My Dongsaeng. My Oppa. My Noona.

27 December 2012

terbabas terbuka


 

Aku sampai ke satu Twitter budak ini secara tak sengaja. Aku tekan satu nama dekat Timeline kemudian headernya aku baca. Aku tengok Timeline dia, cari orang yang dia RT dan aku tekan orang itu pula. Aku teruskan sampai setengah jam lamanya. Nampak sangat tak ada kerja.


Sampai satu ketika aku sampai di Twitter budak lelaki yang aku tak kenal siapa. Aku tengok Timeline dia tapi dia tak ada RT sesiapa. Hampa. Aku mula sedar aku dah jauh tersesat rupanya. Mungkin aku patut balik ke Home semula. 




Aku hala mouse ke Home tapi aku turun semula. Aku rasa kalau aku cari ke bawah sikit mungkin aku akan jumpa. Yes ada! Aku terus tekan nama Twitter yang dia RT tanpa aku baca. Dalam dua saat paparan layar kaca komputer riba bertukar warna.


Eh nama dia macam pernah singgah di telinga. Aku rapatkan mata ke skrin kaca melihat gambar yang dia guna dengan harapan aku ingat siapa dia. Tak berjaya. Aku pejam mata. Siapa dia? Macam kenal tapi siapa? Aku banyak makan semut agaknya sampai lupa.


Aku scan semua kawan yang nama serupa dengan dia. Aku filter semua, delete yang tak ada kena mengena. Ingatan dan hati aku macam dilanda perang dunia. Ingatan aku hantar satu nama dan hati aku menerima. Satu salah dua salah tiga salah juga. Tinggal satu nama. Dia. Sah dia.


Dia kawan lama. Kami pernah rapat satu ketika. Itu dua atau tiga tahun lepas punya cerita. Tapi semua berubah bila dia jatuh cinta dengan budak lelaki yang aku tak kenal siapa. Jarak antara kami mula tercipta. Aku tak kisah mana. Aku pun risau kalau dituduh orang ketiga. Kekasih dia pun mesti tak suka awek dia rapat dengan lelaki lain selain dia. Jadi aku tinggal dia sebab nak dia bahagia.


#Single tertera. Eh mana pakwe dia? Perlu ke aku mention nama dia, tanya? Jangan Nino jangan buat gila. Pesan aku kepada budak kecil yang kuat menghasut dalam kepala. Jadi aku biarkan saja. Tak apa. Masa masih ada.


ps : 5 minit study, 55 minit tulis entry, makan maggi, whatsapp tak berhenti ;)


25 December 2012

akhir tahun



Hari demi hari melangkah. Tanpa sedar hujung tahun mula menjengah. Aku pusing menatap semula sebelas bulan setengah yang sudah. Dan aku sedar betapa banyak benda yang berubah.




Dalam setahun aku hilang ramai manusia. Aku hilang kawan yang pernah susah senang bersama. Aku hilang ahli keluarga. Mereka pergi untuk selamanya. Entah bagaimana dalam setahun semua berubah sekelip mata.


Dua belas bulan berganti. Agak sedih bila orang yang selalu kata "Saya selalu ada bila awak perlukan awak saya nanti" turut sama melangkah pergi. Agak sedih bila semua yang dirancang tak menjadi.


Tipu kalau aku kata dalam dua belas bulan ini tak ada benda yang buat aku gembira. Ada. Banyak juga benda gembira. Tapi dalam gembira itu terselit juga duka. Mungkin sebab itu ada hidup di dunia.


Manusia ibarat roller coaster di taman tema keriangan. Ia berubah mengikut jalan. Saat ia mendatar kau rasa ketenangan. Saat ia mendaki kau rasa debaran. Saat ia menjunam kau tutup mata ketakutan. Roller coaster berubah mengikut jalan, manusia berubah mengikut keadaan. Kejam bukan? Tapi inilah kehidupan.


ps : 2012 antara tahun paling aku tak suka. Nino pergi untuk selamanya :'(



22 December 2012

kahwin nanti



Pagi kelmarin dekat Facebook aku dapat jemputan kahwin seorang kawan. Bertahun tak jumpa tiba-tiba dapat tahu dia nak kahwin tahun depan. Untunglah kan. Lagipun dia perempuan. Memang aku rasa perempuan patut kahwin awal sebab mereka terdorong dengan desakan. 




Petang kelmarin aku pergi kenduri kahwin junior aku. Suami dia senior aku. Kiranya mereka jumpa dekat kolej dan semuanya bermula dari situ. Kebetulan masa aku pergi memang ramai tetamu. Aku perhati satu-satu. Manalah tahu bertemu jodoh aku dekat situ. Tak kisahlah semua itu. Kepada Din dan Fiza semoga bahagia ke anak cucu.


