My Dongsaeng. My Oppa. My Noona.

29 November 2012

kawan



Kita hidup bukan untuk kita saja. Mungkin sebab itu Tuhan hadirkan kawan dalam hidup kita. Untuk bagi kita kongsi apa kita rasa. Dan dalam hidup ini ada tiga jenis kawan yang akan kita jumpa. 


Kawan sebab bersebab itu yang pertama. Kawan yang mungkin beri kelebihan dekat kita. Mungkin dia ada kereta jadi kita boleh tumpang bila nak pergi mana-mana. Mungkin dia anak orang kaya yang boleh belanja kita bila-bila masa. Mungkin dia ada nama. Mungkin dia ada kuasa. Mungkin dia pandai orangnya. Kawan yang tidak sedar di sebalik persahabatan itu tersembunyi satu rahsia.


Kedua, kawan yang macam cuaca. Sekejap cerah sekejap gelap gelita. Sekejap ada sekejap tak ada. Bila kita senang dia ada depan mata tapi bila kita susah dia hilang entah ke mana. Bila dia ada masalah kita sudi luangkan masa tapi bila kita ada masalah dia pekakkan telinga. Kawan yang cuma sanggup ketawa bersama namun tidak menangis bersama. Ini kawan celaka.


Nombor tiga, kawan sampai bila-bila. Kawan yang berjanji akan terus berkawan sampai hujung nyawa. Kawan yang berjanji akan cari semula kita dalam syurga untuk sambung persahabatan atas dunia. Kawan yang anggap masalah kita sebagai masalah dia sebab nak hadapi masalah itu sama-sama. Kawan yang nampak derita dari mata kita saat orang lain percaya dengan senyuman yang kita reka. Kawan yang tahu perangai buruk dan sejarah hitam kita tapi masih mahu bersama kita.


Lihat sekeliling kita. Kawan-kawan kita jenis yang mana. Sekarang lihat diri kita. Kita sebenarnya kawan jenis apa. Satu atau dua atau tiga, atau satu dua tiga? Kalau semua tak apa. Mungkin kita kawan pertama di mata dia namun kita sebenarnya kawan nombor tiga di mata dia yang lain pula. Lagipun kita manusia yang tak sempurna. Jangan ingat semua orang akan suka kita, sebab kita pun bukan suka dekat semua orang di sekeliling kita.


ps : "Kalau Malaysia menang, aku akan update blog esok," tweet aku semalam ;)


 

26 November 2012

kisah sekolah



SMK Bandar. Satu nama yang sentiasa segar. Tempat aku belajar, mengajar dan diajar. Selepas aku keluar, nama sekolah ditukar. SMK Dato' Razali Ismail ganti nama SMK Bandar.


Pagi yang sibuk dengan macam-macam jenis kenderaan. Ada yang mak ayah hantarkan. Salam dan cium tangan. Ada yang jalan kaki berkumpulan. Dalam bas sekolah oren ataupun nama asalnya van ada pelajar yang tersepit sampai berkedut baju yang mak gosokkan. Itu pengorbanan. 



Loceng dibunyikan. Perhimpunan. Bacaan doa harian. Nyanyian lagu negeri dan kebangsaan. Cikgu bagi ucapan. Pelajar contoh diberi pujian. Kelas tercantik diberi tepukan. Masalah disiplin adalah perkara sama yang akan dibangkitkan sampai bosan. Aku beratur di barisan belakang bercakap dengan kawan-kawan. Apa yang cikgu cakapkan cuma masuk telinga kiri keluar telinga kanan.


Masuk kelas dan belajar. Cikgu suruh kita jawab soalan sebab nak kita jadi budak pintar. Cikgu suruh buat karangan sebab cikgu tahu imaginasi itu lebih indah daripada apa yang tergambar. Cikgu suruh present sebab tak nak bagi kita gementar. Cikgu tak nak kita jadi macam katak bawah tempurung yang tak tahu dunia luar.


Waktu rehat tiba. Ada yang ke kantin ada yang makan bekal yang dibawa. Aku tunggu kawan kelas sebelah keluar sebab nak rehat sama-sama. Aku suka makanan kantin tapi tak suka beratur lama-lama. Aku rela pergi Koperasi beli roti dengan air kotak yang macam-macam perasa. Koperasi itu macam kedai runcit yang jual makanan ringan sahaja. Beli makanan kemudian makan tepi longkang dengan kawan-kawan sambil bersembang tentang semua benda. Tiga puluh minit rehat dengan kawan-kawan umpama tiga puluh minit dalam syurga sementara.


