My Dongsaeng. My Oppa. My Noona.

28 April 2012

rindu rinduan jadi kenang kenangan





Dia lelaki yang keras hati. Dia lelaki yang ego tinggi. Dulu dia pernah bercinta sekali. Namun mereka terpisah kerana masalah sendiri. Perempuan itu merayu simpati mahu hubungan disambung kembali. Tapi lelaki berkeras hati.




Perempuan itu menulis di blognya perasaan rindu yang menyakiti. Perempuan itu menulis di muka buku rasa terkilan di sanubari. Perempuan itu Tweet tentang rindu kepada lelaki itu berkali-kali. Namun lelaki itu mendiamkan diri. Langsung tiada simpati diberi. Dasar hidung tinggi. 


Kisah itu reda bila lelaki itu mula bercinta. Kekasihnya entah perempuan mana. Tidaklah secantik yang lama tapi mungkin ada sesuatu yang cuma lelaki itu nampak di matanya. 


Kemudian sampai berita mereka putus di tengah jalan. Terbaca satu ayat tentang kegagalan mengawal api kemarahan. Sah lelaki itu ditinggalkan. Entah apa yang dimaki tapi pasti sesuatu yang agak teruk bagi seorang perempuan. 


Kini tiba giliran lelaki itu merindu. Menangis merayu di muka buku. Mungkin kini dia faham hati yang pilu. Atau mungkin kini dia kenal erti seorang perindu. Namun yang pasti memang benar roda berputar setiap waktu. Takkan selamanya kita di atas selalu.


ps : Karma. Kalau hari ini kita gembira, tak mustahil esok lusa kita berduka ;)




19 April 2012

perempuan buka mata lelaki baik kan ada





Dulu dia cuma senarai pilihan. Tidak ubah seperti buah catur barisan depan. Buah yang akan menjadi korban. Bukan permaisuri yang akan dikawal rapi tentera kerajaan. Dia cuma buah yang cuma memberi sedikit bantuan. Tapi dia rela sebab baginya lelaki itu memberi kekuatan.




Tahun pertama dia rela. Masuk tahun kedua dia masih setia namun sedikit gundah gulana. Lelaki itu mula menukar suasana. Tidak lagi ceria. Ada kala diam tanpa kata. Dia cuma diperlukan bila lelaki itu bosan dan tiada teman bersama.


Aku cuma perhati. Aku malas bertaruh tinggi. Aku tahu yang akan menang pastinya lelaki. Tapi biar aku tonton sinetron ciptaan sendiri. Duduk bersila di depan sekali menyuap popcorn di tangan kanan dan air Coca Cola di tangan kiri.


Seringkali lelaki menjadikan perempuan sebagai senarai pilihan. Kuasa di tangan lelaki yang biasa dituturkan. Tapi dalam hal hati dan perasaan yang kecundang kebanyakannya perempuan. Akhirnya dijadikan jantina sebagai alasan.


Ada lelaki yang buat cinta sekadar permainan. Ada lelaki yang buat cinta cuma medan menguji tajam tumpul mata kail yang disimpan. Lidah adalah mata kail untuk memancing perempuan sebagai ikan menggunakan ayat manis sebagai umpan. Yang jadi mangsa tetap perempuan, bukan ikan.


Perempuan sekalian. Dia dulu pernah jadikan kau alat permainan. Dulu dia pernah jadikan kau senarai pilihan. Sekarang jadikan dia sejarah yang hilang dan dilupakan. Sedarlah masih ramai lelaki di luar sana yang budiman.


ps : Lelaki baik di luar sana, ini back up anda semua. Jangan lupa belanja ;)




14 April 2012

empat kata tiga hati dua dunia satu cinta





Lima tahun yang aku perlukan untuk nampak keistimewaan kamu. Lima tahun kamu di depan mata tapi aku tak tahu. Lima tahun kita berkawan sebelum aku sedar aku dan kamu sebenarnya sebulu. Lima tahun yang cukup untuk kamu label aku lelaki tak malu. Lima tahun yang aku biarkan kamu lihat sisi gelap aku di segenap penjuru.


Entah dari mana dia tiba. Dia yang pertama nampak keistimewaan kamu sebenarnya. Aku cuma nampak selepas dia cerita. Aku yang kedua. Aku dan dia bersaing untuk kamu yang sebelum ini bukan siapa-siapa. Pilihan di tangan kamu sepenuhnya. Sama ada aku yang kamu tahu semua atau dia yang baik budi pekertinya.




Akhirnya kamu buat keputusan juga. Cuma tidak kena masa. Seminggu sebelum peperiksaan kamu beritahu aku yang kamu pilih dia. Aku kelu tak terkata. Aku pujuk hati untuk mengambil peperiksaan dengan sisa-sisa yang ada. Dan keputusan aku merosot serta merta. Merosot kerana cinta yang manusia zaman dulu sembah umpama berhala.


Atas dasar satu kumpulan yang sama, aku mula berbaik dengan dia. Aku terpaksa. Kumpulan kami kecil jadi bergaduh sesama sendiri sangat tak guna. Aku sudah mula terima kenyataan kebahagiaan kamu adalah dengan dia. Aku tinggalkan kamu dan teruskan persahabatan dengan dia.


