My Dongsaeng. My Oppa. My Noona.

30 July 2011

orang boleh kata tapi kita yang rasa


Kunkun!!


Semalam, aku membaca semula beberapa entry lama yang menurut seorang kawan merangkap pengkritik setia, 'Entry yang mampu menitiskan air mata.' Penat juga mencari semula beberapa entry yang ada. Satu per satu dibaca. Entry tentang kehidupan nyata, entry putus cinta. Entah ayat mana yang mampu mengundang tangisan, tak dijumpa. Tapi ada beberapa komen yang mampu membuat otak cetek ini berfikir dua tiga perkara.


Dalam entry putus cinta itu, ada komen menyuruh mencari kekasih baru. Satu penghargaan yang tinggi buat orang yang komen sebegitu. Walaupun mustahil mendapat cinta baru yang singkat tapi tak salah mencuba dulu. Tapi sejujurnya aku tak dapat perasaan itu. Sangat mudah terpesona tapi sangat susah jatuh cinta, itulah aku. Walaupun hati dalam dada ini hak milik aku, mustahil kalau aku nak paksa hati ini menyukai mana-mana wanita kalau hati ini sendiri tak mahu. Anda boleh nampak segala yang berlaku, anda boleh baca semua yang tertulis di situ, tapi rasa itu hanya orang yang menanggungnya yang tahu.


Tapi sebenarnya komen sebegitu rupalah yang aku perlukan dalam beberapa entry. Komen yang memberi setitis harapan kepada insan lemah ini. Dulu aku terjatuh bila cintaku terputus tali. Dan melihat dia sudah ada pengganti membuat aku terjatuh lagi. Terhenti tanpa diakhiri. Dan komen-komen itulah yang membuat aku bangun kembali. Walaupun jatuh 100 kali komen itu mampu membuat aku bangkit semula untuk ke 101 kali.

Follow your heart. Even though it's on your left, it's always right.


Pentas dunia blog sama lakonannya di dunia nyata. Kawan baik sendiri ada kalanya tidak dapat memahami apa dalam hati kita. Bukan salah dia, dia bukan ada kuasa membaca pemikiran manusia. Bila mana aku menolong bekas kekasih hati yang dalam musibah, dia mengatakan itu perkara sia-sia. Tragedi perbezaan pendapat itu memaksa suara ini ditinggikan kepada kawan-kawan yang sentiasa susah senang bersama. Aku pandangan aku, mereka pandangan mereka. Mereka boleh kata apa saja tapi takkan faham apa hati ini rasa. Bukan perkara sia-sia kalau menolong orang yang pernah berjasa dalam hidup kita. Dan tiada penyesalan kalau dipinjamkan sedikit tenaga kepada orang yang pernah buat kita bahagia.


Kerana ada perbezaan pendapat, kerana itulah lahir pertandingan debat dan sebagainya. Kerana ada perbezaan taktikal, kerana itulah perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Singapura menjadi bualan dunia. Kerana ada perbezaan pemikiran, kerana itulah kemasukan pemain nombor 13 Malaysia mendapat bantahan semua. Dan kerana ada perbezaan dua jaringan, kerana itulah strategi Singapura 'berdrama' dikira berjaya.


Harus diakui, kita kalah peperangan psikologi dengan Singapura.
Pedas, tapi harus ditelan juga.


ps : Ikut kata hati. Walaupun pernah hancur luluh tapi hati ini masih berfungsi ;)


Kunkun!!


27 July 2011

WW 03 - history repeat itself




Kunkun!!





ps : I look up at the sky. Smile. "I know that was you God. Thanks..." ;)


Kunkun!!



26 July 2011

bukan mudah hati menerima takdir




Kunkun!!