Loceng balik berbunyi. Buku yang ada kerja rumah dimasukkan dalam beg atas kerusi. Buku yang tak ada kerja rumah dimasukkan dalam laci. Galas beg sendiri, berdiri dan langkahkan kaki. Jadual nak buat kerja rumah apa sudah tersusun rapi. Mula-mula buat Matematik lepas itu Biologi. Sayangnya perenggan ini menceritakan tentang pemikiran budak-budak kelas nombor satu yang selalu cikgu puji. Aku tak layak duduk dalam kelas ini. Tak cukup kredibiliti.


Balik sekolah nanti tengok Sinetron Indonesia dekat TV. Pukul lima main bola dekat padang sekolah sendiri. Malam nanti tengok bola lagi. Esok datang awal tiru kerja rumah kawan yang bermurah hati. Salah tak apa janji semua jawapan terisi. Ini yang aku fikir setiap hari.


ps : Di sekolah kita belajar dan diberi ujian. Di luar kita diberi ujian dan belajar ;)


24 November 2012

dalaman luaran



Semalam aku pergi tahlil datuk sepupu aku. Aku pergi awal sebab nenek aku nak tolong-tolong apa yang perlu. Jadi sementara tunggu orang lain datang aku bersembang dengan ayah sepupu aku merangkap anak sulung kepada arwah datuk sepupu aku.


Tak lama kemudian datang seorang lelaki berbaju putih yang ada gambar bendera UK serta kopiah atas kepala. Dia datang bersalam kemudian memperkenalkan diri sebagai saudara yang baru balik dari luar negara. Poyo gila. Tak perlu sebut tak apa belajar dekat mana. Dia bercerita pengalaman dia masa musim bunga dan jumpa beberapa orang ternama. Aku buat-buat tak dengar saja.


Orang mula ramai dan parking mula dipenuhi. Kedengaran deruman enjin motorsikal membingitkan telinga kanan dan kiri. Sekumpulan remaja lengkap berbaju Melayu datang dan bersalam dengan kami. Rupa-rupanya mereka kawan kepada ayah sepupu aku yang seorang lagi. Aku menjemput mereka masuk dan mereka memilih untuk duduk di satu penjuru tepi. Kena duduk satu geng baru nampak bersatu hati. Aku tahu sangat semangat itu sebab aku pun ada geng aku sendiri. 



Budak oversea tadi menggeleng kepala dua tiga kali. Dia pesan dekat ayah saudara aku supaya jangan rapat sangat dengan budak-budak tadi. Katanya Mat Rempit adalah musuh negara sejak dulu lagi. Mat Rempit adalah sampah masyarakat yang wajib dijauhi. Gila babi. Aku terkejut tapi masih berdiam diri. Entah dari mana dia tahu budak-budak tadi Mat Rempit pun aku tak pasti. Jangan hanya sebab mereka naik motor terus kau kelaskan dia sebagai Mat Rempit atau sampah masyarakat macam kau cakap tadi.


Kami masuk dan duduk di penjuru tempat budak-budak motor tadi tawan. Aku tak guna perkataan Mat Rempit sebab bagi aku itu tohmahan. Aku tak suka nilai seseorang dari luaran. Surah Yasin di tangan dan bacaan Yasin dimulakan.


Sambil baca sambil aku perhati. Budak oversea tadi cuma berdiam diri. Surah Yasin di tangan tapi mulut dia tak berbunyi. Bila orang belek muka surat lain dia pun belek sekali. Aku pusing sebelah sini. Aku dapat dengar bacaan Yasin dari budak-budak motor tadi.


Aku pusing kepala. Bacaan aku terhenti seketika. Gila. Tiada surah Yasin pun di tangan mereka. Tapi bacaan mereka lancar dan sama. Sah gila. Bukan mereka tapi aku yang gila. Mereka mampu hafal satu surah Yasin dan menyebutnya semula. Sungguh suci hati mereka. Aku rasa budak oversea itu mesti tak tahu nak letak mana muka dia. Itulah tadi suka-suka hati cakap budak-budak motor tak guna. Jangan ingat kau belajar luar negara kau akan kuasai semua. 

