My Dongsaeng. My Oppa. My Noona.

24 May 2012

cubaan pertama menulis novel entah apa-apa



"Saya rasa kita harus berpisah..." Perlahan saja ayat yang keluar dari bibir si gadis yang merah. Dia kelihatan resah. Kepalanya tunduk memandang tanah. Hujan yang baru berhenti membuatkan rumput di taman itu basah. Si jejaka pasrah. 





 

"Tapi kenapa?" Tanya si jejaka. Dia memandang kekasihnya yang tidak berani mengangkat kepala. Dia tahu ada sesuatu yang tidak kena. Dia mahu penjelasan yang nyata.


"Saya jumpa orang lain yang boleh buat saya bahagia..." Si gadis merenung mata kekasihnya. Alasan yang buat si jejaka tertanya-tanya. Kenapa? Siapa? Namun jejaka itu kelu tidak terkata. Dia seperti tidak berdaya.


Suasana sunyi seketika. Si jejaka mengeluh hampa. Dia memandang mata wanita yang sudah tawar hati untuk bercinta dengannya.


"Dulu saya pernah jumpa orang yang lebih sempurna dan boleh buat saya bahagia. Tapi saya tutup mata sebab saya nekad mahu bersama awak juga..." Si jejaka berkata sambil tersenyum hiba. Dia melangkah kaki ke kereta.


Dan si gadis terpinga. Di matanya mengalir air mata. Deruman ekzos kereta menembusi telinga. Seperti kata-kata tadi yang menembusi matanya yang buta.


ps : Cubaan menulis novel cinta. Aku tengah bosan jadi aku saja-saja reka ;)


21 May 2012

lelaki itu buat aku rasa suka dekat dia



Aku terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Silap juga keluar masa orang balik dari kerja. Pergerakan kura-kura. Di sebelah kiri ada kereta yang baru dibeli agaknya. Plastik di kerusi masih ada. Kereta bergerak dan berganti kereta lain pula.




Tiba satu ketika pintu kereta sebelah dibuka. Pemandunya keluar meninggalkan kereta. Seorang lelaki segak berkaca mata hitam kacak bergaya. Kelihatan rantai di lehernya berkilauan terkena cahaya. Aku diam tak terkata. Malah perempuan di sebelahnya cuma mendongak kepala. Apa hal dia keluar tiba-tiba? Kehabisan minyak atau ada kemalangan di depan sana?


Dia berhenti di belakang kereta di depannya. Beberapa mata memandang penuh tanda tanya. Ada orang di tepi jalan merakam perbuatan lelaki itu dengan kamera. Aku terpinga. Pemandu di belakang juga sama.


Lelaki itu berdiri semula. Ada anak kucing di tangannya. Namun lampu isyarat sudah bertukar warna. Lelaki itu bergegas masuk ke dalam kereta. Anak kucing dibawa bersama. Dia mengangkat tangan tanda meminta maaf atas perbuatannya. Aku balas dengan mengangkat ibu jari tangan kanan sebagai tanda kagum tahap maksima.


Dia mulia. Itu aku boleh kata. Nampak comel pun ada. Pedulikan rantai berloket di leher seorang jejaka. Pedulikan perempuan berambut perang yang duduk di sebelahnya. Luaran hanya gaya. Ada buah yang baik isinya walaupun kulitnya menyakitkan mata.


ps : Lelaki yang betul-betul penyayang adalah yang sayangkan binatang ;)


20 May 2012

wei blog aku masuk majalah remaja wei



Ucapan 'Tahniah' datang bertalu. Penuh muka buku. Ibarat Hafiz menang Anugerah Juara Lagu dulu. Terselit rasa bangga di sebalik sedikit rasa malu.


Majalah Remaja edisi 15 Mei 2012 cover depan gambar Elfira Loy baju merah dengan riben polka dot atas kepala. Muka surat 117 ruangan blogspot blog pilihan nombor tiga. Bernafas Dalam Ego tajuknya. 





Blog yang aku agungkan tiba-tiba keluar di majalah Remaja. Gila! Punyalah banyak lagi blog hebat lain entah kenapa blog ini terselit juga. Bukan tak bangga. Cuma belum hilang rasa terkesima.


Aku tak hirau markah yang diberi. Aku tak kisah review yang diulas rapi. Aku cuma bangga sebab mampu sampai ke tahap ini. Tapi aku cuba tidak lupa diri. Ikut resmi padi. Semakin tunduk semakin berisi.


Aku menulis sekadar suka-suka. Tak pernah terlintas nak cari nama. Masih jauh ketinggalan antara blogger-blogger yang lebih 'berkuasa'. Belum sampai tahap masuk surat khabar seperti Fatin Liyana. Belum sampai tahap popular macam Hanis Zalikha.