Aku ingat lagi bila kamu tanya kenapa kita dah tak rapat macam biasa. Aku kata aku tak nak ganggu kamu dan mahu kamu bahagia. Aku hantar mesej "Tapi saya sayang awak..." sebagai penutup cerita.


Mesej itu sebenarnya untuk balas dendam mesej kamu hantar dulu. Mesej "Saya sayang awak tapi..." yang buat hati aku separuh mati. Empat perkataan sama cuma berbeza erti.


Itu kisah lama yang masih terpahat di sanubari. Bukan mahu berdendam cuma mahu menghargai. Terima kasih ikhlas dari hati. Keputusan kamu buat dulu membuatkan aku dan dia berkawan sampai hari ini.


ps : Aku bukan spesies yang bergaduh dengan kawan sebab perempuan ;)




12 April 2012

tanpa idola hidup kita tak ke mana





Aku ada idola. Lebih dari seorang kiraannya. Aku kagum dengan pencapaian mereka. Aku mahu jadi sebegitu rupa. Semua kejayaan mereka kalau boleh aku juga mahu rasa. Aku rasa semua orang juga sama.




Pernah aku meneliti tentang idola aku secara terperinci. Di Wikipedia, di Facebook serta seluruh Internet aku cari. Cuma ada satu perkara yang remeh tapi agak menarik untuk diperhati. Idola aku itu juga ada idola mereka sendiri.


Aku berfikir seketika. Aku jadikan dia sebagai idola. Dia jadikan dia yang satu lagi sebagai idola dia. Dan dia yang satu lagi jadikan dia yang lebih hebat sebagai idola. Tidak ubah seperti putaran roda.


Jadi aku percaya idola bukan setakat mengagumi seseorang semata-mata. Idola adalah matlamat hidup yang ingin dirasa. Idola buat kita percaya. Idola buat kita gagah perkasa. Idola buat kita rasa mahu jadi lebih sempurna.


ps : Wajib bagi umat Islam menjadikan Rasulullah SAW sebagai idola pertama ;)




02 April 2012

lima artis yang memberi harapan hidup





Tak ada intro. Apa yang ada dalam kepala aku just follow.


Eminem menegaskan walau sesusah mana kehidupan kita pasti akan dapat mengharunginya. Biar banyak malapetaka yang tiba tidak ada orang yang akan dapat tolong diri kita kecuali kita.





Michael Jackson pula mengajar untuk sentiasa menyayangi sesama manusia. Tidak kira warna kulit tidak kira agama tidak kira bangsa tidak kira di bumi atau di alam semesta. Cinta sesama manusia, cinta flora dan fauna, cinta yang Maha Kuasa.


Taylor Swift mengingatkan perempuan bahawa bukan semua lelaki akan melayan perempuan sebaik-baiknya. Dia meyakinkan bahawa masih ada lelaki seperti Romeo si putera raja. Untuk memikat lelaki, tidak perlu memakai skirt pendek tapi yang penting ialah jangan berputus asa.


Bruno Mars memberitahu betapa baiknya menjadi kawan yang setiasa ada untuk kawannya. Biar gelap tiada cahaya atau sukarnya melelapkan mata, jadilah kawan yang boleh diharap semudah kiraan satu dua tiga.


Lady Gaga kata, ada baiknya jika berbeza. Kata dia dalam lagu dia. Dalam buruk dia tetap ada baiknya. Dia mengajar untuk menjadi lain daripada yang sedia ada. Bila buat sesuatu cuba buat yang tak tercapai akal minda. Biar orang kata gila yang penting puas itu kita rasa.


Di sebalik lagu yang direka pasti ada cerita di sebaliknya.
Dan di sebalik cerita pasti ada pengajaran untuk kita.


ps : Aku ketagih dengan lirik yang dicipta bukan muzik yang bergema ;)




01 April 2012

beri dia cinta dia juga berhak bahagia





Aku dah bosan bercinta. Itu kata dari mulut dia. Bosan kerana cinta lama dianiaya. Kasihan juga. Hampir gila dibuatnya.




Yang seorang lagi kunci hatinya. Dia tidak mahu lagi jadi seorang yang mudah jatuh cinta. Tidak mahu lagi jadi seorang yang mudah termakan pujukan kata-kata.


Dia pula lebih gemar berkawan daripada ada rasa cinta. Walaupun dia ramai kawan berlainan jantina bagi dia semua sama. Dia tahan hati dia. Pernah juga dia tewas tapi dia lawan kata hati yang meminta. Bila hati bersuara, pasti hati itu menangis hiba.


Pasti ada suara yang kata cinta Tuhan yang kekal selamanya. Tidak perlu ingatkan itu semua. Itu memang lumrahnya. Cuma mereka di atas ini istimewa. Sebab susah mahu cari manusia yang tidak percaya pada cinta.


Ini peringatan kepada yang belum bercinta. Hanya kerana seseorang pada masa lampau membuat hati anda patah sejuta, tak bermakna seseorang pada masa akan datang akan melakukan perkara sama. Teruskan percaya.


ps : Selamat tinggal Mac, jumpa lagi tahun depan kalau umur panjang ;)




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...