My Dongsaeng. My Oppa. My Noona.

27 December 2012

terbabas terbuka


 

Aku sampai ke satu Twitter budak ini secara tak sengaja. Aku tekan satu nama dekat Timeline kemudian headernya aku baca. Aku tengok Timeline dia, cari orang yang dia RT dan aku tekan orang itu pula. Aku teruskan sampai setengah jam lamanya. Nampak sangat tak ada kerja.


Sampai satu ketika aku sampai di Twitter budak lelaki yang aku tak kenal siapa. Aku tengok Timeline dia tapi dia tak ada RT sesiapa. Hampa. Aku mula sedar aku dah jauh tersesat rupanya. Mungkin aku patut balik ke Home semula. 




Aku hala mouse ke Home tapi aku turun semula. Aku rasa kalau aku cari ke bawah sikit mungkin aku akan jumpa. Yes ada! Aku terus tekan nama Twitter yang dia RT tanpa aku baca. Dalam dua saat paparan layar kaca komputer riba bertukar warna.


Eh nama dia macam pernah singgah di telinga. Aku rapatkan mata ke skrin kaca melihat gambar yang dia guna dengan harapan aku ingat siapa dia. Tak berjaya. Aku pejam mata. Siapa dia? Macam kenal tapi siapa? Aku banyak makan semut agaknya sampai lupa.


Aku scan semua kawan yang nama serupa dengan dia. Aku filter semua, delete yang tak ada kena mengena. Ingatan dan hati aku macam dilanda perang dunia. Ingatan aku hantar satu nama dan hati aku menerima. Satu salah dua salah tiga salah juga. Tinggal satu nama. Dia. Sah dia.


Dia kawan lama. Kami pernah rapat satu ketika. Itu dua atau tiga tahun lepas punya cerita. Tapi semua berubah bila dia jatuh cinta dengan budak lelaki yang aku tak kenal siapa. Jarak antara kami mula tercipta. Aku tak kisah mana. Aku pun risau kalau dituduh orang ketiga. Kekasih dia pun mesti tak suka awek dia rapat dengan lelaki lain selain dia. Jadi aku tinggal dia sebab nak dia bahagia.


#Single tertera. Eh mana pakwe dia? Perlu ke aku mention nama dia, tanya? Jangan Nino jangan buat gila. Pesan aku kepada budak kecil yang kuat menghasut dalam kepala. Jadi aku biarkan saja. Tak apa. Masa masih ada.


ps : 5 minit study, 55 minit tulis entry, makan maggi, whatsapp tak berhenti ;)


25 December 2012

akhir tahun



Hari demi hari melangkah. Tanpa sedar hujung tahun mula menjengah. Aku pusing menatap semula sebelas bulan setengah yang sudah. Dan aku sedar betapa banyak benda yang berubah.




Dalam setahun aku hilang ramai manusia. Aku hilang kawan yang pernah susah senang bersama. Aku hilang ahli keluarga. Mereka pergi untuk selamanya. Entah bagaimana dalam setahun semua berubah sekelip mata.


Dua belas bulan berganti. Agak sedih bila orang yang selalu kata "Saya selalu ada bila awak perlukan awak saya nanti" turut sama melangkah pergi. Agak sedih bila semua yang dirancang tak menjadi.


Tipu kalau aku kata dalam dua belas bulan ini tak ada benda yang buat aku gembira. Ada. Banyak juga benda gembira. Tapi dalam gembira itu terselit juga duka. Mungkin sebab itu ada hidup di dunia.


Manusia ibarat roller coaster di taman tema keriangan. Ia berubah mengikut jalan. Saat ia mendatar kau rasa ketenangan. Saat ia mendaki kau rasa debaran. Saat ia menjunam kau tutup mata ketakutan. Roller coaster berubah mengikut jalan, manusia berubah mengikut keadaan. Kejam bukan? Tapi inilah kehidupan.


ps : 2012 antara tahun paling aku tak suka. Nino pergi untuk selamanya :'(



22 December 2012

kahwin nanti



Pagi kelmarin dekat Facebook aku dapat jemputan kahwin seorang kawan. Bertahun tak jumpa tiba-tiba dapat tahu dia nak kahwin tahun depan. Untunglah kan. Lagipun dia perempuan. Memang aku rasa perempuan patut kahwin awal sebab mereka terdorong dengan desakan. 




Petang kelmarin aku pergi kenduri kahwin junior aku. Suami dia senior aku. Kiranya mereka jumpa dekat kolej dan semuanya bermula dari situ. Kebetulan masa aku pergi memang ramai tetamu. Aku perhati satu-satu. Manalah tahu bertemu jodoh aku dekat situ. Tak kisahlah semua itu. Kepada Din dan Fiza semoga bahagia ke anak cucu.


Semalam lepak dekat tempat biasa. Kami ada borak pasal hal rumahtangga. Kawan aku kata kami sudah dewasa, sudah wajib fikir pasal berkeluarga. Gila. Aku tak tahu nak kata apa. Tapi bila fikir semula memang betul apa dia kata. Dia dah bekerjaya. Dah ada kereta. Dah ada semua. Dia cuma perlukan isteri untung melengkapkan hidup dia.


Bukan aku tak nak kahwin kemudian ada keluarga yang bila petang hari boleh aku bawa pergi taman permainan main sama-sama. Aku nak itu semua. Cuma aku rasa belum sampai masa. Aku belum kerja. Aku belum bersedia. Kalau aku kahwin aku nak bagi anak bini aku makan apa? Pasir berulamkan rumput cicah lada?


Bagi aku tanggungjawab suami sangat besar sekali. Aku akan tanggung dosa-dosa isteri. Aku tanggung dari kepala sampai kaki. Aku akan dapat dosa kalau dia tinggal solat sekali. Dia dedah aurat sekali, dosanya ditanggung juga aku sebagai suami. Aku juga bakal tanggung dosa anak-anak aku nanti. Kalau tak aku disoal dalam kubur nanti. Aku tahu tugas ayah dan suami tapi aku belum bersedia lagi.


ps : Lebih baik ada duit tapi tak ada calon daripada ada calon tapi tak ada duit ;)


 

21 December 2012

kiamatnya bila



Hari ini ramai yang ketawa. Mereka gembira bila kiamat tidak berlaku pada tarikh yang dijangka. Mereka meneruskan kerja macam biasa. Gembira sangat nampaknya. Mereka ketawa dengan kiamat yang tak jadi nyata, aku ketawa dengan kelembapan mereka.


Bagi aku kiamat sudah lama terjadi. Tapi mungkin mereka tak nampak semua ini. Mungkin kiamat ini agak kecil berbanding kiamat yang mereka tonton di TV.



 

Mungkin ini yang kaum Mayan jangka agaknya. Kiamat yang dimaksudkan bukan kejadian perlanggaran asteroid di alam maya. Bukan jujukan semua planet di angkasa. Tapi pengakhiran kita sebagai manusia. Kiamatnya kita sebagai penduduk dunia.


Kiamat sudah lama ada. Kiamatnya bila hidup tidak lagi ceria sebab tekanan belajar dan tempat kerja. Kiamatnya bila kita rasa kawan sudah tidak memberi erti apa-apa. Kiamatnya bila kita mahu cuma kaya dan harta bukannya agama. Kiamatnya bila perang di sini sana. Kiamatnya bila kes bunuh berlaku di mana-mana. Kiamatnya bila salah laku berleluasa. Kiamatnya bila penjajahan bumi untuk kemodenan kononnya. Kiamatnya bila binatang dibunuh demi pakaian berjenama. Kiamatnya bila bukit ditarah menjadi rata. Kiamatnya bila manusia dirasuki sifat tamak haloba. Kiamatnya bila pembaziran terjadi tanpa mengira usia. Kiamat sudah bermula sejak manusia jahil berbangga dengan kehahilan mereka.


Lihat sekeliling kita. Ketepikan seketika pemikiran kiamat sebenarnya malapetaka. Kita sibuk memikirkan kiamat bencana tanpa sedar kiamat sudah berlaku sesama kita.


ps : Terpaksa curi-curi update sebab sibuk yang amat sangat. Maaf ;)

14 December 2012

best friend



Kawan baik adalah kawan yang selalu ada untuk kau tak kira masa atau ketika. Kau dan dia saling berkongsi cerita, apa saja cerita. Semua tentang cinta sampai ke perihal keluarga serta tekanan yang kau rasa sama ada di kelas atau tempat kerja.


Sungguhpun berbeza jantina, kau dan dia selalu dilihat bersama. Makan bersama. Lepak bersama. Kau tak kisah apa orang kata. Kau single dan dia pun sama. Kau bebas buat apa saja. Kau tak ada kekasih yang akan cemburu buta. Kau tahu kau selesa dengan dia. Kau percayakan dia. Kau sayangkan dia. Malah kau sanggup mati demi persahabatan kau dan dia. 




Tapi ada satu peraturan hidup yang harus kau terima. Di antara kawan baik dan cinta, ada satu garisan halus yang memisahkan mereka. Garisan yang menjadi sempadan rasa. Garisan yang buat ramai manusia kecewa di akhir cerita.


Sekali kau jatuh cinta dengan kawan baik kau sendiri, kau umpama bermain api. 

Kau jadi takut dalam berani. Kau tersepit antara kanan dan kiri.


Apa kata kalau dia pun rasa perasaan yang sama? Kau saling suka lalu kau bercinta. Tapi risiko untuk putus sentiasa ada. Sebab bila kau bercinta, kau dah tak boleh buat macam kau cuma berkawan saja. Dan kalau kau putus dengan dia, persahabatan yang dah lama terbina akan berkubur untuk selamanya.