Segalanya, telah ditentukan. Semua yang berlaku telah tertulis tak kira kenikmatan atau dugaan. Ada keriangan dalam kenikmatan. Ada keluhan dalam dugaan. Cuba imbas kembali berapa banyak kita mendengar keluhan. Suami isteri mengeluh masalah perkahwinan. Golongan dewasa mengeluh kesibukan pekerjaan. Remaja yang mengeluh tentang kehidupan. Budak sekolah mengeluh kerana peperiksaan. Kanak-kanak mengeluh bila tak dapat apa yang diidamkan. Kekasih mengeluh kerana percintaan. Setiap hari ada saja keluhan. Tanya sama hati kepada siapa keluhan itu dilemparkan? Mungkin kita tidak sedar kita sebenarnya mengeluh tentang takdir Tuhan.


Takdir dalam bahasa mudah adalah kejadian yang dijamin ada hikmah di sebaliknya. Jujur, aku sendiri mengeluh tak kira masa. Tapi kita kena terlupa supaya dapat ingat semula. Kita mengeluh kerana kelemahan kita tapi kita tahu kita akan kembali gagah semula. Persoalannya ialah, bagaimana dan bila. Terpulang pada kita. Cepat atau lambat, kita yang menentukannya. Kita hidup di dunia, setiap yang terjadi sudah ketentuan-Nya dan setiap yang Dia lakukan adalah untuk kebaikan kita. Tak percaya? Masih nak bertanya? Tanya sama Dia.


Jangan sesekali buruk sangka dengan kejadian Tuhan. Dia tidak menguji hamba-Nya di luar kemampuan. Tuhan memberi ujian kerana Dia tahu manusia mampu bertahan. Ini hanya peringatan. Peringatan kepada aku yang bila susah, bila sakit, baru ingat Tuhan.

Keep your heels, head, and standards high.


Awak, yang satu masa dulu pernah buat saya berdiri teguh. Saya tahu awak baca blog hitam ni walaupun tidak disuruh. Dulu awak berdiri sekarang awak jatuh. Bangunlah, saya boleh pinjamkan bahu ini semula sampai kaki awak kembali kukuh. Kalau tak pun, saya boleh payungkan supaya awak dapat berteduh. Yang penting saya nak awak berdiri semula dan berlari jauh-jauh.


ps : Tidak perlu berkias kalau apa yang nak dikata itu ikhlas ;)



Kunkun!!



25 July 2011

bagai awek cuba buat muka cute




Kunkun!!


Semalam salah seorang rakan di Facebook memuatnaik beberapa keping gambar terbarunya. Dengan penuh nafsu tetikus hitam memetik sati per satu gambar yang ada. Seorang gadis cantik yang menjadi pengapit pada majlis persandingan ahli keluarganya. Sesekali jari ini menekan button 'Like' bagi beberapa gambar yang ada. Tapi bukan semua. Cuma gambar yang berjaya membuat mata lupa untuk berkelip seketika.


Dia cantik dan manis orangnya. Berbaju kurung moden berlabuci di dada. Bertudung dengan lilitan kemas seperti Yuna. Ditambah kerongsang putih permata. Dengan aksesori yang tidak terlalu berat untuk gadis langsing sepertinya. Kasut tumit tingginya tidak terlalu tinggi tapi cukup menyerlahkan elegan seorang gadis remaja. Tapi tetap ada kekurangannya.


Make up yang digunakannya mungkin cantik bagi wanita tapi membuatkan lelaki yang tidak pandai menilai ini menggeleng kepala. Bedak tebal memutihkan muka yang telah putih sedia ada. Pipi merah menyala membuatkan hati terlintas bayangan badut di pesta sukaneka. Cuma bibir yang merah menyala mampu menggoda jiwa. Dalam beberapa gambar, pipinya dikembung dan bibirnya memuncung manja. Mungkin diri ini sudah tua untuk mengatakan itu trademark orang muda. Atau mungkin ini yang dikatakan gedik agaknya. Manusia, demi kelihatan cantik, semuanya rela.