Belajar jauh-jauh tapi bodoh juga bab agama.


Majlis selesai dan tetamu dihidangkan dengan nasi beriani. Sambil makan fikiran aku melayang pergi. Rasa bangga dengan budak-budak tadi. Mereka mungkin bising tapi mereka tak lupa diri. Mereka berpegang kepada agama walaupun masih budak lagi. Yang penting mereka berjaya malukan seorang budak poyo yang kononnya belajar luar negeri. Ibarat pasukan bawahan menang dengan pasukan gergasi di halaman pasukan gergasi itu sendiri.
Puiiii.


ps : Dalam rumah aku macam Astana Idaman walaupun dari luaran macam rumah setinggan ;)


22 November 2012

harapan menjadi layu



"Harapan... Harapan menjadi layu... Inginku bahagia bersama..."

Pukul empat pagi handphone aku berkumandang lagu Harapan. Ada panggilan dari seorang kawan perempuan. Aku di persimpangan. Kalau angkat kena layan. Kalau tak angkat rasa bersalah pula sebab manalah tahu dia perlukan bantuan. Dekat TV depan aku pasukan bola sepak kegemaran aku tengah berlawan. Real Madrid menjaringkan gol awal yang memberi aku sedikit kelegaan.


Hampir sepuluh saat aku bergaduh dengan perasaan, aku jawab panggilan. Lepas aku angkat terus aku dengar esakan. Dia cakap Hello pun tersekat dan perlahan. Lepas aku tanya ada apa dia terus meraung macam kena rasuk syaitan. Dengan aku-aku sekali ketakutan. Aku cuba tenangkan keadaan. Aku suruh dia kosongkan fikiran. Aku suruh dia tarik nafas dalam-dalam kemudian ceritakan.


Dia diam seketika. Kemudian dia tarik nafas sedalam-dalamnya. Kedengaran bunyi hingus disedut kemudian tersepit sebab berlaga di dalam rongga.


 
Dia kata dia baru putus cinta. Boyfriend dia tinggal dia. Terkejut aku dibuatnya.
Kenapa? Aku tanya.


Dia mula bercerita. Dia kata boyfriend dia ajak beromen bila mereka dating lusa. Boyfriend dia siap bagitahu dia dah cari tempat selamat tanpa gangguan jabatan agama. Tapi dia tolak serta merta sebab dia tak suka. Bagi dia, kena kahwin dulu kalau nak itu semua. Boyfriend dia pun naik angin marah-marah tak tentu hala. Terus boyfriend dia ceraikan dia. Katanya awek dia kolot dan tak remaja. Sekali lagi dia menitiskan air mata.


Aku terus menghembus semangat saat tangisannya semakin kuat. 

Real Madrid dan aku sama-sama bertahan memerah keringat.


Tolong dengar sini wahai gadis-gadis di luar sana. Jika seorang lelaki tinggalkan anda hanya sebab anda tolak nak buat seks dengan dia, anda langsung tak rugi apa-apa. Memang lelaki begitu tak layak untuk sesiapa. Hanya lelaki bodoh yang akan paksa kekasih dia buat perkara yang kekasih dia tak selesa. Sesungguhnya cinta yang sempurna terjadi bila ada komitmen dan rasa hormat antara dua manusia yang kemudiannya direnjis rasa sayang dan percaya.


Untuk lelaki yang sedang membaca, tolong hormat kekasih anda juga. Bagi dia masa sampai dia bersedia. Hormat dan banggalah dengan keputusan dia. Buktikan pada dia yang dia satu dalam sejuta. Buktikan pada dia yang dia benar-benar istimewa. Buktikan pada dia kalau anda terpaksa menunggu dia selama mana pun anda rela. Wanita dicipta untuk lelaki jaga seperti Adam menjaga Hawa. Pertahankan dia, bukan jahanamkan dia.


ps : Bercerita dengan air mata lebih mudah dirasa berbanding dengan kata-kata ;)


18 November 2012

kejamnya dunia



Kawan-kawan aku selalu cari aku bila mereka ada masalah dalam cinta. Aku pun tak faham sebenarnya kenapa orang bercinta bertanya dekat orang yang tak bercinta bila ada masalah dalam cinta. Tapi biarkan saja. Mungkin itu cara dia tunjuk rasa percaya.


