My Dongsaeng. My Oppa. My Noona.

29 August 2011

jari disusun kemaafan dipohon




Kunkun!!


Kata-kata itu lebih berkuasa daripada senjata. Dengan kata-kata, seorang yang lemah boleh bangkit semula. Dan dengan kata-kata, seorang yang perkasa boleh jatuh kerana psikologi yang menerobos minda. Kalau peluru pistol mampu menembusi dada, kata-kata mampu menghancurkan jiwa.


Kata-kata yang berkuasa adalah kata-kata yang dihembus dan memberi kekuatan kepada pendengarnya.Kata-kata yang mampu meyakinkan manusia. Itu kuasa kata-kata. Tapi terlanjur kata buruk padahnya. Kata-kata yang menyakitkan terutamanya. Banyak tercetus pergaduhan bila tersilap kata. Sudah banyak yang sengsara kerana kata-kata.


Berkata-kata di dunia blog cuma dibaca. Tapi dalam setiap kata yang ditulis, mungkin ada yang terasa. Dalam setiap contoh yang diberi mungkin ada yang terluka. Dalam setiap fakta yang dibentang mungkin ada yang menyangkalnya. Berbeza pendapat, marah sampai meninggi suara.


Jadi di kesempatan yang ada ini, disusun sepuluh jari sebagai tanda memohon maaf jika ada terlanjur kata dalam mana-mana entry. Dalam ghairah berkarya mungkin ada pembaca yang berkecil hati. Dalam ceria menulis mungkin ada yang membenci. Dalam kegembiraan yang dihampar mungkin timbul rasa meluat dalam diri.



Bagi setiap entry, aku susun sepuluh jari sempena hari mulia ini.
Selamat Hari Raya Aidilfitri.


ps : Jalan raya bukan litar berlumba. Jangan memandu tak tentu hala ;)


Kunkun!!




26 August 2011

hari raya bukan hari untuk aku





Kunkun!!



Hari Raya Pertama tahun 2010, aku bangun tidur lewat seperti hari-hari biasa. Pukul 10 pagi baru aku terjaga. Sembahyang raya? Abaikan saja. Bangun, mandi dan pakai baju melayu Maroon yang dah dua tahun tapi masih sama. Kemudian aku keluar bersalam dengan mama, papa, datuk, nenek serta semua saudara mara yang ada.



Aku makan makanan yang dihidang. Aku makan sebanyak mana yang aku nak makan. Kemudian aku beritahu mama aku nak pergi 7-Eleven yang berdekatan. Sebenarnya aku serabut bila ramai orang datang. Tak kisahlah yang datang itu saudara atau jiran. Aku keluar dan pergi pantai yang memang selalu jadi tempat aku tenangkan fikiran.



Tapi demi mengelak dosa pertama selepas memohon ampun dengan mama, aku singgah 7-Eleven yang terdekat. Dengan duit syiling yang aku ada, aku beli satu benda dekat kedai sebelah yang memang aku minat. Barang mainan yang bila letak duit syiling 50 sen dua keping, kena pulas sampai keluar hadiah dalam bekas bulat-bulat. Dalam dia ada mainan yang akan kita dapat. Aku dapat pistol besi warna Oren berkarat. Bila main benda tu aku rasa hebat.



Bagi aku, hanya orang gila yang pergi lepak dekat pantai pada hari raya pertama. Tapi aku lepak dekat situ juga. Sebelah taman permainan, bawah pokok ru, aku duduk main pistol yang aku menang tadi dengan penuh gembira.


Tiba-tiba mata terpandang dua budak lelaki berbaju melayu bermain di taman permainan. Kalau aku gila sebab pergi pantai, budak itu tahap kurang siuman. Dua orang budak yang ingat hebat agaknya main dekat taman permainan dengan baju melayu, bersampin dan songkok atas kepala. Aku pergi dekat dan tanya soalan budak tadika. Manalah tahu budak-budak ni tak tahu hari itu hari raya.


Lidah kelu bila mereka dengan tenang menyatakan mereka anak yatim piatu. Emosi tiba-tiba tak menentu. Melihat mereka bermain riang semua permainan yang ada membuat fikiran aku bercelaru. Saluran otak aku seperti terganggu. Sampai satu tahap aku buntu apa aku buat dekat situ.


Masuk dalam kereta, aku balik rumah semula.



