My Dongsaeng. My Oppa. My Noona.

29 April 2011

lelaki dan ego tak dapat dipisahkan



Kunkun!!


Mengeluh. Terlalu kerap keluhan itu keluar dalam tempoh seminggu ini. Masalah? Memang. Semua kerana masalah. Setiap orang ada masalah mereka sendiri tidak kira besar atau kecil. Dan setiap masalah, ada jalan penyelesaiannya. Lagipun hidup ini kalau tidak ada masalah, tidak menarik. Betul?


22 tahun hidup, pertama kali melalui masalah sebegini. Entah siapa yang tidak berpuas hati, mencalarkan satu-satunya kereta yang selama ini menjadi kaki. Mungkin bergesel dengan kenderaan lain, kata mama. Tapi tidak. Memang itu calaran dari orang yang tidak berpuas hati. Tapi kenapa? Ahhh! Stress. Mengeluh. Walaupun pahit, terpaksa terima hakikat, bukan semua orang sukakan kita sebab kita sendiri bukan suka dekat semua orang. Menarik bukan hidup ini? Mengeluh lagi.



Maka cerita kereta kesayangan dicalarkan menjadi status Facebook. Ya, kawan-kawan komen. Memberi kata semangat, mengutuk pelakunya. Tukang 'Like' status juga sukakannya. Tapi walau 1000 'Likes' ditekan, tidak dapat mengubah apa-apa. Calaran itu tetap sama, tidak bertambah atau berkurang walau seinci.


Ceritanya berterusan bila satu pesanan ringkas diterima. Si dia menyuruh bersabar, membuat satu cerita kelakar dari kejadian itu. Tapi maaf, mood hilang. Jangankan ketawa, senyum pun berat untuk diukir.


Tapi dia tetap memberi kata semangat walaupun berbentuk sindiran. Apakah dia masih berpegang pada janjinya? Untuk tetap bersama walau susah dan senang. Patutkah ditanya? Biarkan. Biarkan aku dengan andaian aku sendiri. Terima kasih kawan, kau masih kotakan janji itu walaupun tidak pernah aku tuntut.


Si dia hanyalah seorang kawan yang pernah rapat satu ketika dulu. Tapi aku renggangkan persahabatan itu selepas dia meluahkan isi hatinya. Berkawan dulu baru ceritanya sempurna bukan? Mengeluh. Tidak semua cinta itu indah. Cinta, kau dah renggangkan aku dengan dia.



Maaf kawan, walaupun ego yang selama ini dijunjung tinggi telah direndahkan, perasaan sayang itu tetap sayang seorang kawan. Langsung tidak bertukar lebih dari itu.


Tak sangka, dia sayangkan aku sampai macam tu sekali.
Tapi maaf, aku pernah cuba sayang dia tapi aku gagal.
Maaf kawan, aku gagal sayang kau macam kau sayang aku.
Maaf ego, aku terpaksa turunkan sedikit darjat kau demi kebahagiaan aku.


ps : Kalau cinta satu permainan, maka cinta bukan permainan kegemaran aku.


Kunkun!!



22 April 2011

kita buat cinta itu nampak kotor



Kunkun!!


Cinta. Mengenali sebuah cinta tidak semudah menyebut perkataan cinta itu sendiri. Seringkali telinga ini disuap lagu-lagu cinta di corong radio. Seolah-olah cinta itu amat indah. Betul. Memang indah jika semuanya sempurna. Tapi bila retak dan perlahan-lahan merekah cinta, yang dipuja selama ini cuma indah khabar dari rupa. Bukan?



Pernah aku cuba jadikan cinta itu mudah. Kerana aku bosan putus cinta kerana kesukarannya. Setahu aku cinta itu tidak menyusahkan. Cuma sedikit ego, perasaan tidak puas hati, tidak bersyukur, janji yang terabai, penantian yang tiada penghujungnya, salah sangka, dan semua perkara yang menyakitkan menyebabkan cinta itu menjadi tidak cantik. Kotor.


Dan aku gagal. Cinta itu tidak semudah yang disangka. Tidak semudah menyebutnya. Menjaga cinta, umpama menjaga hati seseorang yang kita tidak kenal. Berkawan bertahun tidak bermakna anda layak menjaga hatinya. Menjaga hati seorang kawan berlainan jantina jauh lebih mudah daripada menjaga hati seorang kekasih.