Macam mana pula kalau dia tak rasa apa yang kau rasa? Kalau dia cuma nak berkawan saja? Rasa tak selesa akan timbul antara kau berdua. Dan mungkin dia akan tinggalkan kau atas ketidakselesaan yang kau sendiri cipta. Dan kau akan hilang kawan baik hanya sebab kau terlalu ikutkan rasa.


Sebab itu aku takut bila kita makin mesra. Aku takut kita terjatuh cinta. 

Aku sayang kau tapi aku lebih sayangkan persahabatan kita.


ps : Betul kata mereka, bercinta selepas kahwin itu lebih indah keindahannya ;)


 

06 December 2012

nasihat diri sendiri


 

Bayangkan kau sedang dilanda masalah peribadi. Kau pun duduk seorang diri, bercakap dalam hati, dengan diri kau sendiri. Nak buat begini takut tak jadi. Nak buat begitu tapi tak berani. Pendapat kau berkelahi. 



Kau teringat seorang kawan yang pernah hadapi masalah yang sama. Pada saat itu kau yang nasihatkan dia. Kau dengan penuh yakin berkata cara ini akan berjaya. Dan benar memang dia berjaya.


Tapi sekarang walaupun kau ulang ayat yang sama, kau tak dapat terima. Kau tetap sangsi dengan nasihat yang pernah kau bagi dekat orang yang hadapi masalah yang serupa.


Jadi kau cari kawan dan luahkan masalah tadi. Kemudian kawan kau bagi nasihat supaya masalah kau itu dapat diatasi. Sama ada sama atau tidak dengan cara yang pernah kau bagi, kau hampir pasti akan gunakan cara yang kawan kau beri. Sebab kadang-kadang lebih baik dengar sesuatu dari mulut orang daripada hati sendiri.


ps : You know why your heart is located on your left? Because it's not always right ;)



04 December 2012

janji dengan saya




Janji dengan saya awak tak akan lupa semua kenangan kita. Semua gelak tawa. Semua gurau senda. Semua pilu hiba. Semua pertengkaran yang menitiskan air mata. Semua perbincangan kita. Semua yang berlaku masa hari pertama kita jumpa. Semua pelukan dan ciuman mesra. Semua lagu yang kita nyanyi bersama. Semua gambar dan video kita. Semua entry cinta. Semua tempat yang kita pernah singgah berdua. Semua janji yang kita reka. Semua perancangan yang kita cipta. Semua masa depan yang kita mahu bina. Semua cerita yang tak perlu dicerita. Semua rahsia yang sepatutnya dirahsia. Semua kata-kata. Semua janji setia. Semua masa. Semua cinta kita. Semua.


Walaupun kita tak mungkin lagi dapat bersama, janji dengan saya satu pekara. Janji dengan saya awak tak akan lupakan saya, tak akan lupa kenangan kita, sampai bila-bila.


ps : Berat rasanya melepaskan seseorang yang kita cinta sebab nak tengok dia bahagia ;)

02 December 2012

radio



Radio kadangkala boleh jadi benda paling celaka. Dia mainkan lagu yang paling kau tak nak dengar di telinga. Bukan sehari dua tapi kalau boleh tak nak dengar sampai bila-bila. Lagu yang mungkin buat kau teringat satu benda yang kau nak sangat lupa. Lagu yang mungkin buat kau terimbas semula. 



Saat kau nak lupakan seseorang tiba-tiba radio mainkan lagu cinta kamu berdua. Nak sumpah seranah pun tak guna. Kau bukan deejay yang putarkan itu semua. Kau tak ada kuasa. Kalau kau dalam kereta bolehlah kau tukar channel lain yang kau suka. Tapi kalau kau di shopping complex contohnya? Terpaksa juga kau tadahkan telinga secara paksa rela.


Tapi lainlah kalau kau tengah bercinta. Lagu bodoh pun kau boleh ulang dari pagi sampai senja siap kau boleh hafal setiap lirik dia. Sebab bagi kau lagu itu memberi rasa. Kononnya.


Aku lagi suka dengar lagu yang aku susun sendiri kedudukannya. Pilih lagu yang kena dengan jiwa kemudian masukkan dalam pendrive dan cucuk dalam kereta. Lagu itu buat aku selesa.


ps : Radio main lagu cinta tapi aku rasa kosong saja. Harap ada orang turut merasa ;)


29 November 2012

kawan



Kita hidup bukan untuk kita saja. Mungkin sebab itu Tuhan hadirkan kawan dalam hidup kita. Untuk bagi kita kongsi apa kita rasa. Dan dalam hidup ini ada tiga jenis kawan yang akan kita jumpa. 


Kawan sebab bersebab itu yang pertama. Kawan yang mungkin beri kelebihan dekat kita. Mungkin dia ada kereta jadi kita boleh tumpang bila nak pergi mana-mana. Mungkin dia anak orang kaya yang boleh belanja kita bila-bila masa. Mungkin dia ada nama. Mungkin dia ada kuasa. Mungkin dia pandai orangnya. Kawan yang tidak sedar di sebalik persahabatan itu tersembunyi satu rahsia.


Kedua, kawan yang macam cuaca. Sekejap cerah sekejap gelap gelita. Sekejap ada sekejap tak ada. Bila kita senang dia ada depan mata tapi bila kita susah dia hilang entah ke mana. Bila dia ada masalah kita sudi luangkan masa tapi bila kita ada masalah dia pekakkan telinga. Kawan yang cuma sanggup ketawa bersama namun tidak menangis bersama. Ini kawan celaka.


Nombor tiga, kawan sampai bila-bila. Kawan yang berjanji akan terus berkawan sampai hujung nyawa. Kawan yang berjanji akan cari semula kita dalam syurga untuk sambung persahabatan atas dunia. Kawan yang anggap masalah kita sebagai masalah dia sebab nak hadapi masalah itu sama-sama. Kawan yang nampak derita dari mata kita saat orang lain percaya dengan senyuman yang kita reka. Kawan yang tahu perangai buruk dan sejarah hitam kita tapi masih mahu bersama kita.


Lihat sekeliling kita. Kawan-kawan kita jenis yang mana. Sekarang lihat diri kita. Kita sebenarnya kawan jenis apa. Satu atau dua atau tiga, atau satu dua tiga? Kalau semua tak apa. Mungkin kita kawan pertama di mata dia namun kita sebenarnya kawan nombor tiga di mata dia yang lain pula. Lagipun kita manusia yang tak sempurna. Jangan ingat semua orang akan suka kita, sebab kita pun bukan suka dekat semua orang di sekeliling kita.


ps : "Kalau Malaysia menang, aku akan update blog esok," tweet aku semalam ;)


 

26 November 2012

kisah sekolah



SMK Bandar. Satu nama yang sentiasa segar. Tempat aku belajar, mengajar dan diajar. Selepas aku keluar, nama sekolah ditukar. SMK Dato' Razali Ismail ganti nama SMK Bandar.


Pagi yang sibuk dengan macam-macam jenis kenderaan. Ada yang mak ayah hantarkan. Salam dan cium tangan. Ada yang jalan kaki berkumpulan. Dalam bas sekolah oren ataupun nama asalnya van ada pelajar yang tersepit sampai berkedut baju yang mak gosokkan. Itu pengorbanan. 



Loceng dibunyikan. Perhimpunan. Bacaan doa harian. Nyanyian lagu negeri dan kebangsaan. Cikgu bagi ucapan. Pelajar contoh diberi pujian. Kelas tercantik diberi tepukan. Masalah disiplin adalah perkara sama yang akan dibangkitkan sampai bosan. Aku beratur di barisan belakang bercakap dengan kawan-kawan. Apa yang cikgu cakapkan cuma masuk telinga kiri keluar telinga kanan.


Masuk kelas dan belajar. Cikgu suruh kita jawab soalan sebab nak kita jadi budak pintar. Cikgu suruh buat karangan sebab cikgu tahu imaginasi itu lebih indah daripada apa yang tergambar. Cikgu suruh present sebab tak nak bagi kita gementar. Cikgu tak nak kita jadi macam katak bawah tempurung yang tak tahu dunia luar.


Waktu rehat tiba. Ada yang ke kantin ada yang makan bekal yang dibawa. Aku tunggu kawan kelas sebelah keluar sebab nak rehat sama-sama. Aku suka makanan kantin tapi tak suka beratur lama-lama. Aku rela pergi Koperasi beli roti dengan air kotak yang macam-macam perasa. Koperasi itu macam kedai runcit yang jual makanan ringan sahaja. Beli makanan kemudian makan tepi longkang dengan kawan-kawan sambil bersembang tentang semua benda. Tiga puluh minit rehat dengan kawan-kawan umpama tiga puluh minit dalam syurga sementara.


Loceng balik berbunyi. Buku yang ada kerja rumah dimasukkan dalam beg atas kerusi. Buku yang tak ada kerja rumah dimasukkan dalam laci. Galas beg sendiri, berdiri dan langkahkan kaki. Jadual nak buat kerja rumah apa sudah tersusun rapi. Mula-mula buat Matematik lepas itu Biologi. Sayangnya perenggan ini menceritakan tentang pemikiran budak-budak kelas nombor satu yang selalu cikgu puji. Aku tak layak duduk dalam kelas ini. Tak cukup kredibiliti.