Sepanjang perjalanan, aku tak tahu apa yang aku rasakan. Aku dapat berbuka dengan keluarga, mereka cuma berbuka sesama mereka. Bila pergi Bazar Ramadhan aku beli banyak makanan supaya keluarga aku dapat makan, tapi mereka walau beli lebih makanan tapi tetap kurang kasih sayang. Petang Raya, aku sibuk membasuh kereta supaya nampak bergaya. Tapi mereka sibuk membersihkan pusara supaya ibu bapa mereka tenang di sana. Malam Raya, aku gembira dapat berkumpul seisi keluarga. Malam Raya, mereka cuma mampu berangan tentang kegembiraan yang tak dapat mereka rasa. Aku ada tangan untuk disalam dan pipi untuk dicium di pagi raya. Mereka cuma ada kenangan yang tak ternilai harganya.


Sayu.
Terkenang semua itu mahu saja air mata ini mengalir laju.
Bagaimana kalau aku terpaksa hadapi semua itu?


Sampai di rumah, aku salam sekali lagi dengan mama. Aku peluk mama. Aku cium pipi mama. Mama ingat aku gila. Tahun lepas adalah kali pertama aku menangis di pagi raya.



Aku bersyukur, bila salah ada ibu ayah yang tegur.

Aku bernasib baik, ibu ayah tunggu bila aku balik.

Aku beruntung, ada ibu ayah sebagai tempat bergantung.

Aku bertuah, sebab masih ada ibu dan ayah.



Hari raya bukan hari aku. Hari raya hari kemenangan untuk orang setabah kamu.



ps : Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda, "Orang-orang yang bertanggungjawab mengurus anak yatim, baik dari keluarga sendiri atau tidak, maka aku dan dia seperti dua ini di syurga kelak." Dan Baginda memberi isyarat dengan merapatkan jari telunjuk dan jari tengah (ertinya berdekatan). ;)



Kunkun!!




24 August 2011

WW 07 - the return of the king




Kunkun!!




ps : Nun menghijau gunung ladang dan rimba ;)


Kunkun!!




23 August 2011

hari ini aku jatuh cinta lagi





Kunkun!!


Watak dia dalam hidup aku cuma sekadar kawan. Tidak lebih dan tidak kurang. Malah aku juga tidak meminta lebih dari apa yang aku dapat sekarang. Aku tidak mahu kejadian kawan menjadi kekasih kemudian putus dan menjadi orang asing berulang. Perasaan itu aku dan dia faham. Tapi sampai hari ini tetap ada orang berkata kami masih seperti pasangan kekasih. Aku terima itu sebagai penghargaan dan ucapan terima kasih.



Hari ini, dia bukan teman wanita ataupun teman istimewa atau wanita yang bertakhta. Kami cuma kawan biasa yang belajar dari kesilapan silam yang pernah kami cipta. Tapi dia tahu banyak cerita tentang aku dan aku tahu banyak cerita tentang dia. Dan aku suka.



"Thanks Afif. I hargai you..."



Aku suka cara dia menghargai aku. Sekurang-kurangnya dia mengenang budi daripada sesetengah orang yang lebih gemar membisu. Walaupun cuma sekeping mesej tapi dia buat aku tahu. Malah pernah dia buat aku terharu. Begitu juga aku. Menghargainya tanpa mengira waktu. Bila aku buntu, bila dia membantu, bila kami perlu. Bagaimana dia menghargai kehadiran aku, begitu juga aku.


Dia baik dan itu yang aku suka. Ini jawapan konkrit bila ada orang bertanya kenapa aku terlalu baik dengan dia. Walaupun ada orang kata dia talam dua muka, walaupun ada orang kata dia pendusta tapi aku lagi kenal dia. Walaupun pernah orang bertanya apa yang dia ada sampai aku jadi gila tapi jawapan aku tetap sama. Aku nampak semua yang orang lain tak nampak di mata.


Beberapa minggu lalu dia menukar relationship status di Facebook daripada 'Single' kepada 'In a Relationship with...' dengan seseorang yang aku tak kenal siapa. Mungkin kekasih barunya. Dan sumpah, tiada langsung cemburu yang aku rasa. Malau aku gembira. Aku bahagia kalau dia bahagia.


Dia juga, tidak putus-putus bertanya tentang kekasih baru yang akan mengganti tempatnya. Aku cuma mampu ketawa. Aku bukan lelaki yang gelojoh jatuh cinta. Tapi seperti dia kata, satu hari nanti akan ada orang menawan hati aku semula. Dan aku percaya.



Maaf kalau ada yang meluat dengan entry kali ini. Aku cuma mahu berkongsi.


Hari ini sekali lagi aku jatuh cinta.

Bukan dengan dia.