Aku pernah merasai keindahan dengan mengorbankan cinta pertama.
Aku pernah merasai kekejaman dalam percintaan yang kedua.
Aku pernah merasai ketidakadilan darjat dalam episod cinta yang ketiga.
Aku pernah merasai kegagalan cinta keempat walaupun dijaga setiap masa.


Dan aku tidak pernah meletakkan seratus peratus kegagalan setiap kisah cinta aku di bahu dia. Kerana aku sendiri melakukan kesilapan. Dan aku tidak menyesal dalam setiap kegagalan itu. Benar, ada antaranya salah aku. Tapi memulakan sesuatu yang baru lebih baik daripada meratapi kegagalan yang ada.



Cinta mengajar aku, perkataan 'Maaf' tidak menjanjikan dua hati akan bersatu kembali. Dan semudah janji diungkap, memungkirinya lebih mudah daripada mengotakannya. Terima kasih cinta untuk segalanya.


Tahniah. Kita buat cinta itu nampak kotor.




ps : Aku adalah lelaki yang pantang menyerah memikat wanita.


Kunkun!!




19 April 2011

jangan meminta jika mampu berusaha





Kunkun!!


Hari itu, hari Jumaat. Seorang budak lelaki berumur 12 tahun bersarapan dengan ibu bapanya di sebuah warung roti canai. Selepas menghabiskan sebiji roti canai telur, budak lelaki itu menambah satu lagi roti canai telur.


Ayah : Esok papa kena outstation. Seminggu kat Labuan.
Ibu : Lusa mama pulak kena pergi Cherating 4 hari.
Anak : Lamanya. Buat apa?
Ibu : Kerjalah. Abang duduk rumah nenek ye?
Anak : Ye. Tak bosan ke asyik kerja je?
Ayah : Tak lah. Cari duit untuk keluarga mana boleh bosan.
Ibu : Abang jangan harapkan orang je. Cari duit dengan usaha sendiri.



Sepuluh tahun kemudian, seorang remaja lelaki sedang makan malam bersama ibu, bapa dan adik perempuannya di Pizza Hut. Selepas menghabiskan salah satu menu pizza yang ditempah, dia menambah sup untuk ibunya dan salad yang menjadi kegemaran bapanya.


Anak : Makanlah. Ni duit gaji abang.
Ibu : Banyak ke gaji bulan ni?
Anak : Adalah sikit. Boleh la nak hidup. Campur OT.
Ayah : Ada slip gaji tak? Meh tengok kejap.
Anak : Nah.


Ibu bapanya meneliti slip gaji tersebut.
Tidak terlalu tinggi gajinya, tapi cukuplah.


Ibu : Sebab apa lagi banyak dari bulan lepas?
Anak : Sebab banyak buat OT.
Ibu : Rajinnya. Betul ke anak mama ni?


Ibu, bapa dan adik perempuan remaja itu ketawa. Satu gurauan yang agak kasar. Remaja itu sempat berfikir, adakah semasa dia lahir, dia tertukar dengan bayi lain? Mungkin dia anak seorang jutawan tapi jururawat tersilap menyerahkannya kepada keluarga lain. Tapi tak, sebab memang muka dia dan ibunya seiras.



Pedulikan. Kalau betul pun, dia tetap mahukan keadaan sekarang. Yang dia tahu, dia dididik dengan sempurna. Diasuh untuk menjadi anak yang berdikari. Seorang anak yang tidak dimanja. Seorang anak yang hanya dibiarkan oleh keluarganya walaupun dimarah dan ditengking majikannya. Kejam? Tidak. Semua itu proses mengenal erti kehidupan.


Ibu : Abang berhenti la kerja tu. Macam penat je mama tengok.
Anak : Tak nak! Belum masanya lagi.


Hidup dia biar dia yang tentukan. Itu kata ibunya. Si anak, langsung tiada masalah untuk meminta wang saku dari ibu bapanya. Namun si anak itu menolak. Dia memilih jalan susah. Kerana dia mahu membuktikan segala tunjuk ajar ibu bapanya tidak sia-sia. Dan si anak itu langsung tidak cemburu melihat rakan sebayanya yang hanya terperap di rumah dan menjadikan ibu bapa mereka bank sampingan.



"Hidup dia biar dia tentukan. Jodoh dia biar dia carikan."


Okay. Tak sepatutnya ada kaitan jodoh dan jiwang dalam entry ini. Maaf.