Balik sekolah nanti tengok Sinetron Indonesia dekat TV. Pukul lima main bola dekat padang sekolah sendiri. Malam nanti tengok bola lagi. Esok datang awal tiru kerja rumah kawan yang bermurah hati. Salah tak apa janji semua jawapan terisi. Ini yang aku fikir setiap hari.


ps : Di sekolah kita belajar dan diberi ujian. Di luar kita diberi ujian dan belajar ;)


24 November 2012

dalaman luaran



Semalam aku pergi tahlil datuk sepupu aku. Aku pergi awal sebab nenek aku nak tolong-tolong apa yang perlu. Jadi sementara tunggu orang lain datang aku bersembang dengan ayah sepupu aku merangkap anak sulung kepada arwah datuk sepupu aku.


Tak lama kemudian datang seorang lelaki berbaju putih yang ada gambar bendera UK serta kopiah atas kepala. Dia datang bersalam kemudian memperkenalkan diri sebagai saudara yang baru balik dari luar negara. Poyo gila. Tak perlu sebut tak apa belajar dekat mana. Dia bercerita pengalaman dia masa musim bunga dan jumpa beberapa orang ternama. Aku buat-buat tak dengar saja.


Orang mula ramai dan parking mula dipenuhi. Kedengaran deruman enjin motorsikal membingitkan telinga kanan dan kiri. Sekumpulan remaja lengkap berbaju Melayu datang dan bersalam dengan kami. Rupa-rupanya mereka kawan kepada ayah sepupu aku yang seorang lagi. Aku menjemput mereka masuk dan mereka memilih untuk duduk di satu penjuru tepi. Kena duduk satu geng baru nampak bersatu hati. Aku tahu sangat semangat itu sebab aku pun ada geng aku sendiri. 



Budak oversea tadi menggeleng kepala dua tiga kali. Dia pesan dekat ayah saudara aku supaya jangan rapat sangat dengan budak-budak tadi. Katanya Mat Rempit adalah musuh negara sejak dulu lagi. Mat Rempit adalah sampah masyarakat yang wajib dijauhi. Gila babi. Aku terkejut tapi masih berdiam diri. Entah dari mana dia tahu budak-budak tadi Mat Rempit pun aku tak pasti. Jangan hanya sebab mereka naik motor terus kau kelaskan dia sebagai Mat Rempit atau sampah masyarakat macam kau cakap tadi.


Kami masuk dan duduk di penjuru tempat budak-budak motor tadi tawan. Aku tak guna perkataan Mat Rempit sebab bagi aku itu tohmahan. Aku tak suka nilai seseorang dari luaran. Surah Yasin di tangan dan bacaan Yasin dimulakan.


Sambil baca sambil aku perhati. Budak oversea tadi cuma berdiam diri. Surah Yasin di tangan tapi mulut dia tak berbunyi. Bila orang belek muka surat lain dia pun belek sekali. Aku pusing sebelah sini. Aku dapat dengar bacaan Yasin dari budak-budak motor tadi.


Aku pusing kepala. Bacaan aku terhenti seketika. Gila. Tiada surah Yasin pun di tangan mereka. Tapi bacaan mereka lancar dan sama. Sah gila. Bukan mereka tapi aku yang gila. Mereka mampu hafal satu surah Yasin dan menyebutnya semula. Sungguh suci hati mereka. Aku rasa budak oversea itu mesti tak tahu nak letak mana muka dia. Itulah tadi suka-suka hati cakap budak-budak motor tak guna. Jangan ingat kau belajar luar negara kau akan kuasai semua. 

Belajar jauh-jauh tapi bodoh juga bab agama.


Majlis selesai dan tetamu dihidangkan dengan nasi beriani. Sambil makan fikiran aku melayang pergi. Rasa bangga dengan budak-budak tadi. Mereka mungkin bising tapi mereka tak lupa diri. Mereka berpegang kepada agama walaupun masih budak lagi. Yang penting mereka berjaya malukan seorang budak poyo yang kononnya belajar luar negeri. Ibarat pasukan bawahan menang dengan pasukan gergasi di halaman pasukan gergasi itu sendiri.
Puiiii.


ps : Dalam rumah aku macam Astana Idaman walaupun dari luaran macam rumah setinggan ;)


22 November 2012

harapan menjadi layu



"Harapan... Harapan menjadi layu... Inginku bahagia bersama..."

Pukul empat pagi handphone aku berkumandang lagu Harapan. Ada panggilan dari seorang kawan perempuan. Aku di persimpangan. Kalau angkat kena layan. Kalau tak angkat rasa bersalah pula sebab manalah tahu dia perlukan bantuan. Dekat TV depan aku pasukan bola sepak kegemaran aku tengah berlawan. Real Madrid menjaringkan gol awal yang memberi aku sedikit kelegaan.


Hampir sepuluh saat aku bergaduh dengan perasaan, aku jawab panggilan. Lepas aku angkat terus aku dengar esakan. Dia cakap Hello pun tersekat dan perlahan. Lepas aku tanya ada apa dia terus meraung macam kena rasuk syaitan. Dengan aku-aku sekali ketakutan. Aku cuba tenangkan keadaan. Aku suruh dia kosongkan fikiran. Aku suruh dia tarik nafas dalam-dalam kemudian ceritakan.


Dia diam seketika. Kemudian dia tarik nafas sedalam-dalamnya. Kedengaran bunyi hingus disedut kemudian tersepit sebab berlaga di dalam rongga.


 
Dia kata dia baru putus cinta. Boyfriend dia tinggal dia. Terkejut aku dibuatnya.
Kenapa? Aku tanya.


Dia mula bercerita. Dia kata boyfriend dia ajak beromen bila mereka dating lusa. Boyfriend dia siap bagitahu dia dah cari tempat selamat tanpa gangguan jabatan agama. Tapi dia tolak serta merta sebab dia tak suka. Bagi dia, kena kahwin dulu kalau nak itu semua. Boyfriend dia pun naik angin marah-marah tak tentu hala. Terus boyfriend dia ceraikan dia. Katanya awek dia kolot dan tak remaja. Sekali lagi dia menitiskan air mata.


Aku terus menghembus semangat saat tangisannya semakin kuat. 

Real Madrid dan aku sama-sama bertahan memerah keringat.


Tolong dengar sini wahai gadis-gadis di luar sana. Jika seorang lelaki tinggalkan anda hanya sebab anda tolak nak buat seks dengan dia, anda langsung tak rugi apa-apa. Memang lelaki begitu tak layak untuk sesiapa. Hanya lelaki bodoh yang akan paksa kekasih dia buat perkara yang kekasih dia tak selesa. Sesungguhnya cinta yang sempurna terjadi bila ada komitmen dan rasa hormat antara dua manusia yang kemudiannya direnjis rasa sayang dan percaya.


Untuk lelaki yang sedang membaca, tolong hormat kekasih anda juga. Bagi dia masa sampai dia bersedia. Hormat dan banggalah dengan keputusan dia. Buktikan pada dia yang dia satu dalam sejuta. Buktikan pada dia yang dia benar-benar istimewa. Buktikan pada dia kalau anda terpaksa menunggu dia selama mana pun anda rela. Wanita dicipta untuk lelaki jaga seperti Adam menjaga Hawa. Pertahankan dia, bukan jahanamkan dia.


ps : Bercerita dengan air mata lebih mudah dirasa berbanding dengan kata-kata ;)


18 November 2012

kejamnya dunia



Kawan-kawan aku selalu cari aku bila mereka ada masalah dalam cinta. Aku pun tak faham sebenarnya kenapa orang bercinta bertanya dekat orang yang tak bercinta bila ada masalah dalam cinta. Tapi biarkan saja. Mungkin itu cara dia tunjuk rasa percaya.


Pagi tadi kawan aku mengadu dia ada masalah dengan kekasih dia. Dia hantar mesej dekat page Bernafas Dalam Ego pagi-pagi buta. Panjang berjela-jela. Dia kata dia syak kekasih dia main kayu tiga. Dia kata kekasih dia dah tak mesra. Dia kata kekasih dia asyik bagi alasan ada kerja bila dia ajak jumpa. Kawan aku sebenarnya gagah perkasa. Badan dia sasa. Penuh semuka inbox di Facebook dengan mesej aduan dia. Tapi tak kisahlah sebab aku suka baca. Oh ya silalah like page blog ini di Facebook juga. Free saja, tak perlu bayar apa-apa. Ini link dia, http://www.facebook.com/bernafasdalamego. Ketawa. 


 
Aku bagi beberapa cara untuk atasi masalah dia itu. Kebetulan dia juga sedang online terus dia balas mesej aku. Aku suruh dia cuba satu per satu. Ada yang dia pernah cuba dulu. Ada juga cara baru yang baru dia tahu.


Aku kagum dengan dia. Ramai gadis di Facebook nak kenal dengan dia namun dia buat acuh tak acuh saja sungguhpun dia tergolong dalam golongan ada rupa dan ada gaya. Yang untung pasti kekasih dia. Sudahlah setia, badan pula sasa. Mungkin kekasih dia merajuk sebab nak bermanja. Macam-macam kata-kata positif aku bagi supaya mereka berbaik semula.


Tadi bergerak di ticker di hujung kanan belah atas Facebook dia komen status kawan dia. Aku bukan rajin sangat nak baca tapi sebab ada simbol 'love' jadi aku tekan juga. Maka terpampanglah status seseorang di layar putih skrin laptop yang bernyala. Oh ini status kekasih dia. Aku baca. Aku gosok mata. Aku garu kepala.