Aku jatuh cinta dengan persahabatan yang kami bina.



ps : Berkawan dahulu sebelum bercinta baru cerita yang direka sempurna ;)


Kunkun!!




21 August 2011

kenapa kucing kambus tahi mereka?





Kunkun!!


Mesyuarat hari itu berlangsung dengan meriah sekali. Semua ketua kumpulan binatang hadir. Nun di depan sana, kelihatan Harimau menjadi Pengerusi menggantikan Singa Sang Raja Rimba yang tidak hadir. Kedudukan kerusi dibahagi mengikut kehebatan binatang di hutan tersebut. Di depan, tengah-tengah pastilah Harimau yang garang, diikuti Buaya yang ganas, Ular yang berbisa, Merak yang cantik serta binatang-binatang lain. Jauh di belakang sekali, Kucing duduk bersendirian. Dia tidak berapa disukai binatang di situ kerana sikap poyonya yang berjalan seperti model serta suka mencuri makanan.


"Bosannya meeting ni. Benda sama je binatang ni cakap..."


Cetus hati kucing. Dia merenung Merak yang dalam dulu amat disukainya tapi sekarang sudah meluat kerana sikap demand Merak. Kerana terlalu bosan, Kucing tertidur.


"Berani kau tidur! Bangun kau Kucing! Auuuuummmmmmmm!!!"


Kuat sekali ngauman Harimau. Marah sungguh dia. Kucing tersedar dan terus memanjat pokok berhampiran. Mustahil Harimau dapat memanjat pokok itu.



Harimau menunggu di bawah dengan muka yang garang. Dia memang pantang bila ada binatang tidak menghormatinya. Dia merenung tajam mata si Kucing.


"Hari ni kau dapat lari. Tapi lepas ni aku buru kau sampai ke lubang cacing. Sampai anak cucu kau aku cari! Dengan tahi-tahi kau sekali aku makan!!"


Kucing menjelirkan lidahnya tanda perli. Dia terus melompat antara pokok dan pulang ke kampungnya. Dikumpulnya semua keturunan kucing yang ada.


"Dengar sini semua Kucing-Kucing ku cinta. Mulai sekarang, Harimau akan buru kita. Jadi ada baiknya kita keluar dari hutan dan berhijrah. Pergilah kamu ke kampung dan desa, ke sekolah, ke kedai makan, ke pasar, ke rumah orang kaya, ke tepi-tepi jalan atau ke mana sahaja untuk lari dari Harimau. Dan ingat, setiap kali kamu berak, kambuslah tahi itu dengan pasir. Bimbang nanti dijumpai Harimau..."


Maka keluarlah Kucing dari hutan. Kucing Betina berpakat untuk ke kawasan kampung supaya dapat membiak, Kucing Jantan memilih untuk ke kawasan kedai supaya mudah mendapat makanan, Kucing Kurap memilih untuk berjuang di jalanan, Kucing Parsi pula menggunakan personaliti mereka memikat orang-orang kaya.


Walau raga mereka terpisah jauh, mereka tetap ingat pesan ketua mereka supaya mengambus tahi mereka kerana bimbang dijumpai Harimau.


ps : Tadi ada Kucing berak dengan muka penuh perasaan depan blok kolej aku ;)


Kunkun!!




18 August 2011

pandai makan pandai simpan





Kunkun!!


Hazama tertunduk lemah. Dia buntu. Entah apa kekurangan dirinya sehingga Shasha, kekasihnya sanggup curang kepadanya. Semuanya bermula bila Shasha tersilap menghantar mesej kepadanya semalam. Dan semalam mereka bertengkar teruk sehingga Shasha memutuskan hubungan mereka.


"Sabar je la bro. Mungkin dia bukan jodoh kau..."


Lemah tapi menusuk kalbu suara Akim yang duduk berdepan dengan Hazama di warung mamak di depan kolej mereka.


"Bagi sini aku tengok apa mesej dia silap hantar tu..."


Perlahan-lahan Hazama menghulurkan Blackberry yang tergantung 'Love' kecil tertulis nama Shasha, pemberian kekasihnya semasa ulangtahun percintaan mereka bulan lepas. Tertera di skrin Blackberry satu mesej kiriman "My Baby", gelaran Hazama kepada Shasha.


"Hati-hati main futsal malam ni. I love you so much. Muahhhhhh..."


Mengeluh panjang Akim. Dia kasihan melihat sahabat baiknya berduka lara. Dia tahu mesej itu memang bukan untuk Hazama kerana Hazama tidak bermain futsal semalam. Diberinya semula Blackberry Hazama tadi.