Pagi tadi kawan aku mengadu dia ada masalah dengan kekasih dia. Dia hantar mesej dekat page Bernafas Dalam Ego pagi-pagi buta. Panjang berjela-jela. Dia kata dia syak kekasih dia main kayu tiga. Dia kata kekasih dia dah tak mesra. Dia kata kekasih dia asyik bagi alasan ada kerja bila dia ajak jumpa. Kawan aku sebenarnya gagah perkasa. Badan dia sasa. Penuh semuka inbox di Facebook dengan mesej aduan dia. Tapi tak kisahlah sebab aku suka baca. Oh ya silalah like page blog ini di Facebook juga. Free saja, tak perlu bayar apa-apa. Ini link dia, http://www.facebook.com/bernafasdalamego. Ketawa. 


 
Aku bagi beberapa cara untuk atasi masalah dia itu. Kebetulan dia juga sedang online terus dia balas mesej aku. Aku suruh dia cuba satu per satu. Ada yang dia pernah cuba dulu. Ada juga cara baru yang baru dia tahu.


Aku kagum dengan dia. Ramai gadis di Facebook nak kenal dengan dia namun dia buat acuh tak acuh saja sungguhpun dia tergolong dalam golongan ada rupa dan ada gaya. Yang untung pasti kekasih dia. Sudahlah setia, badan pula sasa. Mungkin kekasih dia merajuk sebab nak bermanja. Macam-macam kata-kata positif aku bagi supaya mereka berbaik semula.


Tadi bergerak di ticker di hujung kanan belah atas Facebook dia komen status kawan dia. Aku bukan rajin sangat nak baca tapi sebab ada simbol 'love' jadi aku tekan juga. Maka terpampanglah status seseorang di layar putih skrin laptop yang bernyala. Oh ini status kekasih dia. Aku baca. Aku gosok mata. Aku garu kepala.


Status itu memang sweet sekali. Ayat meminta maaf serta kata-kata cinta dan simbol 'love' pasti dapat mencairkan kekasih hati. Tapi bila ayat itu ditulis oleh lelaki dan ditujukan pada lelaki, perlahan-lahan keghairahan membaca tadi pergi. Terus aku pangkah tanpa sempat aku habiskan komen terbaru yang diberi.


Kejamnya dunia bila manusia sibuk berebutkan jantina yang sama. Jangan tanya aku kenapa jadi sebegitu rupa. Masing-masing ada citarasa yang berbeza. Sebab dia hormat aku jadi aku juga hormat dia. Malah aku masih boleh duduk minum semeja tak kiralah dia itu gay, lesbian, pondan, pengkid atau apa saja gelaran yang kononnya jijik di mata manusia. Sebab bukan aku yang tentukan dosa atau pahala.


ps : Kita hidup di dunia jangan menghina sesama manusia sebab kita semuanya sama ;)

16 November 2012

nak seribu daya



Dia seorang yang berisi. Dihina oleh lelaki dan perempuan pun perli. Dia perempuan berbadan besar yang selalu dibuli. Dibuli dengan kata-kata yang menyakitkan hati. Aku juga pernah panggil dia Syanie. Entah ke mana hilang rasa simpati.


Sudahlah berbadan besar tidak pandai pula bergaya. Sentiasa berbaju kurung dan tudung di kepala. Skema dan berkaca mata. Sungguhpun tahu menutup aurat itu tuntutan agama namun bila sudah biasa menghina manusia agama hilang entah ke mana. 


 
Hampir sepuluh tahun berlalu. Hampir sepuluh tahun tidak bertemu.


Satu link dihantar oleh kawan lama di chat Facebook pada malam Rabu. Link ditekan membawa kepada satu gambar perempuan berblouse putih bertudung biru. Kawan itu meminta aku melihat semua gambar sebelum memberi komen satu per satu.


Di setiap gambar itu ada komen dari kawan yang memberi link tadi. Satu taktik mengayat yang berani. Pantas jari menaip bertanya siapa perempuan ini. Satu nama tertera rapi.