Status itu memang sweet sekali. Ayat meminta maaf serta kata-kata cinta dan simbol 'love' pasti dapat mencairkan kekasih hati. Tapi bila ayat itu ditulis oleh lelaki dan ditujukan pada lelaki, perlahan-lahan keghairahan membaca tadi pergi. Terus aku pangkah tanpa sempat aku habiskan komen terbaru yang diberi.


Kejamnya dunia bila manusia sibuk berebutkan jantina yang sama. Jangan tanya aku kenapa jadi sebegitu rupa. Masing-masing ada citarasa yang berbeza. Sebab dia hormat aku jadi aku juga hormat dia. Malah aku masih boleh duduk minum semeja tak kiralah dia itu gay, lesbian, pondan, pengkid atau apa saja gelaran yang kononnya jijik di mata manusia. Sebab bukan aku yang tentukan dosa atau pahala.


ps : Kita hidup di dunia jangan menghina sesama manusia sebab kita semuanya sama ;)

16 November 2012

nak seribu daya



Dia seorang yang berisi. Dihina oleh lelaki dan perempuan pun perli. Dia perempuan berbadan besar yang selalu dibuli. Dibuli dengan kata-kata yang menyakitkan hati. Aku juga pernah panggil dia Syanie. Entah ke mana hilang rasa simpati.


Sudahlah berbadan besar tidak pandai pula bergaya. Sentiasa berbaju kurung dan tudung di kepala. Skema dan berkaca mata. Sungguhpun tahu menutup aurat itu tuntutan agama namun bila sudah biasa menghina manusia agama hilang entah ke mana. 


 
Hampir sepuluh tahun berlalu. Hampir sepuluh tahun tidak bertemu.


Satu link dihantar oleh kawan lama di chat Facebook pada malam Rabu. Link ditekan membawa kepada satu gambar perempuan berblouse putih bertudung biru. Kawan itu meminta aku melihat semua gambar sebelum memberi komen satu per satu.


Di setiap gambar itu ada komen dari kawan yang memberi link tadi. Satu taktik mengayat yang berani. Pantas jari menaip bertanya siapa perempuan ini. Satu nama tertera rapi.


Hebat. Dia perempuan yang pernah kami laknat. Dia perempuan yang kami kutuk tanpa rasa penat. Dia perempuan yang pernah kami hina sampai lumat. Tapi sekarang dia berubah dengan ketara sangat. Aku kelu tak tahu apa dia buat. Rasa kagum dan menyesal terikat.


Cari punya cari akhirnya jumpa kenapa dia berubah sebegitu rupa. Sebab saiz badan dia putus cinta. Dia juga pernah dihina. Aku tahu ayat itu dituju dekat bekas kekasih dia tapi aku turut merasa pedasnya. Sejak itu dia berusaha. Aku tak tahu macam mana. Mungkin makan ubat atau diet gila-gila. Dan hari ini dia sudah dapat bentuk badan yang diidamkannya. Cuma satu yang aku bangga, tudungnya masih terpakai di kepala. Tak macam sesetengah manusia yang rela tubuh mereka dijilat mata hanya kerana mereka semakin jelita.


ps : Ada orang kurus tapi selalu kata dia gemuk sebab nak orang kata dia kurus ;)


 

10 November 2012

aku bakal pengantin



Semalam aku bersembang dengan kawan baru buat pertama kali. Bermula di blog melarat sampai ke Facebook dan akhirnya aku dan dia duduk semeja menikmati siang dan malam berganti. Asalnya dia malu tapi akhirnya dia berjaya sesuaikan diri. Segelas air Coke, segelas F&N Strawberry dan sepinggan french fries menjadi orang ketiga antara kami.


Dia lebih banyak bercerita. Tentang blog aku yang dia jumpa, tentang masa lampau dia, tentang keluarga, tentang cinta. Aku biarkan saja. French fries yang dicicah sos cili dan mayonis lebih menggoda. Dia terus bercerita tentang cinta dia yang putus sebab orang ketiga walaupun aku tak tanya. Dan sampai hari ini dia serik nak bercinta. Aku angguk kepala dua kali sambil pejam mata. Angguk sekali sebab faham cerita dia. Anggukkan kedua sebab french fries itu dimasak dengan sempurna. 



Dia masuk pula topik kahwin muda. Tangan dia bergerak senada dengan cerita dia membayangkan pelamin dan majlis perkahwinan dia. Umur dia baru sembilan belas tapi sudah sibuk merancang perkahwinan sedangkan aku yang sudah dua puluh tiga malas nak fikir itu semua. Sesekali suara dia meninggi tanda kagum dengan beberapa majlis perkahwinan yang pernah dia tengok dan baca. Sambil aku hirup air F&N Strawberry dengan straw berwarna jingga, aku tatap mata dia. Aliran eye shadow di mata dia mampu memukau mata sesiapa saja. Tapi aliran air bergas ini dalam trakea aku jauh lebih nikmat daripada itu semua.


Dia kata kalau boleh dia nak buat majlis perkahwinan yang bermotifkan warna tak kisahlah warna apa. Maksud dia kalau baju pengantin warna putih maka semua akan dibuat warna putih juga. Kalau ada duit lebih dia nak pengantin lelaki datang dengan menunggang kuda. Kalau ada duit lebih lagi dia nak buat dekat dewan sebesar istana. Aku ketawa. Kalau orang dengar perbualan kami mungkin orang akan kata kami pasangan bercinta yang sedang merancang perkahwinan bertaraf lima bintang macam yang selalu Nona siarkan dekat TV3. Aku cuma gelengkan kepala. Gila. Budak ini kuat tengok drama agaknya.


Dia tanya tentang majlis perkahwinan aku nanti.
Aku tengok tepi, senyum seorang diri.


Majlis aku nanti mungkin tak semewah majlis dia. Aku tak akan buat majlis berjuta-juta. Aku juga tak akan naik kuda. Malah aku tak akan sewa dewan sebesar istana sebagai simbolik besarnya cinta. Aku cuma mahu majlis aku dan isteri aku sempurna. Aku cuma mahu pada hari itu isteri aku bahagia. Aku cuma mahu majlis itu berjalan seperti yang dirangka. Aku cuma mahu isteri aku tahu yang aku cuma mahu dia. Dan majlis perkahwinan aku itu akan jadi majlis yang paling indah mengatasi semua majlis perkahwinan yang ada. Biar sederhana janji bahagia sampai bila-bila.


ps : Sebaik-baik perkahwinan adalah serendah-rendah mahar ;)


 

06 November 2012

malang



Hari ini hari malang. Aku ulang. Malang. Macam-macam benda tak kena dari pagi sampai petang. Aku tak tahulah apa jadi malam karang. Tadi junior yang dah habis final exam sorong beg nak balik kampung dengan hati yang senang. Aku terlentang dalam bilik berselimutkan rasa bengang. Melayan hari malang yang panjang.




Firstly, aku tak jumpa cari pendrive aku sendiri. Pendrive yang aku dah lupa berapa kapasiti tapi sangat banyak bahan berharga yang sukar dicari. Aku pun tak tahu mana dia pergi. Selama ni elok je dia duduk dalam poket kiri seorang diri. Tapi tadi dah tak ada lagi. Nak kata dia diculik pemuda Indonesia macam tak logik sebab pendrive aku lelaki. Aku tahu dia lelaki sebab aku selalu tengok dia masukkan alat sulit dia dalam lubang USB. Okay tak apa kuatkan hati. Nanti jumpalah balik kalau ada rezeki. Aku gubah ayat macam dalam entry untuk tenangkan hati yang risau gila babi.


Aku juga tak jumpa cari cincin tangan belah kanan. Aku suspek dia terlucut semasa di luar kawalan. Sejak aku pakai cincin tu masa tahun 2006 aku tak pernah tanggalkan. Kami macam dah lebih dari kawan. Apa yang aku dapat aku bahagikan. Setiap kali aku belai rambut perempuan, cincin itu turut sama belaikan. Bila aku makan dengan tangan, cincin itu turut merasa makanan. Malah cincin itu yang turut merasa bila aku sedap sendirian berimaginasi yang bukan-bukan. Terlalu banyak kenangan kami sepanjang enam tahun perkenalan.


Dan pagi tadi lecturer bagi markah Statistics Test 1 dan markah aku kosong per tiga puluh. Rasa macam bodoh. Berdesing telinga macam bunyi guruh kena basuh. Semangat aku jatuh. Macam sia-sia usaha aku yang bersungguh-sungguh. Macam tak guna semua arahan yang aku patuh. Rasa hancur luluh.


Sebenarnya aku mengantuk mata. Tapi aku nak tulis juga sebab aku suka. Sebab sinilah tempat aku mengadu semua yang aku rasa. Tidur pun aku suka. Kenapa? Sebab tidur buat aku lupa masalah yang aku ada. Tidur bagi aku rehat selepas penat buat senyum yang direka-reka dekat sesetengah manusia. Tidur buat wajah aku tenang walaupun hati mencuka. Walau sebesar mana masalah yang aku ada, bila aku lelapkan mata, aku lupa, walau seketika.


ps : The boy that's been there for everyone else also needs someone to be there for him ;)



05 November 2012

maaf



Maaf itu satu rasa misteri yang tersembunyi. Aku pernah minta maaf dengan lampu kereta aku yang pecah sebab aku tak hati-hati. Aku pernah minta maaf dengan jenazah seekor kucing yang aku langgar sampai mati. Tapi ada orang susah nak minta maaf sebab dia letak ego di tingkat atas sekali. Orang macam ni elok pergi duduk dalam gua seorang diri.


Hari ini aku nak minta maaf lagi. Bukan dengan manusia tapi dengan diri aku sendiri. 