"Dah la bro. Cari je awek lain. Dia dah curang sekali, dia boleh buat banyak kali lagi kalau kau teruskan hubungan tu. Orang macam kau ni ramai awek nak. Kau je yang setia tak tentu hala..."


Hazama termenung. Dia teringatkan Haiza, awek politeknik yang pernah keluar dating dengannya dua bulan lepas. Wajah Baizura juga menjelma, awek kacukan Cina-Melayu yang dapat dipikat Hazama semasa menunggu giliran di salon. Begitu juga wajah Suraya yang terlalu gilakan Hazama sejak tiga tahun lalu.


"Tu la kan. Baik cari yang baru. Lantaklah betina sial tu nak buat apa pun!"


Suara Hazama kembali bersemangat. Akim tersenyum.


"That's my boy! Come on my BFF. Kita karaoke. Lepas tension. Gua belanja!"


Serentak mereka bangun menuju ke kereta. Hazama berjalan di depan. Akim mengekori di belakang. Perlahan-lahan Akim mengeluarkan telefon Nokia 3310 dari dalam poket seluarnya dan membalas mesej yang diterimanya.


"I love you Shasha. Malam ni kita jumpa ye sayang. Muahhhxxx!"


BFF. Best Friend Forever or Best Fake Friend, which might lead to the same person.


ps : Lebih baik ada musuh daripada ada 'kawan' yang mahu kita jatuh ;)


Kunkun!!




17 August 2011

WW 06 - me and you and you and me




Kunkun!!




ps : Smile. Life is too short to be unhappy ;)


Kunkun!!




14 August 2011

sebab itu kena belajar matematik




Kunkun!!


Matematik. Satu nama yang mampu membuat manusia tertarik dan terusik. Tambah, tolak, darab, bahagi dan banyak lagi yang boleh akal ini petik. Tapi sejujurnya bila berkait dengan nombor, aku bukan terlalu fanatik. Aku lebih meminati sesuatu yang berabjad dan berakhir dengan tanda soal, tanda seru atau titik. Blog hitam ini mungkin salah satu bukti terbaik.


Rasa bersalah terdetik. Aku sebenarnya peminat nombor dan sangat fanatik tahap bombastik. Aku peminat setia nombor telefon gadis-gadis cantik.


Aku lebih banyak mengelamun daripada menumpu perhatian dalam kelas matematik tadi. Discrete Mathematics, satu nama yang baru dikenali. Tapi nama itu gagal memikat hati. Ditambah dengan pengaruh dari mata layu dan perut yang rancak menyanyi.


Memang mata ini memandang tepat papan putih tapi fikiran merata. Ada satu soalan diajukan oleh pensyarah di depan sana. Aku lupa salin soalan yang dia tanya. Tapi aku ingat ada simbol tambah, tolak, pecahan dan simbol baru yang aku lupa nama dia. Aku ternganga. Memang tak tahu jawapannya!


Penambahan. Penolakan.


Tak kira sehebat mana kita dalam penolakan, ada masanya kita gagal menolak rasa benci yang kita pendamkan. Dan tak kira sepakar mana kita dalam penambahan, mustahil kita dapat menambah rasa sayang kepada seseorang secara paksaan. Yang biasa kita lihat ialah rasa benci yang bertambah dan rasa sayang yang berkurangan.

I Believe in Being Strong When Everything Seems To Be Going Wrong


Tapi dalam membenci matematik, ada sedikit rasa kagum kepadanya. Kerana matematik mengajar aku untuk sentiasa berharap dan percaya. Kerana matematik membuktikan setiap masalah walau serumit mana, tetap ada jalan penyelesaiannya.


Dan kita adalah manusia yang tak pernah renggang dengan masalah.


ps : Hilang rasa lapar di bawah dada bila dengar lagu raya. Cubalah cuba ;)


Kunkun!!




12 August 2011

nelayan itu rela mati demi ikan




Kunkun!!


Suatu pagi, seorang nelayan tua terjaga dari tidurnya untuk bersahur. Dalam kegelapan, matanya memandang tepat jam dinding yang semakin uzur. Perlahan-lahan dia mengejutkan isteri tersayangnya yang tidur di sebelah. Terus isterinya ke dapur menyediakan juadah. Nelayan tadi pula bergegas mengejutkan anak-anaknya untuk bersahur dan bersiap ke sekolah.