Betul kata mama, kepuasan mencari rezeki dengan titik peluh sendiri memang sangat bererti.


ps : Hasil kerja keras aku, aku dapat beli kereta tadi. Hot Wheels. Serius cun.


Kunkun!!



18 April 2011

ada masanya kita perlu bersendirian





Kunkun!!


Agak lama blog hitam ini tidak terusik. Bukan saja tidak terusik, malah langsung tidak dijenguk. Kejam bukan? Biarkan. Sebab blog hitam ini faham apa sebenarnya yang berlaku. Sebab blog hitam ini sangat setia mendengar setiap luahan isi hati tuannya. Serius aku akan ajak blog hitam ini couple kalau dia seorang wanita. Biarlah hitam, asal setia.



Tidak terusik, tidak bermakna tidak sayang.




Kawan, atau rakan, ialah orang yang kita kenal dia dan dia kenal kita. Sahabat pula, sama seperti kawan tapi lebih rapat dengan kita. Sahabat ialah orang yang tahu keburukan kita tetapi masih mahu berkawan dengan kita dan cuba mempertahankan kita daripada keburukan kita sendiri. Kawan pula, orang yang tahu keburukan kita, masih berkawan dengan kita tapi cuba menjatuhkan kita dengan berpelurukan keburukan kita.



Aku ramai kawan. Di Facebook, jumlahnya lebih dari 1000 orang. Tapi sahabat aku di Facebook, tak lebih dari 20 orang. Serius.



Hari itu, aku memilih untuk mengasingkan diri. Lari dari dunia realiti. Angkat kaki dari dunia fantasi. Lari dari Twitter, lari dari Facebook, lari dari Bernafas Dalam Ego sendiri. Jika diizinkan aku mahu lari dari diri sendiri. Kerana aku mahu dianggap loser sejati.




Sebab itu bersendirian menjadi pilihan hati. Loser sejati yang mengasingkan diri. Cintaku diragut pergi, laptop pula diberi, kenderaan persendirian dihantar untuk dibaiki, telefon bimbit dibiarkan tiada bateri, akhirnya yang dipilih tidur sepanjang hari, makan nasi tidak berasa nasi sampai air Ribena di tekak terasa kangkung basi.



Ada sahabat yang nampak perubahan itu. Mereka memanggil, menghulurkan pelampung semasa aku terkapai-kapai. Tapi aku menolak. Aku mahu berenang sendiri. Biarlah lemas sekalipun. Maaf, tapi terima kasih sahabat.



Hanya ini caranya. Walaupun ramai kawan, ada masanya kita lebih suka bersendirian. Dan saat itu, satu perasaan akan muncul. Satu semangat akan timbul. Perasaan magik di mana kita merasai kemanisan kesedihan. Semangat selepas kita termenung, menangis dan melepaskan semuanya pergi. Perasaan seorang loser yang bangkit dalam kelemahan. Perasaan seseorang yang tidak menyerah kalah walaupun di ambang kekalahan. Bagaikan sebuah pasukan yang bermain dengan kekurangan seorang pemain dan ketinggalan satu gol ketika berhadapan pasukan terbaik dunia. Okay. Itu perlawanan Real Madrid dan Barcelona dua hari lepas.




Dan selepas itu, kita akan bangun sendiri. Membina kehidupan baru yang pada asalnya sebuah kegagalan. Kerana setiap pengakhiran adalah sebuah permulaan yang baru. Dan kita, belajar dari kesilapan kita.



You can say I am a loser, but sometimes a loser wins.



ps : Dua tiga hari ni aku angau dengan Iphone.



Kunkun!!



12 April 2011

jangan pernah kau cuba berubah




Kunkun!!


Aku tak tahu dah berapa ratus kali kau pernah sebut kau kuat. Dulu, bila kau sakit, kau masuk hospital, kau sedih, tapi kau tetap bagitahu aku kau kuat. Dan aku tak pernah membantah walau sekali. Sebab aku tahu kau tak tipu. Cuma ada sekali dua kau tumpang bahu aku untuk kau menangis. Tapi kau memang kuat. Aku akui.

All For One | Everything I do, I do it for you


Tapi sekarang, bila kau dalam kesusahan, bila aku dah tak dapat bagi bahu aku untuk kau sandarkan, aku harap kau tetap kuat. Malah setiap hari aku doakan kau semakin kuat. Mungkin aku tak dapat faham sedalam mana kesedihan kau, tapi percayalah kalau aku ada kuasa, biarlah aku yang tanggung semua yang sedang rasa sekarang. Sebab berat hati aku nak tengok kau bersedih.