Jejari runcing menutup album itu dan membuka satu lagi album yang biasa-biasa. Diteliti beberapa gambar yang ada. Mungkin ini album tentang aktiviti hariannya. Tapi hampir semua gambar di situ nampak keasliannya. Tanpa make up, cukup dengan hanya sedikit bedak dan celak di mata. Bibirnya tidak merah menyala tapi cukup untuk memukau mata.

Life is full of beauty. Just notice it.


Wanita dan make up memang dijodohkan bersama. Wanita sering menganggap tanpa make up, mereka tidak lawa. Wanita sering menganggap tanpa make up, lelaki tidak memandang mereka. Betul tapi salah sebenarnya. Betul, lelaki suka wanita sebegitu tapi bukanlah dengan make up setebal kamus dwibahasa. Dan salah, kerana apa yang penting ialah wanita itu kelihatan terbaik setiap masa, bukan dengan make up yang entah apa-apa.

Bagai awek cuba buat muka cute, bunyi tajuk yang agak pelik. Maksudnya, orang cantik yang cuba jadi lebih cantik sampai kelihatan tidak cantik. Ada percubaan mencari peribahasa yang tepat tapi tidak dijumpai dalam buku rujukan Bahasa Melayu kepunyaan si adik. Maaf kalau ada yang terasa kerana mungkin entry ini ada membuat beberapa hati kecil tercarik. Entry ini cuma mahu menyampaikan apa yang terdetik. Lagipun siapalah diri ini untuk menilai seseorang itu baik, cantik ataupun cerdik.


Wanita patut tahu ada satu rahsia lelaki. Tindihlah seberapa banyak make up yang ada tapi mereka tetap sukakan kecantikan yang asli. Kalau putih melepak di muka wanita biarlah putih juga di dalam hati. Tak guna ubah suai Myvi sampai nampak macam Ferrari kalau kelajuannya macam kura-kura yang nak mati. Yang penting kualiti, bukan kuantiti atau personaliti.


ps : Makan macam-macam di hari-hari terakhir yang boleh makan di siang hari.


Kunkun!!




24 July 2011

ibu bapanya suram dalam riang







Kunkun!!


Hari ini, syukur masih diberi kesempatan untuk mendaftarkan diri bagi menyambung pelajaran ke satu peringkat lebih tinggi. Tertera di helaian tawaran untuk kursus Bachelor of Computer Science (Bachelor of Computer Networking and Security) di TATi University College, TATiUC.


Ramai pelajar menghadirkan diri. Tidak kurang hebat juga ibu bapa serta kaum keluarga yang menemani. Meriah dengan pakaian berwarna warni dan keletah anak kecil yang sesekali menggelikan hati. Pihak kolej dan anggota fasilitator bekerja keras bagi memastikan semua pelajar baru berpuas hati. Senyuman ramah tetap diberi meskipun kaki penat menongkat diri.


Di dalam dewan pendaftaran yang hanya dibenarkan untuk para mahasiswa dan mahasiswi baru, sudah ada yang cuba menjadi singa walaupun baru tadi dia tak ubah seperti ulat bulu. Di depan ibu bapa tadi dia tunduk malu. Kini di depan kawan seperjuangan dialah penghulu. Ikut suka hati kaulah budak jambu baju biru.


Selesai semua urusan, tiba masa untuk pulang. Berdiri sebentar di tangga melihat satu per satu wajah ibu bapa yang datang. Suram dalam riang. Walaupun gembira bila si anak yang dulu dipimpin tangan kini memasuki alam matang tapi ada suram dalam hati bila terpaksa berjauhan. Melepaskan anak yang ditatang ke alam universiti lebih berat kerana tersilap sedikit langkah bakal mengundang malang.