Makanan sahur hari itu hanyalah nasi dan ikan. Itupun makanan berbuka semalam yang hanya dipanaskan. Mereka sekeluarga bersila di atas rumah papan. Nelayan itu mendongak melihat anak-anaknya makan. Isterinya cuma makan sedikit nasi kosong, tanpa ikan. Baru dua suap nelayan tadi menyuap mulutnya, si anak sulung mahu menambah makanan. Nelayan tadi memberikan nasinya, hampir separuh pinggan. Akhirnya semua anaknya kekenyangan. Nelayan dan isterinya cuma makan sedikit sahaja. Bagi mereka, biarlah anak-anak kenyang supaya mereka tidak lemah di sekolah berbanding ibu dan ayah yang sudah biasa menahan lapar dan dahaga.


Selepas anak-anak ke sekolah, nelayan tua itu akan ke laut mencari hasil tangkapan. Selepas bersalam dengan isterinya, dia mencium dahi anak kecil yang berusia lapan bulan. Dengan keluarga sebagai penguat semangat, dia membelah lautan. Dengan hati yang hiba, isterinya berdoa agar suaminya selamat walaupun berjauhan.


Hari beransur petang. Angin bertiup kencang. Cuaca mendung tiba-tiba datang. Dan awan rakus memuntahkan hujan. Dentuman guruh dan cahaya kilat berselang-selang. Ombak semakin besar dan menakutkan. Laut turut bergoncang! Nelayan tersentak dan cuba bertahan. Dia mendongak melihat awan yang kegelapan. Dia melihat ke depan. Pantai sudah hilang tak kelihatan. Timur dan barat juga hilang dari pandangan. Nelayan tersesat haluan. Dia berdoa. Tawakal jadi peneman setia. Itu jalan akhirnya.

Only the strong survive


Di sebuah rumah papan beratap rumbia, si ibu menyusukan bayinya yang kehausan. Dia meratap rintihan. Dia memandang lautan. Dia memanggil suaminya perlahan-lahan. Air matanya bergenang. Entah apa yang berlaku kepada suaminya di sana. Dipeluk erat bayi dalam pangkuannya. Kesejukan yang dirasai tidak dapat mengalih pemikirannya kepada si suami yang sedang bertarung nyawa.


Cuaca kembali cerah tidak berapa lama kemudian. Si isteri duduk di tangga menggenggam erat cincin perkahwinan. Anak-anak yang balik dari sekolah tadi sedang tidur berkipaskan angin dari Laut Cina Selatan. Hari semakin petang. Dia tetap bersabar menanti suaminya pulang.


Si isteri tersentak dari lamunan. Di kejauhan kelihatan suaminya berjalan membawa jala di bahu dan plastik berisi hasil tangkapan. Disambut kepulangan suaminya dengan salam dan satu pelukan. Si isteri menyambut plastik yang dihulurkan. Di dalamnya cuma ada dua ekor ikan. Tidak besar, cuma sebesar tapak tangan. Tapi cukuplah untuk membuat anak-anak mereka kenyang.


Nelayan dan lautan tak dapat dipisahkan. Mimpi nelayan cuma ikan, ketam dan udang. Mungkin sesekali bermimpikan duyung. Laut adalah tempat mereka. Laut adalah rezeki mereka. Dan laut boleh menjadi kubur mereka.


ps : Ini cerita rekaan masa makan ikan tadi. Jangan memilih makanan lepas ni ;)


Kunkun!!




10 August 2011

WW 05 - follow you into the dark





Kunkun!!




ps : Telefon bimbit semakin nazak mungkin ajalnya semakin hampir ;)


Kunkun!!




09 August 2011

kehebatan lelaki kepintaran wanita





Kunkun!!


Dari kecil otak ini disumbat dengan ayat "Lelaki golongan kuat, wanita golongan lemah." Pernah mulut ini mewakili otak bertanya dimanakah kelemahan lelaki kepada lelaki yang mengaku dirinya gagah. Jawapan lelaki tiada kelemahan diberi dengan yakin dan mudah.


Aku tak puas hati. Aku tetap mahu tahu kelemahan lelaki walaupun aku lelaki. Banyak kali mata ini melihat lelaki menangis kerana hatinya disakiti. Ada juga menangis bila kehilangan barang yang disayangi. Di mana kekuatan lelaki kalau menangis sebab semua ini? Jawapan tetap dicari. Sekuat-kuat lelaki pasti ada juga kelemahan tersendiri.