Banyak lagi blogger lain yang tak mampu aku tulis semua nama. Namun mereka tetap idola. Tanpa mereka aku takkan mampu melangkah jauh dalam dunia blog yang penuh pancaroba. Terima kasih para idola.


ps : Sebenarnya ada banyak cara nak buat ibu bapa kita bangga ;)


10 May 2012

sepatutnya awak jadi kekasih saya




Lama dah aku suka dia. Kiranya memang dah lama aku pendam rasa. Kerap kali kami bertepuk tampar ketawa bersama. Dia selesa dan ceria. Aku selesa dan bahagia. 




Pernah terlintas untuk aku luah rasa hati. Nak cakap aku tak berani. Jadi aku tulis dekat mesej tapi aku tak hantar sampai hari ini. Aku cuma mampu cakap dalam hati. Saya sayang awak dari dulu lagi. Saya harap awak terima cinta yang saya bagi. Semua itu aku jerit kuat-kuat dalam hati.


Aku tak berani cakap aku suka dia. Kadang-kadang aku tak tahu aku lelaki jenis apa. Dalam Facebook atau Twitter bukan main bising sini sana. Tapi dengan seorang perempuan yang aku suka aku tiba-tiba jadi macam anak dara. Penakut gila.


Pernah aku kata aku suka dia. Dia ketawa. Dia kata aku kuat bergurau senda. Kemudian aku tukar cerita. Sedangkan aku sepatutnya tegaskan apa aku kata. Ibarat aku tak boleh kawal diri aku bila aku dengan dia.


Hari ini sebab sikap tak berani aku itu aku terpaksa telan semua. Aku tak berani bagitahu dia aku suka dia. Jadi aku terpaksa beranikan diri tengok dia bahagia dengan orang dia suka. Salah aku juga.


Aku tak berani terus terang sebab takut dia tak terima. Sesal dulu pendapatan sesal kemudian tak guna. Jadi biar aku tanggung semuanya. Awak, awak tetap kawan saya sampai bila-bila.


ps : Hearts are often broken by words left unspoken ;)



06 May 2012

engkau isteri yang aku sanjungi




Dulu dia idola. Lelaki yang tidak menghiraukan apa orang kata lantas mengambil keputusan berani berkahwin di usia muda. Mengorbankan usia emas untuk wanita yang dia cinta. Dia perwira di mata dan jiwa.



Bahtera perkahwinan diharungi sepasang suami isteri. Dikurniakan pula dua anak kecil sebagai rezeki. Kalau dulu cuma suami sekarang digalas pula tugas bapa mithali. Dia aku sanjung tinggi. Dari pasak bumi hingga ke galaksi bimasakti.


Namun hari ini dia gila. Hari ini dia mahu tinggalkan keluarga. Tidak terbayang bagaimana isterinya hiba. Dan tidak tercapai akal nasib dua anak kecil yang masih tidak kenal dunia. Semua kerana seorang wanita.


Namun hati ini berfikir dua kali. Salah siapa kali ini? Adakah salah wanita itu kerana merampas seorang suami? Adakah salah isteri yang tidak pandai mengambil hati suami? Atau adakah salah suami yang tidak pandai menghargai isteri?


Ini bukan kisah Aidil Zafuan dan Rita Rudaini. Ini kisah benar yang sering terjadi. Kisah yang terpapar di slot drama kaca TV. Kisah yang pernah aku tengok dengan mata kepala sendiri.


ps : Krisis kekeluargaan adalah kesakitan yang amat menyeksakan ;)


02 May 2012

hari ini evolusi industri lucah malaysia





Dulu cita-cita aku adalah wartawan. Tak kira wartawan majalah atau akhbar harian. Janji aku bekerja di satu tempat yang membolehkan aku menulis tentang sesuatu kejadian. Janji wartawan.




Temuduga aku menemui kegagalan. Jadi aku menyambung pelajaran dalam kursus yang aku ambil sekarang dalam keterpaksaan. Cita-cita wartawan semakin hari semakin aku tinggalkan.


Pagi ini satu akhbar aku baca. Tertera di muka depan tajuk 'Skandal Seks Pelanduk Dua Serupa'. Gila. Ini akhbar yang dibaca jutaan mata. Ini akhbar yang dijual merata-rata.


Wartawan yang menulis membuatkan martabat wartawan bergoncang. Akhbar tersebut menyiarkan keratan gersang. Cerita seks terpampang. Dan keratan berita ini tidak ubah seperti majalah Mangga atau FHM yang memaparkan gambar gadis separuh telanjang.


Aku cuma sangsi dengan tiga benda. Yang pertama di mana kredibiliti wartawan yang pernah aku sanjung dulu kala. Yang kedua kesan kepada kanak-kanak yang belum tahu apa-apa. Dan yang ketiga bagaimana mudahnya fitnah disebar demi pangkat dan kuasa.


ps : Barangsiapa mengaibkan orang atas dunia, Allah akan buka aib dia di akhirat sana ;)



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...