Aku harap sangat kau tak berubah. Walau seberat mana dugaan yang Tuhan bagi, aku harap kau tetap tabah. Aku cuba tolong sedaya mampu. Aku bagi kau semangat selagi terdaya. Sebab aku tak suka tengok kau sedih.


Aku tak boleh janji aku dapat selesaikan semua masalah kau, tapi aku janji aku takkan biarkan kau hadapi semua masalah kau tu seorang diri. Aku sentiasa ada dengan kau. Janji.


"If one day you want to cry, just call me
I can't promise I will make you laugh but I can cry with you
If one day you want to run away, just call me
I can't promise I will make you stop but I can run with you
If one day you tell me you're still in love with me
I promise I will tell you I am still loving you..."

When I Close My Eyes Forever | That's when I'll stop loving you


You might be my ex, but I am always here for you.


ps : Be strong okay. Kalau ada rezeki mesti jumpa balik laptop tu.


Kunkun!!



08 April 2011

kisah tak sempurna untuk kita kenang







Kunkun!!


Seringkali kita mengatakan kita tidak sempurna. Dan setiap kali itulah, orang lain akan mengatakan benda yang sama. Membandingkan tahap tidak sempurna antara satu sama lain. Semua orang mahu mengatakan hidup mereka jauh tidak sempurna daripada kita. Dan seterusnya. Realitinya, tiada seorang pun yang sempurna. Maksud aku, sempurna dari segi mental, bukan fizikal. Aku percaya tiada seorang pun yang hidup mereka sentiasa gembira. Walaupun setiap hari ada benda menggembirakan dalam hidup mereka, tetap tercalit segaris kesedihan dalam perenggan lain hari mereka. Segaris kesedihan? Hidup aku tercalit setompok.



Kawan : Kakak Apih jangan la sedih ye.
Aku : Eh? Kau kenapa?
Kawan : Pasal entry sedih semalam la.
Aku : Oh... Semalam je, hari ni tak.
Kawan : Kau buat setiap hari pun takpe, aku suka.
Aku : Hahaha... Yang lain biar aku simpan.
Kawan : Kalau benda betul, buat apa kau nak simpan?
Aku : Kalau benda betul, perlu ke bagitahu semua orang?
Kawan : Entah. Yang mana satu betul?
Aku : Entah. Aku pun tak tahu.
Kawan : Hahaha... Rileks. Jangan tunjuk kau lemah.
Aku : Bukan. Aku cuma nak orang tahu aku tak sempurna.
Kawan : Maksud kau?
Aku : Aku nak orang tahu aku bukan happy setiap masa.
Kawan : Ye ke? Aku tengok kau gelak je setiap masa.
Aku : Aku gelak tapi orang tak tahu aku ada masalah.
Kawan : Oooo... Fake smile la selama ni ye!
Aku : Hahaha... Apa-apa je lah kau.


Sebenarnya bukan sekali orang tanya soalan macam tu. Banyak kali. Ramai. Kenapa aku suka cerita masalah dekat blog? Entahlah. Aku rasa, setiap masalah aku, bukan aku saja yang rasa. Walaupun kawan-kawan sekeliling aku takde masalah macam tu, mungkin kawan-kawan dekat blog ada. Atau, manusia lain dalam dunia ni.


Lagipun, aku tak suka orang anggap hidup aku sempurna. Bila orang cakap aku sentiasa happy, aku hanya dia. Aku tak tunjuk emosi depan orang. Aku tak nak jadi orang yang 'spoil' satu-satu benda hanya sebab aku emo. I am smiling but that doesn't mean I am okay.



Bukan hidup namanya kalau tiada masalah. Cuma terpulang pada kita untuk memilih. Pendam, atau luahkan. Dan aku dah pilih salah satu. Aku bukan orang yang gembira setiap masa. Sebab ada masanya, aku cuma rumput yang dipijak dan diludah.


ps : He's my bestfriend ever. You break his heart, I will break your legs :)


Kunkun!!






07 April 2011

bila cinta kini tak lagi bermakna






Kunkun!!