Tiada jawapan ditemui. Akhirnya jawapan direka sendiri. Lelaki memang kuat dan berani. Tapi wanita lebih bijak daripada lelaki. Kerana tahu ramai wanita bijak, lelaki jadi berani menonjol diri. Hati hebat berdebat sesama sendiri. Kalau wanita bijak, kenapa wanita tidak jadi Perdana Menteri? Kerana Perdana Menteri adalah ketua dan ketua sangat sinonim dengan lelaki. Ketua perang diberi kepada lelaki paling berani. Ketua pasukan sesuatu sukan diberi kepada lelaki yang boleh mengawal emosi. Perhatikan di universiti atau institut pengajian tinggi, siapa lebih ramai antara wanita dan lelaki? Sudah terbukti.



Pernah otak ini merayau jauh dari kotak fikiran. Kenapa mesti ada peperangan antara dua negara yang sepatutnya boleh didamaikan? Jawapan rambang diberikan. Kerana Perdana Menterinya adalah lelaki berjiwa anak jantan. Lelaki, keberanian dan pertempuran memang tak dapat dipisahkan.


Bayangkan kalau wanita adalah Perdana Menteri di seluruh negara di serata dunia. Wanita berkulit hitam menjadi Perdana Menteri Amerika Syarikat mewarisi tradisi Barack Obama, Perdana Menteri Afrika lantang memperjuangkan hak wanita di sana, Projek Lynas dibatalkan serta merta oleh Perdana Menteri Australia dan beberapa Perdana Menteri bertudung tampil di beberapa buah negara Islam termasuk Malaysia.


Mungkin jika berlaku maka tiada lagi peperangan antara beberapa negara. Tapi mungkin akan ada beberapa negara tidak bercakap sesama mereka. Aku sendiri tak tahu kenapa ada wanita jarang bercakap sesama mereka. Cemburu mungkin salah satu puncanya. Ego juga mungkin sebabnya. Lelaki mungkin tak tahu, wanita juga ada ego mereka. Cuma ego itu seringkali lenyap dihanyutkan air mata wanita.


ps : Lelaki takkan mengaku sebab mereka bernafas dalam ego mereka sendiri ;)


Kunkun!!




08 August 2011

tinggi-tinggi sebuah tembok hati





Kunkun!!


Seronok rasanya menjadi orang yang suka melihat orang mundar-mandir. Melihat pasangan yang bercinta di kolej mengundang senyuman di bibir. Dapat disaksikan pasangan ini bersama-sama menunggu azan Maghrib bila waktu berbuka puasa semakin hampir. Sekurang-kurangnya rindu pada keluarga terubat dengan seseorang yang boleh membantu bila dalam keadaan getir. Sekurang-kurangnya ada seseorang yang boleh mendorong bila ada masalah yang hadir. Itu takdir. Takdir pula terlalu rumit untuk difikir.


Ada orang bertanya, aku bila lagi.
Nanti nanti nanti. Itu saja jawapan yang mampu diberi.


Memang. Memang aku bosan hidup sendirian. Walaupun ada orang cakap, kita takkan bosan bila ada kawan-kawan. Tapi bila seorang demi seorang kawan-kawan itu berpasangan, kita juga yang rasa ketinggalan. Apa yang mampu sekarang cuma berserah pada Tuhan. Jodoh, ajal dan pertemuan bukan kita yang tentukan. Yang pasti sentiasa percaya pada kemungkinan.


Semakin hari semakin tinggi tembok yang terbina di sekeliling hati. Semakin tinggi tembok bermakna semakin kuat kesan hentaman bila terjatuh nanti. Tapi jatuh sekali lebih baik daripada terjatuh dan terjatuh lagi.
Jatuh sekali, bangkit dua kali.


Ada juga orang bertanya, tidakkah berasa malu berstatus single lama-lama. Soalan yang mengundang tawa.


Single bukan status semata-mata. Kita tak dapat halang orang berfikir bahawa orang single ini tiada insan istimewa. Tapi dari sudut orang yang merasa, orang single adalah orang yang mampu melayari hidup dan menggembirakan dirinya sendiri tanpa bergantung harap pada sesiapa.
Ini apa yang aku kata.



Orang kekurangan memang pandai mencari alasan. Orang kekurangan memang mahu menutup kelemahan. Mesti akan ada kata-kata nista sedemikian. Mungkin nanti bila kau sendirian, bila nanti hubungan kau putus di tengah jalan, bila kau rasa serik dipermainkan, bila tiada lagi perempuan untuk kau jadikan permainan, kau akan faham apa aku cuba sampaikan.


Hargai apa yang ada sekarang.
Kita tak tahu apa akan jadi pada masa akan datang.


ps : Hati ini disimpan untuk seseorang yang memang layak memiliki ;)


Kunkun!!