Semalam lepak dekat tempat biasa. Kami ada borak pasal hal rumahtangga. Kawan aku kata kami sudah dewasa, sudah wajib fikir pasal berkeluarga. Gila. Aku tak tahu nak kata apa. Tapi bila fikir semula memang betul apa dia kata. Dia dah bekerjaya. Dah ada kereta. Dah ada semua. Dia cuma perlukan isteri untung melengkapkan hidup dia.


Bukan aku tak nak kahwin kemudian ada keluarga yang bila petang hari boleh aku bawa pergi taman permainan main sama-sama. Aku nak itu semua. Cuma aku rasa belum sampai masa. Aku belum kerja. Aku belum bersedia. Kalau aku kahwin aku nak bagi anak bini aku makan apa? Pasir berulamkan rumput cicah lada?


Bagi aku tanggungjawab suami sangat besar sekali. Aku akan tanggung dosa-dosa isteri. Aku tanggung dari kepala sampai kaki. Aku akan dapat dosa kalau dia tinggal solat sekali. Dia dedah aurat sekali, dosanya ditanggung juga aku sebagai suami. Aku juga bakal tanggung dosa anak-anak aku nanti. Kalau tak aku disoal dalam kubur nanti. Aku tahu tugas ayah dan suami tapi aku belum bersedia lagi.


ps : Lebih baik ada duit tapi tak ada calon daripada ada calon tapi tak ada duit ;)


 

21 December 2012

kiamatnya bila



Hari ini ramai yang ketawa. Mereka gembira bila kiamat tidak berlaku pada tarikh yang dijangka. Mereka meneruskan kerja macam biasa. Gembira sangat nampaknya. Mereka ketawa dengan kiamat yang tak jadi nyata, aku ketawa dengan kelembapan mereka.


Bagi aku kiamat sudah lama terjadi. Tapi mungkin mereka tak nampak semua ini. Mungkin kiamat ini agak kecil berbanding kiamat yang mereka tonton di TV.



 

Mungkin ini yang kaum Mayan jangka agaknya. Kiamat yang dimaksudkan bukan kejadian perlanggaran asteroid di alam maya. Bukan jujukan semua planet di angkasa. Tapi pengakhiran kita sebagai manusia. Kiamatnya kita sebagai penduduk dunia.


Kiamat sudah lama ada. Kiamatnya bila hidup tidak lagi ceria sebab tekanan belajar dan tempat kerja. Kiamatnya bila kita rasa kawan sudah tidak memberi erti apa-apa. Kiamatnya bila kita mahu cuma kaya dan harta bukannya agama. Kiamatnya bila perang di sini sana. Kiamatnya bila kes bunuh berlaku di mana-mana. Kiamatnya bila salah laku berleluasa. Kiamatnya bila penjajahan bumi untuk kemodenan kononnya. Kiamatnya bila binatang dibunuh demi pakaian berjenama. Kiamatnya bila bukit ditarah menjadi rata. Kiamatnya bila manusia dirasuki sifat tamak haloba. Kiamatnya bila pembaziran terjadi tanpa mengira usia. Kiamat sudah bermula sejak manusia jahil berbangga dengan kehahilan mereka.


Lihat sekeliling kita. Ketepikan seketika pemikiran kiamat sebenarnya malapetaka. Kita sibuk memikirkan kiamat bencana tanpa sedar kiamat sudah berlaku sesama kita.


ps : Terpaksa curi-curi update sebab sibuk yang amat sangat. Maaf ;)

14 December 2012

best friend



Kawan baik adalah kawan yang selalu ada untuk kau tak kira masa atau ketika. Kau dan dia saling berkongsi cerita, apa saja cerita. Semua tentang cinta sampai ke perihal keluarga serta tekanan yang kau rasa sama ada di kelas atau tempat kerja.


Sungguhpun berbeza jantina, kau dan dia selalu dilihat bersama. Makan bersama. Lepak bersama. Kau tak kisah apa orang kata. Kau single dan dia pun sama. Kau bebas buat apa saja. Kau tak ada kekasih yang akan cemburu buta. Kau tahu kau selesa dengan dia. Kau percayakan dia. Kau sayangkan dia. Malah kau sanggup mati demi persahabatan kau dan dia. 




Tapi ada satu peraturan hidup yang harus kau terima. Di antara kawan baik dan cinta, ada satu garisan halus yang memisahkan mereka. Garisan yang menjadi sempadan rasa. Garisan yang buat ramai manusia kecewa di akhir cerita.


Sekali kau jatuh cinta dengan kawan baik kau sendiri, kau umpama bermain api. 

Kau jadi takut dalam berani. Kau tersepit antara kanan dan kiri.