Ingat tak pertama kali kita jumpa dalam hujan?
"You tak kisah ke I culik you dari diorang?"
Itu ayat pertama yang saya ucapkan
Akhirnya 'I' dan 'You' bertukar 'Baby' dan 'Sayang'


Tengah hari tu saya cakap nak kenal rumah awak
Awak tak bagi tapi saya nekad datang jugak
Awak cakap muka awak kelakar tapi saya rasa tak
Walaupun panas tapi awak tetap cantik saya nampak


Tapi cabaran demi awak sangatlah berat
Saya dipaksa kerah semua tulang empat kerat
Mulut cakap "Kalau boleh nak jadi sahabat"
Tapi hati kata "Kalau boleh nak naik satu peringkat"


Ingat tak kita dating malam 22 Januari?
Kat Teluk Warisan, bulan bintang jadi saksi
Dalam tak sedar awak kiss saya kat pipi
"Happy birthday Afif Rashdan. I Love You Baby..."


Semalam kita bahagia hari ini gaduh lagi
Semua silap saya sampai awak hilangkan diri
Ada tips cakap kek dapat pujuk kekasih hati
Last-last kita share kek Secret Recipe


Awak cakap lagu Ne Yo - One in a Million tu kita punya lagu
Masuk je dalam kereta mesti cepat-cepat awak cari lagu tu
"There's a million boys around but i don't see no one but you"
Ingat tak awak reka lirik tu masa kita dating subuh Sabtu?


Semakin hari tangan digenggam semakin erat
Semakin hari bisikan kita semakin dekat
Semakin hari tubuh dipeluk semakin kuat
Semakin bersemangat walaupun malam semakin lewat


Ada kawan bertanya, "Kau cintakan dia?" dan aku kata
"Aku perlukan dia macam aku perlukan udara"
"Aku cintakan dia seperti dia cintaku yang pertama"
"Dan dia melengkapkan aku seperti lagu dan irama"


Ingat tak kita sama-sama minat Scha Al Yahya?
Lepas tu awak cakap saya tiru awak minat Awan Dania
Lagi tak boleh lupa kita nyanyi kuat-kuat lagu Adira
Macam tak logik kita masih tak dapat bersama


Akhirnya berakhirlah kisah cinta yang terlarang
Kita manusia biasa hanya bisa merancang
"I love you forever sayang..."
Sebelum talian dimatikan di hujung ganggang


Aku terima kalau ini jalan takdirku
Asalkan kau bahagia dengan hidupmu
Mencintaimu pun adalah bahagia untukku
Kerana kamu, aku lepaskan kamu


Entah kenapa setiap kali aku bersendiri
Terkenang kenangan kita yang dah jadi memori
Pilu rasa hati bila kau tiada di sisi
Itu yang aku rasa setiap saat, setiap hari


Aku bukan bulan yang menyinari malammu
Aku bukan matahari yang menghangatkanmu
Aku bukan pelangi yang mewarnai hidupmu
Aku bukan bintang yang menghiasi dirimu


Pernah satu malam aku bercakap dengan bulan
"Kau gila?" tanya seseorang dan aku jawab perlahan
"Aku rindukan seseorang yang kini hanya kawan"
"Aku bukan Shahir yang temu kebahagiaan dalam perpisahan"


Kawan berpesan, "Rileks bro, yang hilang akan berganti"
Aku tersenyum, sekadar mengambil hati
"Thanks bro, nasihat kau aku hargai"
"Tapi yang mengganti tak sama dengan yang hilang tadi"


Kau terbaik yang pernah aku ada
Walaupun hanya untuk sekejap saja
Tapi keindahannya tetap buat aku bahagia
Walaupun aku rasa tiada sempurna cerita cinta kita


"Hanya satu pintaku untukmu dan hidupmu"
"Baik-baik sayang ada aku untukmu"
Walaupun yang selalu marah dan cemburu itu aku
Tapi yang terbaek dari ladang hanyalah kamu!


Namamu aku ukir indah di blog hitam ini
Semoga kau mengerti cinta kita tak direstui
Walaupun berat aku terpaksa lepaskan kau pergi
Biar kisah cinta kita bersemadi abadi di sini


Perasaan ini takkan pernah mati
Walau sampai akhir hayat ini
Saya tunggu awak di syurga nanti
SHAFIF akan selamanya kekal di hati



ps : Surat tanpa setem, nota bawah botol air, ayam McD takde sos, burger Benjo makan satu satu, perfume Enchanteur Bella Amor, teh ais bungkus, banyak lagi kalau nak tulis semua. Saya tak kisah awak lupakan saya tapi jangan lupakan kenangan kita ye.

ps : Aku sengaja tak 'Align Center' untuk entry ni.

ps : Aku tak sedih dah. Jadi jangan suruh aku "Jangan sedih" okay :)


Kunkun!!