Ceria si anak berjumpa rakan baru dan lama, ada sayu dalam hati ibu bapa mereka. Kadang-kadang di tengah-tengah malam, ada ibu bapa yang berdiri di pintu melihat si anak melelapkan mata. Pada saat itu wajah si anak yang tidur itu adalah seindah-indah manusia dan ciptaan di dunia. Tidak kira walau bagaimana kurangnya si anak itu merasakan pada dirinya, kurus, gemuk, panjang, pendek, atau bagaimana rupa parasnya, ibu bapanya tetap menjulang tinggi menghargai cahaya mata mereka. Namun si anak tak pernah tahu dan ibu bapa juga tidak memberitahu perasaan mereka.


Berjuanglah kau anak remaja. Jangan busukkan nama baik ibu bapa.


ps : Daftar seorang diri baru sedar betapa pentingnya ibu bapa di sisi.


Kunkun!!




22 July 2011

tanya kita adakah kita ini kita







Kunkun!!


Setiap manusia ada ceritanya. Fikirkan tentang seseorang yang kurang mendapat tempat dalam hati kita. Seseorang yang mungkin kita tak suka. Pasti ada sebab kenapa kita membenci sesetengah manusia. Mengapa? Simpan dahulu jawapan kita. Tanya diri kita, pernahkah kita terfikir tentang mereka. Percayalah, ada sebab kenapa mereka menjadi sebegitu rupa. Mereka bukan jadi mereka kerana mereka mahukannya. Sesuatu yang berlaku pada masa lalu yang mencipta mereka yang baru dan kadang-kadang mustahil untuk memperbetulkannya. Buka mata buka minda. Bukan manusia sahaja malah setiap yang terjadi tak kira bila, di mana atau bagaimana, pasti ada sebabnya.


Kehidupan adalah guru yang paling berjasa dalam hidup ini. Hari berganti hari mengajar kita percaya setiap yang berlaku ada sebab yang tersendiri. Kita pasti pernah rasa orang di sekeliling kita berubah tapi ia sebenarnya mahu kita belajar cara untuk melepaskan seseorang itu pergi. Bila perkara yang tak sepatutnya terjadi, terjadi, ia mengajar kita untuk lebih menghargai bila semuanya normal kembali. Bila ditipu dan tersilap percaya, ia mengajar kita untuk lebih percaya ada diri sendiri. Bila kita terpaksa melepaskan sesuatu yang indah pergi, kita belajar percaya agar sesuatu yang lebih indah akan hadir suatu hari nanti.


Berdiri di depan cermin dan lihat diri sendiri. Jangan lihat dari kepala sampai kaki tapi lihat sekali jiwa dan hati. Lihat siapa yang sedang berdiri. Adakah itu diri kita sendiri, atau diri kita yang orang mahu kita jadi.




Biar kita kawal hidup kita sendiri. Tiada yang layak suruh kita buat itu ini.


ps : Duduk terkangkang. Tonton hidup lama yang gemilang walaupun berlubang.


Kunkun!!





20 July 2011

WW 02 - i just want you to be happy






Kunkun!!




ps : Even if I am not the reason behind that happiness ;)


Kunkun!!





14 July 2011

perempuan jangan mudah ditiduri





Kunkun!!


Semalam, satu lagi bidadari tumbang. Tumbang di tangan lelaki, atau lebih tepat lagi, di alat sulit seorang lelaki miang. Baru seketika tadi aku bercakap telefon dengan seorang perempuan yang telah lama berkawan. Kasihan. Tapi katanya, kerana sayang dia turutkan. Dia cuma takut kalau perbuatannya mengundang kandungan. Aku ketawa panjang. Ada beberapa cara pencegahan sempat aku iklankan. Nak guna tak nak guna, terpulang. "Haiyaaa apa lu punya lutut sudah goyang ka kawan?"



Sepanjang perkenalan, dia seorang yang boleh dikatakan patuh dengan agama. Tak ku sangka tak ku duga, orang yang terjaga dari cela boleh layu dengan seorang lelaki yang baru lima bulan dikenalinya. Bagaimana rapuhnya iman dia, rapuhlah lagi iman lelaki yang sentiasa menggoda.