05 August 2011

mereka buat hidup aku sempurna


Kunkun!!


Hidup aku dikelilingi sekumpulan manusia hebat. Tiga belas orang termasuk aku semuanya kuat-kuat. Kalau buat apa-apa aktiviti masing-masing bersemangat. Aku ceritakan kisah persahabatan yang terjalin sekian lama dalam satu kumpulan budak lelaki yang terikat erat. Tiga belas orang dengan tiga belas perangai itu yang aku suka sangat. Dari satu cerita panjang aku kerat-kerat. Walaupun pendek dan mungkin tidak padat, aku tetap menghargai kamu semua, sahabat.


Tidak ada yang menarik dari segi luaran. Semuanya anak jantan. Tidak ada antara kami keturunan kerabat sultan. Tidak ada antara kami memandu kereta Sport dari Jepun atau Jerman. Tidak ada antara kami berstatus artis, model atau jutawan. Yang ada cuma budak lelaki yang sedang matang. Yang ada hanya budak lelaki yang kerjanya lepak, enjoy dan bersembang.


Dalam satu kumpulan kawan-kawan, pasti ada seorang yang membuat setiap perbincangan menjadi kotor dan tidak cantik. Setiap perbualan diselit beberapa ayat 'terlebih cerdik'. Dalam ketawa pasti ada lawak pelik-pelik. Ayat lucah mesti ada berserta aksi tergedik-gedik. Watak ini memang wujud dan ia menjadikan sesebuah kumpulan itu terbaik!

Just shout whenever I want, my friends will be there.


Dalam satu kumpulan juga pasti ada seorang yang serba tahu jawapan bagi setiap soalan yang dilemparkan. Tidak kira dia menjawab dengan ragu-ragu atau penuh keyakinan, dia tetap tahu setiap jawapan. Walaupun ditertawakan dan menjadi bahan cemuhan, dia tetap kukuh bertahan. Jangan meluat sebab ada masanya dialah yang paling diperlukan.


Yang ini mungkin ada, mungkin tiada. Tapi dalam kumpulan aku ada seorang dua. Seseorang yang sentiasa bersama telefon bimbitnya. Telefon bimbit yang melekat di tangan tak kira semasa di kedai makan atau semasa memandu kereta. Sudah nama pun remaja, memang tak lari dari cinta. Nak marah pun tak guna. Bukankah kita sebagai kawan seharusnya gembira bila melihat kawan kita bahagia?


Pasti ada juga watak yang gemar memberi lawak yang tidak ada kena mengena dengan topik yang dibualkan. Punchline-punchline yang diberikan kadang-kadang jauh tersimpang. Walaupun ada rasa geram bila topik bertukar arah tapi orang begini sesuai untuk meredakan ketegangan. Lagipun kita orang Melayu dengan lawak memang tak boleh dipisahkan. Kalau tak, takkan orang semua suka Zizan, kan?

Friend is someone who accepts you just the way you are.


Ini juga mungkin ada, mungkin tiada dalam sesebuah kumpulan. Watak seorang yang gila seks atau gersang. Biasanya dalam satu kumpulan lelaki akan ada seorang. Dia tidak boleh pandang perempuan. Dijamin tidak berkelip mata kalau ada perempuan lalu di depan. Tubuh badan perempuan kenyang dijadikan santapan. Lelaki jangan marah dan perempuan jangan segan. Aku sendiri pernah kata lelaki memang suka tengok buah dada perempuan dan itu memang kenyataan.


Yang terakhir mungkin ada tanpa disedari. Dalam sekumpulan kawan, mungkin ada seorang yang kurang digemari. Kalau tulis 'seseorang yang dibenci' mungkin agak kasar dan seakan tidak menghormati. Dalam diam, mungkin kita tidak berapa suka dengan kawan kita sendiri. Dan pasti ada sebab konkrit berkaitan hal ini. Mungkin perangai atau kata-katanya yang pernah mengguris hati kita tanpa dia sedari. Sedangkan adik beradik boleh bergusti, sedangkan suami isteri yang ada ikatan boleh berkelahi, ini kan pula kawan yang dalam proses menjadi sahabat sejati. Jangan ingat semua orang suka kita kerana kita sendiri bukan sukakan semua orang yang ada atas muka bumi ini.