Hebat. Dia perempuan yang pernah kami laknat. Dia perempuan yang kami kutuk tanpa rasa penat. Dia perempuan yang pernah kami hina sampai lumat. Tapi sekarang dia berubah dengan ketara sangat. Aku kelu tak tahu apa dia buat. Rasa kagum dan menyesal terikat.


Cari punya cari akhirnya jumpa kenapa dia berubah sebegitu rupa. Sebab saiz badan dia putus cinta. Dia juga pernah dihina. Aku tahu ayat itu dituju dekat bekas kekasih dia tapi aku turut merasa pedasnya. Sejak itu dia berusaha. Aku tak tahu macam mana. Mungkin makan ubat atau diet gila-gila. Dan hari ini dia sudah dapat bentuk badan yang diidamkannya. Cuma satu yang aku bangga, tudungnya masih terpakai di kepala. Tak macam sesetengah manusia yang rela tubuh mereka dijilat mata hanya kerana mereka semakin jelita.


ps : Ada orang kurus tapi selalu kata dia gemuk sebab nak orang kata dia kurus ;)


 

10 November 2012

aku bakal pengantin



Semalam aku bersembang dengan kawan baru buat pertama kali. Bermula di blog melarat sampai ke Facebook dan akhirnya aku dan dia duduk semeja menikmati siang dan malam berganti. Asalnya dia malu tapi akhirnya dia berjaya sesuaikan diri. Segelas air Coke, segelas F&N Strawberry dan sepinggan french fries menjadi orang ketiga antara kami.


Dia lebih banyak bercerita. Tentang blog aku yang dia jumpa, tentang masa lampau dia, tentang keluarga, tentang cinta. Aku biarkan saja. French fries yang dicicah sos cili dan mayonis lebih menggoda. Dia terus bercerita tentang cinta dia yang putus sebab orang ketiga walaupun aku tak tanya. Dan sampai hari ini dia serik nak bercinta. Aku angguk kepala dua kali sambil pejam mata. Angguk sekali sebab faham cerita dia. Anggukkan kedua sebab french fries itu dimasak dengan sempurna. 



Dia masuk pula topik kahwin muda. Tangan dia bergerak senada dengan cerita dia membayangkan pelamin dan majlis perkahwinan dia. Umur dia baru sembilan belas tapi sudah sibuk merancang perkahwinan sedangkan aku yang sudah dua puluh tiga malas nak fikir itu semua. Sesekali suara dia meninggi tanda kagum dengan beberapa majlis perkahwinan yang pernah dia tengok dan baca. Sambil aku hirup air F&N Strawberry dengan straw berwarna jingga, aku tatap mata dia. Aliran eye shadow di mata dia mampu memukau mata sesiapa saja. Tapi aliran air bergas ini dalam trakea aku jauh lebih nikmat daripada itu semua.


Dia kata kalau boleh dia nak buat majlis perkahwinan yang bermotifkan warna tak kisahlah warna apa. Maksud dia kalau baju pengantin warna putih maka semua akan dibuat warna putih juga. Kalau ada duit lebih dia nak pengantin lelaki datang dengan menunggang kuda. Kalau ada duit lebih lagi dia nak buat dekat dewan sebesar istana. Aku ketawa. Kalau orang dengar perbualan kami mungkin orang akan kata kami pasangan bercinta yang sedang merancang perkahwinan bertaraf lima bintang macam yang selalu Nona siarkan dekat TV3. Aku cuma gelengkan kepala. Gila. Budak ini kuat tengok drama agaknya.


Dia tanya tentang majlis perkahwinan aku nanti.
Aku tengok tepi, senyum seorang diri.


Majlis aku nanti mungkin tak semewah majlis dia. Aku tak akan buat majlis berjuta-juta. Aku juga tak akan naik kuda. Malah aku tak akan sewa dewan sebesar istana sebagai simbolik besarnya cinta. Aku cuma mahu majlis aku dan isteri aku sempurna. Aku cuma mahu pada hari itu isteri aku bahagia. Aku cuma mahu majlis itu berjalan seperti yang dirangka. Aku cuma mahu isteri aku tahu yang aku cuma mahu dia. Dan majlis perkahwinan aku itu akan jadi majlis yang paling indah mengatasi semua majlis perkahwinan yang ada. Biar sederhana janji bahagia sampai bila-bila.


ps : Sebaik-baik perkahwinan adalah serendah-rendah mahar ;)


 

06 November 2012

malang



Hari ini hari malang. Aku ulang. Malang. Macam-macam benda tak kena dari pagi sampai petang. Aku tak tahulah apa jadi malam karang. Tadi junior yang dah habis final exam sorong beg nak balik kampung dengan hati yang senang. Aku terlentang dalam bilik berselimutkan rasa bengang. Melayan hari malang yang panjang.