Lelaki. Dah kenal takkan tak nak jumpa. Jumpa kalau tak pegang tangan macam tak kena. Dah pegang tangan, nak sandar kepala. Kepala dah lentok, nak cium pipi pula. Alang-alang cium pipi, rugi sup lidah kalau tak dirasa. Tangan takkan tengok saja? Bila bagi betis, dimintanya lutut dan paha. Mata yang terbuka tertutup manja. Tempat yang tertutup terbuka akhirnya. Kawasan larangan diteroka. Kucing mana nak tolak ikan depan mata?
Habis cerita.


Girls are like condoms. They spend more time on your wallet than on your d*ck.


Marah bukan sebab bengang, tapi sebab bimbang. Bimbang dengan dua adik perempuan yang baru nak kenal dunia penuh cabaran. Lebih bimbang dengan kawan lelaki mereka yang suka main peranan dan ambil kesempatan. Bukan nak tuduh semua tapi mesti ada seorang dua yang terlepas dari kandang. Aku tahu sebab aku abang. Entah apa pula nasib anak-anak kita pada masa akan datang. Sekali lagi otak berfikir panjang.



Maaf kalau entry ini terlalu kasar tapi ini ikhlas dari hati. Perempuan, tolonglah jangan terlalu mudah ditiduri. Tolonglah jangan terlalu mudah makan pujuk rayu lelaki. Percayalah, seks takkan buat lelaki lebih sayangkan anda, dan bayi bukan jaminan lelaki akan setia. Melainkan anda dan dia sudah berumahtangga.


ps : Spontaneous Thursday? Aku Spontaneous Everyday ;)


Kunkun!!



13 July 2011

WW 01 - no one understands me




Kunkun!!




ps : I have secrets. I have a past. I'm just a human ;)


Kunkun!!





12 July 2011

sebenarnya dia perempuan sebenar









Kunkun!!


Sudah agak lama tidak berhubung dengan seseorang yang dulu pernah digosipkan bakal menjadi si ratu hati. Kami pernah rapat tapi berjauhan bila dia memilih haluannya sendiri. Berhubung semula hanya kerana satu mesej yang cukup melegakan hati. Berat hati namun kaki melangkah pergi duduk semeja di sebuah kedai kopi.


Tidak ada beza dia dulu dan dia sekarang. Aku tetap mengganggapnya perempuan malang. Bila dia bertengkar dengan kekasih atau adik kakaknya, dia tidak pernah menang. Penat aku mengajarnya strategi untuk menang bila lawan memberi hujah tapi dia tetap gagal menyerang. Dia juga anak yang tidak mendapat apa-apa daripada ibu bapanya dengan senang. Pernah dia mengeluh betapa kejamnya kehidupan yang harus dia renang.


Pernah juga dia kata, setiap malam dia akan mendengar lagu yang memberi inspirasi kepadanya. Lagu Taylor Swift antara pilihan utama. Aku ketawa. Aku tak tahu kalau dia terasa bila aku kata kalau dia bercinta dengan radio dia pasti akan bahagia. Aku terus ketawa. Hebat sumber inspirasi dia.




Dia juga perempuan yang mudah tersentuh hati. Dia ketawa, senyum, menangis dan berfikir tentang sesuatu perkara yang langsung tiada tempat dalam hidup aku sendiri. Dia pernah menangis selepas mendengar satu puisi dideklamasi di TV. Terus aku katakan dia perempuan lemah yang hanyut dalam emosi sendiri. Sekali lagi, aku tak tahu kalau dia terasa hati.


Pernah juga dia cerita, dia jatuh cinta. Dia mengejar lelaki itu semahu-mahunya. Hanya kerana lelaki itu sukakan warna merah, dia sanggup membeli banyak baju merah menyala. Kononnya bila bertemu, mereka kelihatan serasi bersama. Akhirnya lelaki itu berkata dia cuma mahu berkawan ketika si perempuan sudah bergadai harta benda. Aku bersimpati tapi cuma mampu melihat saja. Tapi dia belajar dari kesilapannya dan mula berhati-hati dalam subjek cinta.