 

Perut tolong maafkan aku lagi sekali. Selama ini aku dah sakitkan kau tanpa aku sedari. Sebab nak tunggu dia aku biarkan kau kosong tak terisi. Sebab nak belanja dia makan malam aku sanggup biarkan kau lapar sepanjang hari. Aku buat-buat tak nampak kau menangis meminta suapan tak kira mee, nasi ataupun maggi. Sebab dia kau terseksa diri.


Aku minta maaf dengan kau juga mata. Maaf untuk semua air yang kau keluarkan walaupun kau tak rela. Walaupun kau penat celik seharian aku tak bagi kau lena bila malam tiba sebab nak bersama dia. Aku paksa kau tahan walaupun kau dah lembik sepanjang hari terbuka. Aku biarkan kau merah menyala. Aku biarkan kau merana.


Maafkan aku wahai otak dan kepala. Maaf sebab aku selalu penuhkan kapasiti kau dengan berfikirkan dia. Maaf sebab selalu guna kau untuk berangan tentang masa depan aku dan dia bila kami tua. Aku langsung tak pernah berterima kasih dengan kau walaupun kau sering bagi aku idea. Maafkan aku otak sebab tak dengar kata kau supaya jangan bercinta.


Akhir sekali, maafkan aku hati. Kau yang merana teruk sekali. Aku tak tahu nak bagi alasan apa lagi. Kau memang yang paling hebat sekali walaupun kau yang parah tersakiti. Walau hangus dibakar api dengki, walau hancur dipijak kaki berunsur benci, kau tetap berfungsi.


Aku rasa aku buta. Sejak aku lahir kita dah bersama. Tapi sebab perempuan itu yang baru aku jumpa, aku tinggal kamu semua. Cuma maaf yang aku mampu kata. Aku janji aku akan jaga kau, kau, kau dan kau juga. Jangan hanya sebab seorang perempuan kita jadi gila.


ps : Sebelum kau percaya dengan sesuatu yang baru, kau perlu percayakan diri kau dulu ;)


01 November 2012

my dad my hero



Aku dengan papa taklah rapat mana. Aku lebih rapat dengan mama sebenarnya. Kawan aku kata aku ni kurang kasih sayang keluarga. Aku cuma ketawa. Manusia gemar menilai manusia. Aku tak kisah hidup aku macam celaka asalkan keluarga aku bahagia.


Aku pernah terasa papa memang jarang bagi aku hadiah. Dulu papa pernah bagi kereta tapi sekarang dah jual dah. Aku jadi tempang sebab nak keluar pun susah. Walaupun aku bengang tapi aku pasrah. Aku tahu setiap yang berlaku mesti ada hikmah.




Adik-adik aku istimewa. Papa bagi semua benda yang adik-adik aku minta. Sampai satu ketika aku rasa menyesal jadi anak pertama. Aku nak apa-apa aku kena usaha. Tapi bila adik-adik aku nak papa mesti bagi punya. Kalau tak bagi pun papa tetap bagi lepas adik-adik aku muncung mulut merajuklah kononnya.


Tapi bila fikir balik sebenarnya aku yang dapat hadiah paling berharga. Aku yang dapat hadiah yang adik aku tak akan dapat sampai bila-bila. Hadiah apa? Papa bagi aku kebenaran untuk keluar malam dan balik bila-bila masa aku suka. Adik aku cuma boleh keluar siang dan balik sebelum senja. Kiranya papa bagi aku kebebasan yang tak terhingga.


Papa tahu hiburan adalah apa yang diperlukan oleh anak lelaki. Sebab itu papa bagi aku keluar lepak sampai pagi. Papa pun lelaki. Papa pun pernah berumur dua puluh tiga macam aku hari ini. Papa bagi aku layan bola dekat kedai mamak sampai subuh walaupun dekat rumah dah ada TV LCD sebesar gergasi. Bagi aku ini keputusan berani. Papa kata dia nak latih aku jadi anak yatim andai ditakdirkan dia dah tiada lagi nanti. Papa nak aku belajar hidup sendiri. Belajar jadi anak lelaki yang berdikari. Dari kebebasan itu aku dapat pengalaman hidup yang amat bermakna sekali. Kepercayaan yang papa beri akan aku hargai sampai aku mati.


Papa, ayah, daddy, abah. Tanggungjawab mereka sama walaupun panggilan berubah. Aku rasa bertuah masih mempunyai ayah. Bagi yang sudah tiada ayah aku harap kamu tabah. Orang yang dipilih berjumpa Tuhan lebih awal adalah orang yang bertuah. Panjatkan doa dan Al-Fatihah supaya di sana mereka tidak susah.


Hari ini hari jadi papa yang ke lima puluh dua. Selamat hari jadi papa tercinta. Abang tak bagi hadiah apa-apa. Sebenarnya abang tak tahu nak bagi apa. Abang cuma mampu tulis entry ini dengan penuh rasa syukur dan bangga. Abang tahu papa tak akan baca. Tapi abang tak kisah sebab papa satu-satunya papa yang abang ada. Papa ialah papa terbaik dalam dunia.


Papa, I love you.


ps : Shafie bin Ali. He's my papa, he's my idol, he's my hero, he's my everything ;)


 

30 October 2012

senior vs junior



Group universiti aku di Facebook dibuka. Ada satu post dari seorang junior perempuan meluahkan rasa. Dia kata ada senior perempuan sombong dan tak balas senyum yang dilemparkannya. Katanya lagi ada senior perempuan bergaduh dengan junior berebutkan cinta. Gila. Nisbah pelajar perempuan dengan lelaki dekat tempat aku ni 1:3 jadi kau nak berebut lelaki untuk binatang apa? Maka tidak hairanlah spesies lelaki dekat tempat aku ni nafsu macam kuda.



Untuk wall post dia, ratusan komen tiba. Senior perempuan mahu menjaga air muka, junior perempuan mempertahankan kerabat mereka, senior lelaki dengan lawak kononnya mereka lebih mulia dan junior lelaki diam sahaja. Takut agaknya. 




Senior sombong perkara biasa, tak kira jantan betina. Tapi bukanlah semua. Ada je senior yang baik gila. Hanya sebab seorang senior sombong, kau pun kelaskan semua senior sama. Buka mata. Dulu Jepun jajah kita tapi hari ini kita yang hari-hari tengok drama dia. Lagipun bukan seorang tu je senior yang kau ada. Carilah senior lain yang kau boleh beramah mesra bertepuk tampar bersama. Dalam universiti sebesar dinosaur ni yang kau kejar sangat senior tu kenapa?  Pandai sangat ke dia? Cantik sangat ke dia?


Tapi ada kemungkinan bukan salah junior tu juga. Senior sebenarnya tercabar dengan kehadiran ratusan adik-adik junior yang muda jelita bermodalkan aset artis seperti paras rupa, suara atau buah dada. Dan perempuan tak boleh ada orang lebih dari dia. Kalau kau naik motorsikal dia nak naik kereta. Kalau kau naik kapal terbang dia kalau boleh nak naik kapal angkasa. Perempuan dan drama memang tak akan dapat dipisahkan sampai bila-bila.


Adat belajar universiti, budak perempuan tahun satu memang lagi hot berbanding senior-senior mereka sebab mereka fresh lagi. Suara mereka masih belum bosan didengari, wajah mereka masih suci dan tahap kenakalan mereka masih misteri. Mereka umpama ABC yang baru siap dibuat dengan hiasan warna warni menunggu untuk diratah dan dihisap dan disedut dan dijilat oleh pembeli. Bayangkan di atas meja di sebuah warung dalam cuaca panas tengah hari, ada dua mangkuk ABC. Satu yang baru siap dibuat dan satu lagi ABC pagi tadi. Yang mana kau cari? Yang baru sampai atau yang sudah nak basi? Tapi rasa hot itu cuma sementara dan akan hilang bila masuk junior yang berikutnya nanti. Itulah yang dirasakan oleh senior mereka yang menyebabkan ada perbezaan antara dua darjat dalam universiti. Maka atas sebab inilah timbul rasa iri hati di kalangan senior perempuan yang mengundang permusuhan sesama mahasiswi. Amboi ayat aku macam pertandingan bahas peringkat IPT.


Tapi berbeza pula dengan pelajar lelaki. Pelajar lelaki masa tahun satu adalah loser sejati. Tapi pelajar lelaki tahun akhir adalah yang paling hot sekali. Tak hairanlah pelajar lelaki cari perempuan tahun satu dan pelajar perempuan cari lelaki yang nak habis study. Tahun depan aku tahun akhir jadi aku akan cuba dapatkan junior perempuan yang paling hot dan seksi macam Ani Mayuni. 


ps : Kalau kau nak tahu drama paling best sekali, kau patut tengok drama di universiti ;)



27 October 2012

eksperimentasi



Eksperimentasi. Itu yang aku buat dengan tujuh entry sebelum ini. Tujuh entry yang dijadikan bahan ujikaji untuk anda semua baca dan teliti. Tujuh entry yang bertajuk dengan perkataan pertama dan terakhir setiap entry. Aku rasa mesti ada yang check semula tujuh entry tadi. 



"Kau tak kisah ke orang tahu kegiatan haram entry 'Anak Ikan' tu?"
"Entry 'Rapat' tu macam perspektif negatif tentang benda yang elok je bagi aku."
"Perlu ke kau selitkan unsur lucah dalam entry 'Lonely' yang dah menarik tu?"
"Dalam 'Sesak' kenapa kau guna background Kuala Terengganu yang tak semua orang tahu?"
"Kenapa kau guna tajuk 'Kaki' sedangkan ceritanya tentang manusia dungu?"
"Watak 'Dia' tu memang wujud atau cuma watak hantu?"
"Kau ke kasanova dalam entry 'Kasanova' tu?"