Firstly, aku tak jumpa cari pendrive aku sendiri. Pendrive yang aku dah lupa berapa kapasiti tapi sangat banyak bahan berharga yang sukar dicari. Aku pun tak tahu mana dia pergi. Selama ni elok je dia duduk dalam poket kiri seorang diri. Tapi tadi dah tak ada lagi. Nak kata dia diculik pemuda Indonesia macam tak logik sebab pendrive aku lelaki. Aku tahu dia lelaki sebab aku selalu tengok dia masukkan alat sulit dia dalam lubang USB. Okay tak apa kuatkan hati. Nanti jumpalah balik kalau ada rezeki. Aku gubah ayat macam dalam entry untuk tenangkan hati yang risau gila babi.


Aku juga tak jumpa cari cincin tangan belah kanan. Aku suspek dia terlucut semasa di luar kawalan. Sejak aku pakai cincin tu masa tahun 2006 aku tak pernah tanggalkan. Kami macam dah lebih dari kawan. Apa yang aku dapat aku bahagikan. Setiap kali aku belai rambut perempuan, cincin itu turut sama belaikan. Bila aku makan dengan tangan, cincin itu turut merasa makanan. Malah cincin itu yang turut merasa bila aku sedap sendirian berimaginasi yang bukan-bukan. Terlalu banyak kenangan kami sepanjang enam tahun perkenalan.


Dan pagi tadi lecturer bagi markah Statistics Test 1 dan markah aku kosong per tiga puluh. Rasa macam bodoh. Berdesing telinga macam bunyi guruh kena basuh. Semangat aku jatuh. Macam sia-sia usaha aku yang bersungguh-sungguh. Macam tak guna semua arahan yang aku patuh. Rasa hancur luluh.


Sebenarnya aku mengantuk mata. Tapi aku nak tulis juga sebab aku suka. Sebab sinilah tempat aku mengadu semua yang aku rasa. Tidur pun aku suka. Kenapa? Sebab tidur buat aku lupa masalah yang aku ada. Tidur bagi aku rehat selepas penat buat senyum yang direka-reka dekat sesetengah manusia. Tidur buat wajah aku tenang walaupun hati mencuka. Walau sebesar mana masalah yang aku ada, bila aku lelapkan mata, aku lupa, walau seketika.


ps : The boy that's been there for everyone else also needs someone to be there for him ;)



05 November 2012

maaf



Maaf itu satu rasa misteri yang tersembunyi. Aku pernah minta maaf dengan lampu kereta aku yang pecah sebab aku tak hati-hati. Aku pernah minta maaf dengan jenazah seekor kucing yang aku langgar sampai mati. Tapi ada orang susah nak minta maaf sebab dia letak ego di tingkat atas sekali. Orang macam ni elok pergi duduk dalam gua seorang diri.


Hari ini aku nak minta maaf lagi. Bukan dengan manusia tapi dengan diri aku sendiri. 



 

Perut tolong maafkan aku lagi sekali. Selama ini aku dah sakitkan kau tanpa aku sedari. Sebab nak tunggu dia aku biarkan kau kosong tak terisi. Sebab nak belanja dia makan malam aku sanggup biarkan kau lapar sepanjang hari. Aku buat-buat tak nampak kau menangis meminta suapan tak kira mee, nasi ataupun maggi. Sebab dia kau terseksa diri.


Aku minta maaf dengan kau juga mata. Maaf untuk semua air yang kau keluarkan walaupun kau tak rela. Walaupun kau penat celik seharian aku tak bagi kau lena bila malam tiba sebab nak bersama dia. Aku paksa kau tahan walaupun kau dah lembik sepanjang hari terbuka. Aku biarkan kau merah menyala. Aku biarkan kau merana.