Apa kata kalau dia pun rasa perasaan yang sama? Kau saling suka lalu kau bercinta. Tapi risiko untuk putus sentiasa ada. Sebab bila kau bercinta, kau dah tak boleh buat macam kau cuma berkawan saja. Dan kalau kau putus dengan dia, persahabatan yang dah lama terbina akan berkubur untuk selamanya.


Macam mana pula kalau dia tak rasa apa yang kau rasa? Kalau dia cuma nak berkawan saja? Rasa tak selesa akan timbul antara kau berdua. Dan mungkin dia akan tinggalkan kau atas ketidakselesaan yang kau sendiri cipta. Dan kau akan hilang kawan baik hanya sebab kau terlalu ikutkan rasa.


Sebab itu aku takut bila kita makin mesra. Aku takut kita terjatuh cinta. 

Aku sayang kau tapi aku lebih sayangkan persahabatan kita.


ps : Betul kata mereka, bercinta selepas kahwin itu lebih indah keindahannya ;)


 

06 December 2012

nasihat diri sendiri


 

Bayangkan kau sedang dilanda masalah peribadi. Kau pun duduk seorang diri, bercakap dalam hati, dengan diri kau sendiri. Nak buat begini takut tak jadi. Nak buat begitu tapi tak berani. Pendapat kau berkelahi. 



Kau teringat seorang kawan yang pernah hadapi masalah yang sama. Pada saat itu kau yang nasihatkan dia. Kau dengan penuh yakin berkata cara ini akan berjaya. Dan benar memang dia berjaya.


Tapi sekarang walaupun kau ulang ayat yang sama, kau tak dapat terima. Kau tetap sangsi dengan nasihat yang pernah kau bagi dekat orang yang hadapi masalah yang serupa.


Jadi kau cari kawan dan luahkan masalah tadi. Kemudian kawan kau bagi nasihat supaya masalah kau itu dapat diatasi. Sama ada sama atau tidak dengan cara yang pernah kau bagi, kau hampir pasti akan gunakan cara yang kawan kau beri. Sebab kadang-kadang lebih baik dengar sesuatu dari mulut orang daripada hati sendiri.


ps : You know why your heart is located on your left? Because it's not always right ;)



04 December 2012

janji dengan saya




Janji dengan saya awak tak akan lupa semua kenangan kita. Semua gelak tawa. Semua gurau senda. Semua pilu hiba. Semua pertengkaran yang menitiskan air mata. Semua perbincangan kita. Semua yang berlaku masa hari pertama kita jumpa. Semua pelukan dan ciuman mesra. Semua lagu yang kita nyanyi bersama. Semua gambar dan video kita. Semua entry cinta. Semua tempat yang kita pernah singgah berdua. Semua janji yang kita reka. Semua perancangan yang kita cipta. Semua masa depan yang kita mahu bina. Semua cerita yang tak perlu dicerita. Semua rahsia yang sepatutnya dirahsia. Semua kata-kata. Semua janji setia. Semua masa. Semua cinta kita. Semua.


Walaupun kita tak mungkin lagi dapat bersama, janji dengan saya satu pekara. Janji dengan saya awak tak akan lupakan saya, tak akan lupa kenangan kita, sampai bila-bila.


ps : Berat rasanya melepaskan seseorang yang kita cinta sebab nak tengok dia bahagia ;)

02 December 2012

radio



Radio kadangkala boleh jadi benda paling celaka. Dia mainkan lagu yang paling kau tak nak dengar di telinga. Bukan sehari dua tapi kalau boleh tak nak dengar sampai bila-bila. Lagu yang mungkin buat kau teringat satu benda yang kau nak sangat lupa. Lagu yang mungkin buat kau terimbas semula. 



Saat kau nak lupakan seseorang tiba-tiba radio mainkan lagu cinta kamu berdua. Nak sumpah seranah pun tak guna. Kau bukan deejay yang putarkan itu semua. Kau tak ada kuasa. Kalau kau dalam kereta bolehlah kau tukar channel lain yang kau suka. Tapi kalau kau di shopping complex contohnya? Terpaksa juga kau tadahkan telinga secara paksa rela.


Tapi lainlah kalau kau tengah bercinta. Lagu bodoh pun kau boleh ulang dari pagi sampai senja siap kau boleh hafal setiap lirik dia. Sebab bagi kau lagu itu memberi rasa. Kononnya.


Aku lagi suka dengar lagu yang aku susun sendiri kedudukannya. Pilih lagu yang kena dengan jiwa kemudian masukkan dalam pendrive dan cucuk dalam kereta. Lagu itu buat aku selesa.


ps : Radio main lagu cinta tapi aku rasa kosong saja. Harap ada orang turut merasa ;)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...