Aku bukan apa. Saja nak tahu taste orang yang baca. Macam-macamlah ada. Ada yang suka ada yang tak suka. Ada yang puji ada yang mengata. Aku hanya ketawa. Nama pun mencuba.


Dulu kau tak ambil subjek Biologi ke masa sekolah? Cari tikus lepas tu bedah. Tengok organ dan saluran darah. Atau dalam subjek Kimia kau campurkan beberapa cecair untuk menentukan kedudukan molekul dan zarah. Kau takut darah atau tak dapat bacaan molekul tapi kau terus pasrah. Berdepan ujikaji sama macam berdepan masalah, selagi boleh redah, kau redah.


Jadi tamat sudah sesi uji kaji. Keputusannya biar aku simpan sendiri. Apa yang aku tulis selama ini, realiti atau fantasi, kisah orang lain atau pengalaman sendiri, biar aku simpan dalam hati. Kalaupun cerita itu hanya fiksyen yang lahir dari ilusi, ia tetap datang dari pengalaman hidup sendiri yang kemudian direnjis sedikit imaginasi dari pelbagai dimensi. Terima kasih atas kerjasama yang telah anda beri. Tengoklah nanti kalau aku rajin aku akan teruskan lagi dengan entry-entry eksperimentasi.


ps : Jangan terlalu nak jadi unik, takut nanti orang klasifikasikan kau sebagai pelik ;)



19 October 2012

kasanova


 

Kasanova
Ku ditawan dengan Kasanova
Semenjak digoda Kasanova...



Buka mata. Bait-baik lirik lagu Stacy itu ke udara. Melekat di telinga. Tangan meraba mencari telefon bimbit yang tercampak entah ke mana. Jumpa. Unlock dibuka. Sudah pukul dua. Patutlah kamar empat segi ini panas macam neraka. Ada empat mesej diterima. Ava, Nikki, Lisa dan Maria ajak jumpa. Rasa malas gila. Tapi nak tak nak terpaksa juga jumpa.


 
Ava budak Sibu. Dia nak jumpa aku. Rindulah tu. Ava pelajar jurusan seni di sebuah kolej berdekatan tempat kerja aku. Cantik bertudung dan ayu. Kami cuma berjumpa bila perlu. Dia sibuk dengan kerja dia dan aku dengan kerja aku. Status kami cuma kawan tapi ada kalanya lebih dari itu. Lagipun dia tak ada kawan sangat dekat area situ. Mudah sikit aku nak angkut dia pergi mana-mana aku rasa perlu.


Nikki sama umur dengan aku cuma aku tua beberapa hari. Nikki selalu sibuk dengan kerja part time dia di kedai cermin mata bertentangan dengan tempat aku cari rezeki. Dia seorang model photoshoot yang berangan kononnya dia model bertaraf dunia seperti Carolyn Murphy. Nikki ajak aku teman dia servis kereta kemudian pergi makan dekat KFC. Memang favourite dia Zinger Burger KFC. Tapi burger yang paling sedap bagi aku adalah buah dada Nikki.


Lisa bermata sepet dengan rambut paras bahu dan berkaca mata bingkai hitam macam yang setiausaha selalu guna. Dia ajak aku karaoke lepas dia habis kerja. Dia bekerja di sebuah syarikat komunikasi terkemuka. Dia kata dia ada masa sejam setengah sebelum pergi ambil anak dia. Oh lupa Lisa ni janda. Anak dia tembam dan manja. Mama dia pun tembam dan manja.


Maria budak tingkatan lima yang kurang kasih sayang keluarga. Lepas habis sekolah dia tak nak sambung belajar dekat mana-mana. Dia nak kerja kemudian tulis novel cinta. Itu semua dia kata. Aku anggukkan saja. Dia ajak aku datang rumah dia sebab mak ayah dia tak ada. Aku malas nak tanya balik mak ayah dia pergi mana. Bukan penting pun itu semua. Dulu aku pernah lepak rumah dia masa mak ayah dia pergi luar negara. Dia kata dia suka beromantika dengan idea. Tapi aku lagi suka beromantika dengan dia.


Setiap masalah ada jalan penyelesaian dia. Jadi strategi dirangka. Siapa pertama siapa kedua. Berkerut dahi menyusun jalan cerita. Jadi kesudahannya petang ini karaoke dengan Lisa, petang esok bawa Nikki servis kereta, lusa jumpa Ava dan tulat lepak rumah Maria. Mesej dibalas dengan rasa lega sambil berlatarbelakangkan lagu Kasanova.


ps : Behind every smart girl there is a dumbass guy who did her wrong and made her strong ;)



18 October 2012

dia



Dia cinta pandang pertama. Siapa dia? Itu yang sedang duduk di meja di depan tangga. Berbaju merah bercardigan putih bersama kawan-kawannya. Berborak tanpa menghiraukan sesiapa. Sesekali dia tersenyum dan ketawa. Comelnya. 



 

"Hai awak jom makan sama-sama?" Dengan penuh berani aku bagitahu dia. Dia diam tak kata apa. Sebab aku kata dalam hati saja. Aku gila-gila tapi tak gila.


Sesekali kami bertemu tanpa sengaja. Maklumlah berkongsi bangunan yang sama. Biasanya aku cuma dapat senyuman dari dia. Kalau ada bonus pun mungkin jelingan dia yang menggoda. Aku suka tapi aku tak boleh buat apa-apa sebab dada aku berdebar laju macam kereta lumba.


Dia mungkin nampak pemain bola yang aku puja. Dia mungkin nampak telefon bimbit yang aku guna. Tapi dia tak pernah tahu orang yang paling aku suka adalah dia.


ps : Ada baiknya perasaan ini dipendam sebab kalau diluah pun orang takkan faham ;)



14 October 2012

kaki



Kaki dirapatkan. Kedua-dua ibu jari kaki digerakkan. Kesejukan. Sekarang hujan. Aku di bawah bangunan. Berfikir sendirian. Kalau aku redah mesti habis basah satu badan. Jangan jadi sawan. Sabar nanti redalah hujan. Bercakap sendirian untuk menyedapkan perasaan.



Sebuah kereta Waja kelabu lalu di depan aku. Pemandunya pelajar perempuan Melayu mengangkat tangan dan tersenyum malu. Aku balas dengan senyuman palsu. Untunglah hujan-hujan pun dapat lalu. Aku bersandar di dinding batu. Tunggu. Terus tunggu. Dan terus tunggu.


Hujan mula reda. Aku mulakan langkah pertama. Melompat beberapa lopak air dari bangunan fakulti untuk sampai ke tepi jalan raya. Satu dua tiga empat lima. Titisan air hujan masih terasa di kepala. Mujur tak lebat mana. Renyai sahaja. Lega.


Strategi lompatan disusun rapi. Lopak air dilompat dengan berani. Kanan kiri kanan kiri. Tiba-tiba strategi gagal berfungsi. Kaki kanan terpijak lopak air memercik air ke kaki kiri. Langkah terhenti. Babi! Habis basah kaki.


Tersenyum sambil berdiri. Tenangkan hati. Jangan marah sebab benda tak seberapa tadi. Mengaku kecuaian sendiri. Tuhan nak uji. Alang-alang kaki dah basah teruskan saja berjalan tanpa henti. Tak perlu lagi melompat sana sini. Lagipun tak perlu marah sebab kaki basah sedangkan ada manusia lain tak pernah rasa nikmat ada kaki.


ps : Adat manusia, tak pernah cukup dengan apa yang dia ada ;)



12 October 2012

sesak



Sesak Jalan Kampung Cina pada malam itu. Ada Pertandingan Bot Berhias di Teluk Warisan yang menjadi tumpuan terbaru penduduk Bandaraya Kuala Terengganu. Kawasan yang cuma didominasi oleh kaum Cina sepuluh tahun dulu kini mula dibanjiri kaum Melayu. Bercampur jantina berpusu.


Duduk sendirian di tingkat paling atas Hotel Yen Tin Midtown pada pukul tiga pagi sungguh mengasyikkan. Angin lewat malam sayup-sayup bertiupan. Sejuk namun menyegarkan. Terasa bagaikan raja rimba bila mana berada di puncak sambil berlatarbelakangkan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah serta Wisma Darul Iman dan berkiblatkan Taman Shahbandar bersama Pasar Besar Kedai Payang yang menjadi tumpuan orang ramai tanpa mengira lelaki atau perempuan. 



Pukul empat pagi sudah. Pusing ke belakang dan tunduk ke bawah. Kehidupan manusia yang gulana gundah. Mat Rempit masih berlumba motorsikal dan kereta mewah. Kucing masih berlenggang di jalanan mencari makanan di warung yang sempat disinggah. Golongan remaja masih melepak merapatkan ukhuwah. Tikus masih bergelumang antara rumah dan sampah. Mak nyah masih berlegar di lorong mencari nafkah. Entah bila akan berubah.


Sudah pukul lima pagi. Ini detik-detik terakhir untuk menghirup udara segar pagi hari. Nanti bas-bas ekspress beraneka nama dan warna akan mula sampai ke Perhentian Bas MBKT memuntahkan penumpang bersama asap-asap ekzos besi. Udara segar ini akan dicabul tanpa rasa perikemanusiaan oleh asap ekzos besi tadi. Hasil persetubuhan luar nikah antara udara dan asap itu akan disedut pula oleh makhluk yang memerlukan oksigen saban hari. Aku paling tak suka ini. Geli.