Maafkan aku wahai otak dan kepala. Maaf sebab aku selalu penuhkan kapasiti kau dengan berfikirkan dia. Maaf sebab selalu guna kau untuk berangan tentang masa depan aku dan dia bila kami tua. Aku langsung tak pernah berterima kasih dengan kau walaupun kau sering bagi aku idea. Maafkan aku otak sebab tak dengar kata kau supaya jangan bercinta.


Akhir sekali, maafkan aku hati. Kau yang merana teruk sekali. Aku tak tahu nak bagi alasan apa lagi. Kau memang yang paling hebat sekali walaupun kau yang parah tersakiti. Walau hangus dibakar api dengki, walau hancur dipijak kaki berunsur benci, kau tetap berfungsi.


Aku rasa aku buta. Sejak aku lahir kita dah bersama. Tapi sebab perempuan itu yang baru aku jumpa, aku tinggal kamu semua. Cuma maaf yang aku mampu kata. Aku janji aku akan jaga kau, kau, kau dan kau juga. Jangan hanya sebab seorang perempuan kita jadi gila.


ps : Sebelum kau percaya dengan sesuatu yang baru, kau perlu percayakan diri kau dulu ;)


01 November 2012

my dad my hero



Aku dengan papa taklah rapat mana. Aku lebih rapat dengan mama sebenarnya. Kawan aku kata aku ni kurang kasih sayang keluarga. Aku cuma ketawa. Manusia gemar menilai manusia. Aku tak kisah hidup aku macam celaka asalkan keluarga aku bahagia.


Aku pernah terasa papa memang jarang bagi aku hadiah. Dulu papa pernah bagi kereta tapi sekarang dah jual dah. Aku jadi tempang sebab nak keluar pun susah. Walaupun aku bengang tapi aku pasrah. Aku tahu setiap yang berlaku mesti ada hikmah.




Adik-adik aku istimewa. Papa bagi semua benda yang adik-adik aku minta. Sampai satu ketika aku rasa menyesal jadi anak pertama. Aku nak apa-apa aku kena usaha. Tapi bila adik-adik aku nak papa mesti bagi punya. Kalau tak bagi pun papa tetap bagi lepas adik-adik aku muncung mulut merajuklah kononnya.


Tapi bila fikir balik sebenarnya aku yang dapat hadiah paling berharga. Aku yang dapat hadiah yang adik aku tak akan dapat sampai bila-bila. Hadiah apa? Papa bagi aku kebenaran untuk keluar malam dan balik bila-bila masa aku suka. Adik aku cuma boleh keluar siang dan balik sebelum senja. Kiranya papa bagi aku kebebasan yang tak terhingga.


Papa tahu hiburan adalah apa yang diperlukan oleh anak lelaki. Sebab itu papa bagi aku keluar lepak sampai pagi. Papa pun lelaki. Papa pun pernah berumur dua puluh tiga macam aku hari ini. Papa bagi aku layan bola dekat kedai mamak sampai subuh walaupun dekat rumah dah ada TV LCD sebesar gergasi. Bagi aku ini keputusan berani. Papa kata dia nak latih aku jadi anak yatim andai ditakdirkan dia dah tiada lagi nanti. Papa nak aku belajar hidup sendiri. Belajar jadi anak lelaki yang berdikari. Dari kebebasan itu aku dapat pengalaman hidup yang amat bermakna sekali. Kepercayaan yang papa beri akan aku hargai sampai aku mati.


Papa, ayah, daddy, abah. Tanggungjawab mereka sama walaupun panggilan berubah. Aku rasa bertuah masih mempunyai ayah. Bagi yang sudah tiada ayah aku harap kamu tabah. Orang yang dipilih berjumpa Tuhan lebih awal adalah orang yang bertuah. Panjatkan doa dan Al-Fatihah supaya di sana mereka tidak susah.


Hari ini hari jadi papa yang ke lima puluh dua. Selamat hari jadi papa tercinta. Abang tak bagi hadiah apa-apa. Sebenarnya abang tak tahu nak bagi apa. Abang cuma mampu tulis entry ini dengan penuh rasa syukur dan bangga. Abang tahu papa tak akan baca. Tapi abang tak kisah sebab papa satu-satunya papa yang abang ada. Papa ialah papa terbaik dalam dunia.


Papa, I love you.


ps : Shafie bin Ali. He's my papa, he's my idol, he's my hero, he's my everything ;)


 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...