Mereka adalah kawan yang sentiasa bersama aku tapi tidak pernah sekali merasa bosan. Mereka adalah kawan yang tahu kisah hitam sejarah silam aku tapi tetap menaruh kepercayaan di masa depan. Mereka adalah kawan yang tetap menerima dan mengagumi diri ini yang serba kekurangan. Mereka adalah kawan yang tahu setiap cerita indah aku yang bersulam contengan. Atau mungkin aku boleh kata, mereka adalah kawan yang bukan setakat tahu, malah turut sama berlari meredahi setiap cerita indah aku yang sudah menjadi kenangan.

Konok. Apek. Arif. Farhan. Staqim. Afif. Hazwan. Aming. Roy. Along.
[Mizie. Nasrul. Armia]



ps : Hati kelu tidak berkata bila mulut bertanya kenapa aku terlalu sayangkan mereka walaupun aku tahu keburukan dan kejahatan mereka ;)

Jangan lupa Follow blog ini di Facebook. [Klik sini]


Kunkun!!


04 August 2011

percaya pada cinta sempurna


Kunkun!!


Selama ini hati dan akal sentiasa berfikir satu hubungan cinta yang sempurna bermaksud dua insan berkongsi rasa yang sama. Sesekali terlintas mungkin mereka bercinta kerana saling terpesona. Bukan kerana rupa atau harta, tapi mungkin kerana budi pekerti dan ketaatan pada agama. Cinta juga mungkin ada bila salah seorangnya sanggup bersusah supaya yang seorang lagi gembira dan begitu juga sebaliknya.


Jika ditanya kepada sepuluh manusia maka akan ada sepuluh jawapan berbeza tentang cinta yang sempurna. Pasti juga akan ada yang tidak percaya.


Mendengar nasihat ibu sendiri kepada anak lelakinya yang putus cinta bagaikan membuka mata yang tertutup seketika. Ini pertama kali dia bertanya anak lelakinya tentang teman wanita. Jawapan yang diberikan melahirkan senyum dan sedikit nasihat dari wanita yang menyayanginya lebih dari yang dia rasa.


Cinta yang sempurna terjadi bila sepasang kekasih tidak putus asa sesama mereka. Bila yang seorang merasakan hubungan mereka hampir ke penghujung, yang seorang lagi akan berusaha gigih mengekalkan hubungan yang ada. Dan yang seorang tadi akan semakin cinta bila dia nampak pengorbanan yang dilakukan oleh kekasihnya.



Pernah aku mengharapkan cinta sempurna daripada seseorang pada satu masa dulu. Dan pada masa itu ada seseorang mengharapkan cinta sempurna daripada aku. Dan di penghujungnya, hanya jalan buntu. Aku gagal mendapatkan walaupun salah satu dari itu.


Aku masih gagal mencari erti cinta sempurna yang sebenarnya. Mungkin memang tiada. Bila terdetik sedemikian rupa, akan ada suara-suara ghaib menghalang diri ini dari berputus asa.


ps : Jangan menyerah supaya cinta sempurna itu kekal sebagai satu anugerah ;)


Kunkun!!



03 August 2011

WW 04 - addicted to something


Kunkun!!




ps : Menghadapi fenomena hidup serba laju internet kura-kura di kolej ;)


Kunkun!!


01 August 2011

ramadhan yang memberi kekuatan


Kunkun!!


Dari petang kepala berfikir idea untuk ditulis di belog hitam bertuah ini. Mahu menulis perkembangan puasa pertama ini, pasti orang membaca juga tahu bagaimana rasa menahan nafsu sepanjang hari. Mahu bercerita menu masakan berbuka tadi, bimbang timbul riak bila dimuatnaik gambar juadah pelbagai resepi. Bimbang juga melukai beberapa hati insan yang berbuka tanpa keluarga di sisi.


Dugaan pertama berpuasa hadir di petang satu Ramadhan. Kereta yang menjadi kaki ditimpa kerosakan. Kerosakan lama yang berulang-ulang. Alhamdulillah, di bawah terik matahari masih diberi sedikit kesabaran. Mujurlah kerosakan itu tidak melarat dan Nino masih berupaya berjalan-jalan. Nino, itulah nama kekasih hati tersayang. Nino itulah kereta yang bakal berusia 10 tahun pada tahun depan.


Sebesar mana ujian yang ada, puasa harus dijaga. Jangan kerana mulut, puasa binasa. Jangan kerana nafsu buta, puasa sia-sia. Kerana sekuat-kuat manusia adalah yang mampu menahan nafsunya bila berpuasa. Selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam yang membaca. Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna untuk kita semua.



ps : Esok bermula perjuangan segulung ijazah seorang budak lelaki mentah ;)


Kunkun!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...