Pukul enam pagi waktu untuk bersurai. Aku terbang rendah menyusuri Jalan Sultan Sulaiman menuju ke Kumo Salon dan memasuki Bulatan Ladang sebelum berhenti seketika di Hotel Sumai. Kemudian disusuri sepanjang Pantai Batu Buruk melintasi Istana Badariah sebelum berhenti di rumah aku di Kuala Ibai. Rumah dari daun-daun kering berlapikkan ranting kayu sekeras dawai. Kecil namun permai. Rumah si Murai.

 

Aku baring mengiring menghadap tiang lampu yang terpacak. Cahaya matahari mula nampak. Melintas di atas rumah berterbangan kaum gagak. Kaum gagak sebenarnya kaum yang bekerja keras walaupun manusia menganggap mereka penyangak. Kaum gagak keluar awal pagi mencari rezeki untuk anak-anak. Asap kenderaan mula berselerak. Bingit deruman kereta dan suara manusia bergabung menghasilkan bunyi yang menyakitkan otak. Kemodenan menodai kehidupan mutlak. Pencemaran bergolak. Aku terbatuk memuntahkan kahak. Dada aku mula sesak.


ps : Aku manusia berjiwa gagak. Murai cuma hiperbola watak ;)



11 October 2012

lonely



Lonely
I'm Mr. Lonely
I have nobody
For my own



Button 'Stop' di Winamp aku tekan dengan menggunakan mouse tanpa wayar yang aku baru beli. Winamp seakan memerli walau mengerti. Kenapa perlu pilih lagu yang menggambarkan apa yang tergambar di hati? Kenapa perlu lagu tadi? 



Aku terbaring di atas tilam lama yang aku alih letak di tengah-tengah bilik di bawah kipas yang berpusing mengeluarkan bunyi yang membuai telinga. Kipas berkelajuan lima itu saksi segala aksi di atas tilam lama yang sudah pudar warnanya. Laptop di bahagian atas kepala. Mouse di atas tilam mengeluarkan cahaya.


Rasa malas nak buat apa-apa. Nak makan pun tiada selera. Nak keluar pun tak bermaya. Nak download porno pun malas walaupun Internet di rumah aku laju gila.
Satu keluhan hampa dihela. Semua ini sebab cinta. Ya, aku baru putus cinta. Cinta yang sudah berbulan dijaga punah sekelip mata. Aku jadi marah tiba-tiba. Celaka.


Kawan-kawan aku mesej ajak keluar tapi aku tolak. Cuma kadang-kadang kawan baik aku telefon dan kami berborak. Kawan-kawan aku beri kata semangat supaya aku kembali berpijak.  



"Bangunlah budak! Duduk rumah tak keluar mengalahkan orang beranak!" 


Itu antara mesej mereka yang buat aku gelak.


Letak kaki. Melutut kanan dan kiri. Perlahan-lahan digagahkan hati. Berdiri. Kali ini aku akan cuba berjalan sendiri. Kali ini berjalan seorang diri. Sekali. Kemudian dua kali. Kemudian tiga kali. Kemudian aku sedar aku boleh berjalan tanpa dia di sisi. Mungkin nasib aku baik sebab ada kawan-kawan yang memahami. Kawan yang selayaknya dipanggil kawan sejati. And I'm finally starting to realize that being alone doesn't have to mean being lonely.


ps : There's a 'Hell' in every 'Hello'. There's a 'Good' in every 'Goodbye' ;)



05 October 2012

rapat



Rapat dihala garfu dan Maggi perisa kari ke mulut lalu ditiup supaya kurang rasa haba. Tiba-tiba speaker telefon bimbit Samsung bergema. Satu mesej diterima. Mesej dibuka. Panjang mesej dia. Mesej dibaca. Angguk kepala. Bukan sebab faham tapi sebab kenal siapa pengirimnya. Telefon bimbit diletak di atas meja. Mata memandang Maggi kari dalam mangkuk kaca. Garfu dicapai dan acara makan disambung semula. Tiupan dan suapan Maggi kari ke dalam mulut berlaku dalam satu harakat yang senada. Nikmat tak terkata.



Sambil makan sambil senyum macam orang gila. Suka. Tak sangka dia sudi kenal dengan aku yang tak seberapa. Macam tak bertepuk sebelah tangan rasanya. Macam impian jadi nyata. Macam Cinderella yang dipakai kasut kaca oleh putera raja. Macam Princess Fiona terima Shrek sebagai suami walaupun lelaki itu raksasa. Ahhh jangan jiwang sangatlah wahai jiwa. Mengada-ngada.


Teringat mesej tadi. Pucuk pangkal dia ialah dia nak kenal aku dengan lebih rapat lagi. Dia tanya aku sudi atau tak sudi. Nampak macam dia serius sangat kali ini. Seram pula rasa hati. Meremang bulu roma dari kepala sampai kaki. Suka dan risau bercampur seperti Maggi kari dan telur bercampur sampai sebati.


Mesej itu dibalas dengan satu smiley senyum di belakang. Harapnya smiley itu mampu buat dia tenang. Sebab smiley itu mampu buat aku rasa senang. Aku tak suka sesuatu perbincangan panjang dalam bentuk mesej berlaku dalam suasana tegang. Kesan smiley itu sangat mendalam walaupun bagi sesetengah orang meletak smiley itu sikap tidak matang.


"Saya lebih selesa berkawan. Rapat atau tak itu biar hati yang tentukan :)"

 

Bagi aku daripada kawan nak jadi kawan rapat melalui banyak peringkat. Tak boleh main lompat-lompat. Aku sebenarnya takut nak rapat dengan dia sebab aku takut nanti dia akan tinggalkan aku macam orang-orang yang aku pernah rapat.


ps : Hati aku dah terkunci. Tapi kalau kau berani, kau boleh cuba curi ;)



04 October 2012

anak ikan



 

Anak ikan dalam akuarium kaca itu berenang sendirian. Perlahan. Ke kiri ke kanan. Ke dasar ke permukaan. Akuarium panjang sedepa itu cuma dihuni oleh seekor ikan. Ibarat syurga bila semua hiasan dan makanan disediakan.


Aku mengetuk cermin akuarium itu dengan kuku. Nampak pantulan diri aku dari cermin kaca itu. Budak lelaki Melayu. Jambu. Tidak berbaju. Cuma sehelai boxer biru berpetak jenama Renoma menutup tempat yang perlu. Anak ikan itu terus berenang tanpa menghiraukan aku. Sekali sekala mata aku dan anak ikan itu bertemu. 



Tekak rasa dahaga. Aku ke dapur yang jaraknya cuma selangkah dua. Peti dibuka. Banyak makanan di dalamnya. Air beraneka rasa. Buah-buahan pelbagai warna. Coklat dari dalam dan luar negara. Aku tuang air Dutch Lady Chocolate ke dalam satu gelas kaca. Lega. Tekak yang kering mula banjir dilanda air sejuk yang enak rasanya.


Aku menghampiri tingkap kaca. Gelap malam dilimpahi cahaya. Baru pukul tiga. Malam masih muda. Masih ada lampu-lampu kereta di jalan raya. Aku perhati iPhone dan Blackberry aku di atas meja. Baju Top Man dan seluar Dolce & Gabbana aku tersidai di kerusi sana. Pada usia 23 tahun aku sudah ada semua. Syurga dunia.


Di atas katil bersaiz Queen di depan aku dia sedang lena. Tertutup tubuhnya dengan selimut putih yang disediakan pihak hotel lima bintang di tengah ibu negara. Ada sedikit kerut kedut di muka dia. Maklumlah sudah menganjak usia. Anak sudah lima. Semua sudah berkeluarga. Suaminya sibuk dengan urusan perniagaan di Australia. Dia mahu seseorang untuk bersamanya. Aku ingat lagi semua kata Datin ini saat pertama kali kami minum bersama di Starbucks Cyberjaya. Itu cerita lama. Sekarang dia tidur dengan tenang senada dengan penghawa dingin yang terletak di atas kepala. Penat agaknya. Penat beraksi dengan anak muda yang dibela. Penat dan puas berenang dalam syurga dunia.


Hidup aku cuma untuk duit dan kekayaan. Kebahagiaan? Bila ada duit itulah bahagia yang aku perlukan. Kawan? Itu kawan aku di dalam akuarium di depan. Cuma dia faham apa aku rasakan. Kawan rapat aku ialah seekor anak ikan.


ps : Buka minda dan luaskan pandangan. Duit sebenarnya mampu membeli kebahagiaan ;)



30 September 2012

kelahiran



Aku datang ke sini tiga tahun lalu. Aku panjat tangga satu per satu. Tanpa rehat tanpa jemu. Keyakinan adalah senjata aku. Aku kayuh perlahan seperti perahu. Aku nampak ada yang laju macam peluru. Aku tak kisah semua itu.


Teringat waktu dulu. Nak ada blog satu, itu impian aku. Konon nak cuba sesuatu yang baru. Itulah aku. Dan aku tak akan lupa impian itu. 




Apih El Nino Bernafas Dalam Ego tertera. Macam-macam orang kata. Budak lelaki muda. Budak lelaki yang masuk majalah Remaja. Budak lelaki yang buat orang kagum dengan entry dia. Sampai ada yang iri hati dan buat propaganda. Semua sebab dia rasa aku ada semua. Ada nama. Ada hidup yang selesa. Ada peminat di mana-mana. Aku diam saja.