Banyak kisah lama yang dia buka semula dan telinga ini cuma menadah. Katanya, sepanjang berjauhan banyak yang sudah berubah. Kalau dulu dia lemah, sekarang dia semakin tabah.




Telefon bimbitnya berbunyi. Tiba masa dia mengundurkan diri. Bakal tunangnya akan tiba bila-bila masa untuk mengambilnya pulang dari tempat dia mencari rezeki. Dia mengeluarkan kad jemputan diselitnya di bawah cawan kopi. Dia bangun melangkah pergi.


Aku termenung sebentar. Tersengih sendirian memikirkan kata-kata yang pernah aku lempar. Perempuan yang tidak selalu menang bila bertengkar, perempuan yang mendapat inspirasi hanya daripada lagu yang didengar, perempuan yang emosinya tersentuh dalam keadaan tak sedar, perempuan yang terkejar-kejar, perempuan yang hidupnya susah tapi masih mampu bersabar, semuanya layak digelar perempuan pendekar. Perempuan yang telah mengharungi pelbagai perkara tapi tidak pernah gentar.
Itulah perempuan sebenar.


ps : Behind every beautiful girl, there is a dumbass guy
who did her wrong and made her strong ;)


Kunkun!!





09 July 2011

jangan bandingkan cerita cinta kita









Kunkun!!



Kerap lidah menyebut dan telinga mendengar ayat, setiap yang berlaku ada hikmah yang tersendiri. Hikmah yang akan disedari selepas berlaku sesuatu perkara atau tragedi. Cuma bergantung pada kita untuk mengambil pengajaran atau terus berdegil diri.


Empat kali putus cinta, tidak bermakna aku takut untuk jatuh cinta sekali lagi.

Don't shed your tears for someone who hurt you


Lazimnya dalam hidup, seseorang akan jatuh cinta sebanyak tiga kali. Pasti pernah sekali, jatuh cinta dengan kawan baik sendiri. Dan akhirnya ia menjahanamkan satu hubungan persahabatan yang pernah terjalin rapi. Tapi ada hikmahnya tersendiri. Ia mengajar erti sahabat sejati. Ia mengajar bahawa dalam persahabatan, ada garisan yang tidak seharusnya diseberangi. Aku sendiri pernah rasai.


Kemudian, yang keduanya, pasti pernah sekali jatuh cinta dengan seseorang yang dirasakan sempurna. Walaupun ada yang menegur bahawa tidak ada manusia yang sempurna, dia tetap sempurna dan indah di mata kita. Sebelum kita sedar kesilapan yang kita buat tanpa sengaja. Namun kesilapan itulah yang akan mengingatkan kita, walau sebaik atau sejujur mana si dia, dia tetap manusia biasa. Dia tidak dapat lari dari melakukan kesilapan yang membuatkan hati orang yang menyanjungnya terluka.


Dan yang ketiga, pasti pernah sekali jatuh cinta dengan seseorang yang kita rasa sama seperti kita. Seseorang yang bila bersama, membuat rasa selesa bertambah selesa. Seseorang yang berkongsi citarasa. Seseorang yang belum diberitahu, sudah dapat meneka apa kita rasa. Seseorang yang dalam satu masa, menyukai kita dan kita menyukai dia. Dan adakalanya ia berakhir juga. Tapi persinggahan dia dalam hidup kita mengajar kita kenal siapa kita. Mengajar kita melihat kita tanpa bantuan cermin atau sesiapa.

A relationship with God is the most important relationship you can have.


Melalui semua ini, atau salah satu daripada ini, menyedarkan kita bahawa orang yang paling kita jaga tidak bererti tidak menyakitkan kita. Dan orang yang kita sakiti adalah orang yang paling memerlukan kita dalam hidupnya.