06 April 2011

kisah cinta monyet jantan 2



Kunkun!!


Untuk Kisah Cinta Monyet Jantan 1, klik [sini].



Berakhirnya kisah Fifi, aku memulakan kehidupan di sekolah menengah harian biasa yang bercampur lelaki dan perempuan. Sama suasananya macam sekolah rendah aku dulu cuma kali ni watak berubah.


Bergelar pelajar sekolah menengah, enjoy dengan kawan-kawan adalah sangat berharga. Sampai satu tahap aku langsung takde nafsu nak bercinta walaupun ada beberapa kerat perempuan yang boleh buat aku tak berkelip bila tengok diorang. Sesekali tu ada jugak dapat surat cinta tapi aku tak pernah balas sebab tak kenal pengirimnya. Bersama beberapa orang kawan yang satu kepala jahatnya, kami membina satu geng bernama GC.


Masa tingkatan 3, sebab nak PMR, aku dipaksa tuisyen tak jauh dari rumah aku. Naik basikal je. Aku sendiri tak tahu macam mana aku boleh terjebak tuisyen kat situ sebab aku sorang je dari sekolah aku, classmate tuisyen aku semua dari sekolah budak-budak bijak. Budak-budak sekolah aku pun bijak-bijak, aku je yang tersongsang sikit. Hahaha...


Masa tu nak PMR, jadi aku tak layan sangat budak-budak perempuan ni. Okay tipu. Sebenarnya budak perempuan tuisyen aku semua baik-baik sampai aku rasa macam makhluk asing dalam kelas tu. Ada seorang dua yang aku pernah jumpa tapi tak pernah tegur. Dah la sekolah lain-lain, kalau tegur dia tak layan kang, hilang ego aku beb.



Oleh sebab makhluk asing ni takde kawan dalam kelas tu, aku selalu duduk hujung sekali tepi pintu. Takde orang nak duduk dekat situ sebab dekat dengan tong sampah. Aku je. Kadang-kadang tak tahan jugak baunya, tapi sebab nak balik awal punya pasal, aku berkorban apa saja.


Dalam kelas aku, ada budak nama Izzati, budak sekolah agama. Separuh dari kelas aku budak sekolah dia. Tapi dia macam tak join diorang je. Aku tak tahu kenapa. Budak sekolah dia semua pakai baju kurung, tudung labuh tapi dia ni asyik pakai T-shirt, seluar Jeans dan kasut Converse. Unik. Dia selalu bagi aku coklat Hacks. Dia masuk kelas, letak coklat atas meja aku kemudian terus duduk dekat tempat dia. Aku yang memang dah bengap masa tu cuma anggap dia ni banyak coklat jadi dia bagi kat aku sikit.


Jadi selama setahun tuisyen, selama itulah aku dapat coklat free. Pernah sekali aku perhatikan, dia bagi kat aku je. Dia langsung tak bagi kat budak lelaki yang dari hari pertama aku masuk kelas, asyik mintak nombor telefon Izzati ni. Aku rasa dia tak suka budak lelaki tu. Aku pun tak suka sebenarnya. Sombong semacam je. Padahal datang tuisyen jalan kaki. Lainlah aku, naik basikal. Siap pasang tongkat aloi warna Purple.


Hari terakhir tuisyen, seminggu sebelum PMR, Izzati datang dengan basikal. Selama ni ayah dia hantar. Dia parking basikal dia tak jauh dari basikal aku. Masa balik tu dia datang sebelah. Dia mintak nombor telefon aku. Aku bagi je lah dengan muka bangga. Awek mintak nombor bro! Lepas dia siap salin kat handphone dia, dia terus belok masuk lorong mana entah.



Lepas PMR, aku beli Playstation. Aku main games sampai tak makan minum. Sampailah satu petang tu, ada call dari nombor tak dikenali.


Izzati : Hello, Apih ada?
Aku : Apih la ni. Sape eh?
Izzati : Izzati ni. Yang selalu bagi coklat tu. Ingat lagi tak?
Aku : Ooo... Ingat. Awak nak bagi coklat lagi ke? Hahaha...
Izzati : Tak. Nak ajak pergi KFC. Lama tak jumpa awak.
Aku : Sekarang ke?
Izzati : Yelah. Asyik belanja coklat je, kali ni nak belanja KFC. Jom!