Kalau aku ada kuasa aku mahu bertukar posisi. Biar dia duduk di tempat aku sehari. Dia akan sedar apa yang dia kata itu terpesong sama sekali. Itu aku pasti. Aku harap sangat dia baca entry ini. Supaya dia tahu apa yang dia rasa selama ini cuma ilusi.


Masa berganti masa. Rasa sunyi mula ada. Sunyi sebab masa perlu dibahagi dua. Kadang-kadang tiga, empat dan lima. Masa untuk kerjaya, keluarga dan blog juga. Sebab hidup ini ada naik turun dia. Peluh yang mengalir dari kepala. Dan air mata yang menitis di dada. Semua itu aku dah rasa. Sebab bertahan selama tiga tahun bukan semudah yang disangka.


Terima kasih blog hitam untuk tiga tahun yang singkat rasanya.
Terima kasih blog hitam sebab sentiasa ada saat orang lain tiada.
Terima kasih yang tak terhingga.
Selamat ulang tahun ketiga.



ps : Terima kasih untuk semua sokongan. Terima kasih kawan-kawan ;)



28 September 2012

musnah



Kami berjumpa. Terasa ada kimia. Kami mula mesra. Berkongsi kisah lama. Bercerita apa saja. Saling simpan rahsia. Timbul rasa suka. Bahagia bersama. Ketawa bersama. Menangis bersama. Tapi kami tak pernah bersumpah untuk mati pun bersama.




Satu hari timbul salah sangka. Timbul sengketa. Entah salah siapa. Masing-masing nak tunjuk ego yang ada. Nak tunjuk hebat kononnya. Keras kepala, sombong gila.


Sampai satu masa salah seorang berhenti mencuba. Tiada lagi pujuk rayu manja. Kurang bercakap sesama kita. Tiada lagi berbalas mesej sampai berjam lamanya. Tiada lagi komunikasi mesra macam dulu kala. Timbul rasa berbeza. Rasa terhina. Rasa kurang selesa. Rasa serabut kepala. Rasa tidak selera.


Hari berganti hari. Kenangan mula hilang tanpa disedari. Gambar dalam dompet dimasukkan dalam laci. Jangan putus asa lagi, kata akal mengubat sepi. Orang itu dah benci, bisik hati. Tak tahu mana nak pergi. Kiri duri kanan pun berduri. Remuk hati. Sakit sekali. Akhirnya orang yang paling disayangi menjadi orang yang pernah dikenali.


Kebanyakan cerita cinta sama di pengakhiran, walaupun berbeza di permulaan. 

Sedih bukan?


ps :  Manusia berubah, sebab hati dia pernah punah, patah dan musnah ;)



19 September 2012

itu orang kata



Duduk menongkat dagu di meja. Tangan digerakkan di skrin telefon kaca. Atas bawah dihala. Mata juga atas bawah membaca. Bibir sekejap tersenyum sekejap ketawa. Orang kata aku gila. Orang kata aku bahagia.


Itu orang kata. 






Aku bosan. Jadi aku buka Tweet kawan-kawan. Tersenyum dengan berita sukan. Ketawa dengan berita hiburan. Bukan aku SMS dengan perempuan. Entah macam mana nak SMS bila kredit telefon sudah tamat tempoh sebulan.


Itu orang tak pernah kata.


Duduk keliling meja. Berborak tak ingat dunia. Ada kawan buat lawak gila-gila. Aku ketawa. Aku pula buat lawak selamba. Kita ketawa bersama. Orang kata aku sempurna. Tak ada masalah sebab asyik gembira.


Itu orang kata.


Aku manusia biasa. Ada rasa dalam jiwa. Aku gembira, untuk menutup luka. Aku ketawa, untuk hilangkan air mata. Aku sorok rasa. Aku jarang luah semua. Spesies manusia perahsia.


Itu orang tak pernah kata.

Tapi biar apa orang kata. Itu hak mereka. Biar saja.


ps : "Ikut kata hati sendiri. Itu paling penting sekali," aku kata dengan pasti ;)


 

12 September 2012

aku suka kamu



Dia suka budak itu. Budak itu tahu. Dia pernah luahkan dulu. Tapi budak itu kata dia belum sedia untuk semua itu. Dia malu, tapi lega sebab dapat luahkan apa yang terbuku. Dia kecewa tapi dia sanggup tunggu.



Dia duduk di depan laptop sambil memandang skrin kaca. Warna hijau menyala di ruangan chatting budak yang dia suka. Dia taip namun dipadam semula. Banyak benda bermain dalam kepala. Takut mengganggu ada, takut dikata tak tahu malu pun ada.


Dia tak tahu apa ilmu budak itu ada. Dia tak tahu makhluk apa yang budak itu bela. Yang dia tahu budak itu buat dia angau gila-gila. Sebabnya cuma dia yang rasa. Dia selalu berangan budak itu jadi milik dia sambil mengharapkan budak itu juga mengangankan benda yang sama.


Sakit di hati masih berbekas. Sakit di hati masih panas. Sakit bila cinta tak dibalas. Tapi dia pandai berkias. Dia sorokkan sakit yang dia galas. Dia tak perlu belas ihsan walau sekilas.


Kecewa. Memang dia kecewa. Mungkin alasan yang diberikan budak itu adalah tanda dia tidak diterima. Alasan 'belum sedia' cuma untuk menyedapkan hati yang lara. Tapi dia kuatkan semangat yang ada. Dia sorokkan sakit sebaik mungkin supaya orang tahu dia gagah perkasa. Dia belajar senyum untuk mengaburi hati yang luka. Dia tahu semua ini akan berlalu jua. Dia pasti kalau budak itu jodohnya dia tak akan lari ke mana.


ps : Senyuman ibarat pembalut luka. Ia menutup luka namun pedihnya masih terasa ;)


10 September 2012

kisah lokman



Aku ada kawan. Lelaki. Lokman nama dia. Tapi aku panggil dia Lokmang. Kadang-kadang Mang je. Biasalah orang Terengganu. Dia sekolah rendah dengan sekolah menengah sama dengan aku.


Masa sekolah rendah, Lokman ni tak ada geng sangat. Dia biasa ikut geng aku je time rehat. Time ponteng je dia tak ikut. Sebab Lokman ni baik budaknya. Macam tu la mak aku cakap dulu.


Sebab dia ni baik sangat, dia selalu jadi mangsa bila time ada jualan Milo atau Vitagen kat sekolah. Aku suruh dia beratur dulu, nanti bila dah dekat nak beli baru aku potong dia. Aku bagi upah air yang aku beli tu je la kat dia. 





Pernah sekali Lokman ni masuk hospital masa tingkatan dua. Dia sakit jantung berair. Aku pergi melawat hari Jumaat. Family dia ada. Dia tengah baca komik masa tu. Banyak topik jugak kami bualkan. Maklumlah lama tak jumpa.


Aku minta diri nak balik. Hari pun dah nak gelap. Aku kata nanti ada masa aku datang lagi. Lokman angguk je. Aku salam dengan dia. Dia kata dia lupa cara salam geng kami masa sekolah rendah. Aku pun ajar la dia balik. Biasalah zaman sekolah rendah, style salam macam-macam.


Aku hantar mesej dekat Lokman. Aku suruh dia jaga diri dan keluar cepat. Dia kata memang dia dapat keluar lagi dua atau tiga hari. Lega aku baca mesej tu.


Selang tiga hari, masa tu tengah exam pertengahan tahun, ada satu pengumuman dekat sekolah. Arwah Lokman sudah pergi untuk selama-lamanya! Aku bingung. Aku terkilan tak dapat pergi masa hari pengebumian arwah sebab aku tengah exam.


Lokman tak pernah tunjuk dia lemah. Dia senyum, buat lawak. Dia tak pernah tunjuk dia akan pergi. Dia bukan tak ingat cara salam geng kami, cuma dia ajak salam untuk terakhir kali. Betul kata Lokman, lagi tiga hari dia akan 'keluar'.


Lokman, semoga tenang kau di sana. Al-Fatihah.


ps : Adat manusia bila dah hilang sesuatu baru pandai nak hargai ;)


29 August 2012

bila rindu



Rindu. Rindu walaupun tak sampai seminggu kita baru bertemu. Rindu semua kenangan seketika itu. Rindu sama kamu, kamu dan kamu.


Rindu bila sedar kita makin dewasa. Kau jauh mencari rezeki di sana. Kau pula jauh menimba ilmu di sempadan sana. Kau juga, kau, dan kau juga. Banyaknya kau yang aku guna. 




Rindu saat kita keluar bersama. Rindu saat kita mengata kawan sekolah yang sudah jauh berbeza. Rindu saat kita saling memaksa kawan untuk makan di rumah terbuka. Rindu saat kita berbincang penuh serius rumah skandal mana yang harus kita pergi beraya. Rindu gila. 


Rindu. Cuma itu yang aku tahu.


Rindu bila kita lepak di warung yang masakannya tidak sedap tapi kita tetap pergi sebab pelayannya perempuan bertubuh mantap. Rindu bila kita melopong melihat wanita cantik sampai tergagap cakap. Rindu bila kita menjeling ke dada wanita dengan harapan ternampak lurah gelap. Rindu bila kita memulakan topik sangap.


Rindu ini bukan untuk kekasih hati. Rindu ini sesama lelaki. Bukan rindu yang memerlukan cium pipi. Cukup sekadar duduk semeja berbual itu ini sampai pagi. Rindu kawan sejati. Rindu geng sehidup semati. Rindu GC.


ps : Hari raya tahun ni aku berkenalan ramai blogger dari negeri aku sendiri ;)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...