Di penghujungnya, cinta, sama seperti cantik dan seksi, berada dalam kumpulan yang sama. Subjektif untuk diucap dengan kata-kata. Erti cinta tak sama bagi setiap manusia. Yang sama ialah setiap manusia ada perasaan cinta dan ingin dicinta.


Jangan bandingkan cerita cinta kita dengan cerita cinta dalam drama. Cerita cinta drama ditulis oleh manusia. Cerita cinta kita ditulis oleh Yang Maha Kuasa. Percaya padaNya sebelum percaya pada cinta.


ps : I believe everything happens for a reason, good or bad ;)


Kunkun!!






04 July 2011

kisah cinta paling romantik di dunia










Kunkun!!


Seorang budak lelaki ditinggalkan oleh ibu bapanya untuk tinggal dengan datuk dan neneknya. Sembilan tahun berlalu, budak lelaki itu meningkat dewasa. Sudah sembilan tahun, dia dilayan seperti putera raja. Kerana sayangkan cucu, datuk dan neneknya menuruti segala kemahuannya. Mujurlah cucu lelakinya itu tidak gemar meminta.


Pada awalnya, budak lelaki itu tidak tahu tindakannya untuk tinggal dengan datuk dan neneknya itu betul atau salah. Berjauhan dengan ibu bapa dan dibesarkan oleh orang tua dalam sebuah rumah. Itulah yang berkecamuk dalam pemikiran budak itu ketika dia masih mentah. Masa bergulir, manusia berubah. Akhirnya budak lelaki itu tahu ibu bapanya mahu anaknya menjadi anak yang gagah. Berjauhan dengan keluarga sendiri mampu membuat anaknya tabah.

Never forget or regret anything that once made you smile


Walaupun semakin tua, tenaga datuk dan neneknya seperti orang muda. Datuknya masih mampu memandu kereta dan neneknya masih kuat menguruskan hal rumahtangga. Pernah sekali cucunya itu menghulurkan bantuan untuk menemani datuk dan neneknya pasar untuk membeli barangan keperluan harian tapi dihalang. Jadi cucunya cuma duduk di rumah menunggu datuk dan neneknya pulang.


Tiba masa untuk cucunya bersuara. Dengan tenang, datuknya menjelaskan satu per satu kekusutan yang ada. Bukan mereka tak mahu bantuan, tapi mereka sudah biasa. Sudah hampir lima puluh tahun mereka pergi ke pasar bersama-sama. Bila datuknya terlantar sakit, neneknya yang setia menjaga. Bila neneknya melahirkan anak mereka, datuknya yang bermandi keringat membasah bumi mengumpul duit belanja. Sudah lima puluh tahun mereka berkongsi rasa. Semua dikongsi bersama tak kira pahit, manis, sihat, sakit, suka dan duka.

I want a relationship that will last forever and won't fade no matter what


Walaupun kadang-kadang ada perangai isterinya yang menyakitkan hati, tapi isterinya itulah yang tahu apa yang perlu dimasak untuk kepuasan si suami. Dan walaupun ada kata-kata suaminya yang mengguris hati isteri, tapi suaminya itulah yang gagah memikul tanggungjawab sebagai lelaki sejati. Dan mereka berdua kuat mempertahankan masjid yang mereka bina sampai hari ini.


Sebutlah apa saja cerita romantik yang ada. Seth Tan yang menghargai Nora Elena, Shah Jehan yang mempersembahkan Taj Mahal untuk Mumtaznya, Prince Charming yang bermatian demi Cinderella, ataupun Romeo dan Juliet yang mati kerana cinta, tiada kisah romantik yang dapat menandingi cerita romantik Tok Ayah dan Mak yang membesar dan tua bersama. Dan aku, cucunya yang jadi saksi mereka mengotakan janji mereka.


Tinggal dengan datuk dan nenek sangat menyeronokkan sebenarnya.


ps : Kembali berkawan dengan bekas kekasih hati.
Pertandingan Futsal, Quarter Final only ;)


Kunkun!!





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...