Mata aku menjeling kat TV yang terpasang game Winning Eleven yang aku Pause tadi.


Aku : Sorry awak. Saya ada keje sekarang ni.
Izzati : Ye ke? Takpelah. Assalamualaikum.
Aku : Waalaikumsalam. Sorry.


Suara dia bertukar tegas. Ada bunyi hampa. Aku runsing untuk beberapa saat. Tapi lepas letak je telefon, aku terus sambung main game. Aku rasa masa tu akulah satu-satunya lelaki yang tolak perempuan sebab game.



Selang dua tahun, masa SPM, aku tuisyen kat situ jugak. Aku ada tanya budak lelaki sekolah agama tu pasal Izzati ni, dia cakap lepas PMR, Izzati tukar sekolah lain. Sekolah berasrama penuh kat negeri lain.


Tu lah cerita terakhir pasal Izzati yang aku dengar. Walaupun aku rasa ni bukan kisah cinta, tapi aku hargai jasa dia. Kalau sehari dia belanjakan 20 sen untuk aku, sebulan aku tuisyen 16 kali, 10 bulan aku tuisyen 160 kali. Jadi dia dah belanjakan RM32.00 untuk aku. Terima kasihlah Izzati sebab selalu belanja coklat. Awak je yang nampak kehenseman saya masa saya umur 15. Hahaha...


Kunkun!!




05 April 2011

berani budak itu panggil aku kakak







Kunkun!!


Minggu lepas, hujan lebat menjadi teman setiap hari. Jadi pelanggan tak ramai. Apakah cuaca memainkan peranan kunjungan ke 7-Eleven? Tapi takpelah tak ramai pun. Boleh aku berehat.


Suatu petang yang lebat hujannya, masuk seorang budak lelaki berbaju sekolah rendah. Seperti biasa, aku menghulurkan senyuman, adat melayan pelanggan. Budak tu tak tengok aku tapi terus mengambil coklat Mentos dan meletakkannya di atas meja. Tiba-tiba wajahnya berubah.


Budak Lelaki : Kakak ni lelaki ke perempuan?
Aku : Eh? Lelaki la adik.
Budak Lelaki : Tapi rambut panjang.
Aku : Lelaki pun ada rambut panjang dik.
Budak Lelaki : Kejap ye kak.



Dia berlari keluar. Membiarkan coklat Mentos tadi bergolek perlahan di atas meja menunggu masa untuk di'scan' harganya. Kemudian, dia datang semula dengan seorang lagi budak perempuan yang sebaya dengannya.


Budak Lelaki : Adik, cuba teka dia ni lelaki ke perempuan?
Budak Perempuan : Perempuan la. Rambut panjang kan tu.
Aku : Eh abang ni lelaki la dik.
Budak Perempuan : Tak baik tipu kak. Kakak ni perempuan kan?
Aku : Lelaki la! Dengar suara ni pun dah tahu lelaki.
Budak Lelaki : Kakak tipu. Kakak perempuan kan?
Aku : (Geram) Tadi adik panggil 'Kakak', jadi kakak tu lelaki ke perempuan?
Budak Lelaki : Perempuan.
Aku : Haa dah tahu kakak ni perempuan buat apa tanya lagi.
Budak Lelaki : Hehehe... Janganlah marah kak.
Aku : Tak marah pun dik. Ni adik nak beli tak Mentos ni?
Budak Lelaki : Tak nak kak. Nak tengok akak je. Okay bye.



Mereka terus keluar. Mentos dibiarkan di atas meja. Budak-budak memang aktif. Tapi yang ni spesies hyperaktif. Mungkin dia dididik yang semua berambut panjang itu perempuan. Mungkin aku cakap.


Tapi satu hari nanti mungkin dia akan sedar bukan semua lelaki berambut panjang sebab nak jadi perempuan. Ada jugak lelaki berambut panjang tapi nampak jantan, Faizal Tahir contohnya.


"Faizal Tahir tu badan dia tough. Kau ni badan awek Apih wei."


Okay. Memang badan aku dengan Faizal Tahir jauh bezanya.
Aku mengaku saiz pinggang aku 28. Tapi aku tetap lelaki. Hahaha...



Kunkun!!




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...